Friday, April 15, 2022

Jika ikhlas berikan jawatan presiden bukan jaminan jadi PM kepada Ismail Sabri

SESUDAH SUBUH

Ismail Sabri perlu berhati-hati.
MESYUARAT MKT Umno semalam telah membuat empat ketetapan seperti mana diumumkan oleh
Setiausaha Agung Ahmad Maslan. Empat perkara itu; bersetuju untuk melantik Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri selepas Piraum ke-15 jika parti itu menang, kedua tidak akan melanjutkan MoU di antara kerajaan dengan PH, ketiga menggesa agar akta anti lompat diteruskan dan keempat mengadakan perhimpunan khas Umno untuk meminda pelembagaan bagi menentukan tempoh pemilihan. 

Daripada empat keputusan itu yang paling penting dan menarik, persetujuan MKT Umno untuk melantik Ismail Sabri jadi perdana menteri. Keputusan ini dilihat perubahan dan perkembangan positif yang berlaku dalam parti itu. Ia juga sebagai gencatan senjata di antara golongan yang bersetuju dengan yang tidak bersetuju Ismail Sabri terus menjadi PM. 

Dalam Umno kini ada dua kumpulan bertentangan, satu yang senang dan mahukan Ismail Sabri terus jadi PM, manakala yang satu lagi mahu menukar Ismail Sabri dengan individu lain, maksudnya selepas pilihan raya umum, Ismail Sabri tidak lagi jadi PM. Dalam hal ini ada gerakan dan usaha untuk mengangkat Zahid Hamidi atau Najib Razak sebagai PM. 

Cadangan ini bertolak daripada ekoran keadaan Umno dilihat bertambah baik dengan mengukur kepada dua pilihan raya negeri, Melaka dan Johor. Golongan yang mahu menobatkan Najib sekali lagi jadi PM golongan yang mahu mengambil kesempatan atas pemulihan Umno. Walaupun Najib telah dijatuhi hukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta tetapi mereka sedang berusaha untuk membebaskan Najibnya. 

Sebelum ini ada segelintir pimpinan parti itu yang digolongkan sebagai golongan kluster mahkamah tidak mahu Ismail Sabri terus jadi perdana menteri. Mereka mendesak Ismail Sabri segera membubarkan parlimen bagi membolehkan Piraum diadakan. Perhimpunan Agung Umno telah digunakan untuk mengambil resolusi itu.  

Bagaimana pun keputusan dibuat semalam yang mahu Ismail Sabri terus adi PM, sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada ahli parlimen Bera itu. Tetapi ia bukan sesuatu yang mutlak. Mungkin hanya untuk sepanjang Ramadhan sahaja? Ismail tidak boleh menelannya begitu sahaja seperti telah kurma basah, sebaliknya harus menelannya semacam menelan nasi panas, perlu berwaspada. Dalam politik boleh berlaku apa sahaja. 

Bak kata seorang ahli MKT Tajuddin Abdul Rahman, keputusan itu hanya dibincang oleh MKT tetapi ia tidak menggambarkan hakikat sebenarnya. Bagi Tajuddin penamaan Ismail Sabri sebagai PM itu hanya satu tektik sahaja. Rasa ragu Tajuddin itu adalah kebenaran dalam politik.

Benar, kerana beberapa kejadian sebelum ini menunjukkan bayang dalam politik itu tidak sama dengan objeknya. Ketentuan seseorang sebagai perdana itu hanya boleh dicadang, tetapi yang menentunya keadaan dan faktor lain yang menjelma kemudian. Bagi Umno apa berlaku di Johor adalah teladannya.

Umno menghebuhkan Hasni Mohamad sebagai MB Johor, tetapi yang angkat sumpah Onn Hafiz Ghazi. Ertinya yang menentu dan memuktamadkan adalah pihak lain. Adapun mengenai kes Ismail Sabri ini, beliau tidak akan menghadapi masalah seperti Hasni itu kalau ia benar-benar dicadangkan oleh parti dan dibuat dengan ikhlas. Tetapi masih ada hambatan lain. 

Apa yang Ismail Sabri kena ingat dan sedar beliau tidak presiden Umno dan merupakan pemimpin di barisan ketiga sebagai naib presiden. Ada dua lapisan lagi diatas, timbalan presiden dan presiden. Beliau bernasib baik ketika berlaku kekosongan jawatan PM dan Umno pandai merebut peluang, beliau adalah pemimpin lapis ketiga yang berstatus sebagai ahli parlimen. Kalau timbalan Mohamad Hassan juga seorang ahli parlimen, mungkin jawatan itu bukan untuknya, tetapi untuk Mohamad jika diambil kira dari segi snioriti dan amalan sebelum ini.  

Mohamad Hassan dilihat lebih berhak mengikut hierarki parti. 

Atas senario itu keputusan MKT bukan sesuatu yang boleh dipegang dan diterima Ismail Sabri dengan tenang. Ada kemungkinan kesediaan presiden yang mempunyai kuasa tertinggi dalam parti sedia bincang dan terima cadangan itu ada motif tersendiri. 

Sekiranya parti dan MKT benar-benar ikhlas dan jujur untuk menyerahkan jawatan kepada Ismail Sabri beliau perlu diberikan jawatan presiden. Dengan jawatan itu sahaja menjamin kedudukannya tidak akan tergugat dan digugat. Bahkan tindakan terbaik bagi Umno kalau Zahid dan pemimpin lain yang bermasalah mengambil tanggungjawab berundur secara terhormat, lebih afdal.

Dengan hanya setakat bersetuju untuk memberikan jawatan itu kepada Ismail Sabri ia mungkin hanya sebagai helah sahaja atau pun untuk mengambil hati dan memperdayakan rakyat agar menyokong Umno. Umno sendiri tahu dengan reputasi presidennya kini atau bekas presiden serta beberapa yang lain sangat buruk dan berbau busuk menjadi liabiliti kepada Umno. 

Keadaan itu menyebabkan Umno tidak dapat menjual mereka sebagai poster boy dalam pilihan raya kelak, maka pemimpin seperti Ismail Sabri yang dikira boleh menyakinkan rakyat. Dalam hal ini Ismail Sabri hanya dijadikan alat semata-mata untuk tujuan dan kepuasan nafsu yang lain. [wm.kl. 3:57 pm 15/04/2022] 

No comments:

Post a Comment