BELASUNGKAWA
Perjumpaan terakhir dengan Pyan 15 April 2024. |
Tetapi walaupun begitu pemergian yang tidak disangka-sangkakan ia sungguh mengejutkan dan meninggalkan kesan sukar untuk hilang.
Menjadikan kita sukar untuk menerima takdir itu. Banyak benda yang kita tersangkut dan terkilan dengan kematian sebegitu. Apapun Tuhan tetap dengan perhitungan dan kehendak-Nya sendiri.
Demikian dengan pemergian Pyanhabib atau Muhammad Supyan Abdul Rahman, 66 kelmarin, (4 Julai 2024 jam 8:40 malam) ia sesuatu kehilangan yang mengejutkan.
Saya percaya bukan saja saya, tetapi ramai orang mengenalinya, lebih-lebih lagi mereka yang dekat dan mesra dengannya, terkejut dengan pemergian itu.
Pemergian yang bukan sahaja mengurangkan bilangan sahabat, tetapi menyunyikan dunia ini dengan gema suara kritikannya terhadap kezaliman dan menuntut hak keadilan di dunia ini. Pyanhabib seorang seniman dan penyair sekaligus menjadi penghibur kepada sesiapa mengenalinya. Kepada anak-anak muda beliau ada inspirator khususnya dalam penulisan puisi.
Walaupun percakapannya terbatas, tetapi kerenahnya suka bergurau senda menjadikan saat ini ceria gembira bila bersamanya. Jarang Pyan serius dalam hidup, selalunya penuh gelak dan tawa. Jika ada sesuatu yang serius dia hanya sekadar mengerutkan kening, sambil mencebek mulutnya.
Bila bersua, jarang sekali kita yang sempat dahulu menyapanya, sebaliknya dia akan menegur kita bertanya khabar dan berpelukan, lantas mengheret kita ke warung kopi. Itulah Pyan.
Mula mengenali Pyanhabib.
Saya mengenali Pyan sewaktu dia tinggal di rumah Anak Alam di Padang Merbok lagi, sekitar akhir tahun 70an. Perhubungan rapat dengannya bermula ketika Hari Puisi Nasional 1982, di Kem Kijang Kota Bharu Kelantan. Pada malam hari puisi itu, kamilah antara menjadi juara mengelolakan acara di luar senarai acara Hari Puisi, dengan mengelolakan pembacaan sajak hingga ke pagi. Kamilah yang menyalakan unggun api untuk acara itu.
Sepanjang dua hari pesta puisi itu, dia bersama saya, "berderai" dengan saya yang mengintimkan lagipersahabatan. Saya lupa apakah kami tidur atau tidak pada ketika itu. Yang saya ingat, kami mengaturkan acara pembacaan sajak hingga ke pagi disertai para penyair yang hadir termasuk dari Indonesia, Singapura dan Brunei.
Sama-sama "berniaga" dengan Pyan di Hari Puisi "82. |
Kalau saya tidak ke Indonesia selepas pertemuan itu, dan terus berkawan dengannya mungkin saya berpuisi dan menjadi anak seni sampai ke hari ini? Dunia seni dan sastera kepada saya ketika itu adalah makan minum.
Selepas balik dari Indonesia dan berkerja sebagai wartawan, sewaktu beliau masih aktif berteater, berpuisi dengan mengadakan pembacaan puisi bersama rakan lain di bawah tiang lampu di Pasar Seni, beliau ada ajak saya ikut sama, tetapi kerana sibuk dengan kerja, tidak dapat memenuhi ajakan itu. Saya hanya hadir pada acara seni dan sastera sekali sekala apabila majlis tidak "jemeruk" dengan jadual kerja saja.
Namun perhubungan kami tidak pernah putus, sering berjumpa di upacara sastera dan majlis pembacaan sajak atau seminar sastera. Beliau juga seperti kemudian terikat dengan jadual kerja apabila sudah menyertai Utusan Melayu, sebagai wartawan di Mastika. Kesibukan itu menyebabkan kami bertemu di majlis-majlis tertentu sahaja.
Salah satu buku yang beliau datang ambil sendiri di rumah saya, "Penjara Bukan Pusara". |
Beliau sering diundang untuk menyuarakan pembelaan kepada kebobrokan demokrasi melalui puisidra-puisidranya. Minatnya kepada politik juga merebak, sehinggakan beliau ikut sama menulis buku politik mengguna laras bahasa puisi.
Risalah, akhbar dan buku-buku politik yang saya hasilkan, jarang beliau ketinggalan memilikinya. Beliau akan menghubungi saya untuk mendapatkannya. Jika ada apa-apa yang beliau musykilkan dengan apa yang saya tulis, beliau akan bertanya dan diskas apabila berjumpa atau mengirimkan WhatsApp. Rasanya tidak ada sebuah pun naskah politik saya diera Reformasi yang beliau ketinggalan. Sebaik diiklankan buku baru beliau antara orang terawal mendapatkannya, selalunya akan datang sendiri ke rumah.Beliau akan ingatkan agar tidak lupa simpan untuknya; "simpan untuk ana satu, ana akan datang ke rumah anta" begitulah katanya. Dia berbahasa ana dan anta dengan saya kerana dia tahu ana sangat baik dengan Tok Guru Nik Aziz.
Begitulah Pyanhabib setelah dia menemui suaranya yang hilang akibat demam panas diusia belasan, dia pergunakan suaranya untuk membela keadilan dan menentang kezaliman. Jiwa seni dan kemanusiaan Pyanhabib sangat tinggi, hakikat ini dapat diselami dari puisi-puisinya. Terakhir kali berjumpa dengannya, seminggu selepas raya puasa, 15 April 2025. Kami berjumpa di sebuah Mall di Seksyen 1, Wangsa Maju. Sempat minum bersama. Saat itu saya sudah terperasaan yang tubuhnya semakin susut dan makan juga tidak berselera.
Jenazah Pyanhabib sebelum disolat. |
Dipertemuan itu Allahyarham tidak berbicara fasal sastera, tetapi menyentuh soal pembangunan sosial dan keributan ibu kota Kuala Lumpur. Katanya KL makin sesak dan padat sudah tidak begitu kondusif lagi. Lantaran itu beliau cadangkan hentikan pembangunan di KL, apa yang ada sudah mencukupi.
"Pembangunan di sini sudah padat, sudah sendat, kita harus banyakkan pembangunan di Putrajaya" katanya mengingati bahawa Putrajaya dibangunakan untuk mengurangkan kesesakan di KL, tetapi seperti tidak berjaya.
"Kena bangunkan kependudukan di Putrajaya, biarkan KL kekal dengan apa yang ada kini. Hentikan pembangunan di sini," tekannya sebelum kami berpisah sore itu. Jika boleh dijadikan amanat dan harapan, itulah impian diluahkan oleh Allahyarham dipertemuan terakhir itu, sejahterakan Kuala Lumpur.
Sahabat percayalah apa yang kau suarakan itu akan didengar, kalau pun tidak untuk dilaksanakan sebab ia disuarakan dari sanubari kau yang tulus ikhlas. [wm.kl.9:42 am 06/06/2024]
Pertama jumpa dia di malam sastera MKA, Maktab Kadir Adabi 70an
ReplyDeleteIna lillahi wa ina ilaihirajiun. Pernah menghayati deklamasi sajaknya pd malam pesta konvo UM 1986. Moga rohnya dicucuri rahmat. 🤲
ReplyDelete