Tuesday, May 7, 2019

Tiada rombakan kabinet menteri jangan rasa selesa

ULASAN 

PENEGASAN Dr Mahathir Mohamad tidak ada rombakan kabinet memberi reaksi berbeza, di antara jemaah menteri dengan sebahagian rakyat dan pemerhati politik. Para jemaah menteri tentu gembira dan merasa lega dengan kenyataan itu kerana kedudukan mereka tidak akan berubah. 

Mereka boleh kekal dikerusi menteri masing-masing sehingga ke satu masa tertentu.

Bagaimana pun lain keadaannya di kalangan rakyat dan pemerhati yang mahu melihat berlaku rombakan kabinet setelah kerajaan mencapai setahun. Bagi rakyat dan pemerhati mereka melihat ada sesuatu kekurangan dan kelemahan dihadapi sesetengah menteri yang memerlukan Mahathir menyusun semula kabientnya. 
Membuat perubahan sama ada menukar dan mengganti dengan muka baru dikira perlu untuk memastikan kerajaan berkesan. Setengah menteri nampak jelas mereka tidak mampu untuk menggerakkan porfolio yang diserahkan kepada mereka. Masih ada yang terkial-kial mencari rentak seakan tidak tahu untuk memulakannya. Justeru keberadaaan mereka di situ tidak memberi kesan dan ini merugikan rakyat dan negara. 

Lebih malang lagi ada meneri bersikap seperti tikus membaiki labu, kementerian dipegangnya lebih teruk dengan menteri di era BN sebelum ini. 

Saya tidak perlu menurunkan satu persatu menteri yang tergolong dalam ketagori itu. Mungkin anda sendiri dapat mengagakkannya dengan memerhati kepada kerja mereka, bila mereka diserang dan dikritik oleh media sosial, ada munasabahnya. Dengan membandingkan pencapaian mereka dengan apa dijanjikan dalam manifesto dapat membuat ukurann sejauh mana pencapaiannya. 

Dalam tempoh setahun semua menteri sepatutnya sudah ada trade mark masing-masing. Sudah ada projek atau pelan dilaksanakan sebagai ikonik buat mereka. Sudah ada sesuatu pembangunan di kementerian mereka pegang itu sebagai sinonim dengan mereka. Dalam tempoh setahun bukan sahaja setakat cadangan tetapi sudah menunjukkan hasilnya. 

Kegagalan setengah mereka bukan sahaja dilihat tumpul idea atau gagal mengemukakan idea atau solusi baru menyelesaikan masalah dihadapi kementerian masing-masing. Tetapi tidak bertindak dan tegas bagi mempertahankan fungsi mereka menerusi kementerian diberi. Setengahnya juga masih kekal dengan sikap enggan menerima nasihat dan berlagak sebagai pandai dan bodoh sombong. 

Sikap praktikal.
Penegasan Mahathir itu, di sinilah menampakkan beliau kekal dengan sikap praktikalnya. Beliau menyedari kabinetnya terdiri daripada orang baru, belum mempunyai pengalaman. Begitu pun dalam keadaan itu beliau nampak ada peningkatan (prestasi) daripada anggota kabinetnya. Mahathir menerima menterinya baru dan sedang belajar dan telah mencapai peningkatan. Sikap Mahathir inilah menyelamatkan mereka daripada proses rombakan kabinet yang tentu mendebarkan semua menteri.

Menurut Mahathir, walaupun mereka orang baru (menteri) tetapi mereka cepat mempelajari apa-apa yang patut dilakukan. Beliau sendiri sudah tentu membimbing para menterinya.

“Saya tidak nampak kenapa perlu saya rombak kabinet,” demikian katanya dipetik dalam satu wawancara sempena genap setahun kerajaan PH dibawah pimpinannya. Mahathir memberi markah purata lima (5) daripada 10 kepada menterinya. Markah itu sudah memamadai memadangkan ia baharu setahun. 

Namaun ia semacam tidak memuaskan hati rakyat apa lagi pemerhati kerana PH sebelum ini menzahirkan harapan besar mereka kepada rakyat. Masih banyak janji-janji yang dituangkan dalam manifesto belum dapat dilaksanakan kerana pelbagai kengkangan. Pengkritik bagaimana pun perlu adil dan rasional dalam hal ini. 

Kenyataan dan penerimaan Mahathir kepada anggota kabinetnya itu menunjukkan beliau pratikal dan rasional dalam membuat penilaian. Beliau juga tidak termakan dengan serangan, ejekan dan provokasi di luar yang berlaku ke atas menterinya. Mahathir mengambil tanggungjawab dan risiko atas apa-apa kelemahana kabinetnya. Boleh jadi juga beliau terpaksa bersikap begitu kerana berhadapan dengan masalah mencari mereka berkualiti untuk dibawa masuk ke dalam kabinet. 

Apa yang dapat dirasakan, sikap Mahathir itu kerana  beliau tidak mahu menganggui ketenangan dalam parti-parti komponen kini. Nama-nama mereka untuk diangkat menjadi menteri diberikan oleh parti masing-masing berdasarkan senioriti dalam parti, bukan pilihan Mahathir mutlak. Atas prinsip komponen Mahathir tidak boleh pandai-pandai untuk membuat pilihan dan perubahan sendiri, walaupun beliau memiliki kuasa prerogetif. 

Di sinilah kesukaran Mahathir dalam membentuk dan membina kabinetnya. Beliau tidak lagi dapat menjadi diktator demokrasi. Semuanya kerana PH merupakan parti campuran dan kebetulan pula parti Mahathir, Bersatu adalah parti kecil dan baharu.

Saya yakin kalau beliau ada kuasa mutlak ke atas pelantikan kabinet, beliau tidak akan membiarkan kepincangan dan kelemahan berlaku. Beliau tentu tidak akan terus melihat menteri hanya tahu bercakap tetapi tidak berbuat, atau yang tidak bercakap dan tidak pun berbuat apa-apa.

Bagaimana pun apabila Mahathir membuat kenyataan itu, para menteri tidak seharusnya berasa selesa. Mereka jangan jadikan sikap praktikal dan "konsevertif" Mahathir itu sebagai lesen untuk terus meriba tangan. Menteri perlu melihat pasca setahun sebagai satu cabaran buat mereka dan bersedia untuk mengambil tindakan meninggalkan kabinet kalau sudah tidak mampu.  

Mereka jangan menjadikan kabinet sebagai ghanimah atau jawatan untuk mengepokkan poket. Rakyat berjuang dan mengangkat PH bukan untuk memberi kesenangan dan kekayaan kepada menteri tetapi membawa aspirasi dan memenuhi harapan mereka. Para menteri harus lebih sedar dan meletakkan keutamaan kepada rakyat, kalau mereka alpa ini kerajaan PH akan tidak akan kekal lama.

Jangan marahkan rakyat nanti kalau rakyat membuat perubahan dalam tempoh terdekat. Apa yang penting diingati oleh kerajaan PH dan pendokongnya, merubah kerajaan bukan satu perkara ganjil dan sukar lagi kini. Permulaan dan sejarah yang dibuat oleh PH dalam Piraum lalu tetap akan jadi turutan dan panduan di masa akan datang.  

Sekali lagi disini saya mengulangi pandangan saya agar ahli parlimen yang berpengalaman yang kini berada di luar kabinet dibawa masuk ke dalam kabinet demi memantapkan kabinet PH. Mahathir seakan sudah tidak akan berbuat sesuatu kerana menghormati kehendak parti dan juga tidak mahu mencipta banyak masalah, tetapi mereka yang menyedari mereka tidak mampu dan hanya menjadi menteri setakat tahu pakai nametag, dan ikat tie boleh berkira untuk berundur demi rakyat dan menjaga wibawa kerajaan PH.

Apakah kabinet baharu akan muncul selepas kerusi PM bertukar tangan daripada Mahathir kepada Anwar Ibrahim? Bila?  [wm.kl.11:29 am 07/05/19]

No comments:

Post a Comment