Monday, December 14, 2015

Mustapa, Ahmad bentuk dimensi baru politik Kelantan

Cetusan atau rintisan kerjasama di antara kerajaan Pusat (baca Umno) dengan kerajaan Pas Kelantan (baca Pas) tampaknya diterima tidak sekata oleh sesetengah pemimpin Pas. Seakan ada perasaan takut dan ragu-ragu untuk sesetengah pemimpin Pas bagi mengakui bahawa telah berlaku kerjasama di antara kedua pihak.

Mereka mampu bentuk dimensi politik baru.
Kenyataan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan Mustapa Mohamed bahawa kerjasama secara "G to G" antara kedua pihak sudah berlangsung dua tahun di Kelantan satu kenyataan agak mengejutkan dan dianggap sebagai negatif.



Kerjasama itu katanya tidak pernah berlaku sebelum ini, di zaman Nik Abdul Aziz Nik Mat menjadi MB. Sebagai dalil kepada kerjasama itu kata menteri MITI itu, beliau beberapa kali telah mengunjungi Kota Darul Naim, menemui Ahmad berbincang untuk kemaslahatan negeri, manakala begitu juga MB Kelantan Ahmd Yakob beberapa kali berjumpa dengan Najib Razak. Mustapa menjadikan pertemuan "mahabbah" itu sebagai dalil berlaku kerjasama.

Mustapa membuat penjelasan itu sebagai menjawab kenyataan Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man yang bermadah Umno mungkin bermimpi untuk bergabung dengan Pas. Kenyataan Tuan Ibrahim itu boleh dikonotasikan bahawa beliau menolak pelawaan Umno untuk bekerjasama. Tuan Ibrahim berkata demikian sebagai mengulas salam ukhwah dan silaturahim yang dihulurkan Najib dalam perhimpunan agung Umno. Dan bagi Mustapa pula dia membuat pengakuan itu sebagai menafikan apa yang diragui Tuan Ibrahim.

Kenyataan Tuan Ibrahim itu dari satu sisi dilihat bertentangan dengan arahan lisan Pas sebelum ini yang melarang mana-mana pemimpinnya bercakap mengulas "budi baik" Najib itu, melainkan hanya presiden yang berhak bercakap. Abdul Hadi Awang dengan jelas menyambut baik huluran salam Najib itu dengan memberi syarat teknikal, Pas boleh berkerjsama dengan Umno sekiranya Umno kembali kepada Islam. Apakah bagi Hadi bahawa Umno masih belum Islam syumul?

Kesetujuan Abdul Hadi dengan cadangan Najib itu sudah pun jelas sebelum ini apabila presiden itu berlunak dengan Umno dalam beberapa perkara, dan perkara ini diakui secara terang oleh Najib sehinggakan PM yang berjiwa besar tetapi pengecut itu sanggup melafazkan salam berkenaan. Sudah tentu kalau Najib tidak mendapat akses yang tepat berhubung perubahan politik Pas itu dia tidak akan membuat pelawaan itu kerana kesannya sangat buruk.

Apa yang dapat disuluhi daripada "percanggahan" dalam menerima dan mentafsir huluran salam Najib itu dan juga kenyataan yang berbeza antara timbalan presiden dengan presiden Pas itu ialah apa yang saya nampak, Tuan Ibrahim membuat kenyataan itu lebih kepada untuk tidak menimbulkan kekeliruan dan menenangkan orang Pas. Beliau seakan mahu menjaga dan perasaan hati orang Pas yang masih langsung tidak dapat menerima Umno. Kenyataan yang berbeza itu bagi saya sebagai satu testing dan juga ujian untuk melihat telatah orang Pas.

Biarlah, di sini saya tidak mahu melaga-lagakan percanggahan tangapan dan penerimaan huluran salam Najib itu yang mana sudah pasti dibuat dengan motif tertentu. Tetapi apa yang saya ingin ditarikkan di sini berhubung dengan kenyataan Mustapa tadi mengenai telah berlaku kerjasama antara Pas dengan Umno di Kelantan selama dua tahun.

Apa yang dijelaskan Mustapa itu memang perlu diakui semua pihak. Pendekatan diambil oleh Mustapa dengan Ahmad Yakob di Kelantan sesuatu dimensi politik baru yang belum pernah terjadi sebelum ini. Mungkin atas kesedaran demi untuk memajukan Kelantan dan membela nasib rakyat Kelantan yang sudah lama terbiar dan dibiarkan, maka  kedua mereka mengambil keputusan melakukan gencatan senjata politik dan berpolitik secara wastiyah.

Memang pun kerjsama secara "G to G" berlaku dan harus berlaku atas semangat federalisme. Tetapi apa yang dilakukan Mustapa dan Ahmad itu ternyata lebih luas dan jelas kepada rakyat. Manfaat bersama untuk rakyat sudah pun mulai dapat dilihat dan dirasai. Kelantan kini tidak lagi menjadi medan perang politik konvensional di anara Pas dengan Umno seperti dahulu.

Antara contoh yang boleh disebut di sini hasil berjalannya kerjasama itu, ialah pembinaan Lebuh Raya dari Kadok ke Ketereh, yang dibina oleh kerajaan Pusat. Projek itu sudah bertahun dirangka tetapi tidak pernah menjadi kenyataan kerana adanya dasar "apartied" yang diamalkan oleh pemimpin Umno sebelum ini.

Selain itu, dan ini paling terkesan ialah kerjasama dalam menghadapi musibah banjir besar melanda Kelantan setahun lalu. Semagat dan persefaman negeri yang dipamerkan dalam menghadapi musibah ini sungguh memberi erti kepada seluruh rakyat Kelantan.  Perkongisan membantu mangsa banjir dimana kerajaan Pusat menyediakan peruntukan manakala kerajaan negeri menyediakan tanah, adalah satu kombinasiyang baik antara kedua pihak. Mungkin kalau tanpa kerjasama ini mangsa banjir tahun lepas masih terus menderita.

Selain daripada dua contoh itu, kerajaan Pusat masih terus membantu dari segi kewangan kepada Kelantan seperti menampung pembayaran gaji seperti mana dimaktubkan dalam Perlembagaan. Dan selain itu juga masih wujud beberapa bentuk kerjasama lain termasuk dalam aspek sosial politik dan ekonomi. Jika diingati kerjasama atau rintisan persefahaman ini dibentuk sejak awal sebaik Ahmad mengangkat sumpah menjadi MB, di mana buat pertama kali tilawah membaca al Quran peringkat Kebangsaan di adakan di Kota Bharu.

Hasil perwujudan dimensi baru politik itu, perkara paling jelas dalam masa dua atau tiga tahun lalu, ialah tidak berlaku di Kelantan konfrontasi antara Umno dengan Pas seprti mana sebelum ini. Sesuatu yang sangat ketara ialah Umno tidak menghentam Pas menerusi media massanya, bahkan ada pemimin Pas mendapat layanan istimewa dalam media massa yang sebelum ini yang dianggap musuh. Kelemhan pengurusan dalam kerajaan negeri dan beberapa isu tidak lagi menjadi bahan berita akhbar-akhabar "PB" milik Umno.

Ternyata hasil daipada pendekatan itu, ia menatijahkan perwujudan situasi politik yang kondusif di Kelantan antara keduanya yang belum pernah berlaku sebelum ini. Keadaan dan hakikat inilah apa yang dimaksudkan oleh Mustapa itu. Mungkin apa yang ada kini, kerjasama itu, Ahmad tidak menceritakan secara mendalam kepada Tuan Ibrahim sehingga beliau menganggap kerjasama Umno - Pas hanya sebagai mimpi sahaja sedangkan sebahagian hakikatnya sudah berlaku di Kelantan.

Sehubungan itu di sini apa yang ingin ditambahkan kerjsama secara "G to G" itu boleh diperluaskan lagi di Kelantan sekiranya kedua pihak jujur untuk membantu rakyat Kelantan, membangun negeri berkenaan serta melakukan anjakan dalam berpolitik. Misalnya Mustapa boleh mengarahkan semua agensi-agensi kerjaan Pusat untuk berkolaborasi dengan kerajaan Kelantan secara meluas dan berkesan lagi.

Dalam hubungan ini, misalnya agensi atau lembaga seperti Kada, Kesedar dua buah agensi pembangunan sosial ekonomi milik penuh kerajaan Pusat boleh memainkan peranan lebih luas dalam mengartikan kerjasama G to G itu. Contohnya Kada dan Kesedar perlu mengiktiraf (implimen) apa yang termaktub dalam akta dua lembaga berkenaan melantik wakil kerajaan negeri dalam Lembaga Pengarah mereka. Seharusnya sekurang-kurang dua wakil kerajaan negeri secara automatik dijadikan ahli lembaga pengarah.

Apa diketahui perkara ini masih belum dilaksanakan sepenuhnya lagi. Jika ada wakil negeri dalam lembaga berkenaan sudah tentu tindakan diskriminasi dilakukan oleh lembaga berkenaan kepada penyokong Pas kerana sentimen politik tidak akan berlaku lagi, yang mana kesannya merugikan rakyat Kelantan.

Kalau wujud kerjasama itu keuntungan dapat dikecapi kedua pihak. Misalnya Kesedar sendiri yang berhadapan dengan masalah untuk mendapat perlepasan daripada kerajaan Kelantan terhadap beberapa tanah dimajuinya, dapat diatasi kalau ada kerjasama itu. Beberapa kawasan yang diterokai Kesedar didapati bertindih dengan tanah kerajaan menyebabkan sudah berdekad peneroka tidak menapat geran tanah kerana tiada kelulusan kerajaan negeri,

Begitu juga dengan Kada, lembaga itu boleh merangcang untuk kemajuannya dengan lebih berkesan lagi, misalnya Kada boleh memperluaskan kawasan dibawah kawalan dan jagannya. Mana-mana tanah pertanian terbiar boleh difikirkan untuk dimasukkan ke dalam kawasan seliaan Kada.

Apabila Mustapa mengakui sudah dua tahun terjalin kerjsama "G to G", seharusnya ia tidak dipersoal dan dipolitikkan secara simplistik sebaliknya usaha itu patut disokong dengan harapan ia berlaku dalam skop yang lebih luas lagi demi manfaat rakyat. Sudah sampai masanya orang berpolitik tidak berfikir untuk mengejar kuasa dan kedudukannya dalam politik, sebaliknya menggunakan politik untuk kesejahteraan rakyat.

Mengakhiri catatan ini dua perkara yang ingin disebutkan sebagai merealisasikan secara lebih bererti lagi kerjsama berkenaan, elok kalu kerajaan Pusat menerusi Petronas membayar royalti penuh Petroleum dan Gas kepada kerajaan Kelantan mengikut kadar yang sebenarnya. Hak rakyat ini tidak sepatutnya dijadikan modal politik oleh mana-mana pihak.

Dan keduanya, kerajaan Persekutuan perlu menyediakan peruntukan khas bagi pembangunan dan kemajuan sukan di Kelantan, dengan mengutamakan membina kompleks stadium di negeri berkenaan seperti mana yang telah dirancangkan.

Kalau ini dapat dilaksanakan ia sesuatu yang sangat bagus dan mulia. Baik Mustapa dan Ahmd dapat menjadikan semua itu sebagai mercu tanda jasa dan budi mereka di Kelantan. Keduanya harus ada legasi tersendiri di Kelantan kalau mereka hendak dikenang dan diingati sebagai pemimpin Kelantan yang berjasa.

Dan tidak mustahil Kelantan akan menjadi lebih maju dan dihormati orang luar kalau persefahaman politik itu berjaya dihayati atas semangat anak beranak. Mustapa dan Ahmad adalah dua sosok yang sangat baik untuk membina tegu politik baru di Kelantan.  [wm.kl.8:45 am 14/12/15]

No comments:

Post a Comment