Saturday, July 27, 2024

Fadhlina dan Atiqah tidak perlu layan Guan Eng

Atiqah Syairah Shahruddin, masih baru.
PANDANGAN

SAYA memerhati dari jauh dan tidak berniat untuk ikut sama mengupas berhubung polemik mengenai pengumpulan dana untuk sekolah vernakular yang tercetus sehari dua ini.

Dalam isu ini saya nampak Menteri Pendidikan Fahdlina Siddik dijadikan bahan kritikan murahan dan serangan oleh lawan disebabkan kurang cermat rakan beliau daripada Amanah bernama Aiman Atirah Sabu yang hadir disuatu majlis penyampaian dana anjuran sekolah Cina di Sepang yang ada menayangkan logo syarikat arak, Tiger.

Tidak fasal-fasal kehadiran Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu membawa penyakit kepada Fahdlina dan memberi peluru kapor kepada pembangkang.

Serangan atau singgungan dari pembangkang tidak pelik, apa sahaja yang boleh dijadikan isu untuk bahan burukkan kerajaan akan diceduk dan disudu, itu kerja mereka, tetapi apabila Lim Guan Eng juga tumpang semangkuk mengkritik, itu yang memusykilkan. Perlukah Guan Eng sebagai politician veteran juga ikut bercakap mengikut rentak dan irama pembangkang yang ala-ala vendalisme.

Agar kasar juga cara Guan Eng mengupas isu berkenaan yang terkena ke atas batang hidung Fadhlina. Guan Eng kurang senang dengan jawaban atau penjelasan Fadhlina berhubung isu berkenaan dengan beranggapan menteri itu sebagai bercakap seiringan dengan nada Pas dan pemuda Umno, lupa nama. Dalam bahasa lain Guan Eng tidak senang dengan keputusan dibuat menteri menghalang dana untuk sekolah Cina disaring halal haramnya walhal apa dilaksanakan itu sudah merupakan keputusan, ada pekeliling.

Guan Eng sampai terlepas cakap, (mungkin kerana geram sangat), mengingatkan Fadhlina bahawa dia Menteri Pendidikan kerajaan PH bukan menteri Pas atau pemuda Umno. Disinilah kalau boleh dikatakan ada sedikit elemen perkauman, sebab Pas adalah parti Melayu dan ketua Pemuda Umno juga Melayu, tidak sepatutnya Guan Eng babitkan begitu.

Bagi Guan Eng jawaban Fadhlina itu walaupun berdasarkan pekeliling yang ada sebelum ini ia tidak memihak kepada masyarakatnya, sekolah venekular. Disinilah kalau dimengertikan bahawa semangat chauvenis Guan Eng kuat.


Sindiran bercili oleh Guan Eng itu memedihkan Fadhlina, apa lagi sebagai seorang wanita yang mudah terangsang dan sensitif terasa dengan bedalan Guan Eng itu. Terasa atau tidak sampai seorang pegawainya, Setiausaha Politik Atiqah Syariah Shahruddin yang jarang bercakap dan dikenali wajahnya ikut sama bangkit jawab membela bosnya dengan menyindir Guan Eng sebagai hipokrit.

Kata Atiqah Syairah sudah empat dekad Guan Eng berkhidmat di peringkat negeri dan persekutuan, sepatut mahir dalam menguruskan krisis dan bertindak sebagai negarawan, bagi mengelak isu yang menyumbang ketegangan kaum. Benar isu itu jika tidak diurus dengan baik boleh mencetuskan sentimen perkauman. Sebagai veteran Guan Eng sepatutnya mendingin dan menyamankan keadaan bukan membakar.

Bagi Atiqah Guan Eng tidak perlu membangkitnya lagi kerana ia sudah dibincang dalam Jemaah Kabinet dimana turut dibincang oleh wakil DAP yang berada alam kabinet. Benda sudah diputus kenapa diperpanjangkan.  Hal inilah menyebabkan Atiqah menganggap Guan Eng hipokrit.

Betullah kalau Atiqah membela bosnya, itu tugasnya, tetapi mungkin ada hal yang boleh diperbetulkan atau diperhalusi sebelum berpolemik. Mungkin sebab dia orang baharu belum penuh pengalaman dan reti sangat tektikal politik, beliau sepatutnya tidak mudah terpanggil untuk layan Guan Eng ke tahap itu. 

Atiqah perlu tahu dan tahu baca kenapa tiba-tiba saja bekas Ketua Menteri Kewangan itu mengungkit hal berkenaan. Politik ini penuh dengan tektikal dan seni dik! Saya tidak percaya kalau Guan Eng tidak mengetahui apa yang sudah diputuskan dalam kabinet meskipun beliau berada di luar. Sebagai pengerusi DAP dia perlu tahu semuanya, setiap detik apa yang berlaku membabitkan parti wajib sampai ke pengetahuannya.

Guan Eng kini sudah kian terpinggir dari partinya dan bermasalah, pintu penjata untuknya sedang terbuka. Dia bukan lagi seorang berkuasa dalam DAP, walaupun destinasi Lim masih menguasai DAP. Jadi untuk tidak menjadikan dia berlalu begitu saja dan dilupakan dia harus melakukan sesuatu. Bercakap sesuatu yang boleh menimbulkan polemik dan isunya apa lagi menyentuh sensitiviti orang Cina hal yang ditunggu-tunggunya. Realiti diri dan politik Guan Eng ini perlu diketahui.

Saya yakin Guan Eng mengerti apa yang berlaku, dan adalah silap kalau Atiqah menganggap dia tidak faham. Dia sengaja buat-buat bodoh. Sebagai orang lama dia cukup faham. Kenapa beliau bersikap demikian kerana ingin mendapat perhatian dan mahu dianggap hero dalam masyarakat Cina. 

Ketika ini sedang berlaku perubahan sikap dalam DAP daripada sebuah parti radikal kepada parti yang terbuka dan sedarhana sesuai dengan iklim politik negara. Anthony Loke yang kini merupakan Setiausaha Agung parti sedang menaturalisasikan aliran dalam DAP. Bukan sahaja sistem pentadbiran dan sikap bernegara di reformkan, DAP juga akan melalui dan sedang melalui proses berkenaan. Salah satu ialah DAP mahu lebih ramai Melayu menganggotai parti tersebut sebagai dijadikan denak.

Apa bila Atiqah melayani Guan Eng demikian ia tidak merubah keadaan, sebaliknya ia memberi kredit percuma kepada Guan Eng. Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang dan ahli parlimen Bagan itu sangat suka kepada cara Atiqah itu kerana memberi peluang kepadanya untuk bersuara dan membolehkan orang mengingatinya terus memperjuangkan kepentingan Cina. Guan Eng memang mencari-cari ruang untuk membolehkan dia bersuara. Dia mahu masyarakat Cina melihatnya sebagai hero. 

Justeru Atiqah perlu memahami akan psikologi politik dan juga seni hipokrasi politik. Perlu tahu dan bijak bagaimana untuk membunuh sesuatu itu secara senyap. Cara bagaimana sel kanser membunuh penghidapnya harus dipelajari dan dituntut oleh orang-orang seperti Atiqah itu dan juga Fadhlina serta tokoh -tokoh muda politik, sebagai orang baru mereka penuh emosi dan mudah diperangkap atau tercongkit. Tahu apa makna tercongkit, mudah melatah la.

Berpolitik tidak perlu atau kena ikut buku seratus peratus. Bacaan huruf dan angka dalam politik tidak berurutan a, b, c, atau 1, 2, dan 3. Kejujuran dan keikhlasan adalah pengucapan tetapi bukan sesuatu yang semuanya dipraktikan? Fahaman Machiavellisme walaupun pemikiran dan pegangan itu bertentangan dengan aqidah kita perlu diarifi.

Jangan sesekali anda merasakan anda hebat kerana jawatan dan kedudukan, ketahuilah kedudukan dan jawatan itu diperolehi bukan kerana pencapaian dan kehebatan anda dalam politik, melainkan kerana ada pertimbangan atau asas-asas lain yang diluar kalam politik. Hati-hati. [wm.kl. 7:19 pm 27/07/2024]

No comments:

Post a Comment