ULASAN MALAM
Gambar ini menunjukkan Zahid yang beriya bukan Ismail Sabri. |
Peranan Menteri Ismail Sabri Yakob telah pun menghadap Yang di-Pertuan Agong petang tadi. Walaupun pertemuan Ismail Sabri dengan Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah itu adalah rutin sebelum mesyuarat kabinet, tetapi ia diharap Ismail Sabri akan mengemukakan permohonan untuk membubarkan parlimen.
Ismail Sabri telah pun menerima arahan bersifat tekanan daripada partinya. Pertemuan terakhir beliau dengan ketua-ketua bahagian, pemuda, wanita dan puteri di PWTC dua hari lalu yang diaturkan oleh Zahid Hamidi dan top four, adalah tekanan terakhir buat ahli parlimen Bera itu agar bubar parlimen. Mereka melihat Ismail Sabri seperti main-main atau liat dengan arahan mereka.
Zahid Hamidi dilihat terdesak untuk melihat parlimen dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya diadakan. Zahid berangan-angan kalau pilihan raya diadakan UBN akan menang. Kemenangan UBN nanti dikira memberi untung kepadanya. Zahid kini sedang berhadapan dengan pendakwaan di mahkamah, sekiranya UBN menang beliau dirasakan berpeluang menggunakan kuasa sebagai kerajaan untuk menyelamatkan dirinya.
Apa berlaku dan menimpa terhadap bossnya, Najib Razak menyebabkan Zahid tidak lena tidur dan terbayang-bayang akan ikut sama check-in sama di "hotel" sama ada di Kajang atau Sungai Buloh.
Bagaimana pun pertemuan Ismail dengan Agong tidak begitu membahagiakan Zahid dan mereka yang mahu pilihan raya segera diadakan merasa dukacita. Ini kerana Ismail Sabri menjelaskan pertemuan itu tidak menyentuh soal pembubaran parlimen. Apa yang diperkatakan mengenai pembentangan Bajet 2023 di parlimen esok.
Bagi Zahid dan golongan sekutu dengannya pembubaran parlimen lebih utama daripada Bajet, sebab itu beliau tidak kira kalau pun pilihan raya perlu diadakan dalam banjir.
Khabarnya selepas selesai menghadap Agong, Ismail Sabri bergegas ke PWTC untuk berjumpa dengan Zahid dan pemimpin top four yang sudah menunggu beliau di situ. Mungkin pertemuan itu sudah dirangka dan Ismail Sabri diarahkan akan ke situ selepas menghadap Agong.
Keperluan untuk Ismail Sabri ke PWTC selepas menghadap Agong tentulah dikira membawa berita baik. Mereka menunggu berita ditunggu-tunggukan itu untuk diumumkan kepada rakyat.
Tetapi malangnya berita baik itu tidak berlaku. Paling malang Ismail Sabri memberi gambaran Bajet akan dibentangkan esok bukan parlimen dibubarkan. Dan tidak ada kenyataan pertemuan dengan Zahid dan lain-lain pemimpin di PWTC hari ini dikeluarkan. Keadaan ini menjelaskan bahawa sudah nyata tidak ada permuktamadan berhubung pembubaran parlimen semasa beliau berjumpa Agong petang tadi.
Ertinya perjuangan dan tekanan diberikan Zahid kepada Ismail selama ini tidak menjadi. Walaupun Ismail Sabri beriya-iya untuk segera membubarkan parlimen tatkala berdepan dengan Zahid dan golongan pendesak parlimen dibubarkan, semua itu hanya perangkap atau jerat Ismail Sabri dalam baik terhadap Zahid.
Bagaimana pun teka teki pembubaran parlimen masih berlegar dan bermain di minda umum. Ia akan terjawab esok dimana sekiranya Bajet dibentang seperti mana dijadualkan, bermakna tidak ada pembubaran parlimen dalam masa terdekat. Adalah canggung dan pelek, kalau parlimen hendak dibubarkan tetapi Bajet dibentang. Walaupun kejadian seperti itu pernah berlaku tetapi ia sangat luar biasa dan perbuatan menggambarkan sangat terdesak.
Perkembangan itu sudah pasti menghampakan Zahid dan mereka yang beriya-iya ingin melihat parlimen segera dibubarkan dan diadakan tidak menjadi. Zahid sudah tidak dapat berbuat apa-apa lagi, beliau tidak dapat menyalahkan Ismail Sabri kerana "semua" arahan dan kehendaknya sudah dilaksanakan.
Semua pihak termasuk yang gila mendesak Ismail Sabri dan termimpi-mimpi agar parlimen dibubarkan hendaklah sedar dan insaf bahawa budibicara terakhir pembubaran parlimen terletak dibawah kuasa yang diPertuan Agong. Perkara 40 (2) (b) Perlembagaan memberi hak itu kepada Yang di-Pertuan Agong.
Jika kita menghormati kuasa dan hak itu pasti kita akan terbuka dan sedia menerima apa sahaja titah Yang di-Pertuan Agong nanti. Jangan kita menjadi penderhaka dalam masa sama kita menjunjung institusi raja-raja. [wm.kl. 9:30 pm 06/10/2022].
No comments:
Post a Comment