Thursday, September 26, 2019

Dr Maza patut jadi seikhlas Rajak bin Hawyah

SESUDAH SUBUH

Maza harus berani dan ikhlas. 
DI HENING Subuh ini saya telah membaca surat Dr Mohd Asri Zainul Abdin kepada Dr Mahathir Mohamad. Disebabkan surat itu dinamakan "surat terbuka", maka saya juga turut mempunyai hak untuk aksesnya. 

Apabila surat dibuat secara terbuka bermaksud ia untuk dibaca oleh sesiapa sahaja selain orang yang dituju itu.

Nama lagi ia surat terbuka, maka semua orang boleh membaca dan menganalisanya. Apa tersirat di sebalik sesuatu surat terbuka itu ialah ingin mendedahkan apa tersimpan dalam hati si penulisnya.



Kerana begitu sifat surat terbuka, jadi apa-apa yang dicoret dalam surat itu diharap agar ia dihadam oleh orang ramai akan akan mempengaruhi mereka menerima saranan dibuat oleh penulis surat terbuka itu. Dalam erti lain surat itu bertindak menjadi propaganda.

Anwar - Mahathir, jangan pecilkan mereka
kerana yang merana nanti adalah rakyat.
Intipati surat terbuka Dr Maza itu boleh disimpulkan kepada dua tujuan besar.  Pertama memberi pesan kepada Dr Mahathir berhati-hati dan tidak mudah melantik penggantinya, di samping itu Maza menyatakan rasa bimbang dan tidak senang beliau kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini dan gelagat bukan Islam (DAP) yang cuba menguasai kerajaan. Maza pernah mendendangkan Islam terancam di bawah kerajaan PH.

Peringatan itu bagus sejalur dengan tuntutan Islam yang mementingkan agar kita saling ingat mengingatkan sesama sendiri, apa lagi dalam hal pelantikan khalifah (pemimpin), kerana kesan daripada kesalahan melantik pengganti besar bahan dan risikonya. 

Melantik pemimpin dari perspektif (Islam) bukan perkara kecil dan main-main kerana orang itu akan dipertanggungjawab sehingga di akhirat.

Bagi menguatkan hujjahnya Maza memetik surat Rajak bin Haywah kepada Raja Sulaiman bin 'Abd al-Malik merupakan khalifah sebelum 'Umar bin 'Abd al-Aziz mengenai peri pentingnya dan berhati-hatinya melantik pengganti. Rajak adalah penasihat kepada Sulaiman.

Apabila Rajak diminta nasihat oleh Sulaiman mengenai pengganti selepasnya, Rajak secara simbolik menasihat Sulaiman dengan kata-kata dipetik berikut:  "Antara yang dapat memelihara khalifah dalam kuburnya adalah apabila dia melantik orang yang baik memerintah kaum muslim."

Petikan ini menjelaskan nawaitu dan mesej Dr Maza kepada Dr Mahathir agar berhati-hati dalam melantik penggantinya agar tidak sampai disoal di akhirat kelak. Begitu prihatin dan sayang sekali Maza kepada Mahathir.

Dalam konteks surat terbuka kepada Mahathir itu kenapa Maza mengingatkan itu mungkin kerana sebelum ini Dr Mahathir sudah membuat dua kali kesilapan dalam melantik penggantinya, Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Razak.

Dalam memberi nasihat kepada Sulaiman, Rajak telah mencadangkan nama 'Ummar "Abd al-Aziz sepupu Sulaiman sebagai penggantinya bukan dari kalangan adik beradik atau adiknya. Ternyata dalam memainkan tugas dan tanggungjawab ini Rajak berani kerana membuat sesuatu yang bukan kelaziman. Mencadang nama 'Ummar 'Abd al-Aziz itu satu keberanian selain berpandangan futuristik. "Ummar kemudian muncul sebagai khalifah agung.

Melalui surat terbuka itu Maza juga obeses kepada pengganti Dr Mahathir kerana dari kacamatanya banyak kelemahan kerajan PH kini dan juga apa yang Mahathir lakukan lari daripada asalnya, maka ia perlu diperbetulkan dengan melantik pengganti yang tepat. Dr Maza tidak dapat menyembunyikan semangat nasionalnya dan skeptikal kepada bukan Melayu, khasnya DAP. 

Maza turut meriwayatkan suatu pertemuan beliau dengan Dr Mahathir bersama Siti Hasmah sambil minum kopi di rumahnya PM itu dan beliau bertanya Dr Mahathir mengenai pelan politik siapa PM sekiranya PH menang. Kata Maza apa yang Mahathir jelas kepadanya hari itu tidak berlaku hari ini, Mahathir sudah melencong. Tidak diperincikan apa yang melencung itu.

Cuma Maza memberi gambaran "kemelencongan" itu dikaitkan dengan masalah usia, di mana masalah ini lazim berlaku kepada seseorang manusia yang akan kalah dengan faktor usia.  Usia Dr Mahathir kini sudah 94 tahun.

Perkara kedua yang cuba diangkat dalam surat terbuka itu adalah masalah pengganti Mahathir Mohamad. Umum sudah tahu yang Anwar dinamakan sebagai pengganti Dr Mahathir. Tampaknya Maza tidak dapat dan mudah menerima Anwar pengganti Mahathir walaupun ia sudah dikonsensuskan.

Penolakan Maza secara halus tetapi nyata ini apabila beliau menyebut diawalnya, seorang pengganti Mahathir hendaklah orang yang tidak rakus dan gilakan kuasa. Metafora yang digunakan Maza jelas ia terarah kepada Anwar Ibrahim. Sekiranya beliau tidak bersetuju, Mufti berkenaan harus faham bahawa PH sudah buat konsensus dan soal Anwar jadi PM bukan hal baru. Ia bukan maudu' yang boleh dibahas lagi walaupun dari sudut apa sahaja. 

Seperti mana saya sebut sebelum ini, antara isi dan janji dalam manifesto PH yang menyebabkan rakyat bersedia memberi laluan kepada PH ialah kerana janji untuk melantik Anwar sebagai PM. Subjek itu tidak dicatat dalam manifesto secara rasmi tetapi itulah gambaran dan dambaan. Janji itu adalah janji politik yang mengambil kira senario politik dan tidak mudah untuk difahami oleh seorang Mufti yang berfikir secara harfiah. 

Apakah Dr Maza juga termasuk dalam golongan tidak memahami ini?

Untuk tidak menerima Anwar kerana masalah-masalah peribadi Maza, itu hak beliau. Tetapi tidak boleh ditarik keluar apa lagi bertujuan mempengaruhi orang yang sudah berkali-kali menjanjikan akan menyerahkan jawatan itu kepada Anwar, itu sesuatu yang melampau dan keji sekali.

Namun itu atas sifat hak peribadi ia boleh diterima lagi. Namun yang tidak disenangi dan kita merasakan Maza bukan bertindak sebagai penasihat baik ialah beliau tidak menyebut siapa yang layak untuk dilantik menjadi penukar Dr Mahathir. Beliau tidak menyebut nama itu, cara ini juga secara tidak langsung ia menyusahkan Dr Mahathir. Ia menganggu kepala Dr Mahathir yang sudah merakam nama Anwar selepasnya.

Sesiapa sahaja untuk menjelma menjadi penasihat selepas menang dialu-alukan termasuk Maza. Lebih-lebih lagi Maza yang fakeh dalam hukum harakam, sirah sunnah, reti dan arif membaca sejarah kegemilangan Islam lampau dan juga citra-citra faktor keruntuhan empayar Islam lagilah layak. Namun di celah-celah itu ada kekurangan jelas kepada Maza yang menyebabkan beliau kontras keyakinan dan ilmunya sendiri.

Dalam isu pengganti Dr Mahathir beliau mampu memberi nasihat agar mencari pengganti yang tidak akan menyusahkan Mahathir dan ummah Muslim di akhirat besok, tetapi Maza gagal menyebut nama pengganti yang dikira layak dan terbaik itu. Maza patut menamakan orang yang beliau fikir lebih layak, lebih berpengaruh tentunya lebih Islami untuk menjadi PM selain daripada Anwar, nah sebutkan namanya. Jangan hanya berteori tetapi hendaklah praktis.

Dan kalau ikhlas dan jujur untuk jadi penasihat dan memberi nasihat seperti mana dilaksanakan oleh Rajak bin Hawyah yang diriwayatkan itu, sebutlah namanya. Rajak apabila diminta nasihat memberi nama pengganti (Khalifah Sulaiman) beliau menyebut dengan jelas dan terang agar memilih 'Ummar 'Abd al-Aziz. Makanya Dr Maza hendaklah jadi seberani Rajak dengan menyebut atau membuat pilihan mana-mana sosok yang disukainya, jangan pula mampu menceritakan sejarah kehebatan dan kebijaksanaan Rajak selaku penasihat, tetapi tidak sanggup berbuat seperti mana Rajak lakukan.

Begitulah kebanyakan agamawan para ustaz dan lebai tahu membaca hadith, Quran dan membuka sejarah tetapi jenuh untuk mengamalkannya.

Sebutlah nama pilihan anda, setidak-tidak boleh dibandingkan dengan nama pilihan saya, Anwar Ibrahim. Jadi kalau begitu saya lebih berani dan telus berbanding Dr Maza? [wm.kl.8:36 am 26/09/19]

No comments:

Post a Comment