Sunday, December 2, 2007

Kesibukan

Esok InsyaAllah Saya Kembali Mengisi Blog

SEJAK Jumaat lalu hingga hari ini (Ahad) jadual harian saya sibuk sedikit. Ada agenda yang tiba-tiba datang dan terpaksa dibereskan segera. Dalam keletihan kena drive kereta sendiri untuk pulang ke kampung di Kelantan. Gara-gara itu blog tidak terisi dan kontang untuk beberapa jam.

Jangan bimbang kepulangan kali ini bukan urusan kambing jamnapari atau balik untuk mengintip pegerakan politik di sana. Tetapi hal lain, hal peribadi yang tidak ada kena mengena dengan manusia lain. Hal saya dengan Tuhan saya...

Biarlah kisah haiwan berjanggut peliharaan Rasulullah s.a.w. itu dihentikan buat seketika. Anggaplah ia sudah selesai seperti mana kata Exco Pertanian dan Asas Tani, Nik Mazian Mohamad di DUN Kelantan baru-baru ini.

Biarpun kisah binatang berjanggut itu dan para manusia berjanggut dan bermisai yang menimbulkan isu itu di Kelantan sebenarnya masih belum muktamad, tetapi marilah sama-sama kita anggap ianya sudah muktamad.

Disebabkan kuasa dan mood politik Kelantan mahu melihat Kerajaan Pas Kelantan menang dalam pergaduhan mengenai binatang itu kita terima ianya seperti mana dikendaki itu. Sesungguhnya ada pihak yang bimbang kalau kisah jamnaparti diperpanjangkan lagi ia akan mengeruhkan suasana dan menganggu angan-angan banyak pihak.

Untuk seketika juga kisah-kisah mengenai perangai tidak senonoh orang politik juga saya tutup buat sementara waktu. Walaupun banyak kisah dan juga peristiwa yang sampai ke pengetahuan saya akhir-akhir ini dan setengahnya saya alami sendiri sejak beberapa tahun lalu saya tutup juga buat sementara waktu.

Ada beberapa keping gambar yang saya kira menarik dan cukup merujakan sampai ke dalam email saya. Semua orang tidak percaya kalau saya perkatakan mengenai gambar-gambar itu kalau tidak disertakan buktikan. Zaman ini manusia semuanya mahukan kepada fakta dan bukti lebih-lebih lagi mereka yang suka bercakap menggunakan fakta dan angka.

Sebenarnya ada 1001 macam kisah yang ada dalam saku saya tentang feel perangai orang politik. Ianya perlu didedahkan untuk dijadikan pengajaran. Bukan fitnah seperti ditohmahkan itu. Tetapi ia suatu realiti.

Sudah menjadi tabiat orang politik kalau kita hendak tegur mereka, tegurlah dalam tulisan atau menerusi media massa. Kalau cakap secara baik mereka tidak akan mempedulikannya. Saya sudah cuba dan berpengalaman dalam hal ini. Tetapi bila sudah dedah atau tegur dalam media, surat khabar, blog atau buku khusus baru mereka tahu langit tinggi atau rendah.

InsyAllah esok saya akan kembali mengupas dan mencatatkan peristiwa politik semasa di dalam blog ini. Nampaknya sehari dua ini banyak isu-isu menarik untuk disorot, seperti isu Hindraf, amaran Kerajaan untuk gunakan ISA, kerancakan BN membuat dan mengulas isu dan sebagainya.

Esok saya akan kembali bertugas dan mengulas. [wm.kl 9:3- pm 02/12/07]

No comments:

Post a Comment