Monday, December 3, 2018

Usah ganggu Dr Samsuri tadbir Terengganu

ULAS TINJAU

Dr Samsuri perlu diberi peluang untuk beliau
bangukan Terengganu.
SEMASA bercuti dua tiga hari lepas di sebuah pulau terbesar di rantau ini saya ditanya sesuatu yang agak mengejutkan juga oleh seorang yang saya anggap sebagai master mind (intel) politik asal dari negeri Terengganu. Apa yang ditanya kepada saya ialah tentang kerajaan Pas Terengganu yang dikatakan bergolak. Bergolak? Terkejut saya!

Menurutnya kedudukan MB Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sedang diancam. Samsui akan cuba disingkirkan dan akan diganti dengan seorang tokoh lain. Beliau ada membayangkan nama tokoh itu tetapi tidak wajar saya sebutkan di sini kerana belum absah perancangan itu?


Secara jujur saya tidak mempedulikan sangat politik Terengganu. Bagi saya sudah elok kalau Pas menguasai Terengganu. Dan memang pun Pas layak untuk memerintah negeri itu dengan kelebihan dan keistimewaan yang ada kepadanya. Terengganu memang hak Pas bukan hak parti-parti lain. 

Awal-awal lagi saya sudah menjangkakan yang negeri Terengganu akan jatuh ke tangan Pas dalam Piraum ke-14 lepas. Alasan saya mudah sahaja, kedudukan Pas terkuat berbanding dengan parti-parti lain di negeri itu. Umno berpecah manakala Amanah dan Bersatu, dua parti baharu itu pula belum mantap dan kemas.

Banyak juga orang sanggah dan tidak percaya ramlan saya itu. Malahan ada menganggap saya "menganjing" dengan ramalan itu termasuk oleh para pemegang tali dan pengangkat guni ke atas belakang unta dalam Pas sendiri. Begitulah lumrah apabila kita diprasangka membuta tuli apa pun kebenaran yang kita bawa akan ditangkis. Cis.

Bahkan awal-awal lagi saya telah menamakan Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, 48 yang menjadi Setiausaha Politik Abdul Hadi Awang sebagai bakal MBnya. Banyak aspek kenapa saya mengatakan beliau yang akan diangkat menjadi MB, jika Pas menang di Terengganu. Mustapa Ali yang dianggap sebagai pawang tua politik Terengganu juga skeptikal dengan ramalan saya itu.

Dia tidak yakin. Mungkin ketidakyakinan itu kerana dia mulai berasa sudah dibayangi oleh Samusuri dalam menguasai pemikiran dan siasah Abdul Hadi Awang.  Sebelum ini Mustapa dan Syed Azman Syed Muhammad lah yang menguasai politik Hadi.

"Dari sumber mana dan perkiraan apa, Sayuti yang enta boleh kata Pas akan menang di Terengganu. Bagi ana susahlah Pas nak menang...," begitulah getusnya penuh keraguan kepada saya melalui percakapan dalam telefon menjelang Piraum ke 14.

Ramalan benar.
Dan ternyata ramalan saya itu tepat Pas menang dan ternyata pula yang diangkat menjadi MB ialah Adun Rhu Rendang Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Saya tidak kenal secara mendalam dengan bekas Setiausaha Politik Abdul Hadi Awang ini, tetapi pernah berjumpa, minum dan bersembang hal politik dengannya, tidak lama dahulu. Kerapnya di Taman Tun Dr Ismail semasa saya memimpin akhbar tabloid Siasah. 

Semasa muktamar Pas di Kedah suatu masa saya duduk "berlamaan" dengannya di sebuah warung memperkatakan perihal masa depan politik Pas.

Saya mulai tertarik kepadanya dan mengenalinya seorang berilmu dan pantas digilap menjadi pemimpin masa depan Pas, apabila pertama kali melihat beliau muncul dalam tv secara langsung yang diwawancara mengenai kehilangan kapal terbang MAS, MH 370.  Rupa-rupa beliau seorang pakar kejuteraan Aeroangkasa. Seorang profesional yang berperwatakan agak pendiam tetapi kecerdikan dan intelektualnya terserlah.

Untuk mentadbir sebuah kerajaan di era kemajuan yang penuh dengan teknologi maklumat ini, adalah tepat bagi Pas Terengganu mengangkat anak kelahiran Jertih itu menjadi MB. Beliau juga boleh dijadikan ubat dan penawar serta mengesahkan yang Pas tidak mengenepikan golongan profesional dari parti itu seperti mana disangkal apabila 18 pemimpin profesionalnya meninggalkan Pas kemudian menubuhkan Amanah.

Teringat cerita intel.
Berbalik kepada maksud asal catatan saya, berhubung pertanyaan isu MB Terengganu ini, saya tidak memberi reaksi dan mendengar seadanya kepada persoalan oleh intel itu. Bahkan tidak mahu mempedulikan atas sebab-sebab yang saya sebut diatas tadi. Namun setelah beliau menampakkan kesungguhan mahu mendengar pendapat saya, menjadikan saya memberi sedikit fokus.

Tanpa saya mencungkil intel itu memberi tahu ada beberapa sebab kenapa sesetengah pihak di Terengganu tidak senang dengan Samsuri sehingga menyebabkan beliau perlu ditukar. Antara disebut ialah cara Samsuri mentadbir Terengganu secara profesional dimana cara ini tidak tergapai oleh golongan agamawan yang naif mengenai pentadbiran dan politik.

Cara Samsuri itu juga dilihat sebagai mengabaikan orang politik. Beliau katanya memberi tumpuan kepada pembangunan negeri dan tidak begitu melayan kehendak-kehendak orang parti. Tindakan ini menyebabkan beliau tidak popular di kalangan orang parti sampai ada tuduhan mengatakan beliau tidak mempedulikan parti?

Praktik itu menyebabkan orang politik di Terengganu yang mahu mencari projek atau mendapat ghanimah selepas menang tidak dilayan oleh Samsuri. Beliau dikatakan lebih senang dan seronok berjumpa dengan korporat atau mereka yang membawa proposal untuk membangun Terengganu. Kelulusan kawasan balak dan lombong seperti berlaku sebelum ini dan di Kelantan pada masa ini tidak diteruskan oleh Samsuri.

Menurut intel itu, beliau sebagai warga Terengganu sendiri menyokong dengan cara Samsusi yang obses untuk mencari sumber kewangan kepada Terengganu. Katanya, sebagai MB Samsuri mempunyai tugas berat dipikulnya kini. Salah satu ialah untuk melunasi hutang yang ditanggung kerajaan Terengganu hasil peninggalan kerajaan UBN dahulu berjumlah lebih RM 1 billion.

Menurutnya yang mengaku terlibat dan berada di belakang MB Terengganu di zaman BN, segala projek yang diluluskan dizaman kerajaan BN dahulu kini sudah pun diberhentikan atau ditangguhkan. Pembangunan di Terengganu jem, katanya. Kerajaan Terengganu perlu membayar hutang kepada kontraktor sehingga hujung bulan ini. Inilah masalah dan tanggungjawab yang terletak di bahu Samsuri.

Seperti saya kata tadi, cerita intel itu saya tidak berminat dan menganggap ianya sebagai provokatif sahaja. Sehinggalah saya kebetulan mendengar ucapan Dr Samsuri di majlis ijtimak Pas Terengganu dua tiga hari lepas yang memberi peringatan bahaya perpecahan dalaman dan perebutan jawatan, baru saya menyedari dan teringat apa yang diceritakan oleh intel berkenaan semasa bercuti di pulau itu.

Dalam ucapan itu Samsuri tiba-tiba membangkitkan dua peristiwa kejatuhan kerajaan Pas lampau, satu kejatuhan kerajaan Pas Terengganu pada tahun 1962, dan kedua kejatuhan kerajaan Pas Kedah tahun 2008. Menurutnya kedua-dua kejatuhan kerajaan itu disebabkan kerana berlaku krisis dalaman dan perebutan kuasa.

Katanya mulanya krisis itu diperingkat dalaman tetapi lama kelamaan menular keluar apabila ia disambar atau dimanipulasikan oleh media massa menjadi lebih parah sehingga kerajaan tumbang. Jadi tegasnya, semua pihak perlu mengelakkan perkara itu berulang.

Terfikir oleh saya kenapa tiba-tiba beliau membangkitkan soal itu untuk dijadikan iktibar? Beliau tidak perlu menyebut perkara itu sekiranya tidak ada sesuatu yang sedang menghambatnya. Dengan mengaitkan apa yang dicerita oleh intel tadi dan singgungannya itu, menyebabkan terfikir ada munasabahnya kalau berlaku pergolakan politik di Terengganu ketika ini.

Nada Samsuri semasa menceritakan dua peristiwa kejatuhan kerajaan Terengganu dan Kedah itu tegas dan jelas. Beliau seakan memberi amaran agar jangan ada usaha-usaha penyingkiran sehingga berlaku krisis dalaman. Dan apa yang boleh diterjemahkan dengan penegasan itu seakan krisis itu sedang membunga di Terengganu kini.

Saya tidak mahu menambah asam dalam luka dalam catatan ini kerana pasti saya akan "ditimbuk" oleh pemegang tali unta. Namun saya terpaksa sebutkan hal ini agar ia dapat dipantau dan dikawal.

Saya berharap dan berdoa biarlah kerajaan Pas Terengganu tenang dan Samsuri diberi peluang untuk menguruskan Terengganu. Pendekatan diambil Dr Samsuri berbaik dengan kerajaan Pusat dan tahu beterima kasih atas segala pemberian, hendaklah disokong. Apa yang perlu diutamakan pembangunan dan kesejahteraan rakyat Terengganu dan bukanya agenda peribadi. Rakyat Terengganu kena utamakan kerajaan daripada parti.

Tepatlah kalau Samsuri mengatakan wang royalti untuk rakyat bukan untuk parti.
Insya-Allah jika perlu saya akan menyambung catatan ini. [wm.kl.1:53 pm 03/12/18]

No comments:

Post a Comment