Thursday, November 5, 2015

Berjumpa Anwar, susut tetapi sihat

RAKAMAN RASA

Terus berjuang...
Lama tidak merakam gambar bapa reformis Malaysia Anwar Ibrahim. Pagi tadi di kompleks Mahkamah Jalan Duta ketika hadir untuk mengikuti perbicarannya (mediasi) kes saman yang dikemukakan ke atas Utusan Malaysia dan TV3, saya sempat merakam beberapa aksi Anwar ketika dibawa keluar dari ruang mahkamah untuk dibawa kembali semula ke penjara.

Beliau dibawa keluar dengan diiringi oleh sepasukan pengawal penjara. Kelihatan lebih 10 orang pengawal penjara yang beruniform mengelilingi Anwar. Setiap langkah dan percakapan Anwar diawasi dan pergerakan Anwar dibenteng agar tidak ada sesiapa bersalaman dengannya.

Anwar juga sepanjang berada di dalam bilik khas di mahkamah tidak dibenar berjumpa dengan sesiapa kecuali para peguamnya, isteri, anak-anak, cucu serta keluarga terdekatnya.

Bagaimana pun semasa di dalam mahkamah ketika Anwar dibawa keluar dari bilik khas, orang ramai terdiri daripada kaum kerabatnya, sahabat handai dan penyokongnya sempat bersalaman dan bertukar-tukar senyuman.

Saat ini para penyokongnya melepaskan kerinduan dengan memerhati dari atas gelari awam. Ada penyokong perempuan setengah abad yang tertengok oleh saya mengesat birai mata dengan sapu tangan sebaik melihat Anwar merenung ke arahnya.

Manakala ada juga yang sempat bersalaman dan mengenggam tangan Anwar, seakan berikrar dan berbai'ah akan meneruskan perjuangan sampai berjaya.

Apa khabar, sihat?
Sepanduk menyatakan sokongan kepada Anwar.
Ketua Umum PKR itu kelihatan susut tetapi tetap ceria masih mampu melempaskan senyum perjuangannya seperti biasa. Pemenjaraan ke atasnya tidak sesekali memurungkan Anwar, sebaliknya kita yang memerhatinya berasa sebak dan pilu. Terdesah di lubuk hati saya; ah Najib kenapa kaum harus perlakukan Anwar begitu?

Dalam keadaan di kawal ketat Anwar masih sempat bertanya kawan-kawannya sambil mengangkat ibu jari dan melambai-lambai tangan. "Apa khabar sihat, dapat tak mesej," begitu kata Anwar kepada seseorang, sambil angkat ibu jari dan tersenyum puas. Lagak dan gelagat ini menunjukkan bahawa semangat dan jiwa juang Anwar tidak pernah mati. Sebab itu sekarang ini saya sedang siapkan buku khas buatnya ANWAR: PENJARA BUKAN PUSARA.

Selama kira-kira lebih tiga jam berada di mahkamah untuk urusan mediasi kes itu kemudian Anwar dibawa pulang semula ke penginapannya di Sungai Buloh. Para penyokongnya mengekori dari belakang dan mengintai sehingga Anwar dibawa naik ke atas kereta, seolah-olah mereka semua mahu ikut sama ke penjara.

Begitulah setiap kali Anwar dibawa keluar untuk menghadiri perbicaraan para penyokong setianya tidak pernah alpa untuk menjengok dan melihat Anwar.

Pagi tadi sekumpulan penyokong Anwar terdiri para Otai membawa sehelai sepanduk yang mendesak agar Kerajaan Malaysia membebaskan Anwar Ibrahim. Sepanduk itu adalah cerminan dan hasrat rakyat negara ini yang menuntut bapak reformis itu dibebaskan dan berasakan pemenjaraan ke atasnya suatu kezaliman. [wm.kl.7:05 pm 05/11/15]

No comments:

Post a Comment