Sunday, August 5, 2007

Lagi Kisah Jamnapari

Exco beli Jamnapari RM66,400.00 untuk kegunaan sendiri!

MSO

"Berbalik kepada kisah Jamnapari yang menjadi kegilaan tadi, ia sesuatu yang mengejut dan mengkagumkan bila mana ada orang sanggup mengeluarkan puluhan ribu ringgit semata-mata minat kepada Jamnapari."

KEGILAAN orang Kelantan kepada ternakan kambing Jamnapari sungguh mengkagumkan. Perkara ini sudah menjadi hobby yang menguntungkan. Seluruh Kelantan kini bercakap pasal Jamnapari, kambing import dari Indonesia. Di kedai kopi, kedai gunting, pengkalan perahu sampailah ke pejabat Exco di SUK semuanya bercakap dan bercerita pasal Jamnapari.

Saking hebatnya ada orang yang sudah miang dan gila macam Jamnapari jantan, sanggup jadi kasar sampai tembak menembak pasal Jamnapari.

Elok dan baguslah. Dalam sekejap masa saja Jamnapari menjadi sebutan ramai di Kelantan. Lagaknya sama seperti ayam serama yang menjadi kegilaan siang dan malam orang Kelantan tidak lama dulu.

Cerita gila ayam serama ini pun melucukan. Ada orang sanggup menyimpan ayam serama dalam kelambu sementara dia sendiri tidur di luar kelambu. Begitu juga dengan kegilaan kepada burung ketitir. Peminat sanggup menyiapkan sarang ketitir berharga ribuan, sedang jemburan rumahnya bergoyang dan geleger patah tidak berganti.

Hendaknya kisah Jamnapari ini tidak jadi seperti kisah ayam serama yang cantik, menarik berharga sampai ratusan ringgit tidak sepadan dengan berat badannya. Ataupun jadi kisah gila burung ketitir tadi.

Mulai dikenali

Kehebatan Jamnapari menjadi sebutan itu semuanya bermula daripada projek Jihad Ternak di Rong Chenak, To Uban Pasir Mas Kelantan. Sejak berita dan laporan projek itu disiarkan di media massa, ia mula menjadi sebuatan dan perhatian. Jamnapari yang sebelum ini yang asing di kalangan rakyat Kelantan kini sudah mula dikenali dan diminati.

Bagaimana pun sayang seribu sayang projek yang diperkenalkan Kerjaaan Negeri itu kini ada sedikit masalah. Masalah yang bermula tiga bulan lalu nampaknya tidak berkesudahan dan belum diselesaikan. Perbalahan atau perpecahan antara rakan kongsi yang bertanggungjawab dalam melaksanakan projek berkenaan tidak ada penyelesaian dan kesudahan tuntas.

Ini semua kerana gara-gara orang yang menjadi jurunikah (membawa projek berkenaan) tidak mahu bertanggungjawab dan mengambil sikap lepas tangan. Khabarnya kisah Jihad Ternak ini sudah masuk ke dalam bangunan mahkamah. Datuk Mohd Amin Pipet dan Mohamad Fauzi Daud yang menjadi rakan kongsi Akademi Pembangunan Keluarga Bahagia Berhad telah membuat injuksi di Mahkamah Tinggi berhubung projek berkenaan pada 29 Julai lalu dan beliau berjaya mendapat injuksi berkenaan.

Berbalik kepada kisah Jamnapari yang menjadi kegilaan tadi, ia sesuatu yang mengejut dan mengkagumkan bila mana ada orang sanggup mengeluarkan puluhan ribu ringgit semata-mata minat kepada Jamnapari.

Moral cerita mengenai kisah Jamnapari ini menunjukkan rakyat Kelantan tidak miskin. Siapa kata rakyat Kelantan sesak (miskin) kalau untuk membeli binatang ternakan sekadar hobby pun mereka sanggup keluarkan wang puluhan ribut ringgit.

Kalau rakyat Kelantan sesak dan miskin, tidak mungkin mereka akan mampu untuk memiliki Jamnapari lebih daripada seekor. Bayangan kalau seekor Jamnapari pure berharga antara RM1,200 hingga RM8,000. Bayangkan berapakah kalau untuk 20 ekor?

Bergadai

Namun kerana kegilaan rakyat Kelantan sanggup bergadai bergolak untuk membeli atau memiliki Jamnapari. Mereka akan bangga kalau di tepi rumah ada kandang kambing yang di dalamnya tercokoh Jamnapari yang setinggi paras pinggang dan berjanggut sampai ke leher!

Kegilaan itu bukan saja di kalangan peminat haiwan di kalangan rakyat bawahan. Tetapi ia juga turut menjadi minat dan kegemaran seorang Exco Kerajaan Negeri. Exco ini telah mengeluarkan sebanyak RM66,400.00 (Enam puluh enam ribu empat ratus) untuk memiliki Jamnapari.

Bayangkan betapa minatnya Exco berkenaan. Kalaulah semua Exco serupa dengan Exco ini, ini bermakna ternakan dan perniagaan Jamnapari di Kelantan akan mengutungkan. Sekejap masa sahaja, Jamnpari boleh menjadi pemangking ekonomi Kelantan.

Jangan soal di mana Exco berkenaan mendapat wang untuk membayar kambing-kambing berkenaan? Mungkin beliau sudah menabung begitu lama untuk membeli kambing-kambing itu. Hendak seribu jalan tidak hendak seribu dalih! Kan...kan!

Sesiapa sahaja sanggup melakukan apa saja untuk memiliki haiwan kegemaran masing-masing. Kalau perlu bergadai bergolak kerana hobby, mereka akan lakukan. Kisah melurut gelang di tangan bini dan menanggal loket di leher bini kerana semata-mata untuk memenuhi kepuasan sendiri tidak asing dalam kehidupan orang Melayu.

Kalau Exco berkenaan sanggup menghabiskan wang sebanyak RM66,400 tidak menghairankan. Lagipun tentunya Exco berkenaan tidak sampai kena gadai loket atau gelang tengkuk bini. Sebagai Exco tentulah dia tahu bagaimana untuk mencari wang sebanyak itu dalam masa tidak sampai 45 minit!

Cuma apa yang diharapkan janganlah wang yang digunakan untuk membeli Jamnapari sekadar memenuhi hobby sendiri itu melibatkan wang rakyat. Jangan sesekali menggodamkan wang rakyat untuk kepentingan diri! [klia 29/7/07]

1 comment:

  1. ghoyak jjelah slalu sapa nama exco tuh, senang ambo nak wi nnapa tawar

    ReplyDelete