Tuesday, June 8, 2021

Abd Rahman seorang rakan setia Anwar

BELASUNGKAWA

Menjelang Maghrib semalam (26 Syawal 1442), kita dikejutkan dengan pemergian ke alam baqa Abd Rahman Yusof. Beliau adalah seorang ahli politik dan pejuang Reformasi yang ampuh. Abd Rahman pergi dalam usia 64 tahun kerana menghidapi kanser paru-paru.

Saya sedikit terkilan kerana mengetahui beliau terlantar di PPHUKM agak lewat, menyedarinya setelah anaknya Muhammad Muhsin mengangkat status mengenai ayahnya itu dalam Facebook Allahyarham. Beliau rupanya sudah keuzuran sejak enam bulan lalu. 

Tidak ramai yang mengenali sosok bertubuh kecil dan slim ini kerana beliau lebih banyak bertindak di belakang tabir. Dalam apa-apa keramaian parti beliau lebih suka menjauh diri dan bertindak sebagai pemerhati. 

Tetapi bagi mereka yang rapat dan mengikuti perjuangannya, serta mengenali hati budinya, Allahyarham bukan calang-calang tokoh.  Jasanya dan budinya tidak terhitung dan terlawan oleh banyak orang. 

Abd Rahman yang merupakan adik ipar kepada bekas MB daripada Umno, boleh memilih jalan senang dan tidak perlu berhadapan dengan pelbagai birokrasi politik dan ancaman daripada pihak pemerintah apabila mengambil jalan untuk bersama Anwar Ibrahim. Beliau boleh selamat dan aman, tetapu bukan itu pilihannya.

Tetapi naluri kemanusiaannya dan demi kepentingan rakyat beliau sanggup melangkah ke jalan berduri bersama Anwar Ibrahim atas satu tujuan menyelamatkan keadaan negara yang dibobrokkan regim politik ketika itu.

Abd Rahman pernah diberi amanah sebagai Pengerusi Keadilan Terengganu. Dalam pilihan raya umum 1999 beliau bertanding di parlimen Kemaman dan memenangi kerusi tersebut. Semasa beliau berkhidmat sebagai ahli parlimen, saya turut memuat-sebarkan ucapannya di parlimen dalam majalah tidak berkala yang saya terbitkan. Beliau berterima kasih banyak atas usaha itu kerana beliau langsung tidak mendapat liputan daripada media nasional.  

Dalam membantu dan menggerakan perjuangan Reformasi, Abd Rahman banyak melakukan kerja dibelakang tabir  khasnya dalam membantu Anwar Ibrahim sebagai penasihat dan presiden Keadilan. Atas wibawa dan kesetiaannya kepada Anwar, presiden Keadilan itu memanggilnya untuk membantunya di pejabat sebagai Pegawai Khas. Abd Rahman adalah satu-satunya rakan atau pegawai Anwar yang senior yang bertindak menjadi guru kepada pegawai-pegawai Anwar yang muda.

Walaupun beliau jarang tampil ke pentas ceramah, tetapi kesibukannya sama dengan Anwar. Ini kerana ke mana Anwar berada di situ beliau akan ada. Abd Rahman, boleh dianggap orang yang mengaturkan jadual perjalanan dan lawatan Anwar ke seluruh negara dari Perlis hingga ke Sabah dan Sarawak.

Beliau menyaksikan segala kesulitan dialami Anwar dalam usaha membangkitkan semangat rakyat termasuk ancaman terhadap Anwar. Ceritanya dipetik, pernah ada seseorang membawa sabit untuk mencederakan Anwar. 

Sebelum menjadi pegawai khas Anwar, beliau diberi tanggungjawab membantu Dr Wan Azizah Wan Ismail semasa "Kak Wan" menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen. Abd Rahman bertindak menjadi setiausaha Kak Wan yang bertanggungjawab menulis ucapan dan membantu Dr Wan Azizah dalam hal ehwal parlimen.

Sesuai dengan sifatnya pendiam dan tidak banyak bercakap apa lagi menonjol diri Abd Rahman tidak suka menunjuk diri yang dia baik dan rapat dengan Anwar. Tetapi hakikat ini saya ketahui kerana  apabila ada apa-apa keperluan berhubung Anwar yang ada kaitan dengan saya, beliau akan menghubungi saya dan minta untuk berjumpa. 

Setiap kali saya keluarkan buku baru beliau tidak akan ketinggalan untuk mendapatnya. Walaupun apalah sangat (nilainya) buku saya kepada beliau, tetapi katanya, "aku kena baca, setiap apa yang kau tulis mengenai Anwar". Saya faham, apa dicarinya dalam buku saya ialah apa-apa mengenai Anwar sama ada untuk diperbetulkan atau pun disetujui.

Bagi saya Abd Rahman seorang tokoh yang tidak suka kontroversi dan sedia mengalah demi untuk mendamaikan keadaan. Walaupun beliau tidak dilantik sebagai pengerusi Keadilan di Terengganu namun beliau tidak berkecil hati bahkan terus memberi sumbangan untuk kemajuan Keadilan di negeri itu.

Kali terakhir berjumpa dengan Allahyarham ialah Disember 2019, di Petaling jaya. Dalam kesempatan itu beliau masih memikirkan mengenai perjuangan rakyat dan nasib negara. Beliau menzahirkan keazamannya untuk membawa perubahan di negeri kelahirannya Terengganu dengan merampas negeri itu daripada Pas.

Pemergian Abd Rahman, memberi kesan kepada Anwar khasnya dan Keadilan Terengganu khususnya memandangkan Allahyarham merupakan orang terawal terlibat membangunkan Keadilan Terengganu. Manakala sebagai seorang pekerja dan rakan, peranan Allahyarham sangat memudahkan kerja Anwar kerana beliau tidak perlu diberi arahan kerana beliau dapat melakukan apa yang Anwar kehendaki. Lantaran itu permergian Abd Rahman merupakan suatu kehilangan buat Anwar. 

Jasa Allahyarham dalam perjuangan Reformasi sangat besar. Sebaik-baiknya bagi mengenang dan menghormati Abd Rahman seluruh pejuang rakyat khasnya dalam Keadilan mencontohi akan kesabaran, keulitan dan keyakinan beliau kepada perjuangan Reformasi. 

Takziah kepada seluruh keluarganya. Semoga Allah pelihara roh Allahyarham dimakam para mukhlisin. [wm.kl.8:22 am 08/06/2021]


No comments:

Post a Comment