Wednesday, July 24, 2024

Sallahuddin perunding penubuhan kerajaan Perpaduan

CATATAN MALAM

Saifuddin terhimbau 
kenangan bersama Allahyarham.
MALAM tadi telah diadakan majlis tahlil genap setahun pemergian Salahuddin Ayub 23 Julai 2023. Majlis berlangsung di Bangi Golf Resort, Bangi dengan dihadiri kira-kira 200 para jemputan terdiri daripada para sobat terdekat Allahyarham.

Turut sama hadir ialah balu Allahyarham Datin Fatimah Taha bersama beberapa anggota keluarganya termasuk adik Allahyarham Rozali Ayub yang datang jauh dari Tanjung Piai.

Turut ikut meraikan majlis malam tadi, Ustaz Ahmad Awang, Dr Mujahid Yusof Rawa, Khalid Samad, Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin dan beberapa ahli parlimen daripada Amanah; Azli Yusof, Suhaizan Kayat dan DAP, Syahredzen Johan. 

Kelihatan hadir juga bekas ahli parlimen Mahfuz Omar, Abdul Khalid Samad, ada sama Fuziah Salleh yang merupakan timbalan kepada Sallahuddin. Majlis itu atas inisiatif Yayasan Rahmah Malaysia.

Selain diadakan tahlil ringkas, majlis diisi dengan penayangan klik video mengenang Allahyarham serta pengkisahan mengenang Allahyarham yang disampaikan oleh tiga jemputan istimewa, Saifuddin Nasution Ismail sebagai rakan reformasi, Hannah Yeoh rakan kabinet  dan Ameer Ali Mydin individu pencetus dan menggerak program RAHMAH  bersama Allahyarham.

Antara jasa besar Sallahuddin dan menjadi legasinya ialah mewujudkan skim Rahmah, menyediakan keperluan asas khususnya makanan untuk rakyat dengan harga yang murah. Bantuan Rahmah yang kini diperluaskan kepada pelbagai kemudahan asas merupakan inesiatifnya bersama pengusaha rangkaian pasar raya Mydin itu.

Ketika berucap mengenang Sallahuddin, Ameer Ali Mydin menceritakan bagaimana bersungguhnya Allahyarham untuk mewujudkan skim Rahmah bagi membantu rakyat. Di sini menunjukkan Allahyarham sangat prihatin dan peduli kepada kebajikan untuk rakyat. Kedudukannya sebagai menteri benar-benar dimanfatkan untuk kebajikan rakyat. Atas usaha itu kini semua rakyat dapat menikmati buah Rahmah itu.

Hannah Yeoh merupakan rakan baik Allahyarham ternyata begitu terkesan dengan kehilangan bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu. Beberapa kali dia jadi sebak dan  mengesat mata takkala mengimbau mengenai Sallahuddin.

Menurut Hannah Yeoh ketika beliau diserang ekoran penerbitan sebuah buku yang menimbulkan kontroversi, Sallahuddin antara rakan kabinet pertama yang membelanya. Katanya kepercayaan Sallahuddin kepadanya dalam membela serangan itu sangat diingatinya.

“Apabila Sallahuddin ingin pertahankan buku saya itu, saya bertanya kepada beliau apakah sudah membaca buku saya. Jawab Sallahuddin saya tidak perlu baca sebab saya kenal you," cerita Hannah Yeoh mengisahkan saking rapatnya persahabatan mereka berdua. Saat inilah Menteri Belia dan Sukan itu terkedu sejenak. Baginya kehilangan Sallahuddin tidak akan ada gantinya. 

Saifuddin Nasution pula menceritakan sesuatu hal yang tidak pernah diketahui umum sebelum ini, dimana Allahyarham bersamanyalah menjadi perundingan ke arah kerjasama PH dengan BN sehingga tertubuhnya kerajaan Perpaduan. 

Cerita Saifuddin setelah PH tidak mencukupi jumlah untuk menubuhkan kerajaan, PH mencari jalan ke arah penubuhan kerajaan kerana sudah tidak betah lagi untuk jadi pembangkang selama lima tahun lagi. Maka beliau bersama Sallahuddin yang diberi tanggungjawab untuk berunding dengan BN untuk menubuh kerajaan bersama.

"Setelah (PH) sepakat bahawa tidak mahu lagi jadi pembangkang, maka Anwar arahkan agar berunding dengan BN atau mencari komponen lain bagi mencukupkan jumlah. Kerja berunding ini saya dan Sallahuddinlah diberikan tanggunjgawab," cerita Sallahuddin.

Dari pengkisahan Saifuddin itu jelas menunjukkan antara individu yang berperanan besar membawa terbentuknya kerajaan Perpaduan hari ini adalah dirinya dengan dibantu Sallahuddin. Saifuddin dalam menilai Allahyarham rakan baiknya itu, menyifatkan sebagai seorang yang cukup penyabar, prihatin, tidak tahu marah dan punya diplomasi yang tinggi.

Semantara moment terakhir sebelum berpisah buat selama-lamanya dengan Sallahuddin, ialah pertemuan disuatu hari dimana pada pertemuan itu mereka membicarakan soal kesihatan tanpa mendahulu topik rutin lain. “Pada pertemuan akhir itu kami bertanya khabar tentang kesihatan masing-masing, tanya jantung, darah dan sebagainya,” cerita Saifuddin sambil membekamkan kesebakannya. 

Saat penyangan klik video saya perasaan ramai yang terharu dan sedih menyaksikan video berdurasi tidak sampai 10 minit itu. Banyak mata yang termasuk habuk dengan tiba-tiba menyaksikan video nostalgik itu.

Dan saya sendiri sejak sebaik melangkah masuk ke dewan Kenanga tempat berlangsung majlis itu, seperti ternampak dan terasa yang sedang melayan dan bersalaman menyambut tetamu kemudian mengheret ke meja adalah Salahuddin. Berjurus-jurs saya teralpa bahawa beliau sudah tiada. Perasaan itu terhimbau begitu kerana setiap kali saya hadir di majlisnya, beliau sendirilah datang menyambut dan membawa ke kerusi. Itulah lagak Sallahuddin setiap kali saya ke majlisnya.

Saya kira bukan saja saya terhimbau dengan situasi demikian, tetapi semua mereka yang akrab dengannya dapat merasai keadaan itu, betapa luhur akhlak dan peribadinya. 

Secara peribadi saya kalungkan terima kasih banyak kepada Yayasan Rahmah Malaysia, khasnya kepada Zulkefli Mohamad dan Bukhari Bachok serta setiap individu rakan sobat Allahyarham yang menjayakan majlis berkenaan. Dengan adanya majlis seperti itu, ia menjadi ruang pertemuan para sahabat dan rakan-rakan Allahyarham bagi dijadikan bukti dan kelangsungan ingatan kita buat Sallehuddin Ayub selama-lamanya. [wm.kl. 8:25 am 24/07/2024]

No comments:

Post a Comment