Thursday, December 16, 2021

Pirane Sarawak formaliti beri kemenangan percuma buat GPS

SESUDAH SUBUH

LUSA (18 Disember 2021) merupakan hari mengundi untuk pilihan raya negeri (Pirane) Sarawak. Pengundian awal telah berlangsung semalam. Dalam pilihan raya kali ini seramai 1,252,014 pemilih berpeluang untuk membuat pilihan ke atas 349 calon. 

Seperti lazimnya perlawanan dalam pilihan raya di Sarawak, membabitkan pertandingan lebih daripada dua penjuru. Keadaan ini menyebabkan pilihan raya di negeri Kenyalang itu sebuah pesta setiap lima tahun sekali. 

Selepas proses penamaan calon dijalankan, mengarcakan berlaku pertandingan tujuh penjuru ditujuh kawasan atau Dun. Lima penjuru di 24 kawasan, empat penjuru di 33 Dun, tiga penjuru di 13 Dun dan satu lwan satu hanya di empat Dun. 

Manakala antara parti-parti yang mengambil bahagian adalah GPS terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu (PBS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) yang merupakan kerajaan sebelum ini, DAP, Keadilan, Amanah dan Pas. PBBM atau Bersatu dan Umno atau BN tidak meletakkan calon. 

Parti-parti PBB, PBS dan PDP bertanding atas satu nama dan gabungan GPS manakala Dap, Keadilan dan Amanah walaupun memiliki gabungan bernama PH, tetapi bertanding atas lambang masing-masing. Ketiga-tiga parti ini seperti sedang mempersiapkan diri untuk melempar PH?

Tidak ketahui ke manakah lenyapnya kehebatan Umno dan adik tirinya Bersatu kerana tidak berani meletakkan walaupun sekerat calon. Dalam soal ini Parti Amanah Negara yang bersikap berlagak mahu jadi gajah lebih berani berbanding dengan Umno dan Bersatu. Hatta dengan abang tirinya sendiri Pas, yang meletakkan calon dihanya satu kerusi sahaja. 

Tindakan Pas itu serba salah dan membazirkan masa sahaja. Ada baiknya kalau ia berpakat dengan Amanah dan bertanding secara berpasukan dengan mengambil semangat asal dari rahim ibu dan sperma bapak yang sama. 

Amanah telah memberanikan diri untuk menjadi gajah meletakkan calon di lapan kerusi, kurang empat kerusi berbanding dalam pilihan raya sebelum ini yang dibuat kononnya untuk memperkenalkan parti dan lambangnya, Aneh sesudah diperkenalkan parti itu bertanding kurang daripada sewaktu memperkenalkannya dulu. Apakah ini menunjukkan parti itu masih belum dikenali dan terkenal lagi?

Tidak diketahui apakah ukuran, jangkaan dan strategi dibuat oleh parti berlambang huruf "A" itu sehingga berani meletakkan calon dilapan kerusi? Apakah ia untuk menunjukkan parti itu mempunyai wang dan mampu membayar deposit berbanding dengan Pas? 

Walhal kalau hendak dikira Pas yang kini jadi sesuku daripada kerajaan lebih dilihat mempunyai wang sepatutnya parti pimpinan Tok Dor itu bertanding di semua 82 kerusi. Mungkin wang deposit calon Amanah itu dibelanjkan menggunakan wang simpanan para pemimpinnya khasnya yang menjadi menteri kerana mereka katanya diberi pampasan ratusan ribu?

Atau pun Amanah telah mengambil alih fungsi dan tanggungjawab Pas selama ini yang bertanding atau menyertai pilihan raya walaupun tidak nampak bayang kemenangan, tetapi disertainya juga kerana mahu menjadikan pilihan raya sebagai platform berdakwah? Tetapi kalau itulah tujuannya dalam pilihan raya Sarawak ini fungsi itu sudah tidak lagi diamalkan Pas kerana bertandingan hanya satu kerusi sahaja.

Berbalik hakikat pilihan raya Sarawak itu, walaupun ia berlaku pertandingan disemua 82 kerusi dan disertai banyak parti termasuk parti pembangkang utama, Dap dan Keadilan, tetapi kemenangan seperti sudah pasti milik GPS. Ini kerana pilihan raya kali ini berbeza dan lain kaedahnya, baik dari segi semangat dan pelaksanaanya berbanding dengan pilihan raya sebelum ini.

Pilihan raya Sarawak iu diadakan selepas tamat darurat. Justeru begitu ia boleh dianggap sebagai pilihan raya dalam suasana darurat kerana beberapa peraturan dan kawalan ketat dikenakan atas alasan pandemik. Situasi itu sudah tentu memberi kelebihan kepada parti yang menjadi kerajaan kerana mereka boleh menggunakan apa sahaja ruang dan kemudahan kerajaan yang ada. Lantaran kelebihan itu diyakini GPS akan menang besar. 

Apa yang berlaku dalam Pirane Melaka beberapa minggu lepas yang mengejutkan bilamana BN menang dengan majoriti dua pertiga, akan berulang di Sarawak. Tanda-tanda itu sudah jelas bilamana, peraturan "beruk" dan "hantu" diperlakukan di Sarawak. Kempen secara terbuka tidak dibenarkan kepada pembangkang. Manakala para pemimpin parti Keadilan dan DAP disekat daripada memasuki Sarawak. Pilihan raya Sarawak diadakan dalam keadaan "renyuk tepok".

Dalam masa sama GPS bebas melakukan apa sahaja. Dengan menggunakan ketua-ketua kaum dan adat serta bebas mengguna peremis kerajaan seperti balai raya, masjid, surau dan sebagainya GPS bebas menggnunakan peremis itu untuk berkempen. Pasti juga akan ada rasuah pengundi, tetapi ia hanya boleh disebut sahaja tindakan tentu sekali tidak ada. SPRM seperti biasalah bila berhadapan dengan parti kerajaan?

Tindakan atau cara itu antara satu ketidak-adilan dalam seribu "kerenyukan" pilihan raya berkenaan. Dalam keadaan seperti itu macam mana parti pembangkang, baik DAP atau Keadilan atau Amanah untuk menang. 

Mungkin kerana sudah menyedari pilihan raya itu tidak adil dan ia tidak lebih dari mematuhi kehendak Perlembagaan dimana pilihan raya diadakan selepas tamat satu-satu tempoh atau penggal lima tahun, maka kemenangan seperti sudah menjadi milik GPS. 

Jadi pilihan raya itu hanya satu formaliti dan bukan hakikat pilihan raya sebenarnya. Mereka menyertai pilihan raya itu terutamanya pembangkang sengaja membiarkan diri mereka ditipu dan dianiaya hidup-hidup. Selagi bergantung kepada proses demokrasi seperti itu maka selama itu rakyat tidak mendapat haknya dengan penuh keadilan dan perjalanan kerajaan itu tidak murni. 

Pirane Sarawak itu bolehlah disifatkan suatu kaedah untuk memberi kemenangan percuma kepada GPS sahaja bagi meneruskan kekuasaan mereka di Sarawak. Dan bagi GPS atau mana-mana parti sekalipun mereka akan bersyukur 40 kali dan bersujud sahwi 105 kali apabila suasana atau keadaanya berpihak kepadanya walaupun ia dijijik dan comot. 

Pilihan raya atau demokrasi adalah satu penipuan yang dihalalkan dan diperlembagaakan di negara ini, merupakan satu permainan tradisi yang disukai oleh sebilangan rakyat. [wm.kl. 7:48 am 16/12/2021] 

Glossori:

Renyuk tepok = punah ranah, tidak sempurna, atau punah jahanam.'

No comments:

Post a Comment