Monday, August 26, 2019

Mencurigai masa depan Amanah

ANALISA

WALAUPUN penubuhan Parti Amanah Negara (Amanah) lahir dari permainan politik "labelisme" dalam Pas, dan ia bukan satu tindakan boleh menguatkan politik ummah, tetapi ia terpaksa ditubuh kerana mereka yang dinafikan (dilabelkan) sebagai anti Islam itu kalah tidak dapat menerima kekalahan mereka secara berkumpulan.

Mereka pula masing-masing mempunyai semangat juang yang kuat untuk memperjuangkan Islam yang mereka yakini. Mereka memilih Pas sebagai wadah kerana mempercayai kepada kesyumulan parti itu berbanding dengan parti-parti Melayu lain khasnya Umno.

Boleh disimpulkan perwujudan Amanah tiga tahun lepas ialah ekoran terhimpunnya perasaan kecewa amat sangat ke atas apa yang berlaku oleh kumpulan berkenaan. Tindakan meninggal atau dipecat daripada Pas kemudian mengagaskan wadah baru adalah subjektif sifatnya.

Seramai 18 dianggap sebagai kumpulan profesional (sebenarnya pro-lib) mereka yang kalah dalam pertandingan berbagai jawatan dalam kepimpinan Pas telah mufaraqah daripada Pas dan menubuhkan Amanah sebelum itu menggerakkan apa dinamakan Gerakan Harapan Baru (GHB).

Tidak dapat dipastikan apakah mereka mengorak langkah menubuhkan Amanah kerana ingin meneruskan idealisme perjuangan mereka semasa dalam Pas, atau sekadar ingin dijadikan wadah kepada politik itu betul atau tidak? Atau mereka terpesona dengan "galakan" yang dilakukan. Apakah mereka bertolak dari suatu maksud dan agenda besar yang murni atau dilimpahi rasa kecewa menebal yang dimobaliskan?

Maksudnya mereka menubuh Amanah kerana semata-mata untuk membolehkan mereka ada wadah untuk berpolitik? Tetapi yang jelasnya tatkala perkara itu dibincangkan, saya kurang setuju dengan langkah menubuh parti baharu itu kerana ia terlalu awal. Pada saya kepimpinan baharu Pas yang rata-rata berlatar belakangkan "agamis" (berlapik kitab) perlu diberi peluang dan dilihat sejauh mana kemampuan mereka dalam memimpin dan menggerakkan parti.

Pun begitu penubuhan Amanah dialu-alukan terutamanya oleh DAP dan PKR yang menyedari bahawa mereka sudah kehilangan parti agama (Pas) sebagai partner. Pas dibawah kepimpinan baharu yang dilihat terkhayal dengan perjuangan Islam tidak baik dengan politik DAP dan PKR. Gara-gara itulah juga menyebabkan timbul persepsi bahawa Amanah itu ditelorkan oleh DAP dan diramkan oleh Keadilan.

Islam konvensional.
Golongan yang tidak senang dengan cara dan kaedah golongan ustaz memimpin Pas yang mahu membawa parti itu kembali kepada Islam secara konvensional menyukai kewujudan Amanah itu. Maka mereka memberi sokongan dan meletakkan harapan kepada Amanah akan jadi parti alternatif kepada Pas. Amanah dengan watak profesionalismenya dilihat akan menggerakkan Islam secara progresif yang mana sesuai dengan latar belakang negara ini berbilang kaum.

Ramailah bekas pegawai kerajaan termasuk pegawai tinggi, begitu juga bekas pegawai tentera dan polis mendekati Amanah. Setengahnya mengambil keputusan menyertai Amanah. Mereka yang sebelum ini terpesona dengan pendekatan Islam Pas, ikut keluar dan bersekutu dengan Amanah. Sebuah Ngo dakwah dan sosial bernama Ikram juga ikut sama berkolaborasi menubuhkan parti Amanah.

Dengan melihat kepada perlembagaanya serta "meninjau" rekod perjuangan para pemimpinnya yang gigih semasa dalam Pas, ia diyakini akan bergerak lebih jauh. Amanah dijadikan wadah baharu akan memperkukuhkan Pakatan Rakyat (PR) yang sudah roboh dan diganti dengan PH - Pakatan Harapan dengan Amanah mengambil tempat Pas. DAP dan PKR begitu menyenangi dan memberi sokongan moral kepada Amanah, hatta mungkin bantuan material juga.

Ternyata agenda itu berjaya. Amanah dalam masa terdekat melalui ujian menunjukkan parti itu boleh dijadikan alternatif kepada Pas. Ahli Pas yang liberal dan moden tersangkut hati dengan Amanah. Dua pilihan raya kecil disertai oleh Amanah di Sungai Besar dan Kuala Kangsar menjelaskan akan peluang dan wibawa Amanah. Sokongan undi diberikan kepada calon Amanah di pilihan raya kecil itu memberangsangkan.

Bertolak dari situ Amanah dipupuk dan menyertai pilihan raya umum (Piraum) dengan yakin. Dan kemenangan dalam pilihan raya umum sehingga mendapat 11 kerusi parlimen dan 20 kerusi peringkat negeri menambahkan saham parti berkenaan. (Hanya Kelantan, Terengganu dan Pahang sahaja Amanah tidak memenang sebarang kerusi Dun). Dengan pencapaian itu rata-rata orang mengira, Amanah akan menjadi pesaing dan memberi cabaran kepada Pas di masa akan depan sekaligus mengambil gelanggang Islam yang dibuka Pas selama ini. Orang Melayu sederhana dan berjiwa Islam akan memihak kepada Amanah.

Saham Amanah terus melonjak naik apabila hampir semua anggota parlimennya dilantik menjadi jemaah menteri dalam kabinet Mahathir Mohamad. Lima orang MPnya, Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub, Khalid Samad, Mujahid Yusuf dan Dzulkifly Ahmad dilantik menjadi menteri manakala lima, Dr Mohd Hatta Ramli, Hanifa Maidin, Mahfuz Omar, Anuar Tahir dan seorang senator Raja Bahrin Shah dilantik menjadi timbalan menteri.

Hanya dua orang sahaja MP yang tidak terlantik atau dibawa menyertai kabinet, Hassanuddin Mohd Yunus dan Hasan Bahrum.

Pelantikan dan pencapaian itu meletakkan Amanah parti yang hebat dan terhormat. Kejayaan Amanah itu dan para pemimpinnya secara peribadi seperti Mohamad Sabu, Mahfuz Omar dan lain-lain mengkagumkan. Ia adalah sejarah bagi mereka dan sejarah juga dalam politik negara ini. Betapa tidak walaupun berusia setahun jangung dan darah setapak pinang mereka sudah dapat kerusi menteri.
Rekod itu mengatasi parti lama mereka dahulu, dimana walaupun sudah lebih 60 tahun Pas wujud tetapi pencapainnya tidak dapat mengatasi pencapaian Amanah itu. Semasa Pas bergabung dengan Umno membentuk kerajaan campuran tahun 1971 - 1974 dahulu pun hanya seorang MP Pas dilantik menjadi menteri (Mohd Asri Muda) dan seorang menjadi timbalan menteri (Abu Bakar Omar) sementara dua sebagai Setiausaha Parlimen, (Zahari Awang dan Mustafa Ali).
Justeru pencapaian itu diletakkan oleh orang ramai, Amanah dalam keadaan kondusif dan berpeluang melonjak lebih jauh yang menyakinkan. Kedudukan mereka menjadi sebahagian kerajaan boleh dijadikan aset dan modal untuk mengembangkan lagi parti itu. Itu yang diharapkan. Seperti masa Pas berada dalam kerajaan BN dahulu macam itu para pemimpin Pas menggunakan peluang itu untuk mengembang dan memartabatkan imej parti itu, itulah diharap dan diimpikan kepada Amanah.

Setelah setahun.
Kini sudah setahun lebih Amanah berada dalam kerajaan, menjadi sebahagian kerajaan PH. Parti itu kini sedang dinilai perkembangannya. Sudah tentu mereka yang suka kepada Amanah mahu melihat kedudukan itu memberi suasana baik kepada Amanah. Serentak itu penilaian juga dibuat ke atas para pemimpinnya khas yang jadi menteri, timbalan menteri dan menduduki beberapa GLC kerajaan.

Pencapaian dan kemampuan mereka dengan jawatan masing-masing akan jadi nilai tambah kepada Amanah yang akan digunakan sebagai bukti kemampuan Amanah.

Kini apabila dibuat ukuran dan penelitian, seakan ada sesuatu yang ironis atau bertentangan apa diharapkan dengan apa yang berlaku sekarang ini . Tampaknya graf  kemajuan dan pencapaian Amanah kini tidak setanding dengan atau keberadaannya pemimpinnya dalam kerajaan gagal di eksploitasikan untuk memajukan parti. Pemimpin yang menjadi anggota kabinet seakan "mamai" daripada menggunakan kedudukan mereka untuk memajukan parti.

Keadaan ini menyedih dan menyesalkan. Hari ini rata-rata orang memperkatakan mengenai keadaan Amanah ini. Publik menyedari kelalaian dan ketidakmampuan ini. Apa lagi bila ia dibandingkan dengan parti lain terutama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), yang mana pengembangan dan reputasi parti itu nampak lebih ke depan berbanding dengan Amanah walaupun PPBM parti adik kepada Amanah.

Memang tidak adil hendak dibandingkan wibawa Dr Mahathir sebagai bekas PM dan kini PM dengan pemimpin Amanah khasnya Mohamad Sabu. Ia mempunyai aura dan kelebihan tersendiri. Dr Mahathir adalah azimat kepada PPBM dan juga azimat untuk rakyat mendukung kerajaan PH. Tetapi itu bukan alasan untuk melihat Amanah perlu berada di belakang PPBM. Amanah tidak perlu menjadikan alasan Dr Mahathir untuk rela meletakkan ia di belakang PPBM.

Kenapa dikatakan begitu, kerana perebutan ahli di antara keduanya berbeza. Amanah tumpu kepada ahli dan penyokong Pas manakala PPBM kepada ahli dan penyokong Umno. Selain entiti itu, yang menjadi tumpuan ialah orang atas pagar atau pengundi baharu, generasi muda. Dari konteks pencapaiannya, Bersatu lebih berjaya apabila parti itu berjaya membawa masuk beberapa orang wakil rakyat Umno menyertai mereka. Keadaan ini tidak berlaku kepada Amanah, tidak ada seorang pun wakil rakyat Pas atau tokoh besar Pas bersama mereka selepas penubuhan.

Mungkin kesukaran untuk memancing ahli atau tokoh Pas kerana kerana mereka tetap beristiqamah. Doktrin Pas sebagai parti agama mencengkam minda mereka. Tetapi Amanah ada pilihan lain untuk digemburkan, yakni orang atas pagar, para pegawai kerajaan ataupun bekas pemimpin Umno yang tidak dapat menerima Umno lagi walaupun ia disaluti dengan kulit bernama PPBM atau Bersatu. Nampaknya ia tidak juga berlaku. Tidak ada nama-nama besar dari kalangan birokrat, teknokrat atau korporat, diplomatik apa lagi ustaz menyertai Amanah. Usahkan itu, dari kalangan selebriti juga tidak ada.

Kelemahan ini sudah terkesan. Malang juga kelemahan dan kecacatan ini seakan tidak dipedulikan oleh para pemimpin Amanah sendiri. Apabila ditinjau ada beberapa faktor kenapa Amanah jadi begitu tidak berjaya memampan dirinya walaupun usia sudah tiga tahun dan kerajaan dianggotainya sudah mencecah lebih 15 bulan.Faktor ini bukan sahaja sengaja dicanangkan tetapi inilah yang dicakap-cakapkan di luar sana.

Cubalah buat kaji selidik mengenai prestasi Amanah selepas pilihan raya dan menjadi kerajaan dengan Amanah ditahun awal penubuhannya. Keadaanya sungguh berbeza.

Bercakap soal Amanah ini ada dua aspek besar yang menyumbangkan kepada "keluyuran" atau kemurungan Amanah kini sehingga ada yang sudah mengambil sikap tidak aktif. Sesetengah mereka yang meletak harapan besar kepada Amanah sebelum ini telah menarik balik harapan itu.

Aspek pertama dan ini sangat penting ialah kelemahan pengurusan parti tersebut. Aspek kedua ialah kegagalan para pemimpinnya yang menjadi menteri menunjukkan prestasi dan mempamerkan sikap sebagai seorang pemimpin selepas menang.

A. Kelemahan pengurusan.
Pengurusan parti yang dikepalai oleh Setiausaha Agung, Mohd Anuar Tahir sangat lemah, tidak tersusun dan tidak profesional. Disebabkan kelemahan inilah parti tidak berkembang maju, cawangan di negeri-negeri tidak bertambah. Gara-gara kegagalan itu Amanah dilihat bukan sebagai sebuah parti kerajaan, tetapi lebih kepada sebuah koperasi yang kesuntukan deposit macam gemulah Kohilal suatu waktu dahulu.

Keahlian parti tidak diuruskan dengan baik, pendaftaran cawangan parti juga tidak dibuat secara profesional. Banyak permohonan penubuhan cawangan tidak didaftarkan. Disebabkan kegagalan dan kelemahan itulah menjadikan organisasi parti tidak berkembang. Kewujudan cawangan parti penting kerana disitulah ia menampakkan kehebatan parti namun hal ini dialpakan.

Kesan kelemahan itu dapat dilihat dalam sesebuah kawasan, hanya ada beberapa buah cawangan sahaja yang layak menghadiri mesyuarat. Terdapat juga beberapa cawangan yang ditubuhkan tidak diproses penubuhannya dan ia tidak diluluskan. Ada permohonan dilipat dalam laci meja berbulan-bulan. Sebab itulah semasa mesyuarat peringkat cawangan maupun kawasan diadakan hanya tiga atau empat cawangan sahaja yang hadir dengan kapasiti keahlian ada yang tidak melebihi 50 orang.

Jumlah sebanyak itu memalukan sebuah parti kerajaan dan menunjukkan kemurungan Amanah.

Jika hendak diambil kira dengan jumlah undi diperolehi calon-calon Amanah dalam pilihan raya lalu ada yang mencecah belasan ribu, tidak sepatutnya jumlah cawangan parti disitu tidak lebih daripada lima cawangan. Macam mana Amanah hendak bersaing dengan Pas dan Umno yang mempunyai puluhan cawangan dalam sesuatu kawasan atau bahagian, mengikut daerah parlimen.

Kelemahan dan kelonggaran di jabatan setiausaha atau ibu pejabat juga memungkinkan berlaku penyelewengan. Ada laporan sepanjang pemilihan peringkat kawasan lalu, berlaku perpindahan ahli dari kawasan lain ke kawasan lain dibuat kerana motif tertentu. Perpindahan haram atau dalam istilah Umno "mesyuarat bungkus" seperti ini tidak sepatutnya berlaku apa lagi dalam parti Amanah, parti Islam.

Apa mendukacitakan walaupun bantahan dibuat tetapi ia tidak diambil tindakan kerana pihak setiausaha tidak ada masa untuk mengurus dan memantaunya. Di peringkat keahlian berlaku juga pertindihan keahlian, bukan sesama sendiri tetapi dengan parti lain. Ada yang masih menjadi ahli Umno menghadiri mesyuarat Umno tetapi hadir sama dalam mesyuarat Amanah. Ini menjadikan Amanah seperti parti tidak patuh perlembagaan.

Ini berlaku kerana sikap pengurusan yang "cakduh". Sikap menguruskan parti secara adhoc atau memberi arahan kerja dengan WhatsApp, situasi ini menambahkan kemurungan parti. Katanya kerana kesibukan Setiausaha Agung tidak jejak pejabat dan membuat arahan melalui WhatsApp sahaja?

Selain dari kelemahan itu, parti juga tidak ada usaha atau program menambahkan keahlian, menjual parti kepada publik. Misalnya apabila kerajaan meluluskan tahap mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun, tidak ada program khas dianjurkan untuk memperkenalkan parti kepada bakal pengundi muda.  Perubahan ini semacam dilihat tidak penting oleh Amanah atau pun ia mengharapkan usaha menarik sokongan generasi muda itu dilakukan oleh parti rakan mereka lain.

Adapun keadaan di ibu pejabat parti juga tidak terurus dan berjalan dengan kemas seperti sebelum ini kerana kekurangan kakitangan. Kakitangan berkurangan kerana ramai pegawai parti, seperti pembantu setiausaha dan sebagainya telah ditugaskan di pejabat menteri dilantik sebagai pegawai khas atau setiausaha politik. Mereka kononnya diperlukan di sana daripada pejabat parti, atau pun kerana untuk mengejar baksis jawatan?

Sikap melihat mengurus menteri ini lebih penting daripada parti adalah silap besar. Priority yang diletakkan itu salah. Seharusnya sepatutnya parti lebih dipentingkan daripada jawatan menteri atau timbalan menteri itu kerana tanpa parti apalah jawatan itu. Parti harus hidup seribu tahun lagi tetapi mereka yang menjadi menteri boleh berhenti atau diberhentikan bila-bila masa sahaja.

Kalaupun mereka terpaksa dihantar ke pejabat menteri, kekosongan itu harus diganti segera. Tampaknya ia tidak berlaku, keadaan inilah menunjukkan setiausaha selaku chief jabatan kurang peka dan tidak habis ikut teruja dengan kemenangan. Anuar Tahir memang dianggap pakar menubuh parti politik tetapi beliau tidak ada rekod berjaya menghidupkan parti. Tahu menanam belum tahu bagaimana cara membuahkan pokok.

Mungkin kita faham kenapa kalau Annuar tidak dapat berfungsi dengan baik. Sebagai timbalan menteri tentu beliau sibuk dengan tugas-tugasnya. Beliau kena jaga bukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sahaja macam Khalid Samad, tetapi seluruh negara hatta termasuk juga di sempadan Thailand, Singapura, Brunei dan Kalimantan.

Jika tugasnya begitu besar dan sibuk, beliau boleh berundur secara terhormat. Serahkan jawaan itu kepada orang lain.  Pengurusan parti perlu distrukturkan semula. Sebaik-baik untuk dilantik menjadi setiausaha elok kalau parti mengambil mereka yang tidak sibuk dengan tugas dan tanggungjawab sebagai menteri atau timbalan menteri.

Ahli parlimen biasa yang tidak terlantik menjadi anggota kabinet, boleh dilantik untuk memikul tanggungjawab itu. Di sini dua orang saya lihat tepat untuk dipilih atau menjalani urusan itu, ahli Parlimen Ulu Langat, Hasanuddin Mat Yunus atau Senator Husam Musa. Walaupun kedua-dua mereka adalah Naib Presiden, tetapi jawatan itu tidak menghalang dan berdosa kalau mereka diberi tanggungjawab menguruskan parti.

Seperkara lagi orang tengok Amanah seakan tidak bermaya ekoran kelemahan pengurusan bila mana jarang selepas mesyuarat pengurusan parti diadakan kenyataan akhbar untuk menjelaskan apa-apa isu berbangkit atau pun pelan tindakan parti. Presiden selepas jadi Menteri Pertahanan tidak lagi muncul membuat apa-apa kenyataan selepas mesyuarat bulan. Keadaan ini menunjukkan seolah-olah Amanah tidak membincang apa-apa yang penting dalam mesyuaratnya.

B. Aspek peribadi kepimpinan.
Aspek kedua kenapa terjadi kemurungan dan keluyuran kepada Amanah ialah, kerana prestasi para menterinya. Beberapa orang ahli parlimennya yang dilantik menjadi menteri khasnya sedang diperhatikan oleh khalayak sejauh mana keupayaan mereka dengan jawatan itu. Setelah setahun lebih orang sedang membuat perkiraan apa-apa pencapaian dilakukan oleh menteri.

Mereka diperhatikan dari semua sudut mengemukakan idea untuk membangun dan menggerakkan kementerian mereka, menyelesaikan isu-isu berbangkit di kementerian mereka. Selain itu karakter atau saksiah mereka sebagai menteri juga diperhatikan.

Ada pemimpin yang jadi menteri telah berubah sikap, jadi payah untuk ditemui. Ini menjadi sebutan. Suasana itu bukan sahaja berlaku kepada menteri, tetapi di kalangan pegawainya juga ikut sama dipertuturkan.

Kemampuan menteri memimpin kementerian mereka akan memberi markah untuk partinya sendiri. Keupayaan mereka akan dikaitkan dengan kejayaan parti. Sebaliknya kalau mereka lemah, kering idea, tidak mampu menunjukkan prestasi dengan jawatan mereka, hilang dengaung ia akan memberi kesan juga kepada parti. Ia akan mencemarkan imej parti.

Tanpa menyebut satu persatu, ada menteri yang gagal menunjukkan pencapaian mereka, dan mereka tidak mampu untuk menjadi menteri walaupun sudah lebih 15 bulan jadi menteri. Bukan kerana mereka baharu tetapi gaya dan tindak tanduk mereka itu sendiri yang sukar untuk diuruskan. Ada menteri yang diberi idea tetapi tidak sedia menerimanya. Ada pula yang tidak mempedulikan langsung hal ehwal luar sibuk dengan tugasnya. Ada yang sekadar syok menjadi menteri tetapi tidak tahu berbuat apa-apa.

Ada juga yang menunjukkan mesra alam sedia untuk dikritik ditegur tetapi tidak sedia untuk melaksanakannya. Saranan diberi masuk telinga kanan keluar telinga kiri, kadang-kadang tak masuk langsung. Ada pula yang suka mengumum itu dan ini, akan bertindak, akan bertindak konon menunjukkan ketegasan tetapi habuk pun tak ada.

Kalau boleh disebut Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad, antara menteri yang sedap dipandang mata baik dari segi tindakannya, gagasannya dan ketegasan sebagai seorang menteri. Beberapa pelan tindakan untuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bukan sahaja dibentangkan tetapi diambil tindakan. Khalid nampak bersungguh membersihkan bandaraya Kuala Lumpur daripada sampah sarap korupsi sebelum ini.

Kelebihan yang ada kepada Khalid bukan sahaja beliau tahu menguruskan kementeriannya, berhadapan dengan warga kota, tetapi tahu menggunakan kementeriannya untuk memberi imej dan membantu memperkuatkan parti. Tanpa disedari beliau telah mewujudkan beberapa mekanisma media massa menerusi kementeriannya untuk membantu memperkasakan parti dan secara tidak langsung menyediakan peluang pekerjaan kepada orang parti.

Selain Khalid, Ketua Menteri Melaka Adly Zahari juga pemimpin yang popular dan disenangi. Pencapaiannya di Melaka sebagai KM memberi imej baik kepada Amanah. Kejayaanya meletakkan kerajaan Melaka dalam suasana kondusif, mesra rakyat serta mampu membawa beberapa visi baharu Melaka dikaitkan dengan Amanah. Adly berjaya memberi imej Amanah menerusi jawatannya selaku KM.

Begitu juga dengan Mahfuz Omar yang menjadi Timbalan Menteri Sumber Manusia. Mahfuz dilihat boleh dan memberi mata dan membawa imej baik kepadanya.

Walaupun sebagai timbalan menteri tetapi Naib Presiden Amanah itu bijak memposisikan dirinya sebagai pemimpin Amanah. Penampilan, perhubungannya (PR) dengan awam dan rakan politik dan kenyataan-kenyataan dalam media massa semasa berkaitan isu-isu di bawah kementeriannya menyakinkan, menyerlah wibawanya sebagai anggota kabinet. Adakalanya beliau lebih popular dan releven berbanding dengan bosnya sendiri, menteri.

Pemimpin lain bukan tidak memberi imej kepada parti tetapi apa yang berlaku tidak sepadan dengan kedudukan mereka. Seharusnya sebagai menteri misalnya mereka dapat menarik keyakinan kepada umum untuk orang melihat masa depan Amanah. Sebagai menteri sudah pasti karakter mereka, pemikiran dan cara mereka menguruskan kementerian akan dijadikan modal.

Sesungguhnya perkembangan dalam Amanah dan beberapa masalah timbul kini sedikit meragukan. Sekiranya ia tidak diurus dan diperkemaskan, dan keluyuran ini dibiarkan ia boleh menimbulkan rasa curiga kepada parti ini apakah ia mampu bergerak lebih jauh apa lagi menjadi alternatif kepada Pas sebagai parti berimejkan Islam.

Dalam masa sama, individu yang dikenali sebagai agamawan dalam Amanah, seperti Ahmad Awang, Abdul Ghani Shamsuddin serta gerakan Ikram yang dikatakan menunjangi Amanah dari luar perlu lebih berperanan meletakkan imej Islam ke atas Amanah. Ikram perlu menggunakan kepakaran mereka sebagai gerakan dakwah dan sosial membantu Amanah.  [wm.kl.2:11 pm 26/08/19]

No comments:

Post a Comment