Sunday, August 19, 2007

Ulasan Semasa

Pemikiran dan Politik:
Anak Musa Umno dan Anak Musa Pas

MSO

"Peluang yang diberikan Mingguan Malaysia itu telah memberi kesempatan baik untuk rakyat membuat penilaian ke atas pemikiran politik kedua anak Musa itu. Ada semacam sedikit keadilan dalam penyiaran itu kerana ianya memberi laporan dan juga ruang yang sama rata."

AKHBAR Mingguan Malaysia hari ini (19 Ogos) telah menyiarkan pendapat dan pandangan politik dua orang anak Musa di Kelantan. Satu anak Musa yang mendokong perjuangan nasionalis sekular (Umno) dan satu lagi oleh anak Musa yang mendokong perjuangan Islam moderate (Pas).

Kedua-dua anak Musa ini berada dalam keadaan benar-benar tertekan hari ini. Kedua mereka tertekan kerana untuk menyelamatkan maruah politik masing-masing. Keduanya saya pernah sifatkan sedang berlari untuk mencecahkan diri ke pita penamat. Keduanya berambisi besar untuk menjadi jagoan lari 100 meter alias Menteri Besar Kelantan.

Keduanya kini sedang mempamirkan kemahiran berfikir dan bertindak. Mempamirkan sifat-sifat dan karektor sebagai seorang pemimpin berhamba rakyat.

Dari segi usia anak Musa dari Umno ternyata lebih tua dan banyak pengalaman politik berbanding dengan anak Musa dari Pas. Anak Musa dari Umno sudah berusia 51 tahun, sementara anak Musa dari Pas, berusia 48 tahun. Mereka dibezakan usia hanya dua tahun saja.

Walaupun seseorang itu banyak pengalaman, bukan bermakna ia matang dan sihat seluruhnya!

Memang anak Musa Umno banyak pengalaman, baik dalam politik ataupun pentadbiran. Pengalaman itu juga kalau hendak diibaratkan kekayaan dan harta benda, anak Musa dari Umno ternyata lebih kaya dan mewah hidupnya berbanding dengan anak Musa dari Pas.

Kerakusan

Mungkin ukuran disegi kemewahan hidup bukan menjadi perkara pokok untuk seseorang muncul sebagai pejuang dan pemimpin rakyat marhean. Namun perkara ini tidak boleh diperkecilkan. Kemewahan melambangkan kerakusan hati dan jiwa seseorang manusia!

Bila manusia sudah hidup mewah menyebabkan dia terlupa untuk menjenguk rakyat miskin. Aktiviti kehidupannya berlegar kepada aktiviti yang berjois. Lupa ke pada tempat asal dan juga kadang-kadang lupa kepada denai-denai yang pernah dilaluinya.

Kemewahan juga selalu menjauhkan seseorang itu daripada sangsara dan kesakitan orang miskin. Kemewahan juga menjadi seseorang ego dan sombong dan merasakan apa yang dianggap besar sebelum ini adalah kecil dan tidak memberi apa-apa faedah kepadanya lagi.

Jadi soal kemewahan ini bukan perkara yang boleh diletakkan ke tepi tanpa mengambil kira dalam memilih seseorang untuk menjadi pemimpin rakyat.

Anaka Musa dari Umno lebih mewah. Ini tampak pada stail dan juga pembawaan dirinya. Dia juga suka menunjuk-nunjuk kemewahannya. Orang yang rapat dengannya akan menyedari sifat suka menunjuk-nunjuknya itu.

Pengalaman dan peluangnya yang agak lama berada dalam pentadbiran dan pernah memegang jawatan menteri selama lapan tahun memberi kesempatan baik kepadanya untuk menghayati hidup mewah dan juga menghimpun duit untuk anak-anak dan isteri.

Mereka sangat berbeza dalam soal kemewahan ini. Anak Musa Umno gemar kepada eksesori hidup yang mewah dan mahal seperti kereta, arlogi, kasut, baju seluar dan sebagainya. Tidak dengan anak Musa daripada Pas, yang mengambil eksesori sedarhana sahaja. Baginya cukup kalau eksesori itu untuk keperluan, bukannya untuk kemewahan dan menunjuk-nunjuk.

Khabarnya anak Musa Umno memiliki beberapa buah kereta, daripada jenis sport kepada yang mewah berharga hampir satu juta sebuah. Setengah daripada kereta anak Musa Umno tidak terbawa pun! Masih ada pengundi di Kok Lanas tidak pernah melihat kereta Mercedez anak Musa Umno.

Manakala anak Musa di dalam Pas pula baru beberapa tahun saja bertapak dalam bidang kekuasaan. Itu pun baru hanya menjadi Exco belum habis sepenggal lagi. Masih belum pandai mencari duit untuk simpanan anak-anak dan keluarga. Rumahnya di belakang kubur kampung Kota serdahana sahaja. Cuma dua tiga bulan ini saja kusyennya bertukar baru, sebelum ini kusyen kayu sahaja.

Peliharaan

Dia juga tidak punya kereta sebanyak anak Musa Umno. Kalaupun anak Musa Pas ini lebih sedikit daripada anak Musa Umno ialah dari segi memiliki haiwan peliharaan. Anak Musa Pas mempunyai beberapa ekor kambing Jamnapari serta beberapa ekor burung peliharaanya seperti wak-wak, belibis dan burung ayam-ayam. Khabarnya tenggeling dan kera juga ada di rumah anak Musa dalam Pas itu.

Peluang yang diberikan Mingguan Malaysia itu telah memberi kesempatan baik untuk rakyat (Kelantan) membuat penilaian ke atas pemikiran dan futuristik politik kedua anak Musa itu. Ada semacam sedikit keadilan dalam penyiaran itu kerana ianya memberi laporan dan ruang yang sama rata.

Berberapa topik diajukan kepada mereka, ini termasuklah mengenai "gimik" yang di buat oleh anak Musa Pas, yang paritnya mahu menawan 40 kerusi Parlimen, dan juga mengenai peluang partinya pada pilihan raya akan datang. Soalan sama juga diajukan kepada anak Musa Umno.

Mengenai sasaran yang dibuat oleh anak Musa Pas, anak Musa Umno menganggapnya ia adalah pandangan pribadi anak Musa Pas. “Kenyataan itu 100 peratus peribadi "anak Musa" Pas dan tidak ada kena mengena dengan partinya,” begitulah kata anak Musa Umno.

Anak Musa Umno tidak menerima sasaran itu sebagai sasaran autentik daripada Pas dan ia tidak perlu bimbang.

Bagi anak Musa Pas pula beliau mempertahankan kenyataan itu sebagai satu strategi. Beliau membuat kenyatan itu sebagai sikap merendahkan diri dengan tujuan agar orang-orang partinya bekerja kuat. Katanya kalau orang partinya merasakan sasaran itu sedikit, maka mereka perlu bekerja lebih kuat bagi mencapai kemenangan besar.

Dari sini apa dapat dilihat dan dinilai bahawa politik anak Musa Pas, lebih advance dan bijak berbanding politik anak Musa Umno. Anak Musa Umno tidak menolak pandangan itu dengan pedapat yang pratikal, sebaliknya cuba memburukkan atau meremehkan politik anak Musa Pas.

Menang

Mengenai peluang kedua parti masing-masing di Kelantan, anak Musa Umno begitu yakin BN akan menang di Kelantan. Menurutnya parti itu akan menang antara 33 hingga 35 kerusi DUN dan 12 kerusi Parlimen.

Kenyataan itu agak melampau dan berbau kesombongan dan ketakburan.

Biasanya orang takbur akan mengalami nasib sama dengan orang tamak. Macam kata pantun Melayu; Dalam semak ada duri, ayam kuning membuat sarang; Orang tamak selalu rugi, macam anjing dengan bayang-bayang.

Nampaknya anak Musa Pas lebih berhati-ahti dalam mengeluarkan kenyataan dan penuh diplomasi dan merangsangkan. Walaupun kenyataan anak Musa Pas, boleh dipertikaikan, namun kerana ianya dikeluarkan dengan lunak dan rasional menyebabkan orang tidak merasakan akan ketamakan pandangannya.

Kelebihan juga ternampak kepada anak Musa Pas apabila beliau dapat mengubah lontaran anak Musa Umno yang beranggapan Pas kini berpecah. Dakwaan itu menampakkan anak Musa cuba menutup apa sebenarnya yang berlaku dalam Umno pada masa ini. Yang berpecah bukan Pas tetapi Umno.

Terserlah juga kematangan dan genius politik anak Musa Pas apabila beliau membiadas kenyataan anak Musa Umno mengatakan peluang Pas untuk mempertahankan Kelantan sukar kerana waktu ini tidak ada krisis besar dalam politik negara. Bagi anak Musa Pas, untuk Pas menang dalam pilihan raya bukan seharusnya menunggu adanya krisis seperti tahun 1999 dan sebagainya baru boleh menang.

Tetapi menurutnya Pas juga berpeluang menang, apabila Kerajaan lemah serta tidak melakukan anjakan perubahan positif kepada rakyat. Maksudnya kelemahan kerajaan disebabkan kepandiran pemimpin akan diukurnilai oleh rakyat dan ia bakal memberi advantage kepada Pas.

Demikian juga anak Musa Pas mematahkan misi politik Umno yang menjadikan projek sebagai modal dan jerat politiknya. Katanya, pembangunan yang dilakukan kerajaan hari ini tidak seimbang antara rakyat bandar dan luar bandar. Walaupun kerajaan buat Koridor Utara (NCER), tetapi ia tidak memberi manfaat kepada rakyat marhaen golongan petani, nelayan, penjuluk kelapa ataupun penagih kambing Jamnapari.

Baginya setelah tiga tahun Abdullah Ahmad Badawi menjadi PM, tidak ada projek yang benar-benar dapat membantu menyelesaikan masalah rakyat, dan yang ada bersifat sementara atau subjektif.

Kesimpulanya membaca pandangan, idea dan agumentasi politik kedua anak Musa itu, menjelaskan bahawa anak Musa Pas lebih kreatif dan lincah dalam melarikan diri daripada jerat-jerat yang dipasangn oleh wartawan yang menginterviunya itu.

Manakala interviu itu mendedahkan pandangan anak Musa Umno sudah klise, statik dan terdorong untuk menyerang secara peribadi dan penuh ego tanpa berpijak kepada intelektual politik sebaliknya terjurus kepada euphoria semata-mata. [wm.kl 19/8/07]

No comments:

Post a Comment