Wednesday, December 21, 2022

Anwar sudah dapat keabsahan parlimen

ULASAN LEWAT

KEBIMBANGAN mengenai kedudukan Anwar Ibrahim sebagai PM10 sudah berakhir menjelang tengah hari semalam (20 Disember) apabila rang undang-undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 bernilai RM107,718,676,650 diluluskan dengan sebulat suara tanpa perbahasan. 

Kelulusan dengan selamatnya bajet mini itu melegakan permerhati dan rakyat umum kerana ia telah menamatkan spekulasi yang bajet itu akan dipulau oleh pembangkang untuk menumbangkan Anwar Ibrahim (Tambun) sebagai perdana menteri. 

Kononnya pembangkang akan menggunakan bajet itu untuk membuktikan bahawa Anwar tidak mempunyai keabsahan untuk pegang jawatan PM. Sebaran psywar secara sulit telah dibuat kononnya Anwar akan terkorban dalam sidang kelmarin.  

Bagaimana pun tampaknya kebimbangan itu tidak menjadi kenyataan, apabila ketua pembangkang Hamzah Zainuddin (Larut) seperti kecewa dengan perjalanan sidang dewan yang sedikit kecoh disebabkan salah faham berlaku semasa Menteri Kewangan membentang bajet berkenaan lalu membuat keputusan drastik mengatakan pembangkang sebulat suara meluluskan bajet berkenaan. 

Apa yang tersirat sebenarnya keputusan itu diambil ekoran daripada usul undi percaya kepada Perdana Menteri yang dibentang sehari sebelumnya berjaya diluluskan dengan sokongan suara terbanyak. Selepas perbahasan pembangkang tidak meminta agar undi belah bagi dilakukan menyebabkan usul itu dilulus dengan suara terbanyak. 

Tindakan pembangkang tidak meminta undi terhadap usul berkenaan juga helah untuk tidak mahu malu berkembar setelah mereka menyedari jumlah atau sokongan untuk mereka hanya 74 kerusi atau suara sahaja berbanding 147 suara untuk kerajaan. Angka itu diketahui semasa pengundian pemilihan Yang di Pertua dan dua timbalan Yang Di Pertua Dewan Rakyat. Dakwaan yang pengerusi PN Mahiaddin Yassin mempunyai 115 kerusi sebelum ini yang dianggap Abdul Hadi Awang sudah lebih daripada mencukupi lebong semata-mata. 

Calon Yang diPertuan Dewan yang dicadangkan oleh kerajaan Johari Abdul mendapat 147 undi manakala calon dicadangkan pembangkang Radzi Sheikh Ahmad mengutip 74 undi sahaja.

Keputusan terhadap pemilihan Yang diPertuan Dewan itu menyebabkan semasa diadakan perbahan usul undi percaya kepada PM, pembangkang secara muslihat mengaku kalah dengan tidak meminta pengundian dilakukan. Tindakan itu menghairankan bila dilihat kepada keghairahan mereka sebelum ini untuk menumbangkan perdana menteri. 

Untuk menolak pengundian diadakan, ketua pembangkang Hamzah Zainuddin secara muslihat menjadikan alasan beliau percaya kepada kebolehan Menteri Kewangan dan menyakin beliau jujur maka tidak ada keperluan untuk membahas rang undang-undang Bajet itu. Katanya bajet itu juga diluluskan kerana untuk kepentingan rakyat.  

Kesimpulannya apa yang berlaku dan keputusan dicapai pada sidang dua itu memberi bukti jelas bahawa Anwar Ibrahim mendapat sokongan padu oleh anggota dewan rakyat untuk beliau sebagai Perdana Menteri dan secara tidak langsung keputusan itu menstabilkan kerajaan Perpaduan yang dipimpinya. 

Sebelum ini pihak pembangkang beriya-iya lagi mendesak Anwar agar mendapat keabsahan (legitimasi) di parlimen untuk membuktikan beliau mempunyai sokongan atau tidak. Ironinya setelah dikemukakan usul undi percaya dan pembentangan mini bajet pembangkang tidak berbuat sesuatu dan pengecut untuk membuat pengundian kerana sudah tahu yang mereka kekurangan sokongan.[wm.kl.11:31 pm 21/12/2022] * Tanpa edit.


No comments:

Post a Comment