Monday, November 8, 2021

Mencari signifikan Pirane Melaka

ULASAN PETANG

Tempat penamaan calon. Foto: Bernama.
TUMPUAN umum kini kepada pilihan raya negeri (Pirane) Melaka. Pirane Melaka kali ini adalah yang ke-15 sejak Merdeka. Ia berbeza dengan pilihan raya sebelum ini, yang selalunya diadakan serentak bersama pilihan raya umum kebangsaan. Jadi pilihan raya kali ini hanya membabitkan pemilihan wakil rakyat di 28 kerusi Dun sahaja, tidak termasuk kerusi parlimen. 

Hari ini adalah hari penamaan calon dan hari pengundian 20 November. Proses penamaan calon sudah pun selesai. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan seramai 112 calon yang bertanding dalam pilihan raya itu, di mana sebahagian besar kerusi berlaku pertandingan tiga penjuru antara komponen BN, PH dan PN. Walaupun ada penyertaan beberapa calon bebas dan parti lain, ia seperti tidak penting. 

Piliharanaya itu diadakan apabila Dewan Undangan Negeri (Dun) Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu. Pembubaran dibuat atas perkenan Yang diPertuan Melaka Mohd Ali Rustam setelah menerima nasihat bekas ketua menteri Sulaiman Md Ali

Sulaiman menasihat Ali Rustam agar membubarkan Dun Melaka bagi mengelakkan pembangkang (PH) menubuh kerajaan. Walaupun tindakan Ali itu dipertikaikan sampai dibawa ke mahkamah, (lusa akan diputuskan apakah pembubaran itu berperlembagaan atau tidak) namun pilihan raya diteruskan juga seperti mana kehendak perlembagaan. 

Ada mempersoalkan tindakan Ali itu tidak bijaksana dan motif politik? Boleh jadi Ali bersedia membubar Dun Melaka atas perkiraan ia akan menguntungkan BN dan memberi kemenangan kepada partinya, Umno. Ali Rustam adalah bekas ketua menteri Melaka di zaman BN.   

Kunci menyebabkan Dun Melaka dibubarkan dan pilihan raya baru diadakan, apabila empat orang Adun terdiri daripada dua wakil Umno, Idris Haron (Sungai Udang) bersama Nor Azman Hassan (Pulau Kundor) serta Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) dan Nor Effandi (Bersatu - Telok Mas) menarik diri daripada menyokong kerajaan BN. Dengan penarikan sokongan mereka itu menyebabkan BN hilang majoriti, tumbang.  

Sebelum BN membentuk kerajaannya, Melaka diperintah oleh PH yang mendapat mandat rakyat melalui Piraum ke-14. Apabila berlaku penarikan sokongan empat Adun itu PH bercadang untuk menubuh kerajaanya kembali. Bagaimana pun impian itu tidak sempat tercapai dihalang dengan pembubaran Dun. 

BN dahulu berjaya menumbangkan kerajaan PH apabila tiga Adun yang sebelum ini mewakili DAP (Norhizam Hassan Baktte), Keadilan (Muhammad Jailani Khamis - Rembia) dan Bersatu (Rafiq Naizamohidden (Paya Rumput) dan Nor Effandi Ahmad -(Telok Mas) menyeberang bersama BN. Dengan penyeberangan mereka itu BN bentuk kerajaan dengan kelebihan 17 suara. 

Pilihan raya unik. 

Pilihan raya Melaka kali ini sedikit unik dan agak asing bukan sahaja kerana ia tidak seperti selalunya, tetapi diadakan dalam norma baru waktu negara masih diancam pandemik Covid-19. Ramai yang tidak terfikir pilihan raya itu boleh diadakan. Mereka yang putih dengan politik tidak mengira SPR sedia mengadakan pilihan raya. 

Walaupun begitu apa yang tidak terfikir itu, difikir oleh orang politik. Pilihan raya itu seperti sengaja diadakan untuk memberi peluang kepada Umno menunjukkan kekuatannya serta mengembalikan semula kerajaan yang hilang dan sekaligus menghalang PH membentuk kerajaannya semula. Ada munasabahnya kalau pilihan raya itu disengaja diadakan memandangkan ada hubungan sentimental antara TYT dengan Umno.

Disebabkan keadaan pandemik masih belum reda, menyebabkan timbul persoalan apakah pilihan raya itu akan mendapat perhatian pengundi atau tidak?  Ada kemungkinan pengundi bimbang untuk keluar mengambil bahagian memandangkan keadaan semasa, Covid belum habis. Peraturan dan SOP yang dikenakan sedikit sebanyak menyebabkan pengundi malas untuk keluar mengundi.

Apa yang berlaku di Sabah dahulu boleh menghantui mereka. Sewaktu negeri di bawah Bayu itu mengadakan Piranenya menyebabkan berlaku penularan Covid yang dahsyat. Kejadian itu turut disinggung sama oleh negara luar, di mana pihak di Singapura mencatatkan penularan Covid di Malaysia gara-gara Pirane Sabah itu. 

Walaupun ada SOP ketat sepanjang pilihan raya itu, tetapi tidak dapat dijamin ia mampu membendung wabak berkenaan yang sukar untuk dihapuskan. Justeru timbul persoalan oleh sesetengah pihak apakah Pirane itu akan menerima kesan tersendiri, seperti kurangnya peratus keluar mengundi. Sekiranya peratus keluar mengundi ia akan  memberi kesan tidak langsung kepada mana-mana kumpulan (parti) mengambil bahagian.

Kebiasaannya dalam pilihan raya kecil sekiranya peratus mengundi kecil ia tidak akan memberi kebaikan buat pembangkang.  Dan sekiranya peratus keluar mengundi rendah bolehlah dianggap pilihan raya itu tidak memuaskan.

Pirane Melaka itu mempunyai beberapa signifikan dan ada implikasi tersendiri kepada berbagai pihak. Ia juga akan merumuskan beberapa perkara baru yang mungkin boleh diguna pakai untuk pilihan raya yang akan datang sebagai panduan. Situasi ini menjadikan pilihan raya itu sebagai medan untuk melihat sesuatu yang baharu dalam sistem politik demokrasi negara ini. 

Pertama, ia akan menjadi indikator kepada Piraum akan datang. Keputusan pilihan raya itu nanti akan dijadikan pedoman dan formula kepada parti-parti politik terbabit. Dalam pilihan raya itu berlaku pertanding tiga penjuru BN, PH dan PN. Keputusan dengan percubaan pembentukan tiga gabungan itu akan dibawa ke Piraum akan datang. 

Justeru pilihan raya itu akan memberi jawaban secara langsung kepada Umno dan Pas yang sebelum ini beriya-iya untuk bekerjasama, berakhir dengan berlawan antara satu sama lain. Pas telah meletakkan tujuh calonnya sebagai menentang calon BN. Tindakan itu menjadikan Muafakat Nasional yang digagaskan demikian rupa tidak berjaya. Pas memilih untuk bersama Bersatu menerusi PN walaupun dalam masa sama mengakui mempertahankan BN. 

Tidak sah lagi sekiranya PN berhasil memenang beberapa kerusi dalam Pirane itu, walaupun tanpa dapat membentuk kerajaan kemungkinan Pas akan kekal bersama Bersatu dan tidak dengan Umno. 

Sebaliknya kalau BN berjaya membentuk kerajaan, Pas tidak akan malu-malu untuk berpaling semula dengan Umno dengan memetik pelbagai hadith dan ayat-ayat Quran untuk menjustifikasi tindakan rujuknya. Jangan pelik dan harian dengan politik klu klik Pas. Soalnya BN akan terima atau tidak tidak dapat dipastikan. Tetapi yang nyata Pas boleh melakukan dan bertindak demikian kerana ia mengamalkan politik "tidak tahu malu?"

Sebaliknya sekiranya Pirane Melaka itu dimenangi PH dan dapat membentuk kerajaan, mungkin BN, PN atas usaha Pas akan membawa mereka ke titik temu semula untuk menghadapi PH dalam pilihan raya umum akan datang. Kemenangan PH memberi rahmat buat mereka. 

Bagi PH pula kemenangan itu menjadi tanda jelas bahawa rakyat bersedia memberi peluang kepada mereka untuk memimpin Malaysia. Kemenangan kepada PH juga memberi semangat kepada mereka untuk terus bersolidariti bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15. Kemenangan itu juga tanpa ada wave dan pengaruh Dr Mahathir Mohamad seperti Piraum ke-14 dulu menunjukkan yang PH sebenarnya mempunyai pengaruh yang mencukupi.

Kedua, disebabkan pilihan raya ini dijalankan dengan peraturan khas (SOP) bagi mencegah Covid, maka tidak ada kempen terbuka, baik himpunan atau rumah ke rumah seperti biasa. Sekatan ini secara tidak langsung boleh membendung pemberian rasuah politik, wang dan barang keperluan. Ini satu langkah positif. Kempen dibenarkan hanya boleh dilakukan menerusi media sosial semata-mata. 

Bagaimana pun sekatan ini tidak memberi kesan baik kepada pembangkang kerana mereka sudah pasti tidak dapat menggunakan media kerajaan seperti mana diberikan kepada parti-parti kerajaan, BN dan PN. Parti kerajaan pasti akan mendapat liputan dan ruang yang luas daripada alat propaganda kerajaan itu. 

Bagaimana pun dalam hal ini peluang itu tidak begitu kondusif buat BN dan PH kerana mereka bertanding antara satu sama lain ini menyebabkan media kerajaan kekok untuk melayan pihak mana. Inilah pula kebaikan buat pembangkang apabila PN dan BN tidak bersama.

Ketiga, beberapa signifikan lain akan terhasil daripada pilihan raya itu, sekiranya peratus mengundi turun sehingga kurang 60%. Jika itu berlaku mungkin kerana masalah Covid atau kerana ada protes daripada pengundi khususnya pengundi muda dan golongan cerdik pandai yang sudah bosan dengan politik tidak bermoral berlaku hari ini. 

Fenomena itu pasti akan terbawa ke dalam pilihan raya akan datang. Keadaan ini memberi petanda buruk kepada sistem demokrasi negara ini di masa akan datang. Mungkin ketika itu nanti, generasi muda akan mula membentuk dan membawa gerakan politik mereka sendiri dan perlahan-lahan akan hilang kepercayaan kepada parti-parti lama dan cara otai bermain politik. Atau pun mereka mulai keliru dan tidak berminat untuk menyertai parti politik. [wm.kl.6:16 pm 08/11/2021]


No comments:

Post a Comment