Friday, April 12, 2024

Umno dan PH Selangor perlu utuhkan kerjasama

KHUTBAH AWAL

Para pemimpin Umno dan PH
semasa penamaan calon di Parlimen Gombak
 dan Dun Hulu Kelang.
KEGAGALAN menyelesaikan pembahagian pelbagai jawatan di peringkat bawahan di antara Umno
dengan PH di Selangor nampaknya kian meruncing. Kegagalan menyelesaikan isu itu seperti berpanjangan, dan meletakkan hubungan dan perpaduan di antara dua entiti itu dalam bahaya seperti retak menanti belah. 

Jika ia tidak ditangani dengan cermat dan penuh persefahaman, bukan mustahil hubungan dan kerjasama membentuk kerajaan hari ini, boleh relai begitu sahaja. Hal ini jangan dianggap remeh tetapi perlu melihat potensi ia akan jadi koyak rabak lebih luas. Usaha mententeramkan keadaan perlu dilakukan segera.

Kepada PH (Keadilan, DAP dan Amanah) jangan sesekali mereka merasa gah dan kuat di Selangor tanpa Umno walaupun parti itu menyumbang hanya dua kerusi dalam pilihan raya lalu. Dua kerusi itu penting sebagai benih kepada perpaduan di antara keduanya maka ia perlu dipupuk. Semangat kerjasama atau coopratif sangat perlu.

Justeru Amiruddin Shari selaku Menteri Besar dan juga pengerusi PH Selangor perlu duduk semeja segera dengan lebih lama bersama Pengerusi Mmno Selangor Megat Zulkarnain Omar Din untuk menyelesaikan perkara ini. 

Perkembangan terbaru merungsingkan apabila Umno negeri itu menerusi pengerusinya Megat Zulkarnain memaklumkan pihaknya akan mengembalikan semua 75 jawatan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang diperuntukan kepada Umno.

Pengembalian itu seperti tidak ikhlas dan dibuat kerana merajuk sahaja. Apa lagi menurutnya, seperti dilaporkan Umno mewujudkan jawatan baru dinamakan Majlis Desa Madani (MDM) sebagai gantinya yang akan diisikan oleh anggota Umno. Perwujudan jawatan itu dibawah Kementerian Kemajuan Desan dan Wilayah yang dipegang oleh presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi. Untuk apa jawatan itu sebenarnya kalau bukan hendak cari gaduh?

Perwujudan jawatan itu sudah dibincang bersama semua ketua-ketua bahagian di Selangor dan telah pun diterima oleh menteri berkenaan. Watikah kepada pengerusi dan setiausaha untuk 746 jawatan itu akan disampaikan selepas hari ini. Jawatan itu akan diwujudkan di semua kampung di Selangor. 

Memahami perwujudan dan fungsi jawatan itu sama dengan fungsi dan peranan MPPK yang diwujudkan sebelum ini. Bidang kuasa dan skop kerjanya juga sama, dan ini sudah tentu apabila jawatan ini wujud akan berlaku pertindihan tugas dan kuasa, berlaku perebutan untuk saling menguasai kawasan dan komuniti di peringkat bawah. Tidak sepatutnya dalam sebuah kampung atau desa mempunyai dua ketua.

Perbalahan di antara Umno dan PH bermula apabila Umno tidak berpuas hati dengan pengagihan 271 jawatan majlis PBT di 12 kawasan sebelum ini dimana Umno diperuntukan hanya 20 kerusi. Kerana tidak berpuas hati dengan jumlah itu Umno mengembalikan semua jawatan itu dengan meminta gantian agar semua 373 jawatan pengerusi JKKK diserahkan kepada mereka.

Mengenai perwujudan jawatan pengerusi dan setiausaha berjumlah 746 itu ia akan diisi oleh ahli Umno. Jelas perwujudan dan peranan jawatan itu untuk menyaingi jawatan pengerusi MPPK dan ini menyebabkan berlaku pertentangan di antara satu sama lain. 

Sudah pasti kedua-dua pihak akan berebut untuk mempengaruhi rakyat di kawasan masing-masing, ketika inilah pergaduhan akan berlaku. Kesan perebutan itu juga nanti ia akan membawa kepada perbalahan ke depan khasnya sewaktu menghadapi pilihan raya akan datang. Kedua-dua pihak akan mempunyai calon pilihan raya yang berbeza berdasarkan merit mereka. Apabila kedua pihak merasakan lebih kuat dan berpengaruh, mungkin kerjasama mantap dalam pilihan raya tidak diperlukan, dan ketika itu akan berlaku pertandingan secara bersendirian.

Sekiranya berlaku keadaan demikian, akan berlaku perpecahan undi kepada Umno dan PH situsi ini akan menguntungkan PN yang dilihat lebih solid dan ghairah untuk tawan Selangor. Waktu ini PN sedang menanti perpecahan dan pergaduhan di antara Umno dan PH seperti menanti air deras di parit berlekok untuk memasang lukah. 

Pimpinan atasan bagi kedua-dua parti BN dan PH jangan biarkan keadaan ini berterusan, satu formula dan jalan penyelesaian hendaklah segera dilakukan. Apa yang berlaku kini umpama guni beras yang mulai bekah, jika tidak dijujut dan dijahit ia akan memborakkan keadaan. Baik Umno dan PH, buangkan ego masing-masing dan bersikap "tasamuh" jika mereka mahu kekal menguasai Selangor dalam Piraum akan datang. [wm.kl. 11:28 am 12/04/2024]

No comments:

Post a Comment