Sunday, April 11, 2021

Pintu Ajal Belum Terbuka

Bab Ketiga

PROLOG KEMATIAN 

SEJAK kita mula mengenali hidup dan mengetahui perjalanan sebuah kehidupan akan berakhir dengan sebuah kematian, kita dihadapkan dengan pelbagai cerita dan kisah mengenai kematian. Semua cerita-cerita kematian dianggap sebuah tragedi itu menakutkan. Ada mitos tersendiri mengenai kematian. Sebenarnya kematian bukan sebuah tragedi atau misterius tetapi ia adalah perjalanan biasa pola biologi dan azali yang diharungi manusia.

Perjalanan atau pola hidup dan kehidupan ini sepertilah perjalanan sang matahari yang terbit di ufuk Timur kemudian berakhir di ufuk Barat. Bagaikan sang suria itu menyemburkan diri dengan penuh keindahan, bersemangat dan yakin, kemudian klimaksnya tegak di puncak kemudian bergeser turun perlahan-lahan dan hilang di telan malam; begitu jugalah kisah sebuah kehidupan.

Kulinafsin za-ikatimaut, ( كُلُّ نَفۡسٍ۬ ذَآٮِٕقَةُ ٱلۡمَوۡتِ‌ۗ ) – Tiap-tiap yang bernyawa itu pasti (wajib) akan mati. Lanjutan dari surat An Anbiya ayat 35 itu berbunyi; "Dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan."

Dalam surah Jumaat ayat 8 pula Allah berfirman bermaksud: “Sesungguhnya kematian yang kau lari daripadanya, sesungguhnya ia tetap akan menemuimu.” Maksudnya bahawa kematian itu sesuatu yang sahih. Kematian laksana bayangan diri kita yang akan menuruti perjalanan kita ke mana sahaja kita berada. 

Bayangan itu akan hilang apabila tiada cahaya menampang diri kita. Selagi cahaya ada maka bayang tetap wujud bersama kita. Begitu juga kematian yang tidak akan berpisah dan terpisah daripada diri kita. Dan perjalanannya persis matahari yang disebutkan di atas tadi.

Kehadirannya pula tidak dapat dibendung. Ini ditegaskan Allah S.w.t dalam firmanNya dalam surah Yunus 49 bermaksud: “Apabila telah ajal maka tidak dapat ditangguhkan walaupun sesaat, demikian juga didahulukan.” 

Ia sesuatu yang pasti dan wajib berlaku. Namun disebabkan kita dihadapkan dengan cerita dan mitos yang berbagai-bagai itu, kita menjadi takut kepada kematian. Kematian menjadi sesuatu yang suspen dan misteri. Suatu yang menggerunkan. Kadangkala kita menjadi cemas tanpa hujung pangkal. Laksana kita takut kepada dogengan tahyul yang karut marut mengikut kepercayaan tertentu. 

Cerita macam mana kononnya wujud atau berlaku seksa kuburlah yang mengesankan. Menjadikan diri kita menggeletar lemah dan insaf dengan tiba-tiba tatkala mendengar kronologi mengenainya. Menjadikan kita menerima kematian itu sebagai satu penghukuman. 

Gara-gara terkesan dengan cerita dan berita itu lalu kita pun menjadi takut untuk mati. Menjadi cemas membayangkan macam mana saat menghadapi sarakara tul maut – kehadiran Malaikat maut untuk mencabut nyawa kita. Lantas kita membandingkan, (membayangkan) proses itu seperti mana, mencabut lembing atau keris yang tertusuk di dada. Betapa waktu hendak dicabut, apabila ia dijoblus ke dalam ulu hati, aduh…ah.. sakitnya.

Apakah cerita-cerita itu benar seperti mana dibayangkan kepada kita itu? Atau ia sebuah anologi untuk memberi keinsafan agar hidup lebih diwaspadai agar tidak dibaurkan dengan hal-hal yang tidak sepatutnya. Mengenai hal ini ia tidak ada dijelaskan dalam al Quran, sebaliknya ditamsilkan daripada firman atau kenyataan yang berbunyi seperti di atas tadi; dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.

Dari sepotong ayat itu diserlahkan dan dicerakinkan dengan cerita-cerita tamsil ibarat mengenai kematian dan seksa kubur tadi. Adakalanya ia dikosmetikkan sesedap rasa tanpa mengetahui bahan kosmetik itu diperbuat daripada bahan apa. Ia diriwayatkan dari pewari sahih atau tidak. Maka jadilah semua cerita dan berita itu seperti bahan penyedap makanan (yees) yang di dalamnya terselit racun berbisa.

Adapun cerita seksa kubur itu ditarik atau dihuraikan oleh para penulis kitab (fikah) dengan tujuan dan matlamat tertentu. Antaranya ialah agar kita senantiasa insaf dengan diri kita sendiri. Mengerti dengan kehidupan ini. Diharap kesan daripada itu maka kita pun perlu bersiap sedia untuk menghadapi kematian. Jadi kalau kita mengambil peduli menyiapkan keperluannya kenapa kita harus takut? Itulah rahsia disebalik kisah tamsil ibarat itu.

Bagi aku kematian hanya sebuah PERPINDAHAN atau TRANSIT pertama dalam menanti untuk dibawa atau bergerak ke tempat kesudahan yang abadi apabila sebermulanya kita melalui sebuah perjalanan atau kehidupan. 

Kematian adalah sebuah perjalanan meninggalkan pengkalan persinggahan ini. Ia bukan berakhir segala-galanya kerana dari pengkalan ini harus singgah (transit) di satu lagi pengkalan. Dunia ini hanya pengkalan, tempat persinggahan dari sebuah perjalanan kita yang jauh setelah ia bermula dari alam ghaib, menempuhi pelbagai alam, malakut, jabarut, ruh, dunia, barzakh dan sebagainya. 

Sebenarnya kita bukan tup..tup terus berada di sini, dilontar dari Syurga dan mendiami dunia ini, seperti cerita yang dikarang karai itu, tidak. Kehadiran kita ke alam buana ini bukan sesenang cerita Adam dan Hawa tertelan Khuldi kemudian dilontar ke luar Syurga kemudian bertemu di alam maya. 

Tetapi kita dihadirkan setelah melalui sebuah perjalanan panjang; mendenai lorong sempit dan luas dengan mengalami proses yang kompleks. Kita terbit dari kegelapan menuju kecerahan kemudian akan kembali ke dalam “kegelapan” semula? 

Kita bukan buah Apel yang jatuh dari atas kerana tarikan grativiti tanpa ada rentetan sebab musababnya, tidak. Buah Apel itu sendiri jatuh dari atas, dari ranting, yang mana ranting itu ada julai dan dahan serta batang pokok yang teguh dan besar. Kewujudannya terlebih dahulu melalui proses pembungaan, berputih dan sebagainya. Nah, begitu juga dengan proses kelahiran kita bersebab dan musabab.

Perjalanan hidup kita bermula dari alam yang tidak kita ketahui dan tidak rasa, yaitu alam Ruh. Dalam surah Sajadah ayat 9 menyebut: “Kemudian dibentuknya (janin) ditiupkan ke dalamnya sebahagian daripada Ruh-Nya”. Di sini bermulanya sejarah keberadaan, kewujudan kita. Dari alam Ruh ini kita akan dibawa ke alam Rahim (Ibu), alam malakut kemudian ke dunia kemudian ke barzakh sebelum tiba di pengkalan akhirat alam abadi.

Dari alam ibu akan membawa kita menjelajahi ke alam-alam seterusnya. Alam nyata (dunia) kemudian ke alam Kubur (barzakh). Dari alam ini kita akan berlepas kepada beberapa alam lagi yang bersifat akhirat kemudian menjelmakan semula kita ke dalam nyata, (dunia) hidup kembali yang kekal abadi.

Kita mulai menyedari proses atau pengembaraan kita begitu bermula dari alam ibu kerana dilahirkan dari perut ibu setelah kita melihat kelahiran demi kelahiran adik-adik kita atau anak-anak kita dan cucu-cucu kita. Kejadian itu mengesahkan apa yang kita sendiri lalui sebelum ini. Tetapi jauh lebih mendalam lagi, proses kelahiran itu sendiri sebelum kita didaratkan di alam ibu ia sangat sophiscate dan unit. Kita boleh bicarakan perkara ini dalam mauduk khas, proses kelahiran manusia di kesempatan lain.

***

Berbalik kepada cerita asal tadi, kematian dan seksa Kubur. Meskipun kita tidak dapat mengesahkan akan segala seksa Kubur itu akan kita lalui, tetapi ceritanya penuh dengan iktibar. Cerita penyeksaan itu untuk memberikan kesedaran dan keinsafan kepada kita. Gunanya untuk kita menyiapkan bekalan secukupnya. Ibarat kepada pengkalan dan transit tadi, kita sedang menunggu kehadiran kapal (Kematian), yang akan membawa kita berlayar jauh ke samudra jagat. Kerana ia sebuah perjalanan pastilah akan menempuh segala pancaroba dan ujian.

Nah, cerita-cerita azab Kubur tadi untuk memberi isyarat kepada kita agar bersiap sedia dengan segala macam bekalan. Bekalan itu seperti bekalan makanan untuk dibawa pada sepanjang pengembaraan bagi memastikan kita tidak kelaparan. Dan bekalan paling ampuh di sini ialah mengetahui sebenar-benarnya apa itu kematian. Macam mana prosesnya. Dan apakah kematian itu sesuatu yang perlu ditakuti dan menyakitkan. Untuk melengkapkan kita dengan segala bekalan, pengetahuan dan maklumat mengenai kematian itulah, maka cerita cerita seksa Kubur itu dihemburkan kepada kita. 

Apabila kita sudah siap sedia semuanya, segala bekalan, maklumat dan pengetahuan sudah ada, ibarat orang yang ingin mengemudikan kapal pelayaran, mereka sudah mengetahui segala seluk beluk, sudah ada petunjuk, peta dan tahu membaca arah angin dan sebagainya, dan kini dikenali dengan GPS, (Global Positioning System) maka perjalanan itu akan berlalu dengan tenang dan selamat. Ia akan sampai ke tempat yang ditujunya dengan jaya tanpa tersasar dan sesat. 

Jikalau pun ada halangan dalam perjalanan, kapal dipukul ribut, berlaku gelombang tinggi dan besar, layar terkoyak kita tidak cemas kerana segala perlengkapan sudah ada, segala ilmu mengatasinya sudah dimiliki. Makanan juga sudah tersedia, ilmu berenang sudah ada, pengetahuan sudah ada macam mana hendak berhadapan dengan keadaan yang kritikal dan mencabar itu.

Jadi begitu jugalah dalam persiapan untuk menghadapi sebuah perjalanan yang dinamakan kematian ini. Kerana itu apabila kita memahami hakikatnya untuk apa kita perlu takut, cemas dan bimbang dengannya. Lagipun kalau kita menghimpun segunung ketakutan dan kebimbangan, kematian atau perjalanan itu akan diteruskan juga bila sampai saatnya. Ia tidak dapat dianjakkan walaupun sesaat, baik dipercepatkan atau dilewatkan, seperti mana ditegaskan dalam surah Yunus: 49 tadi.

Apa yang perlu kita hadapi ialah sedia untuk perjalanan demikian yang tidak ada tarikh, melainkan kita seorang yang makrifat dengan diri kita sendiri. Tarikh kematian adalah rahsia yang bukan rahsia buat yang tahu memecah rahsia.

Kita perlu bersikap ofensif terhadap kematian bukan bersikap defensif. Kalau kita mengambil sikap terbuka kita akan bersedia, rela serta lega dalam menantinya. Dengan mengambil sikap demikian kita tenang dan tidak kalut memikirkan hal yang bukan-bukan. Manakala kalau kita bersifat defensif kita akan cemas dan takut dan sikap inilah menyebabkan kita akan menjadi lemah dan hilang harapan untuk hidup. Bersikap demikian juga menjadikan kita umpama meletakkan beban berat atas “neraca” kematian.

Wangsa Melawati, 24 Julai 2016.

[wm.kl.11:25 am 11/04/2021]

No comments:

Post a Comment