Monday, May 31, 2021

Bulan berdarah Pas terluka (Bhg Kedua).

ANALISA

SEORANG penjenguk setia blog ini mendakwa dari Terengganu yang menamakan dirinya sebagai Ngah Hitam memberi respon kepada tulisan sebelum ini perihal bulan gerhana penuh. 

Ngah Hitam dapat memahami maksud dan hujung jatuh kisah bulan gerhana berdarah yang saya postkan itu. 

Sebegitu membaca cerita perihal bulan gerhana itu Ngah Hitam kata dia teringat apa yang sedang diperkatakan di Terengganu pada masa ini.

Katanya, bulan gerhana penuh nampak dari Terengganu. Kebetulan katanya pada ketika itu dia sedang berada di tepi laut menengok bot sopeknya. Jelas sekali bulan purnama penuh itu dimatanya. Ia muncul agak lama juga. Cuma kata Ngah Hitam, sayang dia tidak mempunyai kamera untuk merakamnya.

Agakan.

Saya bertanya Ngah Hitam, ada nampak apa-apa gambarkah dalam bulan gerhana itu? Ngah Hitam kata, dia kurang jelas tetapi dapat mengagak sikit-sikit saja. 

Ngah Hitam bersetuju gerhana penuh itu memberi isyarat atau implikasi kepada Khairuddin Aman Razali dengan apa yang berlaku sekarang ini. "Benar macam tuan kata, Ustaz Khairuddin sudah tercalar dengan apa yang berlaku." akuinya. Menurutnya dia banyak curi dengar cerita politik Terengganu membebelkan Khairuddin. Sikap dan perwatakan Khairuddin diperkatakan mula berubah sejak dilantik menjadi menteri dan macam-macam termasuk berunsur fitnah mentah. 

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu dilantik jadi Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi dalam kerajaan Perikatan Nasional. 

Hari ini, mauduk yang hendak saya bawa sebagai sambungan kepada tulisan bahagian pertama telah keluar dalam surat khabar Utusan Malaysia, sebuah artikel yang berbunyi: Tulah MB sepenggal apakah berulang?." Artikel itu ditulis oleh Rosalinda Md Said bertarikh 29 Mei 202i. Rosalinda ini anak Mat Said bekas MB ke?

Artikel itu beri gambaran dan nasib dihadapi bekas-bekas MB Terenganu yang istilahkan sebagai "ketulahan". Semua individu yang jadi MB Terengganu selepas Wan Mohkhar Ahmad, hanya dapat bertahan sepenggal sahaja, selepas itu ghuyup. Apa yang hendak disampaikan penulis rencana itu, apakah MB sekarang Dr Ahmad Samsuri Mokhtar juga akan mengikut jejak sama. 

Ketulahan itu menimpa Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang dilantik menjadi MB selpas Pas menang di Terengganu Piraum 1999, yang dapat bertahan sepenggal sahaja kerana dalam Piraum 2004 Pas Terengganu kalah. 

Kekalahan Pas dan kesempatan Abdul Hadi jadi MB hanya sepenggal ini mengejutkan. Ia dikira suatu hal yang tidak patut berlaku kerana ketika itu pengaruh Pakatan Rakyat (PR) dimana Pas berada bersama masih kuat, tetapi kerajaan Terengganu pimpinan Tok Dor tumbang. Tragedi ini dijadikan ukuran kemampuan Abdul Hadi sebagai MB. 

Umno menang dengan Idris Jusoh dilantik menjadi MB. Bagaimana pun Idris tidak dilantik menjadi MB walaupun Umno menang dalam Piraum 2008. Sebab musababnya kerana Majlis Penasihat Pemangku Raja tidak memberi perkenan. Kegagalan Idris dilantik menjadi MB kali kedua menyebabkan timbul protes dari kalangan Umno terhadap istana sampai menyebut "natang". Hubungan Idris dengan istana tidak pulih sampai kini. Jadi Idris jadi MB hanya sepenggal sahaja. 

Nasib dialami Idris itu membawa tuah kepada Ahmad Said yang dilantik menjadi MB. Bagaimana pun apa dialami Idris turut dialami sama oleh Ahmad Said. Selepas memegang jawatan beberapa ketika selepas Umno menang Piraum 2014 beliau diminta meletak jawatan. Tempatnya diganti oleh Ahmad Razif. Tulah dilalui Hadi, Idris dan Ahmad Said menimpa pula Razif apabila beliau jadi MB sehingga pilihan raya ke 14, bila mana Umno kalah.

Protes dalaman.

Apabila Pas menguasai Terengganu dalam Piraum ke-14, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar diamanahkan sebagai MB. Pemilihan Samsuri ini mengejutkan kerajaan beliau bukan daripada rahim ulama atau pun berlatar belakang ustaz. Beliau dilihat sebagai golongan profesional sekular. Secara diam-diam timbul rasa tidak puas hati kepada Samsuri. Protes dalaman pun berlaku. 

Bukan itu sahaja, di luar sana juga rakyat sudah mulai bercakap mengenai Samsuri dan masa depannya.Ia berpunca dari polisi dan perubahan yang diambil. Dan lebih mengejutkan lagi, dikatakan timbul rasa tidak puas hati di pihak istana terhadap beberapa pendekatan dan polisi diambilnya. Sikap mengutama orang luar mengisi jawatan-jawatan penting di Terengganu sebagai pengerusi atau penasihat syarikat GLC atau badan tertentu tidak disenang rakyat termasuk kalanngan Pas sendiri.

Apa diambil Samsuri itu satu pembaharuan dan keberanian. Tetapi sayang keberanian itu terlebih berani tanpa mengambil kira sensitiviti setempat termasuk turut menyentuh perasaan pihak istana?

Selain itu kegagalan menjaga alam sekitar juga turut dijadikan isu. Penebangan balak gergasi diTerengganu yang tular baru-baru ini, katanya diheret ke atas MB. Ramai yang kesal dan mempersoalkan yang Samsuri tidak peka dengan kepentingan alam sekitar dan sejarah. Berapa sen sangat pokok balak itu dibanding dengan nilai sejarah yang ada pada pokok itu. Ada sepekara lagi lebih besar yang meletakkan Samsuri dalam keadaan "akan menepoh" tunggu masa dan keadaan sahaja. Saya tidak mahu sebut dulu.

Melihat perkembangan ini maka apa yang diutarakan oleh Rosalinda dalam artikel itu apakah akan berlaku ketulahan kepada penjawat MB akan berulang lagi sekali di Terengganu. Samsuri juga akan menghadapi nasib sama. 

Sekiranya ini terjadi sesuatu yang malang kepada Pas Terengganu dan juga rakyat Terengganu amnya. Ketidakstabilan politik dan berlaku hubungan "pahit-pahit jadam" dalam politik tidak membawa kebaikan kepada sesebuah kerajaan dan negeri. 

Apakah Pas secara diam-diam sudah membuat perhitungan menleraikan kabus yang kini menutupi Bulan Purnama di Terengganu itu. Gerhana berdarah 26 Mei tempoh hari hanya muncul sekejap sahaja, kemudian ia akan hilang. Tetapi gerhana dalam bulan Pas tidak semudah itu untuk dileraikan.  

Tukar MB.

Apakah ada kemungkinan Samsuri akan diturunkan lebih awal, atau akan berhadapan dengan ketulahan sebelum tempohnya genap satu penggal. Sekiranya keadaan yang wujudkan muasir ini sulit untuk diselesaikan elok kalau Samsuri segera diturunkan. Pas patut bertindak awal mengambil langkah alternatif sebelum mengelakkan berlaku keaiban. Jika Samsuri tidak dapat dibaikpulihkan perlu ditukar.

Persoalan kini, siapakah yang layak untuk mengambil alih tempat Samsuri? Sebelum ini nama Khairuddin disebut-sebut. Kononya dalam Piraum akan datang Khairuddin akan turun bertanding di DUN untuk jadi MB. Plot itu juga katanya atas restu Abdul Hadi. Memang sesuai kalau Khairuddin.

Tetapi seperti kata Ngah Hitam tadi, diri Khairuddin sudah tercalar. Lagi pun untuk tunggu Piraum masih lambat lagi sedangkan jawatan MB itu perlu ditukar segera demi kebaikan Pas.

Khalil boleh jadi pendamai.
Tidak dipastikan apakah Ngah Hitam nampak gambar lain dalam bulan gerhana tempoh hari sebagai calon MB? Dari pandangan saya, orang yang boleh dia angkat mengganti Samsusi tidak lain dan tidak bukan adalah Adun Batu Buruk Muhammad Khalil Abdul Hadi, putera politik kepada Tuan Guru Abdul Hadi sendiri. 

Pemilihan Khalil ini dengan menggunakan pamor dan keramat Abdul Hadi boleh menenangkan suasana. Bekas Ketua Dewan Pemuda Pas itu antara tokoh paling muda di Terengganu, tetapi pelantikan dan pemilihannya dikira menjadi penenang keadaan.  

Untuk memastikan Pas damai, tenang, bukan terletak kepada tokoh yang berkelayakan mentadbir dan mengurus, tetapi yang mempunyai akses dan aset tertentu. Dalam hal ini Khalil ada aset itu. Aset utamanya dia adalah anak kepada Abdul Hadi. Beliau boleh menjadi pendamai atau penyelesaian pertelingkahan beberapa golongan yang berminat dan sedang melobi untuk jadi MB Terengganu. 

Selain itu kesesuaian Khalil berada disitu juga sebagai mahar kepada Abdul Hadi sebagai tokoh Pas yang banyak berjuang untuk Terengganu khasnya dan Malaysia amnya. Rasanya Duta Khas PM ke Timur Tengah itu juga ada menyimpan maksud seperti Dr Mahathir Mohamad untuk mewariskan perjuangan kepada anak. Ini boleh diukur dengan kepercayaan diberikan oleh Hadi kepada Khalil untuk mengetaui Sekretariat Aid4Palestin. [wm.kl.1:37 pm 31/05/2021]


No comments:

Post a Comment