Saturday, March 21, 2020

Covid-19 tanggungjawab bersama

PANDANG CADANG

PANDEMIK Covid-19 yang melanda seluruh dunia dan turut singgah di negara kita sungguh membimbangkan. Apa yang boleh dinama dan disifatkan wabak ini? Bala? Ujian? Ataupun sebagai kifarah terhadap manusia?

Ia nyata dan jelas ia bukan datang dan mengganas di sebuah negara sahaja, tetapi di seluruh dunia. Dari Asia, Eropah dan Afrika.

Maka ia hendaklah dilihat wabak sedunia ini adalah bala 2020 yang harus ditangani semua pihak. Ia adalah masalah sejagat yang lebih dahsyat daripada kematian akibat perang dunia pertama dan kedua. Kerana kematian angkara perang dunia berlaku di sesetengah negara dan benua sahaja, sebaliknya Covid-19 bergerak dan mengganas di seluruh antero dunia.

Daripada rekod dan catatan sehingga hari ini (21 Mac), sebanyak 279,124 kasus direkod dengan jumlah kematian 11,584, manakala sebanyak 92,906 yang dapat disembuhkan. Malaysia berkedudukan nombor 16 dari 186 negara yang diserang Covid-19 dengan China mencatat negara paling banyak 81,008 kasus diikuti Italy 47,021, Spain 21,571, Iran 20,610, USA 19,774, France 12,612, South Korea 8,799, Switzerland 5,615.

UK 3,983., Netherland 2,994, Belgium 2,815, Austria 2,695, Norway 1,995, Sweden 1,639 dan
Denmark 1,255. Harus difahami Malaysia adalah negara keempat tertinggi di Asia. Suatu kedudukan yang cukup bahaya.

Kedudukan itu kita tidak boleh berasa selesa atau selamat. Sebaliknya perlu menerima negara kita dalam ancaman serius. Kita tidak boleh bersikap acuh tak acuh dengan keadaan.

Kini apa yang perlu difikirkan Covid-19 sedang ganas menyerang kita. Belum ada tanda-tanda pengurangan dengan peningkatan kasus baru setiap hari. Wuhan (China) yang dicatat negeri mula-mula merebak sudah agak reda walaupun ia diistyharkan bebas seratus peratus. Sehari dua ini tidak ada kasus baru di Wuhan?

Kembali kepada negara kita, ia sungguh membimbangkan. Hari demi hari jumlah mereka dijangkiti wabak ini meningkat dan jumlah mereka dirawat kerana Covid-19 di hospital juga meningkat. Demikian juga yang maut gara-garanya.  Sehingga hari (21 Mac), sudah empat maut diserang Covid-19. Mudah-mudahan angka ini tidak akan bertambah lagi.

Jumlah kesemua kasus 1,183 sedang dirawat. Daripada jumlah 37 dalam ICU sementara 23 memerlukan bantuan pernafasan. Untuk hari ini sahaja sebanyak 153 kes baru dan jumlah kematian bertambah daripada empat semalam kepada enam hari ini.

Saking bahaya, 18 Mac lalu kerajaan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan yang dibuat mengikut Akta Percegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967 yang bertujuan menghadkan pergerakan orang ramai bagi menyekat penularan Covid-19, sehingga 31 Mac.

Tidak cukup dengan menggunakan PDRM untuk menguatkuasakan perintah itu mulai esok (Ahad), Tentera pula akan digunakan untuk mengawal dan menjamin perintah larangan itu dipatuhi sepenuhnya.

Dalam saat-saat kritikal begini apa yang kita perlu lakukan ialah menumpukan seluruh perhatian untuk kesejahteraan negara. Sehubungan itu saya kira dan menyeru kita hentikan berpolitiking secara seratus peratus. Kita perlu mengencatkan perbalahan, pertelingkahan, tuduh menuduh dan ejek mengejek di antara satu sama lain dan perbanyak doa dan munajat.

Kelemahan dan kekurangan pihak kerajaan tidak perlu diejek dan dipersenda-sendakan, tetapi kita perlu membantu sedaya upaya. Pihak kerajaan pula tidak perlu berasa malu untuk menerima apa-apa pandangan atau bentuk kerjasama dihulurkan oleh oposisi khasnya bekas-bekas menteri kerajaan PH dan juga mana-mana bekas pegawai kerajaan yang mempunyai kepakaran sudah bersara.

Misalnya cadangan Lim kit Siang agar PH mengembalikan bekas Menteri Kesihatan Dr Dzulkifly Ahmad bagi mengetuai khidmat demi negara melawan Covid adalah cadangan baik. Cadangan ini sesuatu yang sangat bagus, rasional dan bersemangat patriotisme. Muhyiddin Yassin sebagai PM tidak perlu segan dan hina untuk menerimanya.

Lim Kit Siang yakin kalau ditawarkan Dr Dzulkifly, majlis presiden PH akan bersetuju menyerahnya.

"Jika terdapat permintaan daripada kerajaan untuk bekas menteri kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad, kembali bagi menjalankan satu khidmat demi negara memimpin peperangan melawan Covid-19 ini, saya pasti Majlis Presiden PH akan mempertimbangkan permintaan ini sebaik mungkin," katanya dalam satu kenyataan hari ini dipetik.
Bukan itu sahaja, kerajaan Muhyiddin patut lebih gentlemen lagi dalam menyambut huluran tangan kemanusiaan dan simpati kenegaraan daripada oposisi demi negara. Mungkin para bekas pemimpin PH atau ahli parlimen PH boleh dipanggil bersama untuk duduk dalam apa-apa jawatankuasa teknikal bagi membendung wabak berkenaan, yang menjadi pasukan khidmat di barisan hadapan. 

Saat ini mana-mana pihak tidak perlu memikirkan kepentingan dan laba poltik dengan apa yang dilakukan. Apa yang patut dipanggung di atas kepala ialah keselamatan rakyat dan negara. Itu patut dinombor-wahidkan.

Pergeseran dalam politik dalam mana-mana parti juga perlu dihentikan. Semua pihak kena tumpu kepada Covid-19. Terima dan anggaplah Covid-19 untuk merapat dan menginsafkan kita semua.

Hadith riwayat Bukhari ini perlu dihayati dengan penuh keinsafan dan ketanggungjawaban manusia;

"Seorang Muslim adalah saudara terhadap Muslim (yang lain), dia tidak boleh menganiaya dan tidak akan dianiaya oleh orang lain. Sesiapa yang melaksanakan hajat saudaranya, maka Allah akan melaksanakan hajatnya.

"Sesiapa yang melapangkan kesusahan seorang Muslim, maka Allah akan melapangkan kesukarannya pada hari kiamat.

"Sesiapa menutupi aib seorang Muslim maka Allah akan menutup aibnya pada hari kiamat".

[wm.kl.6:10 pm 21/03/2020]

No comments:

Post a Comment