Wednesday, August 25, 2021

Kabinet Mail dibentuk oleh tiga kepala?

ULASAN 

WALAUPUN Ismail Sabri Yaakob (Mail) mempunyai kuasa sepenuhnya untuk menyusun
kabinetnya, tetapi beliau tidak akan menggunakan kuasa itu kerana kedudukannya sebagai perdana menteri berbeza dengan kedudukan PM sebelum ini.

Masalah besar beliau ialah, tidak mempunyai majoriti melegakan untuk membentuk kerajaan secara bersendirian, atau sekurang-kurangnya 50% atas kehendaknya sendiri sebagai perdana menteri. 

Beliau terpaksa berkongsikan kuasa. Bukan sahaja peribadinya tidak berani, tetapi partinya juga tidak punyai kekuatan seperti sebelum ini.

Situasi itu menyebabkan hendak tidak hendak kabinet itu nanti ditentukan oleh tiga fraksi atau tiga kepala. Frakasi pertama kumpulan Mail sendiri sebagai PM, fraksi kedua Zahid Hamidi selaku presiden Umno dan fraksi ketiga daripada PBBM atau Mahiaddin.

Seperti mana diketahui dalam Umno sendiri keadaanya tidak tupat, apabila wujud dua fakrasi. Satu fraksi bersama presiden Zahid Hamidi dan satu lagi bersama Mail Sabri yang dilihat tidak sejalur dengan presiden. 

Dalam fraksi Zahid ada 15 orang, yakni mereka yang menarik sokongan terhadap Mahiaddin dan kerajaan PN, sehingga Mahiaddin terbalik (jatuh), manakala di sebelah Mail ada 25 orang wakil rakyat yang mempertahankan Mahiaddin dan kerajaan PN.

Sementara dalam fraksi PPBM pula jumlahnya lebih ramai daripada jumlah kedua-dua fraksi dalam Umno itu sekitar 50 suara. Ia bukan suara kecil yang boleh dikesampingkan.

Keadaan inilah menyukarkan Mail untuk pandai-pandai bertindak sendiri menggunakan kuasa prerogatif sebagai perdana menteri. Hendak tidak hendak beliau terpaksa rujuk kepada semua fraksi itu atau pun mengambil kira pandangan pihak kedua.

Persoalan juga timbul apakah Mail akan mengekalkan konsep dan jumlah kabinet yang sama. Kabinet bersaiz “LL” dengan membentuk hingga lebih 30 kementerian seperti di era PN, atau pun beliau akan perkecilkan saiz itu menjadi “L” sahaja? Saiz kabinet itu kelak juga menentukan kewibawaan Mail sebagai perdana menteri.

Ada kemungkinan beliau akan membentuk kabinet yang sama saiz dengan kabinet Mahiaddin sebelum ini bukan keperluan untuk negara, tetapi menyelamatkan dirinya. Politik scheme of thing diteruskan demi survive. Namun pun begitu, scheme of thing tetap juga tidak menyelamatkan Mahiaddin? Mail tidak perlu sangat bermain dengan scheme of thing itu kerana ia tidak menjamin kekukuhannya.  

Dalam catatan ini mari kita cuba analisa masalah dan apa yang dihadapi Mail dalam pembentukan kabinetnya nanti. Sejauh mana kabinet dibentuk nanti atas konsensus sesama Umno dengan PPBM. Apakah ia wujud sebuah kabinet “kekeluargaan” atau pun kabinet yang sakit, kabinet yang indah di luar buruk di dalam, kabinet yang pepet di luar runcing di dalam?

Untuk mengetahui siapakah berkuasa dalam menentukan anggota kabinet itu nanti dapat melihat kepada individu yang menganggotainya kelak. Individu yang dilantik jadi menteri akan menggambarkan mereka atas kehendak dan persetujuan siapa. Dari situ kita dapat mengetahui pemerannya.

Nama kerajaan yang hendak diwujud kini sudah timbul perbalahan. PPBM mahukan kerajaan pimpinan Mail itu sebagai kerajaan PN, meneruskan legasi kerajaan Mahiaddin. Manakala Umno mahu dikenali dengan nama kerajaan BN, untuk menampakkan bahawa Umno kembali berkuasa semula selepas kehilangan kerajaan selama 39 bulan.

Biarlah soal nama itu soal teknikal sahaja.

Ada sekurang-kurang empat atau lima nama yang menjadi kunci atau indikator untuk kita mengenali peranan masing-masing ke atas kabinet itu. Nama-nama itu ialah Annuar Musa, Mustapa Mohamed, Mohamed Azmin Ali, Mohamad Hassan, Hamzah Zainuddin. Apakah nama-nama ini akan wujud dalam barisan kabinet nanti. Nama-nama ini ada signifikan tersendiri. 

Sekiranya Annuar Musa dilantik menjadi menteri kabinet jelas ianya atas kehendak Mail. Ertinya Mail menggunakan kuasa untuk melantik Annuar Musa tanpa boleh ditangkis sesiapa. Ia tidak mungkin atas persetujuan presiden Zahid Hamidi, kerana Annuar menjadi duri dalam daging kepadanya. Dari konteks Umno Annuar tidak diperlukan lagi. 

Pelantikan Annuar Musa nanti akan membawa kepada pelantikan nama-nama lain juga seperti Tajuddin Abdul Rahman, Shahidan Kassim, Mahadzir Khalid dan Ismail Mohamad Said. Mereka juga mungkin akan disenaraikan sebagai menteri. Orang-orang ini merupakan individu yang mempertahankan dan mendokong Mail Sabri untuk jadi perdana menteri. Bahkan inilah orang yang menginding naik jet bersama Mail ke Kedah.

Mail sudah tentu mahukan mereka yang setia bersamanya untuk menjadi tongkat semasa meniti titian nanti. Apakah Mail tidak berhasrat untuk menjadi presiden Umno selepas menjadi perdana menteri? Justeru pembentukan kabinet itu sedikit sebanyak sebagai persiapan untuk digunakan dalam pemilihan Umno kelak. 

Zahid selaku presiden akan menolak Annuar Musa.  Jadi Annuar tidak perlu dibawa ke dalam kabinet. Apakah pandangan Zahid diterima dalam membentuk kabinet itu juga dapat dilihat sekiranya nama-nama berikut disenaraikan dalam kabinet, Mohamad Hassan, Shamsul Annuar Nasarah, Noraini Ahmad, Noh Omar, Azalina Othman Said dan Ahmad Jazlan Yaakob. Mereka adalah yang berdiri teguh di belakang presiden. Merekalah pemancu kejatuhan Mahiaddin membolehkan Mail jadi PM. 

Sementara apakah Mail tunduk kepada permintaan Mahiaddin atau tidak dapat ditentukan sekiranya diwujudkan jawatan timbalan perdana menteri dan dilantik wakil dari PPBM memenuhinya. Jawatan TPM adalah kemuncak kepada tuntutan PBBM bagi menunjukkan kekuasaanya. 

Tanpa mengira siapa yang akan dilantik nanti, yang penting ia datang daripada PPBM. Sekiranya jawatan itu diisi oleh Azmin Ali, maka siaplah Umno untuk terus bergomol dengan PPBM dalam pilihan raya akan datang. Umno perlu takut dengan Azmin memandangkan cara dia berpolitik sangat licit dan mempunyai nafsu yang besar. 

Mail tidak boleh mengabaikan tuntutan daripada PBBM kerana ia boleh membahayakan kedudukannya. Kalau PBBM buat gila, Mail boleh jatuh beleping. Walaupun dalam senario kini peluang atau kemungkinan PBBM menarik sokongan kecil tetapi kemungkinan itu perlu ada dalam kepala dan berwaspada kerana politik itu penuh dengan seni serba mungkin. 

Nyawa Mail sebagai perdana menteri berada dalam dua genggaman, Umno dan PPBM. 

Seorang lagi individu yang boleh dijadikan indikator adalah Mustapa Mohamed, yang sudah dipasti akan dikemukakan semula oleh PBBM untuk berada dalam barisan kabinet berdasarkan pengalaman dan kebolehannya. 

Umno sangat tidak senang dengan Mustapa ini, tetapi ia tidak dapat menolaknya kerana ia dicadang oleh PBBM. Penerimaan Mustapa nanti menunjukkan Mahiaddin masih berkuasa dalam membentuk kabinet itu.

Kesimpulannya, apakah pembentukan kabinet yang boleh dinamakan kabinet Kekeluargaan nanti dibuat mengikut suasana disebut tadi atau sebaliknya. Ia boleh diperhatikan setelah kabinet itu diumumkan nanti. Kita akan sorot selepas nama-nama itu diumum kelak. 

Sekurang-kurangnya bentuk dan semangat kabinet Mail nanti adalah gabungan daripada aspirasi, naluri dan nafsu tiga kepala. Ia boleh berjalan dengan baik dan sukses kalau semua sudah insaf dan meletakkan kepentingan rakyat dan negara daripada kepentingan kelompok dan peribadi. [wm.kl.9:32 am 25/08/2021]

 

No comments:

Post a Comment