Monday, May 10, 2021

Pintu Ajal Belum Terbuka

KELUAR OT DISAMBUT MB

Bab Keenam.

TIDAK ada sesuatu yang paling gembira dan membahagiakan apabila proses pembedahan berjalan lancar dan berjaya dengan selamat. Sepanjang tempoh pembedahan tidak ada apa-apa yang tidak diingini berlaku. Seperti diceritakan, tempo pembedahan tidak diketahui, tahu-tahu aku sudah hendak dibawa ke dalam ward.

Syukur panjang aku kepada Allah SWT yang memberi kesempurnaan itu. Tidak pernah terlupa juga kepada setiap mereka yang mendoakan ke atas kesempurnaan itu. Orang paling berharga dan dihargai ialah Naimah, anak-anak serta menantu. Mereka sudah pasti berdoa panjang dan dalam untukku. 

Tidak terlupa walaupun ibu tidak dapat bersama, kerana nun jauh di kampung di Rantau Panjang, Kelantan yang berjarak 403 km, juga berdoa untuk aku. Mungkin pada malam sebelumnya, ibu mengadakan solat Hajat dan berdoa meminta kesejahteraan aku. “Masalah” dan alasan yang sering dihadapi orang tua, menyebabkan beliau tidak hadir bersama untuk berada di sisi pada saat aku hendak menjalani pembedahan. 

Namun aku tetap yakin dan percaya ibu melihat aku dari sejauh, seumpama Tuhan mengawal aku dari segenap dimensi. 

Seorang ibu kasihnya kepada anak tidak pernah terucap persis sang suami yang ikhlas cintanya kepada isteri akan memendamkan perasaan itu tanpa disebut dan ditunjuk-tunjuk. Cinta buka sebuah bola. 

Aku bermadah mengenai kasih dan ingatan seorang ibu kepada anaknya. Harapan dan bantuan doa tidak payah diminta-minta daripadanya sebab sebaik terbentuk janin (kita) dalam kandungannya, dia tidak habis-habis mendoakan untuk kesejahteraan kita. 

Bahkan sebelum kita terbentuk lagi dia sudah memohon kepada Tuhannya agar mengurniakan seorang anak yang baik dan soleh. Kasih bapa dan ibu membawa ke syurga. Dan kita zahir ke dunia ini dengan iringan harapan dan pengerbanan ibu dan demi maruah ayah.

Tiada alahan.

Sesudah pembedahan tidak ada apa-apa simptom atau pun alahan. Kepala tidak pening dan tekak tidak loya. Ubat bius yang disuntik ke dalam diriku tidak membawa kesan buruk. Kandati tubuh masih lemah kerana ubat bius, tetapi ia tidak meralatkanku. Ini terbukti apabila aku terus dapat menerima tetamu pertama selepas pembedahan.

Tetamu atau orang pertama menziarahi aku selepas bedah ialah YAB Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob. Belum sampai 10 minit sebaik aku keluar dari dewan bedah, beliau sudah terjolor sampai bersama dua orang pegawainya, dan teman seharian aku Dr Wan Suhaimi Wan Daud. Dialah yang membawa Ahmad untuk melawatku.  

Agak terkejut juga aku dengan kedatangan tetamu terhormat itu. Tidak sangka beliau hadir menziarahi aku. Apa lagi aku tidak pun dimaklum kedatangannya itu. Kunjungan itu satu kejutan dan suatu penawar juga.

Seperti setiap kali bertemu kami bersalaman penuh mesra dan keakraban. Ahmad meminta aku supaya jangan banyak bergerak. Beliau begitu prihatin sekali. Beliau sendiri tidak banyak bertanya dan hanya memerhati sahaja, seakan-akan bimbang untuk bercakap bagi mengelak aku keletihan. 

Kunjungan MB Kelantan itu ternyata memberi kekuatan kepadaku. Al maklumlah MB Kelantan yang juga timbalan Mursyidul Am PAS, pemimpin kerohanian kedua dalam PAS, selepas seorang lagi. Seharusnya aku berbangga dan bertuah.

***

Bagaimana pun betapa niat dan tujuan beliau ikhlas tetapi kapasitinya sebagai orang politik, kunjungan beliau itu tetap disuluh dari mata politik. Semua gerak gerinya sama ada sengaja atau tidak tetap ditafsirkan dengan berbagai makna. Kalau pun mereka ikhlas tetapi pengulas dan penyokongnya akan membuat tafsiran sendiri untuk kepentingan diri. Teori 4C tetap akan berlaku, “mengeksploitasi” dan “mepublisiti” apa sahaja. 

Demikian buruknya persepsi kepada orang politik. Walaupun kunjungan Ahmad itu sebagai tanggungjawab pemimpin dan atas dasar perhubungan antara aku dengan beliau, tetapi ia diambil kesempatan untuk kepentingan politiknya. Sekejap sahaja gambar Ahmad menziarahi aku dan kami bersalaman didedahkan dan menjadi tular dalam Facebook dengan keterangan yang cukup menyinis dan ia memberi muka (political mileage) kepada Ahmad.

Kononnya kunjungan ziarah itu menunjukkan kebaikan dan keikhlasan pemimpin PAS itu, yang sedia melawat aku walaupun aku vokal mengkritiknya. Dalam satu posting berbunyi; "walaupun dikritik tetapi MB tetap menziarahi MSO, ini menunjukkan betapa tingginya akhlak pemimpin PAS." Adus…

Gambaran yang hendak diberikan, Ahmad seorang baik dan tidak mengambil hati kepada aku yang mengkritiknya. Mulanya aku tidak mahu menyebut di sini macam mana MB Kelantan itu boleh mengunjungiku. Biarlah permainan politik murahan berlalu begitu sahaja dalam kalangan vandalisme. Kita yang sihat politik sepatutnya tidak terperosok sama dalam pemahaman politik yang sempit. Tetapi kerana ingin mendedahkan perkara benar, elok kalau aku mengisahkan macam mana MB Kelantan boleh melawat saya.

***

Tanggal 25 Disember, 2015 adalah tarikh yang dijanjikan untuk kami bertemu di Kuala Lumpur. Ia ditetapkan dua minggu sebelum itu. Pertemuan itu atas permintaanku. Aku telah mengutus surat kepadanya. Tujuan pertemuan itu bagi mendapat penjelasan beberapa perkara berkaitan dengan kerajaan Kelantan yang ada kena mengena dengan dirinya, terutamanya mengenai beberapa tuduhan terhadap pentadbirannya yang dilihat pincang dan kegagalannya selaku MB menyelesai beberapa masalah. Bagi aku beliau perlu memberi penjelasan atau menjawab segala kritikan itu agar tidak mengelirukan orang ramai.

Aku mengambil inisiatif menulis surat kepadanya menyatakan maksud dan keperluan ku untuk berjumpa dengannya. Beliau menjawab menyatakan persetujuan untuk berjumpa dengan aku. Pada mulanya tarikh diberikan pada 7 November 2015 sebelum aku ke Sri Lanka, tetapi kerana kebetulan pada masa itu aku ke luar negeri ia dibatal dan dianjakkan pada tarikh 25 Disember. Tanggal 25 Disember adalah tarikh temujanji kedua.

Tarikh 25 Disember itu juga berkebetulan kerana Ahmad ada urusan di Kuala Lumpur. Kalau tidak silap menghadiri persidangan Majlis Raja-Raja. Jadi beliau mengambil pelung untuk berjumpa dengan aku. Malangnya pada tarikh ditetapkan itu sekali lagi tidak kesampaian kerana aku berada dalam ward untuk menjalani pembedahan. Gara-gara itu pertemuan itu tidak dapat diadakan pada tarikh ditetapkan. Kebetulan masa aku operate (27 Disember) beliau masih berada di Kuala Lumpur dan mengambil peluang untuk menziarahi aku. 

Aku percaya dan yakin beliau ikhlas melawat aku dan tidak pun ada niat untuk mengeksploitasikan bagi kepentingan politiknya. Aku percaya dan yakin beliau tidak pandai bermuka-muka dalam kehidupan, apa lagi mempolitikkan kunjungan itu. Hubungan aku dengannya bukan intim setelah beliau menjadi MB, tetapi sebelum itu lagi. Yang menjadi masalah adalah para pendukong PAS yang suka mengambil apa sahaja kesempatan. Jadi kunjungan Ahmad itu adalah sebagai kunjungan seorang pembesar kepada rakyatnya sahaja.

Tidak sampai setengah jam Ahmad berada bersama aku, kemudian beliau berlalu. Sementara pertemuan yang dirancangkan awal-awal itu dengan maksud tertentu tidak terjadi sampai kini. Mungkin ia sudah dianggap selesai?

Kehadiran MB Kelantan itu boleh dikatakan merasmi upacara melawat aku oleh sanak saudara dan rakan-rakan terdekat sesudah menjalani pembedahan. Aku tidak menghebahkan akan pembedahan itu. Hanya rakan-rakan terdekat atau yang bertemu setiap hari sahaja diberi tahu. Berita pembedahan itu tidak pun aku masukkan ke dalam Facebook atau pun blog. Aku tidak mahu menyusahkan orang. Hatta abang dan kakakku pun aku tidak maklum secara rasmi.

Pun rakan-rakan yang makrifat dengan aku dapat menghidu apa yang berlaku kepadaku. Dan ada juga yang tidak sedar pun aku masuk ward ataun dirawat kerana hubungan dan kegiatan aku seharian di media sosial tidak terjejas. aku terus update dan membuat pengeposan baharu dalam blog, facebook dan twitter menyebabkan orang tidak fikir dan tahu yang aku sakit.

Masa di atas katil pun aku masih membuat pengeposan baharu dalam blog, dan pengeposan ini menyebabkan rakan-rakan media sosial tidak syaki sesuatu. Sekali lagi aku berbuat begitu kerana “fesyen” aku tidak suka menyusahkan sesiapa. Aku lebih seronok menghadapi hal-hal berkaitan diri sendiri tanpa melibatkan orang lain. Apapun aku berterima kasih dan bertuah atas kunjungan Ahmad Yakob itu.

Wangsa Melawati, Kuala Lumpur.
13 Disember 2020.
[wm.kl.5:05 10/05/2020]

No comments:

Post a Comment