Thursday, March 19, 2015

Hudud: DAP, MCA jadikan garis selari kepada Pas dan Umno

RENUNGAN MALAM                                                            

Perlulusan (betulkah) Enakmen Jenayah Syariah II (1993) pindaan 2015 oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini sudah dibayangkan akan menjadi isu kontroversi. Hudud akan didendangkan sekali lagi dengan penuh kemeriahan. Ada beberapa sebab kenapa ia akan jadi kontroversi dan panas. Pertamanya ialah kerana enekmen berkenaan mendapat sokongan seratus peratus daripada wakil-wakil BN-Umno di Kelantan.

Kesemua 12 wakil BN-Umno di Kelantan menyokong pindaan enakmen berkenaan. BN menyerahkan kepada Adun Kok Lanas, Md Alwi Che Amat (foto) untuk menjadi jurucakap atau membahas rang undang-undang berkenaan kemudian menyokong pindaan berkenaan.

Ternyata Alwi dapat melaksanakan tugasnya dengan baik dan merujakan rakyat bawahan. Alwi mempamerkan kemahiran berpidoto dan menunjukkan kefaqihannya dalam agama menyamai sesetengah ustaz juzu amma dalam Pas. Saya yakin ramai rakyat Kelantan terpesona dengan Alwi dan mula membuat persepsi baru kepada Umno dipasca banjir emas ini.

Sebanyak empat firman Allah dan beberapa hadith dipetik Alwi untuk mengatakan sokongan. Firman itu semuanya membawa maksud mengajak duduk bersama dan tidak saling tuduh menuduh seperti dulu lagi. Satu anjakan politik baru cuba dipancing oleh Alwi dan Umno.

Dan ucapan paling "menderaa rasa" sekali apabila beliau berkata: "Saya sudah berpuas hati dan redho kalau saya mati kerana dapat melaksanakan tanggungjawab ini (menyokong Hudud)". Alwi juga tidak dapat menahan sebak di dada sehingga ditenangkan oleh rakannya. Simbolisme daripada kata-kata dan penzahiran emosi itu, Alwi gembira apabila mula melihat Pas dan Umno sudah dapat duduk semeja dalam membincangkan perkara kepentingan bersama sekurang-kurangnya di Kelantan.

Saya yang mengenali Alwi sebagai seorang kawan dapat merasai akan keikhlasan itu.

Walaupun bukan semua ahli dan pemimpin Umno menerima baik apa yang berlaku di Kelantan itu, namun setidak-tidaknya mereka menganggap pendirian Umno Kelantan itu tepat pada masa dan keadaanya. Kejadian banjir yang melanda Kelantan, adalah rangsangan kenapa Alwi atau Umno ingin berkerjasama degan Pas dan melupai politik lapok. Alwi dan juga Mustapa Mohamed dapat merasakan yang rakyat Kelantan mengharap kerjasama kedua parti itu untuk kepentingan mereka.

Ketiadaan Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat yang "disula" Umno sebagai enggan bekerjasama dengan Umno memudahkan Umno mengajak Pas duduk bersama. Politik terbuka dan "tawaduk" yang dipraktiskan Ahmad Yaakub diambil kesempatan oleh Umno.

Perlu diingat, pembentangan enakmen pindaan itu bertitik tolak setelah ada cabaran daripada Alwi yang mengatakan beliau akan keluar Umno kalau Najib Razak menolak hudud. Alwi bijak dalam menebak perkara ini (membuat cagaran) kerana dia tahu dari segi tanggungjawab sebagai orang Islam Najib tidak akan tolak, tetapi menerusi taktikal parlimen mungkin Hudud tertolak. Jadi Alwi tetap mendapat kemenangan politik.

Biarlah kita tinggalkan Alwi dan Umno dengan seribu sandiwara atau apa. Kita berharap apa yang diluah Alwi itu adalah benar belaka.

Apa yang hendak dikaji dan tinjau ialah apabila enakmen itu diluluskan, mereka (yang tidak beriman, meminjam istilah Ahmad Yaakub) sudah mula kedengaran dan kepanasan. Paling lantang ialah daripada DAP dan MCA. Mereka menentang enakmen itu dengan memberi kata dua atau ingin memikir dan menyemak balik hubungan dengan rakan mereka. DAP akan bermesyuarat Isnin ini dan memutuskan tindakan selanjut terhadap Pas yang degil membentangkan enakmen itu walaupun dibantah.

Manakala parti MCA pula mengugut rakannya dalam BN, Umno untuk meninggalkan BN sekiranya Umno menyokong hudud Pas. Gerakan, parti yang didominasi Cina juga mengeluarkan kenyataan yang bernada sama. Masam.

Demikian juga dengan PKR mengeluarkan kenyataan sebagai reaksi kepada kelulusan enakamen berkenaan, sambil menyatakan kesal atas apa yang berlaku dan menempelak Nik Amar sebagai tidak jujur memberi penjelasan mengenai enekmen berkenaaan kepada Pakatan Rakyat. Namun kenyataan PKR sedikit lunak dan profesional.

Yang menarik disini ialah sikap DAP dan MCA. Kenapa mereka tidak bersetuju atau sengaja tidak mahu faham mengenai kewajiban dari segi hukum oleh Pas itu. Secara mudahnya mereka tidak patut melenting dan marah dengan kelulusan enakmen itu. Enakmen itu suah pun dirubah membuang mana-mana seksyen yang menimbulkan kemarahan DAP dan MCA. Hudud yang dipinda itu tidak melibatkan orang bukan Islam.

Kerana itu saya lihat tindakan dan sikap DAP dan MCA itu semacam satu persepakatan pula. Mereka bersikap sengaja tidak mengerti itu semacam ada agenda tertentu. Barang kali tidak salah kalau saya membuat tafsiran DAP bersikap begitu kerana bimbang hudud menjadi titik temu antara Pas dengan Umno. Demikian juga bagi pihak MCA. Kedua parti itu mengira kalau kedua parti itu (Pas - Umno) ada titik temu ia akan memadamkan titik politik yang menjadi aspirasi parti mereka yang berasaskan kaum itu?

Apabila mereka mengugat rakan masing-masing mereka berharap Pas akan kekal bersama Pakatan Rakyat dan Umno kekal dalam BN bersama komponennya. Kalau keadaan itu kekal demikian maka selamanya Pas dan Umno akan berada pada garis selari yang tidak akan bertemu di hujungnya. Pas dan Umno berada di sebarang sungai yang bertentangan.

Bagi mereka, DAP dan MCA selagi titik itu selari mereka akan terus berlari atas gari lurus yang akhirnya membawa mereka sampai serentak ke hujungnya manakala Pas dan Umno terpisah buah selama-lamanya. [wm.kl.10:17 pm 19/03/15] 

No comments:

Post a Comment