Tuesday, August 28, 2007

Ulasan Berita

Umno Parti Primitif dan Anak Gelap!
MSO

PARTI nasional sekular, Umno nampaknya semakin celaru dan hilang harga diri. Ada beberapa fakta mengenai parti berkenaan masih terus menjadi perdebatan. Ini menjadikan Umno masih mencari wajahnya sendiri. Begitu juga anjakan yang berlaku dalam parti tersebut menggambarkan tanda-tanda ia semakin primitif dan terkebelakangan. Kalau orang berjalan ke hadapan, Umno mundur dan tergelecah ke belakang.

Lihat sahaja bagaimana mutu dan amalan demokrasi dalam parti berkenaan. Berbanding dengan parti-parti politik lain, Umno paling tidak demokratik di dalam pilihan raya dalamannya – pemilihan parti. Usahkan banding dengan parti-parti Cina – MCA atau Gerakan yang menunjukkan sifat progresifnya, tetapi cukup bandingkan saja dengan parti Islam moderate Pas. Pas lebih demokratik dan adil dalam proses memilih syaikulnya.

Proses perubahan dalam Umno bukan mengembirakan tetapi lebih mendukacitakan. Perkara paling nyata sekali ialah hak-hak dan kewajiban ahlinya dikekang dan dinafikan sama sekali. Salah satu perubahan ataupun amalan ialah sistem kuota di dalam pemilihan pemimpinnya benar-benar merampas dan mencabuli hak demokrasi ahlinya. Sistem itu benar-benar tidak demokratik dan inilah menjadikan Umno buruk dan berbau busuk mengarahkan ke diktatorism.

Menerusi sistem ini mana-mana ahli yang bercadang untuk bertanding merebut jawatan dikenakan kuota pencalonan dengan kadar tertentu. Presiden memerlukan 30% pencalonan (atau kira-kira 58 bahagian) timbalan presiden 20% (38 bahagian) Naib Presiden 15% (20 bahagian) ahli MT 5% (10 bahagian), dan Ketua Wanita 20% (38 bahagian) Naib Ketua Wanita 15% (20 bahagian).

Ketua Pergerakan Pemuda 20% (38 bahagian), Naib Ketua Pemuda 15% (20 bahagian) manakala Ketua Puteri dan Naib Ketua, manimum dua pencalonan atau dua bahagian.

Perpaduan

Untuk menghalalkan sistem itu berbagai alasan dikemukakan. Antaranya ialah untuk mengelakkan berlakunya perpecahan dalam Umno. Umno masih beranggapan pemilihan didalam parti berkenaan akan membawa perpecahan. Ini sekaligus menjelaskan bahawa walaupun Umno sudah 60 tahun usianya, namun masih belum wujud perpaduan sejati di dalam pertubuhan itu.

Sistem kuota mula diperkenalkan selepas tahun 1987 itu. Tegasnya selepas presiden Umno ketika itu ditentang hebat oleh Tengku Razaleigh Hamzah. Tujuan sistem itu diperkenalkan ialah untuk memberi imuniti kepada presiden. Imuniti itu nampaknya terus digunapakai sampai kini.

Gara-gara itu juga Umno semacam ditadbirkan seperti sebuah syarikat sendirian berhad. Di mana presidennya berhak melakukan apa saja tanpa perlu merujuk kepada ahli. Kuasa yang diberikan (sebenarnya diambil) terlalu besar. Presiden boleh memecat sesiapa saja tanpa merujuk kepada ahli. Ini termasuk juga memecat orang yang dipilih secara demokrasi (ala Umno) di dalam parti berkenaan.

Misalnya presiden boleh mengantungkan keahlian mana-mana ahli yang diingininya. Memecat atau menukar mana-mana ketua bahagian parti berkenaan yang tidak sebulu dengannya. Walaupun ketua bahagian itu dipilih oleh peringkat bahagian oleh ahli secara demokrasi, namun kuasa presiden boleh memecatnya.

Apa yang berlaku ke atas bekas Ketua Umno Pasir Mas, Ibrahim Ali, bekas Ketua Umno Kota Bharu, Zaid Ibrahim dan bekas ketua Umno bahagian Tititwangsa, Astaman Abdul Aziz adalah contoh klasik membuktikan akan kerakusan dan kediktatoran presiden Umno.

Tetapi anihnya kebobrokan ini masih boleh diterima oleh ahli Umno. Apakah mungkin mereka itu semuanya terdiri daripada orang buta hati dan juga buta mata ataupun hidup dan pegangan mereka seratus peratus kepada wang?

Difaraidkan

Lebih malang lagi sistem berkenaan telah memberi kesan kepda pentadbiran negara apabila kebetulan pula presiden itu adalah Perdana Menteri. Budaya dalam Umno terbawa dalam pentadbiran negara dan ini secara tidak langsung merosakbinasakan negara. Sebab itulah jika dilihat Perdana Menteri mentadbir negara hari ini seperti beliau mentadbir Umno dan rumah tangganya sendiri! Harta negara dan rakyat difaraidkan seperti harta sendiri.

Pemandangan itu sudah lama berlaku dalam Umno tetapi ia masih tidak disedari oleh pengkagum parti berkenaan.

Terbaru timbul pula soal sejarah dan identiti Umno yang terus dipertikai dan didebatkan. Polemik kecil telah berlaku antara Mohamad Khir Toyo (foto) dengan beberapa individu tertentu khasnya dari Johor berhubung sejarah penubuhan Umno. Polemik ini menjelaskan bahawa Umno bukan sebuah parti yang syumul.

Kesejarahan hidupnya masih kabur dan tidak menentu. Khir mendakwa parti itu ditubuhkan di Kelab Sultan Sulaiman Kg Baharu, Kuala Lumpur (Selangor), sementara orang Johor tetap mempertahankan Umno ditubuh di istana Sultan Abu Bakar, Johor Bharu, Johor.

Mungkin polemik itu kecil tetapi ia memberi natijah besar kerana ia melibatkan sejarah dan serentak melambangkan akan kedangkalan akal fikir Umno. Jadi kalau mengenai tarikh lahir Umno pun ia masih mengelirukan, maka apa lagi tindakan, visi dan agenda untuk memperjuangkan Melayu dan negara yang dibawa oleh Umno lagi mengelirukan dan kosong. Kerana tidak mungkin orang buta boleh menunjukkan jalan benar dan lurus kepada orang celik!

Kita faham kenapa Khir membawa isu itu. MB Selangor itu tidak berpuas hati dan merasakan kedudukannya sebagai Pengerusi Perhubungan Umno tidak dihormati oleh pucuk pimpinan apabila permintaanya untuk memenuhi harapan dan kehendak Umno Selangor tidak dilayani.

Perkara paling dirasai Khir ialah mengenai ketiadaan seorang pun menteri di kalangan Umno dari Selangor. Selepas Shafein Salleh digugurkan sebagai Menteri Pengajian Tinggi, Selangor tidak mempunyai seorang menteri melainkan dua orang timbalan meneri, Noh Omar (Pelajaran) dan Mohd Zain Abdullah (Kerja Raya).

Mungkin Khir sengaja mengungkitkan itu untuk memperlihatkan Selangor juga berjasa kepada Umno dan orang Melayu. Dari itu sewajarnya kalau Perdana Meneri turut sama menaikkan pangkat timbalan menteri dari Selangor menjadi menteri.

Kesimpulannya jihad Khir itu adalah untuk Selangor sekaligus ia cuba mendedahkan bahawa Umno itu sendiri belum ada identiti yang jelas! Apapun usaha Khir untuk menarik perhatian Umno dan Perdana Menteri itu tidak sedikitpun dipandang. Apakah ini memberi gambaran bahawa Khir juga berada dalam keadaan delima menjelang pilihan raya umum akan datang! Bahawa selepas pilihan raya kelak beliau akan turut kehilangan gelaran YAB Menteri Besar Selangor!

Terserah apa sebenarnya natijah di sebalik itu, tetapi yang jelasnya Umno yang dibanggakan hari ini adalah ‘anak gelap’ yang mana tarikh, tempat dan bapa yang melahirkannya masih belum ketentuan. [wm.kl 28/08/07]

No comments:

Post a Comment