Friday, March 6, 2020

Muhyiddin dalam dilema untuk pilihan anggota kabinet?

ULASAN

Muhyiddin sedang memilih MP untuk dilantik
anggota kabinet.
MUHYIDDIN kini terjempik dan berada dalam keadaan dilema untuk membentuk kabinetnya. Gabungan yang merampas kuasa menjatuhkan kerajaan PH, mempunyai ahli parlimen yang mencukupi untuk dilantik jadi menteri, tetapi mereka bukan mudah untuk dipilih oleh Muhyiddin kerana masing-masing ada sejarah tersendiri.

Secara mudah gabungan itu ada 112 orang ahli Parlimen. Sedangkan untuk dilantik menganggotai kabinet tidak pun sampai 60 orang. Ertinya hampir separuh. Khabarnya Muhyiddin mungkin menggunakan saiz kabinet sama dengan apa yang dilakukan Mahathir sebelum ini.

Pun begitu ia bukan mudah bagi Muhyiddin. Apa yang sedang berperang dalam kepalanya kini, jenis ahli parlimen macam manakah untuk diambil jadi anggota kabinet? Mungkin parti-parti politik gabungan itu sudah menghantar nama calon masing-masing. Tetapi menjadi haknya sebagai perdana menteri untuk membuat pilihan tepat.

Apa yang diutamakan Muhyiddin ialah memilih ahli parlimen yang bersih, ada integriti dan wibawa. Itulah janji beliau semasa menyampaikan perutusan khas pertama sebaik diangkat menjadi Perdana Menteri. Ahli parlimen itu tentulah juga berpengalaman mentadbir dan mengurus negara. Dan itulah juga diharap dan dinantikan rakyat.

Awal-awal lagi komuniti dan pemimpin pertubuhan Ngo sudah memberi amaran kepada Muhyiddin agar tidak mengambil ahli parlimen yang ada masalah. Kabinet yang hendak dibentuk mestilah terdiri mereka yang berintegriti dan berwibawa. Lambang itu akan wujud apabila anggota kabinetnya bersih. Sekiranya Muhyiddin alpakan perkara itu kesan buruk kepadanya. Kabinetnya akan digelar kabinet budu.

Umno mempunyai 39 orang ahli parlimen. Kebanyakan mereka pernah jadi menteri, ada pengalaman mentadbir dan mengurus negeri. Tetapi sebahagian besar mereka, khasnya yang mempunyai jawatan penting dalam parti terpalit dengan jenayah dan cemar. Sekurang-kurangnya pernah disiasat oleh SPRM.
Bermula daripada bekas presiden Najib Razak, presiden sekarang Ahmad Zahid Hamidi, bekas Setiausaha Agung Teuku Adnan Mansor, Abdul Azeez Rahim terpalit dengan jenayah dan mereka sedang dihadap ke mahkamah dengan puluhan dakwaan.

Begitu juga dengan nama-nama lain ikut sama pernah disiasat oleh SPRM, termasuk Setiausaha Agung Umno kini, Annuar Musa, Naib Presiden Mahadzir Khalid, Bung Mokhtar Raden, Hishammuddin Hussein, Ahmad Maslan dan lain-lain.

Mereka ini walaupun ada pengalaman dan pernah menjadi menteri, tetapi diri mereka sudah ternoda. Kalau Muhyiddin ambil orang ini menyertai kabinetnya, ia akan jadi seperti virus Covid-19 yang bahaya dan akan berjangkit.

Sementara ahli parlimen Rembau Khairy Jamaluddin Abu Bakar, dilihat tidak mesra dengan Umno. Khairy tidak berada di koridor kuasa Umno. Tidak mungkin untuk Muhyiddin untuk mengambil ahli parlimen yang berada dalam bendul kekuasaan Umno. Kalau pun yang boleh dipertimbangkan ahli Parlimen Parit Sulong Noraini Ahmad, ahli parlimen Bera, Ismail Sabri Yaakob yang pernah jadi timbalan menteri.

Gabungan itu ada 18 orang ahli parlimen daripada Pas. Mereka ini boleh dikatakan semua bersih kerana kebanyakan mereka penghafal kitab dan hadith atau pembaca kitab perukunan. Tetapi masalahnya mereka tidak ada pengalaman menjadi anggota kabinet atau memegang apa-apa jawatan dalam apa-apa agensi atau syarikat sebelum ini. Ahli parlimen Marang, yang juga presiden Pas, Abdul Hadi Awang, orang paling bersih dan berada di makam suci bagi orang parti agama. Tetapi beliau tidak mempunyai pengalaman dan kebolehan dalam bidang iktisad membanggakan.

Track recordnya sebagai MB Terengganu satu penggal juga boleh dipertikaikan dan menunjukkan beliau tidak berkeupayaan untuk berada dalam kabinet melainkan sebagai menteri Mentor tukang baca doa dan memberi tazkirah sahaja.

Yang lain, begitu juga dengan ahli parlimen Kubang Kerian, Tuan Ibrahim Tuan Man. Mungkin beliau boleh dibawa masuk untuk diletak di Jabatan Perdana Menteri untuk menerus atau menukarkan konsep Rahmatan lil alamin, untuk diberikan kementerian kanan seperti pendidikan, atau ekonomi jauh panggang daripada api, jauh perahu daripada air.

Lain-lain ahli parlimen Pas, kalaupun boleh diambil hanya untuk dijadikan timbalan menteri, atau setiausaha Parlimen jika diwujudkan semula jawatan itu. Post itu boleh dijadikan madrasah, untuk mereka belajar untuk jadi anggota kabinet.

Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Yusuf mungkin boleh diletak di Jabatan Perdana Menteri mengisi kekosongan ditinggalkan Fuziah Salleh. Dan yang sedikit mempunyai pengalaman ahli parlimen Kota Bharu Takiyuddin Hassan.  Yang lain nampaknya baru tumbuh bulu pahat.

Bersatu pula ada 30 orang ahli parlimen. Tetapi tidak semua mempunyai nilai terbaik untuk diambil sebagai anggota kabinet kerana setiakawan mereka boleh dipersoalkan. Berdasarkan kepada kouta tidak semua boleh diambil oleh Muhyiddin. Dalam Bersatu memang ada yang berpengalaman sebagai menteri, seperti ahli parlimen Jeli Mustapa Mohamed, Hamzah Zainuddin (Larut), atau Dr Abdul Latif Ahmad (Mersing), ahli parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin, tetapi mereka bukan ahli Bersatu yang tulen.

Mereka adalah "kera dan beruk" yang melompat dari ranting ke ranting dimana tindakan mereka menjatuhkan nilai mereka.

Sekiranya Muhyiddin mengambil mereka ini sedikit sebanyak ia boleh menempelkan kotoran dalam kabinet Muhyiddin.

Sementara yang asal bersamanya dalam Bersatu, seperti ahli parlimen Titiwangsa, Rina Harun, ahli parlimen Alor Gajah, (kereta terbang) Redzuan Yusuf, kebolehan mereka masih boleh dipertikaikan. Selama 22 bulan jadi menteri tidak ada apa yang boleh dibanggakan. Misalnya Redzuan sudah lama lancar projek kereta terbang tetapi sampai kini masih belum terbang lagi.

Mungkin untuk memenuhi kuota Bersatu, Muhyiddin boleh mengambil kira mereka, tetapi mereka bukan ahli parlimen boleh membantu kabinet Muhyiddin nanti. Muhyiddin berhadapan dengan calon sesuai dan layak daripada partinya sendiri.

Ahli parlimen serpihan PKR

Muhyiddin juga kena mengambil kira ahli parlimen daripada kumpulan serpihan PKR yang membantunya menjayakan rampasan kuasa. Kumpulan ini ada 10 orang ahli parlimen, dimana empat daripadanya pernah menjadi menteri. Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali, ahli parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin, ahli parlimen  Indra Mahkota Saifuddin Abdullah dan ahli parlimen Bandar Tun Razak, lupa nama.

Walaupun mereka ini ada kebolehan tetapi Muhyiddin tidak mungkin mengambil kesemua mereka. Jumlah kerusi kumpulan itu hanya 10 orang sahaja, paling rendah. Integriti ahli parlimen ini juga boleh dipertikaikan kerana mereka telah khianat parti asalnya PKR. Mungkin terfikir juga dalam kepala Muhyiddin kalau parti mereka dan Anwar boss mereka boleh kencing begitu sahaja, kenapa tidak dengannya suatu hari nanti?

Demikian senario yang ada kepada ahli-ahli parlimen yang hendak dipilih oleh Muhyiddin bagi menyertai kabinetnya. Sebenarnya Muhyiddin tidak terlalu selektif mengenai hal ini kerana dirinya sendiri juga telah dianggap pengkhianat apabila melanggar dan membelakang Mahathir dan melupai konsensus dalam PH yang telah menyebut Anwar sebagai PM ke - 8.  Sekiranya beliau cuba memilih yang bersih untuk jadi anggota kabinet, maka beliau akan gagal dan kabinet akan tertangguh lama. [wm.kl.8:38 pm 06/03/2020]

No comments:

Post a Comment