Tuesday, January 12, 2021

Darurat beri kuasa penuh kepada Muhyiddin Yassin

KENYATAAN MEDIA

MAJLIS Presiden Pakatan Harapan (PH) yang bermesyuarat petang ini telah mengeluarkan satu kenyataan mengecam langkah mengisytiharkan darurat dilakukan hari ini sebagai memberi kuasa penuh kepada Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Menerusi proklamasi darurat itu menurut sebaran majlis itu yang ditanda tangani Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng membolehkan Muhyiddin berkuasa penuh dan melakukan apa yang dikehendakinya sewenang-wenangnya.

Penggantungan Parlimen juga sebagai merampas hak rakyat mencacatkan peroses semak imbang dan merencatkan demokrasi.   

Majlis itu juga berpendapat ia bukan semata-mata untuk mencegah Covid sebab dengan undang-undang dan langkah yang sedia ada sudah cukup untuk mengawal Covid. 

Berikut disiarkan sepenuhnya kenyataan berkenaan:

KENYATAAN MEDIA
MAJLIS PRESIDEN PAKATAN HARAPAN
12 Januari 2021
Majlis Presiden Pakatan Harapan telah mengadakan mesyuarat pada hari ini dan membincangkan isu perisytiharan darurat yang telah diumum hari ini.
Majlis Presiden mengambil pendirian menolak rasional serta alasan-alasan yang telah diberikan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kononnya kuasa-kuasa darurat diperlukan untuk menyelamatkan Malaysia dari COVID-19.
Kami berpendapat bahawa undang-undang sedia ada, termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah diumum semalam, adalah mencukupi untuk mengumpul segala sumber dan kekuatan bagi mengatasi wabak ini. Sebagai contoh, dalam isu mengambil alih hospital-hospital swasta untuk membantu dalam kes-kes COVID-19, hospital-hospital swasta ini memang bersedia membantu pihak kerajaan dan kuasa darurat tidak diperlukan untuk mendapatkan kerjasama mereka.
Berkenaan isu pilihanraya pula, Majlis Presiden melihat tindakan yang telah dilakukan sebelum ini, iaitu perisytiharan darurat bagi sesebuah bahagian Parlimen atau Dewan Undangan Negeri adalah memadai. Bagi Pilihanraya Negeri Sarawak pula, ia tidak perlu dilakukan sehingga selewat-lewatnya penghujung Ogos 2021, manakala Pilihanraya Umum ke-15 pula hanya perlu diadakan menjelang 2023. Oleh itu, alasan yang dikemukakan Tan Sri Muhyiddin dalam isu ini tidak dapat diterima sama sekali.
Malah kami melihat tindakan menggantung Parlimen dan Dewan-Dewan Undangan Negeri pada ketika pihak eksekutif dan kehakiman masih boleh berfungsi seperti sedia kala menjejaskan proses semak imbang, merencat demokrasi negara dan menafikan suara rakyat.
Kuasa darurat ini bermakna memberi kuasa mutlak kepada Perdana Menteri untuk melakukan hampir apa sahaja, sewenang-wenangnya.
Majlis Presiden turut menimbulkan kerisauan bahawa perisytiharan darurat ini akan menjejaskan usaha menghidupkan semula ekonomi serta keyakinan pelabur, dan tidak akan membantu mengatasi masalah pengangguran dan kehilangan pendapatan di kalangan rakyat.
Oleh itu, kami berpandangan bahawa tindakan Tan Sri Muhyiddin mengusulkan darurat pada ketika beliau sudah kehilangan sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen, termasuk Machang dan Padang Rengas, bermaksud langkah ini tidak boleh diterima sama sekali.
Jangan berselindung di sebalik COVID-19 dan membebankan rakyat dengan perisytiharan darurat demi menyelamatkan diri sendiri.
YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)
YB Hj Mohamad Sabu
Parti Amanah Negara (AMANAH)
YB Lim Guan Eng
Parti Tindakan Demokratik (DAP)

[wm.kl. 7:33 pm 12/01/2021]


No comments:

Post a Comment