Friday, January 6, 2023

KPPM akan diaktifkan semula

SESUDAH SUBUH 

Sebahagian ahli KPPM hadir pada majlis
peluncuran buku Pak Habib.
ERA 90-an adalah era kemeriahan penulis politik menerbitkan karya masing-masing. Ketika ini muncul ramai penulis yang concern dengan perkembangan politik tanah air. Kehadiran para penulis politik ketika itu seperti satu industri yang sama rancak dengan penulis genre lain seperti sukan, hiburan ataupun karya kreatif seperti novel, filem dan lain-lain.  

Peranan para penulis buku politik sebagai perakam sejarah politik dan pengkritik atau penegur kepada ahli-ahli politik sangat berkesan dalam membantu membangunkan politik negara. Sumbangan mereka dalam aspek ini tidak boleh dikesampingkan.

Walaupun kemunculan golongan ini dipandang sinis oleh sesetengah pihak, terutamanya akademik, tetapi ia dihormati oleh masyarakat yang mahukan maklumat yang telus, berani dan tidak takut kepada apa-apa risiko disebalik penulisan mereka.

Bagaimana pun kemeriahan itu beransur suram dan hampir luput apabila era digital bertindak mengambil alih dunia pembukuan. Ledakan maklumat menerusi pelbagai platform media sosial yang mula meledak awal tahun 2000 menyebabkan era pembukuan seakan tidak penting dan dipandang sepi. Namun bagi mereka yang suka sentuh dan pegang dokumen (buku), tetap menginginkan buku dan setia mendapatkannya.

Lantaran perubahan itu hari ini hampir sudah tidak ada lagi pemain dalam dunia penulisan buku kecuali beberapa orang sahaja. 

Perbezaan.

Kehadiran buku politik berbeza dengan keberadaan media cetak lain ketika itu. Sebab itu walaupun akhbar arus perdana dan akhbar nyamuk melaporkan isu dan hal ehwal politik, tetapi buku politik menjadi pilihan. Ketika itu sesebuah buku politik mampu dicetak sampai puluhan ribu naskah bergantung kepada isu dan juga penulisnya.

Ada perbezaan di antara buku politik dengan akhbar. Buku politik akan mendalami sesuatu isu itu termasuk mendedahkan sedalam-dalamnya apa yang berlaku dan siapa yang terbabit. Pendedahan itu menyebabkan ada penulis yang diheret ke mahkamah untuk mempertahankan dakwaan mereka.Pembongkaran itu bukan mengenai skandal kewangan, salah guna kuasa, tetapi turut sama mendedahkan isu seks atau skandal perempuan juga. 

Tidak dapat dinafikan peranan penulis politik ini memberi kesan dan tanggungjawab tersendiri. Penulis politik dalam kata lain ada fungsi tersendri menjadi "orang-orangan" untuk membenteng kerakusan ahli politik terutamanya yang berada dalam kerajaan. 

Bukan setakat itu cuma, buku politik boleh menaik dan menjatuhkan seseorang tokoh politik. Agak panjang juga senarai kalau hendak diceritakan beberapa kes membabitkan orang politik ditimpa masalah atau perjalanan politik mereka terhalang disebabkan angkara buku politik. Situasi inilah menjadikan buku politik seperti digeruni.

KPPM.  

Sehubungan itu, pada masa itu lahir ramai para penulis buku politik. Ia cambah persis jamur di musim hujan terutamanya ada isu nasional berlaku dan sewaktu pemilihan dalam Umno. Ketika ini para penulis akan mengeluarkan buku masing-masing mempertahankan tokoh-tokoh yang mereka senangi disamping menghentam tokoh yang mereka tidak suka. Ketika itu muncul pelbagai nama yang tidak pernah terdengar dan terbaca sebelum ini. Mereka menulis mengambil kesempatan atas isu yang berlaku ketika itu.

Menyampaikan ucapan d majlis
peluncuran buku di Penang.
Penulis buku politik satu pengkaryaan baru yang berbeza dengan penulis kreatif. Bahkan kemunculan mereka juga signifikan dengan para wartawan politik di media arus perdana atau akhbar nyamuk.  Kerana mereka mempunyai wadah sendiri untuk menulis, mengulas dan mengkritik ahli politik dan organ politik. Dan buku-buku politik diterbit sendiri oleh penulis kerana tidak ada penerbit yang berani untuk menerbitkannya disebabkan risiko didakwa di mahkamah sangat tinggi.

Kehadiran golongan ini menjadi besar dan ketara di mata dunia politik Malaysia apabila mereka berkumpul dalam satu kelab bernama Kelab Penulis Politik Malaysia (KPPM). Kira-kira tujuh hingga 10 orang yang komited dalam penulisan buku politik bergabung dalam KPPM ini yang diketuai oleh Syed Hussein Alattas (Pak Belalang). Pak Habib diangkat sebagai presiden manakala saya bertindak sebagai Setiausaha kelab. KPPM hanya sebuah kelab santai tidak pun didaftarkan, namun ia diberikan perhatian oleh para ahli politik. 

Antara penulis lain yang bergabung dengan KPPM ialah, Zakry Abadi (Allahyarham), Yahya Ismail, Kamal Amir Kamil Hijaz, Abdul Halim Mahmood (Allahyarham), Daud Ibrahim, Zabidi Sidi, Dahlan Maamor, Shahbuddin Hussein dan lain-lain. 

Majlis pertama yang dianjurkan kelab ialah peluncuran buku Pak Habib sempena Jubli Perak. Turut sama hadir di majlis ini sebaga tanda sokongan wartawan dan dramatis Johan Jaffar, Dinsman, Nik Rahimah Hassan, Sutung Umar Rs. Majlis ini diluncur dan diserikan oleh Tengku Puteri Zahariah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Acara kedua yang dikira grand dianjurkan kelab ialah peluncuran 10 buku oleh 10 orang penulis dibuat menjelang perhimpunan agung Umno. Majlis itu diadakan di Pulau Pinang. Hampir separuh bilik hotel berkenaan ditempah oleh kami. Kehadirannya hampir seratus terdiri para penulis dan rakan penulis.

Peranan dan kehebatan KPPM sudah menjadi sejarah. Namun semalam sesudah 30 tahun berlalu kami jadi terenang kembali kepada KPPM. Apakah ini kebetulan atau kerana ada desakan dan keperluan untuk KPPM maksudnya para penulis politik perlu bergerak aktif semula memainkan tugas dan tanggungjawab sebagai pemantau perkembangan politik dan kritikus. Mungkin sebahagian yang lain sudah tidak ada tetapi mereka yang ada atau penggantinya merasakan perlu para penulis berperanan menjadi penegur, pengkritik seperti dimainkan oleh ahli KPPM sebelum ini.

Ketika duduk bersembang bersama sdr Dahlan Maamor dan Shahbuddin Hussein berserta serorang rakan lain, kami bercakap soal peranan dan fungsi penulis politik. Memandangkan akan perkembangan politik hari ini yang mana ahli politik seperti tidak dipantau secara langsung dan khusus, elok kalau fungsi dan peranan dimainkan oleh ahli KKPM seperti dahulu dihidup dan diaktifkan semula. 

Apa yang dibincang dan akan dilakukan bukan bertujuan menyusahkan ahli politik terutamanya mereka yang berada dalam kerajaan hari ini, tetapi atas nawaitu untuk memberi peringatan dan tunjuk ajar berdasarkan pengalaman dan sejarah politik agar mereka tidak lalai dan seronok sendiri  setelah berada dalam koridor kuasa. Mereka perlu ditegur secara terbuka  demi untu kebaikan kepada rakyat. 

Atas kesedaran itu kami, (saya,  Dahlan dan Shahbudi) akan berusaha untuk mewujudkan semula peranan penulis politik bagi memainkan tanggungjawab seperti dimainkan oleh KPPM dahulu.

Insya-Allah dalam masa terdekat kami akan mengumumkan pembentukan atau rangka KPPM baru tidak lama lagi. Kepada mana-mana penulis politik dialu-alukan untuk menyertai KPPM. Yang berminat boleh WhatsApp saya di nombor 016 844 3996. [wm.kl.6:57 pm 06/01/23]

No comments:

Post a Comment