Friday, August 13, 2021

Kemelut negara tanggungjawab semua

RENCANA KHAS

APA yang sedang dialami oleh negara dan ditanggung oleh rakyat ketika ini sesuatu yang sungguh
memeritkan. Apa yang sedang melanda dan menimpa negara dan rakyat bukan kecil, ia sangat besar dan bahaya. Kalau ia boleh disebut “krisis” dan “bencana”, ia bukan krisis kecil dan bencana terpencil, tetapi ia membabitkan kehilangan maruah, kehilangan integriti dan kehilangan jiwa dan kehilangan segala-galanya. Sesungguhnya ia musibah besar.

Yang maut kerana pandemik sehingga saat tulisan ini diperbuat (12/8/21) sudah cecah 11,691. Manakala jumlah kes keseluruhan sebanyak 1,342,215. Belum ada tanda-tanda pandemik ini akan reda. Semua orang berada dalam ayunan ketakutan dan cemas. Maut seperti bola laju menggolek ke arah kita semua.

Pandemik ini adalah bencana yang menimpa seluruh dunia. Tetapi bukan kerana ia merupakan bencana sejagat maka kita perlu berselindung di sebaliknya menerima seadanya tanpa memikirkan kesilapan, kesalahan dan kegagalan kita menanganinya. Kita perlu meletakkan semua itu di bahu kita jangan mengatakan ia adalah takdir semata-mata.

Walaupun kita kena menerima takdir Tuhan itu tetapi kita harus menggali punca dan sebabnya. Kita kena insaf bahawa sesuatu bala atau bencana itu bukan diturunkan sebegitu sahaja, tetapi ia ada sebab musababnya. Tuhan tidak pernah kejam ke atas hamba-Nya. Ada hikmah yang perlu dikorek sedalam-dalamnya. Seperti, kenapa pandemik ini lambat untuk berlalu dari negara kita, bahkan menjadi negara yang mencatat sejarah pula dari sudut-sudut tertentu, contohnya bilangan kematian harian antara 200 – 300 adalah tertinggi di dunia.

Pihak berkuasa telah melakukan apa sahaja untuk mencegahnya. Semua pakar dalam bidang berkaitan dikerah dan berfikir bagi mengatasinya. Berbagai pelan, program bagi mencegah dan membantu rakyat terkesan dengan pandemik juga dilakukan, namun ia tetap juga tidak mahu berubah. Jumlah kes kian meningkat. Covid kian mengganas. Kehidupan rakyat semakin tersempit dan sengsara. Kejadian mereka yang mengambil jalan singkat membunuh diri dilaporkan setiap hari.

Perebutan kuasa.

Sesuatu yang malang angkara pandemik, menjadi malang lagi apabila berlaku perebutan kuasa. Perebutan kuasa oleh orang yang tamak dan gila kuasa telah menambahkan beban itu. Perkara tidak sepatut berlaku dalam situasi hari ini, tetapi itulah yang sedang berlaku. Inilah kemalangan Malaysia.

Hari ini Malaysia diuruskan oleh sebuah kerajaan yang tidak kukuh dan terus dipertikaikan. Mahiaddin Md. Yassin yang jadi perdana menteri diletakkan sebagai penanggung-jawabnya. Mahiaddin adalah kemuncak kepada segala masalah? Itulah persepsi hari ini. Tetapi tidak adil kalau semuanya di halakan kepadanya.

Hari ini Mahiaddin yang teruk dicemuh, dimaki diserang siang malam. Di mana-mana sahaja beliau diserang di alam nyata maupun di alam maya. Bahkan dalam mimpi pun beliau dipersalahkan. Bukalah media sosial, separuh daripada bahannya memperkatakan tentang kelemahan dan kegagalan Mahiaddin Md Yassin menangani Covid. Orang jadi bingung dengan kedegilannya terus bertahan.

Beliau didesak letak jawatan, seolah-olah kalau beliau berundur semua masalah selesai. Namun kedegilan menjadi beliau disumpah seranah. Walaupun beliau sudah sahih hilang sokongan, tetapi masih berikhtiar untuk terus menjadi perdana menteri. Inilah kegilaan dan ketamakan kuasa. Beliau dilihat sudah tidak ada hati perut lagi. Mahiaddin seakan sudah lupus perasaan kemanusiaan?

Seperti dinyatakan segala kemelut dan nasib Negara ini bukan menjadi tanggung-jawab beliau seorang. Adalah tidak adil kalau meletakkan kesalahan itu kepada seorang individu sahaja. Tepuk tangan sebelah tidak akan berbunyi. Sebaliknya semua orang perlu bertanggungjawab kerana masing-masing ada saham tersendiri atas apa yang sedang berlaku dan menimpa negara kini. Kehilangan lebih 11,000 nyawa itu kita tangisi dan kesal, kekesalannya perlu di balikkan kepada diri kita semua.

Semua yang berlaku ini, kerosakkan kerajaan yang teruk menyebabkan pandemik yang tiba-tiba datang memburukkan keadaan disebabkan kita semua. Ia di keranakan oleh mereka yang gilakan dan tamakkan kuasa. Pandemik cepat merebak dan subur kerana nafsu dan amarah itu. Nafsu amarah dan ketamakan dan kerakusan menjadi pupuk kepada Coronavirus di negara ini.

Kerajaan yang lemah.

Suatu hakikat perlu diterima semua, kegagalan kita menangani Covid sepenuhnya adalah kerana keadaan kerajaan yang lemah. Segala usaha dilakukan kerajaan tidak mendapat sokongan sepenuhnya oleh rakyat. Ahli politik pula sengaja memainkan isu ini mengambil kesempatan. Kesan daripada itu maka berlaku apa yang berlaku kini.

Kenapa kerajaan hari ini lemah dan tidak disokong rakyat. Ia juga ada sebab-sebabnya yang telah kita sedia maklum. Kerajaan hari ini lemah kerana ia bukan kerajaan rakyat. Kerajaan PN ini dibentuk daripada hasil sebuah perompakan dan pencurian pada 25 Februari 2020. Para perompaknya yang menguruskan dan takbir kerajaan hari ini. Atas sifat perompak, perbuatan keji dan jahat maka sukarlah untuk rakyat menerima apa jua daripada mereka hatta kebaikan. Ketuanya ialah Mahiaddin.

Di sini yang perlu juga kita analisa kenapa berlaku rompakan dan kenapa kerajaan PH dahulu mudah runtuh dan hilang untuk mencari justifikasi atas apa yang berlaku. Ia juga kerana ada pengkhianatan. Pengkhianatan yang berangkaian telah berlalu dalam negara ini sejak awal tahun 2020.

Kerajaan itu jatuh apabila ada pengkhianatan dari dua pihak. Pihak yang khianat dan pihak yang dikhianati. Ia mudah jatuh apabila Dr Mahathir Mohamad melepaskan jawatan sebagai perdana menteri. Peletakan jawatan tanpa dirunding itu membuka pintu kepada pencuri untuk masuk ke dalam rumah. Perbuatan itu dikira khianat. Beliau meletak jawatan tanpa berunding dan mengikut prosedur sepatutnya, tanpa mematuhi semangat ko-operasi. Kerana enggan menyerahkan jawatan kepada Anwar Ibrahim maka beliau mengambil tindakan itu secara bersendirian.

Tindakan itu beliau dianggap pengkhianat. Namun di sebalik kenapa Mahathir berbuat begitu juga perlu dilihat sama agar ianya adil dan saksama. Di sebalik pengkhianatan Mahathir itu ada pengkhianatan lain yang terancang. Dalam kata lain beliau menjadi khianat kerana dikhianati. Di sinilah bermulanya pengkhianatan berangkaian sehingga menjatuhkan kerajaan rakyat.

Golongan yang tidak sabar menanti peralihan kuasa daripada Mahathir kepada Anwar telah membuat asakkan agar Mahathir segera berhenti. Mahathir diasak agar serahkan kuasa sebelum sampai edahnya, bulan November selepas APEC seperti mana dijanjikan. Asakan itu memberi peluang dan ruang kepada pengkhianat lain yang bertindak lebih jauh dan mengambil kesempatan untuk kepentingan mereka, dimana mereka bermuafakat secara diam untuk melakukan pengkhianatan lebih “kurba.” Natijahnya terjawab pada 25 Februari 2020.

Para pengkhianat yang melakukan kudeta itulah, adalah Mahiaddin, Ahmad Zahid Hamidi dan Abdul Hadi Awang. Mereka yang mengetuai parti Umno dan Pas bermuafakat dengan PPBM. Mereka ini terbuka hati untuk sama-sama sekongkol apabila Mahiaddin diberikan idea untuk khianat melakukan kudeta.

Sementara yang memberi ilham untuk merampas kuasa adalah Mohamed Azmin Ali. Azmin yang merasakan beliau tidak selamat dan terancam dalam Keadilan mengambil langkah awal meninggalkan parti tersebut. Azmin berbuat demikian apabila niat jahatnya untuk menguasai Keadilan gagal. Beliau membawa bersamanya 10 orang ahli parlimen, termasuk Jaafar Kamaruddin. Inilah pengkhianatan menyebabkan Mahathir ikut jadi khianat, meletak jawatan dan berakhirnya dengan rampasan kuasa.

Anwar Ibrahim turut sama terbabit dalam rentetan adigan pengkhianatan ini. Beliau gagal membendung masalah dalam Keadilan, pertelingkahan dengan Azmin dan juga menasihat anak buahnya agar tidak mengasak Dr Mahathir. Dalam konteks ini Anwar dilihat sebagai seorang presiden yang naif dan gagal membaca tiupan taufan untuk menyelesaikan kemelut yang telah menghancurkan harapannya sendiri.

Dari rentetan dan senario itu nampak semua terbabit menghasilkan keadaan dialami negara ketika ini. Mungkin Zahid dan Hadi tidak dilihat vokal dengan pengkhianatan itu. Tetapi apabila mengubah tuntutan daripada membubarkan parlimen kepada sekongkol dengan "pengandar tahi" (Mahiaddin dan Azmin) maka mereka juga terpercik tahi sama. Zahid dan Abdul Hadi ikut bertanggungjawab atas apa yang berlaku kini. Tanpa sokongan Umno 35 kerusi dan Pas yang mempunyai 18 kerusi Mahiaddin tidak akan berjaya menubuhkan kerajaan.

Al hasilnya, apa ditanggung negara kita menjadi tanggungjawab mereka. Merekalah yang perlu dipersalahkan. Merekalah perlu dikecam. Rakyat tidak terbabit dan hanya menjadi mangsa yang malang.

Jangan tunding jari.

Justeru janganlah kita menuding jari kepada satu sama lain, sebaliknya tundinglah ke muka sendiri dan mengakulah kesilapan yang telah terjadi dan menganugerahkan kecelakaan buat kita semua. Pohonlah keampunan kepada Allah atas kekhilafan itu.

Atas sejarah yang berlaku dan kesan dihadapi kini, orang politik baik kerajaan pembangkang tidak dapat diyakini lagi kerana kotor dan jijik. Kerana sifat mereka yang mementingkan diri itu sanggup mengkhianati parti, menikam kawan dan melacurkan diri. Mereka seperti itu sudah gagal untuk menjadi penyelamat negara dalam keadaan runcing hari ini. Kepercayaan dan keyakinan kepada mereka juga terhakis. Sebab itu apa juga solusi yang mereka kemukakan diragui dan disambut dengan penuh kecurigaan oleh rakyat, dan hilang keberkatan sebab mereka semua khianat, jahat dan “cis celaka”.

Hanya apa yang boleh diharap kini kepada Yang di-Pertuan Agong saja sebagai ketua negara. Baginda sahaja yang boleh merungkaikan masalah yang ada dan menghentikan kemelut yang kian berkecamukan kini. Kini seluruh rakyat menanti pertimbangan dan budibicara Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara menggunakan budi bicara dan kebijaksanaanya.

Dalam pada itu ada dua kemungkinan yang boleh dipertimbangkan Agong, membubarkan parlimen, serahkan kuasa kepada rakyat, atau membentuk kerajaan baru dengan melantik seorang perdana menteri yang boleh dipercayai olehnya. Apabila Yang di-Pertuan Agong mengambil langkah dan tindakan itu, semua pihak dan seluruh rakyat kena menjunjung tinggi dan menghormatinya penuh kesetiaan. Jika tidak tunggulah bala lebih besar melanda kita semua. [wm.kl.11:51 am 13/08/2021]

No comments:

Post a Comment