Friday, July 29, 2022

Akta lompat disokong sebahagian pengkhianat

ULASAN

Parlimen tempat gubal undang-undang
jangan pula undang-undang dilanggar.
SEMALAM (28 Julai 2022) parlimen Malaysia telah meluluskan rang undang-undang pindaan perlembagaan (No 3 2022) bagi membolehkan akta anti lompat parti digubal. RUU itu disokong oleh 209 suara, sementara 11 ahli parlimen tidak hadir. Sokongan itu melebihi daripada dua pertiga yang diperlukan untuk membolehkan sesuatu pindaan mengaitkan perlembagaan dilakukan. 

Apa yang berlaku itu menjadi satu catatan sejarah dalam ehwal politik kita. Sebagai rekod 11 orang ahli parlimen yang tidak hadir itu, antaranya Maszlee Malik (Simpang Rengam), Faizal Azumu (Tambun), M Saravanan (Tapah) - [mereka berada di luar negara kerana urusan kerja], Abdul Hadi Awang (Marang),  Wong Tack (Bentong), Teh Kok Lim (Taiping), Teh Kok Lim (Taipin), [yang menjalani kuarantin akibat Covid-19], Syed Abu Husin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Che Abdullah Mat Nawi (Tumpat) di Mekah, Arab Saudi, Mohammaddin Ketapi (Lahad Datu) dan Mordi Bimol (Mas Gading).

Kejayaan semalam memberi gambaran dan kerjasama baik sesama ahli parlimen dari kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang. Tampaknya hampir 90 peratus ahli parlimen dari 220orang anggota  menyatakan persetujuan mereka dengan akta berkenaan. Dan paling menarik ialah apabila sebahagian daripada 39 orang ahli parlimen yang tertakluk dengan akta itu turut mengundi menyokong RUU berkenaan. 

Rang Undang-Undang anti lompat parti digubal bagi mencegah ahli parlimen sewenang-wenangnya meninggalkan parti atau melompat kepada parti lain. Dengan berkuatkuasanya akta berkenaan mana-mana ahli parlimen tidak lagi boleh melompat parti untuk menyokong parti lain sesuka hati atas apa jua alasan dan sebab. Tindakan mereka itu menurut peruntukan RUU yang baru diluluskan itu mereka akan gugur jawatan sebagai ahli parlimen secara automatik. 

Mengulas kelulusan RUU tersebut dalam parlimen semalam, yang menariknya apabila ia turut sama disokong oleh ahli parlimen yang telah melakukan acara lompat parti sebelum ini. Sejak pilihan raya umum ke-14 lalu seramai 39 orang telah melakukan lompatan "khianat" itu. 

Daripada jumlah itu seramai 13 orang daripada Umno dan 11 orang daripada Keadilan. Mereka ini merupakan "kepala tahi" yang kemudian diikuti oleh beberapa yang lain. 

Sebenarnya sudah lama ahli politik pembangkang mengingini suatu akta yang boleh mencegah ahli parlimen atau Adun bertindak demikian. Bahkan Kelantan, Sabah dan Pulau Pinang sudah pun mewujudkan akta sedemikian diperingkat negeri masing-masing. Malangnya, kewujudan akta berkenaan tidak terpakai kerana ia bertentangan dengan perlembagaan di bawah Perkara 10. Undang-undang bermaksud sama yang digubal Pulau Pinang kini berada dimahkamah untuk disah atau pun dibatal. 

Keperluan akta berkenaan bertujuan mengawal ahli parlimen semakin terdesak dan kritikal apabila selepas Piraum ke-14, lompat atau perbuatan mengkhianati parti ini menjadi satu acara pula dalam politik negara ini. Kesan besar daripada tindakan tidak bermoral itu menyebabkan jatuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Kerajaan PH yang dibentuk hasil gabungan PH (Keadilan, DAP dan Amanah) dengan Bersatu dan Warisan dari Sabah selepas pilihan raya 2018. Kejayaan membentuk kerajaan itu adalah pertama kali dalam sejarah politik negara, menjatuhkan kerajaan UBN yang telah menguasai sejak lebih 60 tahun lalu atau setelah 13 kali Piraum. 

Bagaimana pun kerana berlaku pengkhianatan, kerajaan PH yang dipimpin Dr Mahathir Mohamad, sebagai perdana menteri hanya bertahan 22 bulan sahaja. Ia tumbang dan hancur apabila berlaku acara lompat parti secara berpasukan. Kejatuhan kerajaan PH itu bukan sahaja menyebabkan ahli parlimen PH yang baru merasa keempukan kerusi menteri "meroyan", tetapi rakyat yang memberi mandat kepada PH juga terkilan dan sedih. 

Sekumpulan ahli parlimen Keadilan melompat parti untuk bergabung bersama Bersatu yang telah pun menerima kemasukan (lompatan) daripada ahli Parlimen Umno untuk menganyang Dr Mahathir yang akhirnya membawa kepada peletakan jawatabn PM oleh Dr Mahathir.

Ekoran tindakan Dr Mahathir yang dibuat tanpa berunding dengan Majlis Presiden PH, yang mana tindakan itu sebagai tidak menghormati PH atau cuba memungkir janjinya untuk melepaskan jawatan itu selepas dua tahun kepada Anwar Ibrahim, timbul keadaan kritikal apabila Dr Mahathir yang berhasrat untuk terus jadi PM dibawah kerajaan baru (unity government) tidak berlaku. 

Ketika ini diambil kesempatan oleh Mahiaddin Yassin yang menjadi presiden Bersatu dengan bersekongkol dengan Azmin Ali yang merupakan timbalan presiden Keadilan, kemudian berkolaborasi pula dengan Umno dan Pas bagi menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN). 

Kejayaan atau proses pembentukan kerajaan PN itu adalah natijah atau implikasi wujud daripada acara keji lompat parti itu. Dalam erti kata lain penbentukan kerajaan PN, yang kemudian disambung dengan kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob kini, bukan dari hasrat suci dan kerelaan (mandat) rakyat, tetapi melalui satu tindakan politik yang sangat tidak bermoral. 

Sebenarnya, acara lompat parti ini bermula awal-awal lagi selepas UBN gagal menubuhkan kerajaan apabila 13 orang ahli parlimen Umno meninggalkan parti mereka untuk bersama kerajaan. Mereka dikatakan bertindak demikian kerana untuk mengelakkan mereka diambil tindakan undang-undang (mahkamah) atas beberapa kesalahan mereka semasa dalam Umno dahulu. Tindakan mereka menyertai parti kerajaan (Bersatu) itu untuk menyelamatkan nyawa. 

Mereka ialah; Hamzah Zainuddin (Larut), Mustapa Mohamed (Jeli) Ikhma Isham Aziz (Tanah Merah), Rosol Wahid (Ulu Terengganu), Shahbuddin Yahya (Tasek Gelugur), Nur Azmi Ghazali (Bagan Serai), Mohd Faslah Mohd Fakeh (Sabak Bernam) Mas Ermiyati Shamsuddin (Masjid Tanah), Dr Abdul Latif Ahmad (Mersing), Abdul Rahim Bakri (Kudat), Azizah Mohd Dom (Sepitang), Ronald Kiandee (Beluran) dan Zakaria Idris (Libaran).

Tindakan 13 orang ahli parlimen ini benar-benar menimbulkan kemarahan dan dendam tidak sudah dari pihak Umno. Mereka menyifatkan 13 orang ahli parlimen mereka itu sebagai pengkhianat, tidak ada prinsip dan menjual diri dan parti. 

Sementara kumpulan daripada Keadilan 11 anggota itu ialah: Zuraida Kamaruddin (Ampang), Jaafar Kamaruddin (Bandar Tun Razak), Mansor Othman (NIbong Tebal), Abdul Rahshid Hasnon (Batu Bapat) Saifuddin Abdullah (Indra Mahkota), Dr Zantara Kumar (Segamat), Ali Biju (Seratuk), Baru Bian (Selangau), Willie Mongin (Puncak Borneo), Jonathan Yassin (Ranau) dan Azmin Ali (Gombak). 

Kumpulan 13 dan 11 orang daripada Umno dan Keadilan inilah merupakan printis tindakan lompat parti selepas Piraum ke-15 secara tidak langsung menjadi pendorong semangat untuk mewujudkan akta anti lompat. Tindakan mereka itu juga kemudian diikuti oleh 15 orang wakil rakyat atau parlimen dari pada parti -parti lain dan juga bebas.

Kerana mengenangkan apa yang berlaku itu sesuatu yang sangat buruk dalam kubang politik negara, maka keinginan dan desakan untuk menggubal undang-undang lompat parti semakin serius. Semua parti politik merasakan akta berkenaan sudah sangat perlu digubal bagi mengelakkan kemalangan-kemalangan seperti sebelum ini tidak akan berulang.

Boleh dikatakan disini, undang-undang yang dilulus semalam turut sama diasak dan dibantu dengan baik oleh Umno apabila parti yang menjadi kerajaan sebelum ini sudah terkena dan merasai keperitan akibat pengkhianatan seperti itu sangat menyakitkan hati mereka. Mungkin kalau 13 orang anggota parlimennya tidak melompat dan khianat, parti kebangsaan sekular itu masih berkeras tidak memperdulikan desakan pembangkang itu. Biasalah dalam hidup ini selepas diri sakit baharu kita dapat membayangkan penderitaan orang lain.  

Dari sisi lain dengan wujudnya akta berkenaan ia bakal menamatkan satu keadaan politik "cacamerba" dan "ketahuan-halatuju" dan huduh dalam negara ini.  Apa lagi akta menghalang tindakan lompat parti itu sangat signifikan untuk pilihan raya akan datang. Dalam Piraum ke-15 nanti, keadaan politik Malaysia makin gawat dan cemas lagi kerana melihat kepada perkembangan dan situasi hari ini. Diramalkan tidak akan ada mana-mana parti baik besendirian atau gabungan akan mendapat suara mencukupi untuk menubuhkan kerajaan. Situasi dan kondisi politik kini akan kekal sehingga Piraum akan datang. 

Umno dan BN (UBN) yang sebelum ini sering menang selesa dalam beberapa pilihan raya lalu dan dengan mudah mendapat simple majoriti, kali ini tidak gampang untuk mengulangi kejayaan itu lagi. Sejarah kehebatan mereka telah ditelan zaman. 

Kerana kekuatan itulah menyebabkan UBN tidak pernah terfikir dan terpanggil untuk menggubal akta anti lompat semasa mereka berkuasa dahulu. Disinilah mungkin hikmahnya kekalahan UBN tempoh hari yang memungkinkan (telah) melahirkan akta anti lompat itu. Apakah sesuatu akta besar dan penting itu akan wujud selepas berlakunya sesuatu peristiwa menyayatkan hati? Begitulah nampak gayanya kerana bangsa kita amat naif dalam merenung masa depan. 

Dari sisi lain, dengan tergubal dan lulusnya undang-undang berkenaan yang juga ikut disokong oleh mereka yang disifat khianat menyerlah demikian seni atau kotornya politik negara ini. Mereka yang menjadi faktor agar undang-undang itu digubal kemudian menyokong, bolehlah dianalogi mereka persis pencuri yang menyokong undang-undang untuk menghukum mereka sendiri. 

Mungkin ramai terlupa di sebalik 209 suara menyokong akta anti lompat semalam terdapat 39 orang ahli parlimen yang telah melakukan lompatan pengkhianatan setengah daripadanya kini sedang menerima habuan yang tidak diizinkan rakyat. Mereka berkeadaan macam patong berperut buncit yang sedang tidur.  

Secara jujur kepada 39 orang yang turut mengundi akta itu semalam mereka perlu mengambil tanggungjawab dan menjadi pemula kepada pelaksanaan akta berkenaan. Mereka seharusnya insaf dan dengan penuh kesedaran perlu melepaskan jawatan yang mereka sandang kini. Kosong kerusi anda. 

Kalau mereka tetap babil dan tidak berasa apa-apa malu atau terkesan dengan akta berkenaan, ini bermakna akta digubal semalam tidak dapat menjamin akan menginsafkan orang politik daripada terus melakukan pengkhianatan demi mengisi tembolok huduh mereka. Akta berkenaan mungkin boleh menahan wakil rakyat dari segi fizikal tetapi tidak dari segi moral dan semangatnya.  

Apapun dengan wujudnya akta berkenaan, sedikit sebanyak politik Malaysia diharap tidak akan bergelumang dengan kekotoran yang sehinggakan boleh menjadikan demokrasi kita seperti dilumur najis. Elaklah kita semua termasuk dalam kubang dan menjadi kerbau. [wm.kl. 8:01am 29/07/2022]

No comments:

Post a Comment