Tuesday, December 5, 2023

Samsuri bukan satu-satunya calon Perdana Menteri

ULASAN LEWAT

 IGAUAN Perikatan Nasional (PN) - Pas dan Bersatu untuk mengambil alih kerajaan sekaligus
menjatuhkan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri menghijau kembali ekoran kemenangan besar Ahmad Samsuri Mokhtar di pilihan raya kecil Kemaman, 2 Disember lalu.
Ahmad Samsuri Mokhtar

Kemenangan itu dijadikan modal untuk terus menyambung mimpi dan igauan PN akan cukup jumlah dan akan membentuk kerajaan dalam kadar segera. Beberapa tarikh atau tempoh mula dijaja untuk membelenggu kepala rakyat.

Walaupun perkara itu jauh dari logikal, tetapi itulah yang sedang digendang palukan oleh puak-puak PN sehari dua ini. Ada yang percaya dan yakin kerajaan Perpaduan akan tumbang. Samsuri juga terhibur sama dengan angan-angan itu, apabila beliau kini sudah dipacang akan jadi PM ke-11. 


Amiruddin Shari
Semuanya bermula semasa kempen di Pirake Kemaman apabila bekas PM Mahathir Mohamad memberi penilaian Samsuri juga layak jadi PM. Kata-kata Mahathir dianggap sebagai keramat kini walaupun selama ini penuh dengan pengkhianatan terhadap Pas.

Ada betul dan logiknya apa yang dinyatakan Mahathir itu. Mungkin dia telah menilai dan membuat ukuran mendalam dengan para pemimpin lain termasuk Tok Dor Hadi sendiri dalam Pas tidak layak untuk memegang jawatan itu. Abdul hadi tidak memenuhi rukun-rukun dan syarat untuk jadi perdana menteri.

Malahan beliau sendiri mengakui akan kekurangan untuk dia berada disitu. Tetapi kalau ia diberi laluan, pasti beliau tidak akan menolaknya, kerana jadi perdana menteri sesuatu yang menyeronokkan.

Tok Dor sendiri dalam suatu ucapan dasar di Muktamar Pas pernah mengaku seronok juga kalau jadi PM, dalam nada bercanda tetapi penuh  mengharap, dia berkata "seronok kalau jadi PM". 

Tetapi kerana dia tahu kapasiti dan ukuran tubuhnya maka "baju" atau "jubah" perdana menteri tidak sepadan dengan tubuhnya, kerana jika dia dipakaikan baju atau jubah itu ia kelonggaran atau "gobeh". Akan nampak macam badut rayalah kalau Abdul Hadi jadi perdana menteri. 

Kemampuan dan kebolehannya boleh dilihat apabila beliau diberikan kepercayaan dilantik menjadi Duta Khas ke Timur Tengah semasa Mahiaddin jadi perdana menteri. Apa yang Tok Dor lakukan dengan jawatan berprestaj itu, tiada apa-apa melainkan mengutip baksis gaji puluhan ribu daripadanya. 

Seperti dikatakan tadi apa yang dinyatakan Mahathir itu tentu menyeronokkan Samsuri. Ia menambahkan semangat politik Menteri Besar Terengganu itu. Lambongan Mahathir itu menjadikan dia sedar bahawa dia mempunyai wajah atau nilai sebagai perdana menteri. Apa lagi kini keluar bermacam-macam poster dan banner dalam medsos yang meletakkan Samsuri sebagai perdana menteri ke 11, selepas Anwar. 

Namun kalau dia tahu ucapan Mahathir itu ucapan politik dia tidak perlu teruja dengan bayangan itu, kerana kalau pilihan raya diadakan di Kedah dan Sanusi Mohamad Noor bertanding, Mahathir juga akan mengatakan Sanusi lebih baik daripada Anwar. 

Nurul Izzah Anwar
Dari sisi lain secara tidak langsung juga prediction dibuat Mahathir itu menyebabkan tokoh-tokoh
pembangkang lain terasa kecil dan terhina. Orang-orang lain yang juga lebih merasakan berhak untuk menjadi perdana menteri tentu tidak senang dengan bayangan Mahathir itu. Mereka juga dirasakan didiskreditkan oleh Mahathir Mohamad. 

Azmin Ali, Hamzah Zainuddin adalah mereka yang tidak pernah memadam mimpi untuk menjadi perdana menteri. Mereka juga sedang mengarai malam untuk bermimpi jadi PM. Begitu juga dengan Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang merasakan dia lebih hampir ketika menjadi menantu Abdullah Ahmad Badawi juga tidak senang dengan penanaman tebu di bibir mulut dibuat Mahathir itu. Khairy juga merasakan dia lebih berhak untuk jadi PM berbanding Samsuri.  

Sebenarnya Mahathir tidak ikhlas menyebut nama Samsuri itu melainkan untuk mempengaruhi pengundi di Kemaman sahaja. Tentu dalam hati kecil dia lebih mengharapkan anaknya Mukhriz untuk menduduki jawatan itu sebagai legasinya. Apa yang dia tidak usahakan untuk memancukan anaknya, tetapi sayang tidak menjadi. Jadi bagi saya pandangan Mahathir itu hanya bahan kempen sahaja, dan ia berjaya bila Samsuri menang dengan majoriti melebihi 10,000 undi majoriti daripada diperolehi calon Pas sebelum ini Che Alias sebanyak, 37, 220 undi.

Bagi penyokong Pas dan PN kemenangan besar itu menjadi asas dan modal untuk Samsuri dilantik jadi perdana menteri. Orang kata boleh dijadikan cerita penglipur lara. Setidak-tidaknya mereka ada calon untuk dibandingkan dengan Anwar setelah Mahiaddian dan Ismail Sabri Yaakob kantoi. Itulah ukuran mudah mereka. 

Sebenarnya jalan untuk Samsuri untuk ke Putrajaya bukan semudah itu, masih ada banyak rintangan dan halangan. Kemenangan Samsuri juga bukan pembuka pintu ke Putrajaya seperti dijangkakan. Mungkin bagi Pas yang melihat Tuan Ibrahim bukan sosok calon perdana menteri, adalah tepat dengan menjadikan Samsuri sebagai calon PM. 

Memanglah Tuan Ibrahim bukan orangnya untuk diangkat jadi PM. Saiz dimiliki Tuan Ibrahim bukan saiz seorang perdana menteri. Idea dan argumen politiknya cetek dan dangkal jika dibandingkan dengan Samsuri. Politik Tuan Ibrahim ada kalanya macam politik kartun. Tahap keberanian dalam membuat keputusan dalam parti juga tidak ada.  

Walaupun Samsuri mempunyai ukuran dan ada sense politik yang sesuai dengan situasi politik negara ini, tetapi menamakannya sebagai PM bukan satu penamaan yang konsensus dari kalangan PN. Bersatu juga mempunyai calon dan sosok sendiri. Semua mengejar jawatan itu sebagai pencapaian tertinggi dalam politik. Yang mengisytiharkan Samsuri sebagai bakal PM bukan Mahiaddin atau Haji Hadi, tetapi Mahathir. Perjuangan PN untuk merebut jawatan PM bukan berlumba untuk membantu rakyat. 

Masih ramai dalam PN bercita-cita untuk jadi perdana menteri dan mereka layak berpandukan pengalaman, track record dan sejarah. Selain Azmin Ali, Hamzah Zainuddin, Mahiaddin Yassin juga ingin jadi perdana menteri sekali lagi. Faizal Azumu juga mungkin ikut dibaham mimpi untuk memegang jawatan itu. 

Begitu juga saingan bagi Samsuri bukan dari kalangan PN, Bersatu dan Pas, tetapi diluar sana juga, mereka dari parti PH, Keadilan, Amanah dan DAP juga mahu jawatan itu. Begitu juga dari BN, Umno. Samsuri harus memperagakan dirinya membandingkan dengan sosok atau tokoh-tokoh dalam PH.  

Dari Umno, nama-nama seperti Mohamad Hassan, Asyraf Wajdi Dusuki, Azlina Othman Said adalah mereka yang berkelayakan atau setanding dengan kelulusan profesyen dimiliki Samsuri untuk menjadi perdana menteri. Mereka ini ada potensi dan kelebihan tersendiri. Mereka ini sedang digilap dan dipersiapkan tanpa riuh randah. Sekiranya Zahid berundur suatu hari nanti, nama-nama mereka itulah akan diletak di bahagian paling atas. 

Asyraf Wajdi Dusuki
Begitu juga dengan Keadilan yang mempunyai ramai calon berpotensi dan telah lulus melalui ujian perjuangan bagi menggantikan Anwar suatu masa kelak. Mereka ini tolak tidak rebah, dibanding tidak kalah dengan calonan disebut Mahathir itu. Nurul Izzah Anwar, Amiruddin Shaari, Saifuddin Nasution Ismail dan Rafizi Ramli adalah mereka ditanda akan jadi perdana menteri selepas Anwar Ibrahim untuk lima atau 10 tahun akan datang. Mereka itu pula kebetulan berkedudukan dihiraki ke dua dalam Keadilan, sama dengan Samsuri dalam Pas. 

Jadi Samsuri dan orang-orang Pas jangan melihat MB Terengganu itu mempunyai kelayakan mutlak untuk menjadi perdana menteri ke-11. Saingannya cukup kuat dan nama-nama itu semua berada dalam pantau rakyat. Dalam dinamika politik hari ini juga jangan rasa mustahil kalau Najib Razak akan buat come back dalam politik dan memegang jawatan untuk kedua kali bagi menyamai rekod dipegang Mahathir Mohamad. Kerencaman politik kita digerakkan berbagai kaum juga menjadi halangan buat Samsuri. 

Kesimpulan di sini, Samsuri jangan terhimbau sangat dengan jolokan yang diberikan hari ini, beliau bukan calon mutlak sebagai perdana menteri, selepas Anwar Ibrahim. Tetapi kalau ia sebagai pengganti Abdul hadi Awang sebagai presiden Pas selepas ini adalah sesuatu yang kena pada tempatnya dan pemilihan beliau ke jawatan itu adalah sesuai. Mungkin para ahli Pas boleh mempercepatkan proses tindakan meletakkan Samsuri dikerusi presiden untuk melihat dinamika politik Pas lebih mampan lagi. 

Mungkin pembawaan dan pendekatan serta siasah Pas juga akan berubah sekiranya ia dipimpin oleh profesionalis seperti Samsuri Mokhtar. Sesuai dengan bidalan kata "sekali bah, sekali pantau berubah" akan berlaku. Pendekatan politik terbuka, profesional ditunjukkan Samsuri juga boleh membawa kesejahteraan politik negara.

Abdul Hadi sudah mempunyai penggantinya yang jelas apabila Samsuri menang, dan kemenangan itu menyebabkan saham peribadi Menteri Besar Terengganu itu naik mendadak sekaligus menimbuskan saham Tok Dor Hadi. Dalam permainan politik di Terengganu dengan menguar-guarkan Samsuri sebagai perdana menteri, apapun yang meraih keuntungan ialah Abdul Hadi Awang kerana selepas ini puteranya Abdul Khalil akan mengambil alih jawatan menteri besar Terengganu. Pilihan raya di Kemaman memberi kelabaan kepada dua peribadi Tok Dor Hadi dan Samsuri. 

Pertukar gantian jawatan MB itu juga boleh meredakan politik dalaman kerajaan Pas Terengganu yang dikatakan berbunga keduduk sejak beberapa tahun kalu. Peletakkan Samsuri di kerusi parlimen Kemaman dan gelar sebagai calon perdana menteri adalah permainan politik Hadi untuk kepentingannya di Terengganu serta mahu mendamaikan politik dalaman kerajaan di Terengganu. Maka jangan syok sangat. [wm.kl.10:42 05/12/2023]

Glossori:

gobeh = seronyeh, serebah, huduh.

No comments:

Post a Comment