Monday, March 2, 2020

Penafian Muhyiddin beliau bukan pengkhianat meragukan

SUSUPAN MALAM

Muhyiddin PMTCN?
MUHYIDDIN Yassin tidak mengakui dan tidak bersetuju apabila beliau dituduh sebagai pengkhianat menyebabkan hilangnya kerajaan PH. Katanya apa yang beliau lakukan adalah untuk menyelamatkan keadaan apabila tidak ada individu mendapat sokongan ahli parlimen untuk dilantik jadi perdana menteri.

Apabila Dr Mahathir tidak mendapat angka cukup untuk dilantik semula sebagai perdana menteri selepas meletakkan jawatan, menyebabkan partinya (PPBM) mencadangkan namanya. Dakwanya cadangan itu turut disetujui oleh Dr Mahathir Mohamad. Nampak indah, tetapi apakah benar begitu?

Muhyiddin menjelaskan perkara itu dalam ucapan khasnya disiarkan secara langsung oleh televisyen Malaysia sekejap tadi. Ucapan khas itu adalah kenyataan umum pertama beliau selepas menjadi PM, menjelaskan situasi yang berlaku seminggu lepas. Melalui ucapan itu beliau cuba meredakan keadaan dan menenangkan rakyat berhubung pelantikannya sebagai PM ke - 8.

Dalam penjelasan itu menampakkan Muhyiddin jujur dan ikhlas dan cuba menolak persepsi buruk kepadanya. Menurutnya beliau tidak pun mengidamkan untuk jadi perdana menteri dan turut berfikir panjang apabila namanya diberi perkenan oleh Yang diPertuan Agong.

Bagaimanapun penjelasan Muhyiddin itu kabur dan boleh dipertikai dan diragui. Benarkah beliau tidak berhasrat untuk jadi perdana menteri? Kalau benar kenapa beliau sanggup bersekongkol dengan Azmin Ali yang telah mengkhianati Anwar Ibrahim? Begitu juga macam mana beliau boleh bekerjasama dengan Umno yang kebanyakan pemimpinnya korup dan juga bekerjasama dengan Pas yang pernah dianggap sebagai parti tidak boleh dipercayai?

Dengan mengambil kata Musa Hitam bodohlah seseorang ahli politik itu kalau tidak bercita-cita untuk jadi perdana menteri, kenyataan Muhyiddin itu tertolak sama sekali.

Bukankah tindakan Muhyiddin itu merupakan tindakan matlamat menghalalkan cara?
Justeru kenyataan dan pengakuan Muhyiddin itu boleh diragui dan bohong. Dan lebih mendukacitakan lagi beliau masih lagi ingin mengaburi rakyat dengan satu lagi pembohongan dengan menafikan tuduhan itu. Sebaiknya beliau terima dan reda sahaja.

Mudah sahaja, sekiranya beliau tidak berhasrat jadi perdana menteri dan masih jujur, apabila Dr Mahathir tidak cukupi sokongan, kenapa beliau tidak menyokong Anwar Ibrahim? Bukankah Anwar ketika itu berada dalam Pakatan Harapan bersama dengan beliau (PPBM)? Wajarkah dan halalkah sebagai seorang Islam bertindak menikam belakang.

Itukah ajaran dan pegangan Muhyiddin yang selama ini beliau dilihat sebagai seorang pemimpin berintegriti?

Kalau beliau tidak menyokong Anwar beliau tidak seharusnya bersama PH sejak awal lagi kerana dalam PH itu Anwar berada lebih lama daripadanya. Tetapi kenapa Muhyiddin rela dan sanggup berada dalam PH sejak awal? Bukankah permainan dan cara itu sebagai munafik? Sebagai orang Islam, Muhyiddin tentu tahu dan reti istilah dan batas-batas munafik.

Semua keadaan dan realiti itu menjelaskan perndirian dan niat sebenar Muhyiddin. Bahawa beliau tidak menyokong Anwar yang sudah pun dikonsensuskan oleh PH untuk menjadi PM selepas Mahathir. Tidakkah tindakan itu juga boleh disifatkan beliau menentang konsensus itu dan selama ini berpura-pura. Maka tidak salahlah kalau beliau dituduh pengkhianat? Sebaiknya beliau mengakui dan tidak menambahkan kepalsuan.

Persekongkolan beliau dengan Azmin menjelaskan lagi sifat dan pengkhianatannya. Jadi macam mana Muhyiddin boleh menafikan yang beliau bukan pengkhianat.

Kalau pun beliau tidak mengakui mengkhianati dan membelakangkan Mahathir yang menjadi pengerusi PPBM, tetapi jelas beliau mengkhianati Anwar dan tidak jujur dengan konsensus PH. Apa erti dan makna apabila Mahathir menyatakan dia terkilan dan kesal dengan Muhyiddin. Dimanakah letaknya hukum dan diri Muhyiddin dalam situasi begini?

Apakah beliau sudah mendapat penjelasan dan huraian hukum daripada para pemimpin Pas yang memang memiliki kitab hukum lebih daripada dua jenis, halal dan haram. Begitukah?

Kepada saya walaupun ada simpati kepada Muhyiddin yang tentu akan berhadapan dengan cabaran dan tentangan sebagai Perdana Menteri kerana pengangkatannya disitu dengan nombor meragukan, namun sukar untuk menerima kenyataan yang pengakuan dan ucapan bahawa beliau bukan pengkhianat.

Selamanya sejarah akan merakam kejadian bermula 24 hingga 27 Februari, kudeta kerajaan PH yang dipilih rakyat secara sah menerusi pilihan raya itu, adalah satu pengkhianatan. Sekiranya Muhyiddin mempunyai integriti, jujur dan berpegang kepada hukum sejati beliau mestilah tidak bersedia memikul kesalahan yang dilakukan itu sampai ke akhirnya. [wm.kl.10:57 pm 02/03/2020] 

No comments:

Post a Comment