Thursday, August 10, 2023

Analisa 40 jam sebelum mengundi, ada kejutan?

ANALISA KEDUA

Poster gergasi PN-Pas menakluki
setiap pesimpangan jalan utama di Kelantan.
PENENTUAN pilihan raya dienam buah negeri akan diketahui kira-kira 43 jam dari sekarang. Parti-parti politik (PH-BN dan PN) kian giat berusaha memastikan kemenangan masing-masing. Dalam tempoh ini parti-parti politik bertanding akan mempertingkat usaha termasuklah membuat langkah dan serangan hendap terakhir. 

Senjata akhir akan dikeluarkan yang sukar untuk ditebak oleh pihak lawan. Senjata atau strategi akhir itulah yang akan melumpuhkan antara satu sama lain kerana pihak lawan tidak berkesempatan untuk menangkisnya yang dilakukan di saat-saat akhir. 

Justeru kedua-dua pihak kena berhati-hati dan waspada dengan senjata akhir, yang merupakan mainan jahat. Sudah ada desas desus senjata pembunuh berupa "panah sakti" akan digunakan? Satu naratif akan dibina untuk mempengaruhi pengundi walaupun ianya jauh dari kebenaran. Sasaran ialah kepada batang tubuh perdana menteri Anwar Ibrahim. Isu moral sekali lagi akan dijadikan senjata ampuh untuk berhadapan dengan Ph-BN (Harapan). Berwaspadalah.

Namun berpandukan kepada perkembangan setakat hari ini, suasana tidak banyak berubah meskipun
ada sedikit anjakan yang boleh mengejutkan. Secara psikolginya masing-masing baik BN-PH dan PN masih berkeyakinan dengan apa yang dipercayai sebelum ini. Bagi para pemerhati meletakkan pencapaian dan keyakinan kedua pihak PH-BN dan PN masih kekal status quo dengan 50 : 50. 

PH-BN akan dapat mengekalkan tiga buah negeri milik mereka Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang. Manakala PN di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Walaupun kempen dihari-hari terakhir PH-BN semakin rancak sehingga perdana menteri Anwar Ibrahim dan timbalannya Zahid Hamidi sendiri, ketidakcukupan masa sehingga tidak dapat melelapkan mata kerana berkempen, namun kemenangan masih lagi kabur seperti gambar Azmin Ali dalam satu klik video. PH-BN tidak berani membuat prediction yang mereka dapat menyapu keenam-enam buah negeri. Psywar masih diteruskan untuk mempengaruhi pengundi.

Anwar ketika meziarahi Rabiat al
Musthofa di Pulau Chondong.
PH-BN masih belum merasa selesa dapat merampas Kedah dan Terengganu walaupun ada lonjakan dari segi sambutan selepas seminggu berkempen terhadap ceramah dan kempen PH-BN. Kelantan masih belum terjangkau oleh BN-PH. Kehadiran orang ramai di ceramah yang dihostkan Anwar dan Zahid tidak menunjukkan jumlah memuaskan. 

Pun begitu saya percaya angka itu akan berubah yang mana kalau pun PN dapat menambah kemenangan bukan disemua enam buah negeri. Begitu juga dengan PH. Tetapi dalam soal ini PH dikira lebih berpeluang untuk merampas satu atau dua buah negeri, Kedah dan Terengganu sebaliknya PN berkemungkinan boleh menambah beberapa kerusi sahaja di Selangor dan juga Kedah.

Setakat hari ini PH-BN masih belum mampu untuk menumbangkan Pas. Gabungan dengan Bersatu menjadikan Pas Kelantan bertambah kuat. Umno masalah berkecamukan dengan masalah dalaman? Manakala PH, juga menghadapi kepincangan dalam muafakat.

Di Kelantan kalau pun dapat dilakukan PH-BN hanya menambah kerusi dari lapan dimiliki sebelum ini kepada 12 atau 15 kerusi. Itulah pencapaian paling tinggi, kecualilah ada keajaiban. Sekiranya BN-PH dapat menafikan kemenangan majoriti 2/3 Pas ia dikira kemenangan besar bagi PH-BN dan tidak mustahil dalam pilihan raya ke-16 Kelantan akan tumbang dari terus dikuasai Pas. 

Semalam saya ke Kelantan menyaksikan sendiri apa yang berlaku di sana serta untuk meninjau kempen oleh Perdana Menteri dan juga Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi. Sebenarnya saya mengagahkan diri ke Kelantan untuk melihat majlis selawat di Madrasah al-Musthofa di Pulai  Chondong. 

Dalam perjalanan itu mempersaksikan saya panorama pilihan raya suatu keadaan yang tidak pernah dilepaskan oleh saya. Setiap kali pilihan raya umum saya akan menjadi pelancong pilihan raya sambil membuat catatan dan rakaman gambar. Dari Gua Musang hingga ke Kota Bharu dari segi semangat dan zahiriah berpandukan kepada panji-panji dinaikan, PN masih ke hadapan. 

Di Kuala Krai, Machang, Tanah Merah, Pasir Mas hampir semua kerusi DUN di kawasan itu berpihak kepada PN. Misalnya di bandar Pasir Mas tidak ada sekeping pun gambar calon dari PH (Harapan). Bandar Pasir Mas dihijaui bendera bulan dan gambar calon PN (Pas). Pemerhati tidak tahu siapa yang melawan calon Pas di kerusi Pengkalan Pasir yang terletak dalam parlimen Pasir Mas itu. 

Kalaupun ada perubahan dan menunjukan perlawanan sengit di antara PH-BN dengan PN ialah di bandar Kota Bharu. Harapan meletakkan Dr Hafidzah Mustakim dikerusi ini, seorang aktivis masyarakat yang cukup rajin dan dikenali rakyat. 

Mengambil kira pencapaian undi diperolehi Hafizah semasa bertanding di Parlimen Kota Bharu November tahun lalu, kemungkinan kerusi Kota Lama menjadi kerusi pertama dimiliki PH-BN di Kelantan dalam pilihan raya ini. Pun begitu ia bukan mudah kerana lawannya daripada PN seorng bekas pegawai tinggi kerajaan negeri yang dikenal ramai. 

Kesimpulannya di Kelantan PH-BN boleh memberi cabaran hebat kepada PN sehingga menafikan majoriti 2/3 di DUN Kelantan apabila ada keajaiban dan keanehan. Keanehan itu nampaknya ada kali ini apabila anak-anak Kelantan di perantauan telah merancang mengadakan perarakan dikenali, "Belarak Untuk Tumbangkan Mohd Amar". Dan jika pengaruh atau kerusi Pas Kelantan merosot yang menjadi faktornya ialah Mohd Amar Nik Abdullah. (Nik Amar Nate). 

Terengganu.

Saya tidak sempat untuk ke Terengganu. Daripada laporan lisan dan merasai dari jauh hawa dan iklim politik di sana ia tidak sehangat di Kelantan maupun di Kedah dan Selangor. Tiada apa-apa kejadian atau isu besar di negeri Penyu itu. Kedua belah pihak seperti berhati-hati dan beperangan dalam senyap. Berdasarkan pencapaian dalam pilihan raya ke-14, BN yakin mereka dapat mengambil alih kerajaan. Terdapat sekurang-kurang 10 kerusi Pas menang dengan majoriti dibawah 1,000 undi. Percantuman atau kerjasama Umno (BN) dengan PH memberi kelebihan kepada BN berbanding dengan Pas (PN). Pertandingan dua penjuru juga memberi advantage kepada BN.

Sehingga semalam BN-PH yakin akan dapat menawan 19 kerusi daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri Terengganu. Ini bermakna BN akan menang dengan majoriti mudah. Keyakinan ini dapat dilihat apabila PN khasnya Pas tidak berani "bual besar" kali ini di Terengganu seperti mana di Kelantan yang ingin menyapu bersih 45 kerusi Dun Kelantan. 

Sejarah politik Terengganu juga membuatkan PN gementar dan cemas apabila rakyat negeri itu tidak konsisten memberi sokongan kepada satu-satu parti. Rakyat Terengganu akan menukar kerajaan tidak lebih daripada tiga penggal. Selepas kejayaan Umno-BN merampas Terengganu tahun 1962 daripada Pas, BN kemudian kalah pada tahun 1999 rakyat Terengganu tidak lagi memberi kemenangan kepada satu-satu parti lebih daripada dua penggal. Pas kini sudah memerintah selama dua penggal.

Satu hal yang mungkin membimbang dan mengejutkan pemerhati luar yang pertama kali memasuki negeri Terengganu apabila melihat sepanjang jalan dan jambatan yang ada di Terengganu ditakluki bendera Pas. Penghijauan Terengganu sedang dilakukan sehingga menenggelamkan bendera biru (BN) dan merah (PH). Bagaimana itu bukan indikator yang Pas kuat dan bakal mengekalkan kerajaan Terengganu sebab sebelum ini keadaan "hijau" itu pernah berlaku setiap kali pilihan raya tetapi bila peti undi dibuka, kalah. 

Pas Terengganu juga tentu cemas kerana pilihan raya kali ini, senarionya berbeza kerana BN bergabung dengan PH. Pertandingan dua penjuru tidak akan berpihak kepada PN. Pilihan raya 12 Ogos ini berbeza dengan pilihan raya umum ke 15 (parlimen) lalu. Apabila Pas-Bersatu (PN) dapat sapu bersih 8 kerusi parlimen tidak semestinya kemenangan itu terbawa dalam pilihan negeri kini.

Apa lagi kalau ahli dan penyokong Umno benar-benar bersepadu dengan ahli dan penyokong Keadilan dan Amanah, atas spiritual PERPADUAN ia menjadi Pas berlawan dengan tiga buah parti yang bergabung menjadi satu, keadaan ini tidak membantu mereka. Dari segi matematik 3 lawan 2 tentulah kemenangan dipihak bertiga.

Pergi ke Kedah, PH-BN akan membuat serangan terakhir di negeri Jelapang Padi itu. Selepas seminggu berkempen ada sedikit perubahan bila mana populariti Sanusi Md Nor memakan diri sendiri. Beberapa kenyataan Sanusi yang lantang mengkritik perdana menteri keterlampauan menyebabkan ada semakan dari kalangan pengundi untuk memilih PN. Pengundi dewasa atau yang celik mata mula menilai dan mempertikaikan kewibawaan Sanusi sebagai pemimpin negeri. Kelantangan dan keceluparan Sanusi turut tidak disenangi orang-orang Pas sendiri. 

Anak-anak muda yang teruja dengan Sanusi bagaimana pun tetap menganggap MB sementara itu sebagai wira mereka. Itu pun tidak semua, anak-anak muda yang cintakan kepada akhlak dan politik secara berhemah tidak tergamak untuk mengundi atau menyokong Sanusi walaupun mereka berbuat demikian dalam pilhan raya lalu. Ertinya peratus sokongan anak muda atau undi 18 dalam pilihan raya tidak rigid kepada PN ini memberi keuntungan kepada PH-BN.

Beberapa tawaran atau program yang diumumkan perdana menteri Anwar Ibrahim dikira dapat mengubah persepsi dan sokongan pengundi muda di Kedah. Bagaimana pun kerana sokongan kepada Sanusi di sepanjang kempennya terlalu besar menyebabkan PH-BN tidak mampu mengatasi undi diraih Sanusi dan PN. Berasaskan kepada jangkaan itu kedudukan Kedah masih berpihak kepada PN. Peluang PH-BN di Kedah dan Terengganu masih sukar tetapi diTerengganu ada sedikit sinar harapan. 

Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang saya tidak mahu mengulas. Di Selangor cukup melihat apa yang berlaku di Dun Hulu Kelang berhampiran dengan kediaman saya. Calon Harapan Juwairiya Zulkifli semakin hari semakin selesa meninggalkan Azmin Ali calon PN yang sudah terlondeh kain pelikat. Di Hulu Kelang Azmin berceramah pakai kain pelikat untuk menunjukkan dia "kemiskinan" dan "ketawadukan" untuk mengekalkan kerusi N18 Hulu Kelang. Saat demi saat Azmin kian terdesak dan tertekan.  

Di Negeri Sembilan kedudukannya bagi PH samalah seperti PN di Kelantan, kekal. Pulau Pinang walaupun ada ribut dan tsunami menyerang, kerajaan negeri dimodenkan Francis Light itu tetap menjadi milik DAP (PN). Tindakan keluar parti beberapa orang bekas Adun dan pemimpin DAP turut membantu PH menambah undi disetiap kerusi khususnya yang ditandingi DAP. Walahualam. [wm.kl. 1:22 pm 10/08/23]

No comments:

Post a Comment