Tuesday, September 21, 2021

Dua dekad perjuangan Reformasi

RENCANA KHAS 

Inilah penggerak Reformasi
SEMALAM genap 20 tahun gerakan dan perjuangan Reformasi cambah, menunas dan merimbun di negara ini. Perjuangan itu meletus dan tumbuh ekoran insiden yang menimpa Anwar Ibrahim

Mungkin tanpa pemecatan Anwar daripada Umno tanggal 3 September 1998 kemudian diikuti dengan penahanannya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 20 September, gerakan Reformasi tidak melata dan merakyat seperti hari ini. Tetapi hakikat apa itu sudah ada sebenarnya. 

Naluri Refomasi bukan tumbuh atas peristiwa itu, tetapi ia tersembunyi lama dalam diri reformisnya. Meskipun spiritual Reformasi (Islah) itu sudah ada dalam diri Anwar, tetapi ia bergerak secara taktikal dari dalam, dengan strategi mahu digerakkan secara taktikal dalam sistem pemerintah (Umno) ketika itu. Proses persalinan gerakan Reformasi ini menarik.  

Asal kenapa Anwar meninggalkan wadahnya sebelum ini, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) untuk bersama Umno kerana ingin memperjuangkan Reformasi. Ini mungkin tidak ramai menghitung dan menyedarinya. Ertinya proses dan tujuan kemasukan Anwar ke dalam Umno bukan secara sengaja, tetapi secara penuh andaian yang disedari. Tetapi kenapa jadi kontroversi, mungkin ia sebagai helah?

Kemunculan gerakan dan perjuangan Reformasi sesuatu yang dramatik sekali. Pejuangnya menghadapi cabaran dan rintangan maha hebat. Proses untuk mengekang Reformasi itu dilakukan dengan penuh strategi di luar adat budaya dan melanggari hukum hakam agama. Sebagai penyala obor Reformasi,  Anwar diperlaku seazabnya seperti dirakam sejarah. Beliau difitnah, kemudian ditangkap, diseksa dan dijerukkan dalam penjara hampir 10 tahun. Hak-hak keistimewaan Anwar dijamin agama dan demokrasi dinafikan sama sekali. Banyak air mata tumpah kerana sedih, simpati dan histeria atas apa dilakukan dan dihadapi Anwar. 

Dua dekad.

Dua dekad bukan satu masa panjang sangat, dan bukan juga satu masa pendek. Dalam periode itu menjadi ujian dan pecubaan sungguh mencabar. Ada pejuangan atau parti siasah yang terkulai di jalan tanpa sampai satu dekad pun. Apa lagi kalau ia diancam dan dihalang dengan pelbagai onak dan duri, disekat akta dan jeriji besi masa kematiannya lebih awal. Namun bagi Reformasi, dua dekad kian mengembang dan menyuburkan. Fantastik.

Dalam tempoh itu pemimpin atau penggerak Reformasi datang dan pergi. Pemimpinnya dianiaya, ratusan ditangkap, didakwa dan dipenjara. Dinafikan segala kemudahan hidup dan disusahkan bagi memastikan api Reformasi malap. Kerana iu menyebabkan ada yang terpaksa berundur awal, namun bukan sedikit yang mampu bertahan bersama Anwar hingga kini.

Anwar didokong kerana prinsipnya.
Yang jelasnya mereka yang menyertainya atas niat "li islah al-ibad, dengan iltizam dan komitmen murni akan kekal tanpa mengira apa cabaran dihadapi dan tidak mengindahkan habuan yang dicampakkan. 

Penggerak Reformasi atau mereka yang masuk kerana mencari kesempatan, ada udang di sebalik batu, umpama anjing lapar akan meninggalkan perjuangan apabila diberikan habuan. Mereka sanggup mengkhianati janji dan ikrar. 

Bukan sekadar itu sedihnya selepas itu mereka bukan bersembunyi dalam kamar atas kasur permaidani tetapi menjadi tukang atau agen berbayar untuk memburuk dan menafikan Reformasi.

Manakala yang hadir dengan kesedaran atas perintah dan tuntutan Allah, atas nawaitu "li islah al-ibad" yang menuntut agar "melalukan (berjuanglah) melakukan perubahan sekadar termampu" akan kekal selamanya dan mungkin ke akhir hayat. Ucap selamat dan angkat tabik kepada reformis yang telah "syahid" dalam perjuangan. 

Perjuangan Reformasi sering cuba dinodai dan diberi persepsi buruk ia sebagai perjuangan peribadi Anwar. Perjuangan untuk meletakkan anak Ceruk Tokon itu dikerusi tertinggi dan mendewakannya. Sebenarnya tanggapan itu salah dan mengelirukan. Ia sengaja diselewengkan untuk melemahkan perjuangan Reformasi. Tanggapan itu berupa racun berbisa yang boleh dawas dengan madu kefahaman. Perjuangan Reformasi adalah suatu tuntutan seperti mana disebut dalam al-Quran bermaksud: "tidaklah kami melainkan mahu melakukan islah semampu kami."

Lakukan perubahan, kebaikan dan pembaharuan sedaya mungkin yang boleh berupa tuntutan fardhu. Pernyataan itu adalah tuntutan, tanggungjawab dan amanat kita sebagai manusia, makhluk yang digezetkan sebagai kejadian yang mulia, as sanitawim.  

Setiap orang yang memahami serta menyedari perintah dan tuntutan itu akan berusaha sedaya mungkin. Keberertian hidup seseorang itu apabila mereka bergerak memenuhi perintah itu. Justeru tidak ada paksaan (penuh) dalam hal ini. Ia sekadar termampu oleh seseorang itu. Mengikut kadar dan kudrat masing-masing. Kalau seseorang itu tidak mampu menggunakan tenaga, kewangan dan turun ke medan, cukup sekadar dengan kata-kata lisan dan semangat sahaja. Tetapi kalau dengan lisan, kata-kata dan semangat juga tidak ada, cukuplah dengan sekadar menyokongnya dari jauh dalam hati, like.

Like itu sesungguhnya iman paling lemah.

Bertolak dari sepotong ayat itulah yang merealisaikan perjuangan atau gerakan Reformasi. Bermakna perjuangan itu tanggungjawab dan amanah yang terletak di atas setiap insan yang menyedari hakikat hidup dan diri mereka di dunia ini. Perjuangan itu juga selari dengan kebangkitan dan kesedaran masyarakat Asia Tenggara yang sedang membina tamadun pasca perang dunia kedua. 

Berbalik kepada perjuangan atau gerakan Reformasi yang diobori Anwar tadi, apa yang berlaku dan dilakukan ke atas Anwar ia hanya sebab musabab sahaja. Perjuangan dan tuntutan itu sesungguhnya wujud sejak awal-awa lagi. Ia membungai dan berseni dalam diri peribadinya. Kepada Anwar mislanya, beliau menjadi intipati, tuntutan dan semangat Reformasi itu sebagai idealisme perjuangannya. Idealisme itulah yang mengalirkan segenap pembuluh darahnya dan berkembang mengiring perjalaan hidup dan jihadnya. 

Anwar seorang idealis dengan perjuangannya. Idealis di sini bermaksud yakin, tabah dan utuh dengan perjuangannya. Tidak mudah gentar dan takut dengan ancaman. Lantaran itu perjuangannya tidak bisa dikuburkan, kerana itu saya pacakkan sebilah kata untuknya, Penjara Bukan Pusara.

Nilai yang ada dalam Reformasi itu adalah nilai peribadi dan iltizam tupat Anwar. Ada tujuh prinsip menjadi tunggak perjuangan Reformasi seperti mana dideklarasikan di Permatang Pauh tanggal 12 September 1998, kemudian dikenali dengan nama Deklarasi Permatang Pauh. 

Tujuh perkara itu seharusnya dihayati oleh setiap mereka yang ingin berjuang atau bergulat dalam perjuangan Reformasi. Selepas membaca Bismalah dan salawat ke atas Nabi Muhammad, sebaik-baiknya hayatilah tujuh deklarasi itu sebelum "syahat" kepada perjuangan Reformasi.

Tujuh perkara itu ialah:  

  • Gerakan reformasi yang terpancar dari perjuangan hati nurani, dari kesedaran bahawa sesungguhnya diri manusia mulia dan merdeka, mempunyai hak dan tanggungjawab, diri manusia haram dizalimi dan diaibkan, haram dibelenggu dan disekat tanpa mengikut proses dan undang-undang yang adil;
  • Gerakan reformasi untuk menegakkan keadilan untuk semua, yang kuat dan yang lemah, yang kaya dan yang miskin; membersihkan institusi dan proses undang-undang dari dicemari oleh penyalahgunaan kuasa dan rasuah;
  • Gerakan reformasi untuk mendaulatkan kuasa rakyat melalui proses Demokrasi. Demokrasi itu satu kemestian, kerana semangat keadilan yang ada dalam diri manusia membolehkan demokrasi dilaksana, tetapi kecenderungan manusia untuk berlaku zalim menjadikan demokrasi satu kewajipan;
  • Gerakan reformasi untuk memperjuangkan keadilan ekonomi, menjaga menjana pertumbuhan dan pengagihan yang saksama, jangan yang kaya bertambah kaya yang miskin papa kedana. Dunia ini mencukupi untuk keperluan semua, tetapi tidak mencukupi untuk memenuhi kerakusan individu;
  • Gerakan reformasi untuk membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa, mengikis manipulasi pasaran oleh segelintir golongan rakus dan maha kaya;
  • Gerakan reformasi untuk memperkukuhkan jati diri budaya yang dinamis, setia kepada warisan bangsa yang murni dan terbuka kepada segala yang baik dari semua budaya;
  • Gerakan reformasi untuk membawa bangsa Malaysia ke zaman maklumat dan dunia tanpa sempadan, menjana kebijaksanaan, keyakinan dan keterbukaan untuk menjalin persahabatan sejagat berdasarkan prinsip kebenaran dan keadilan.

Itulah prinsip atawa roh perjuangan Reformasi yang dilancarkan 23 tahun lampau yang dikenali dengan nama "Deklarasi Permatang Pauh". Tujuh prinsip mencakupi seluruh aspek kehidupan, beragama, berbangsa, benegara dan berjuang. Prinsip itu pula sangat sesuai dan bersifat sejagat dalam konteks masyarakat negara ini berbilang kaum. Reformasi yang menyeluruh mengambil kira kepentingan semua orang dan masyarakat.

Seperti mana diucapkan Anwar semasa memperkenalkan reformasi, prinsp dan nilai untuk melakukan pembaharuan (Islah) diri dan masyarakat setelah menginsaf Malaysia dicengkam kemelut yang dahsyat baik dari segi diskriminasi, perkauman, penyalahgunan kuasa, korupsi dan sebagainya yang memerlukan kekuatan dalaman untuk dibangukan semula atau memperbaikinya. Bertolak dari situ maka gerakan Islah (Reformasi) itu perlu dinyatakan secara fizikal, menerusi organisasi massa, siasah.

Untuk menggerak dan menghidupkan perjuangan, ia memerlukan wadah atau medan. Maka itulah wujudnya Parti Keadilan Nasional tanggal 10 April 1998 untuk menjadi bingkai dan body kepada Reformasi. Jika Reformasi itu enjin maka badannya adalah Keadilan. Sebenarnya bila menilai perjuangan Reformasi ini ia sangat suci kerana berhubung kait dengan tanggungjawab kepada Allah dan sesama manusia. Di sini ada dwi tautan hablul minaLah dengan habluminnas.

Justeru perjuangan itu bertonggak prinsip dan nilai-nilai tersebut, maka ia sukar untuk diroboh dan dihancurkan. 20 tahun perjuangan Reformasi khasnya dan Keadilan amnya melayari masa, telah diperlakukan dengan apa sahaja namun ia masih bertahan. Ada orang mengkhianatinya hilang akal sampai terpaksa menyembah Keadilan untuk mendapat syufaat berkuasa. 

Pasang surut.

Keadilan mengalami pasang surut dalam pertarungan pilihan raya sehingga pada satu masa (Piraum 2004) parti itu menang hanya satu kerusi sahaja, di Permatang Pauh menerusi mantan presiden Dr Wan Azizah Wan Ismail. Tatkala Keadilan melalui saat genting, mengheret jiwa yang sakit, ada yang mengira usianya sudah di hujung halkum. Tetapi toh, ia perjuangan beritipatikan semangat, maka ia bangkit dan segar sehingga dapat menguasai negara dalam Piraum ke-14 lalu. Keadilan seperti memiliki sembilan nyawa. Hari ini Keadilan merupakan parti terbesar berbanding yang ada.

Itulah gambaran keampuan perjuangan Reformasi dan suka dukanya. Ia dikhianati dan dizalimi bukan sahaja oleh musuh-musuh nyata yang sombong dan ego, tetapi oleh rakan sendiri yang makan sepinggan dan mandi sekolam juga. Dan seperti mana umum ketahui, dalam tempoh itu pemimpin datang dan pergi, ia disilih ganti pula. Yang patah dalam Keadilan, esok tumbuh lebih segar dan merimbun. 

Generasi awal akhir 80-an sudah ramai beransur, berundur atau rihat baik kerana keuzuran, ketuaan atau pun ditekan secara psikologis atau pun menghadapi Ilahi, namun tidak ada kelompongan, celah dan ruang dalam Keadilan kerana ia segera diisi generasi muda. Penyertaan sekumpulan anak muda ke dalam Keadilan dua tiga hari lepas membuktikan bahawa Keadilan adalah podium perjuangan tepat dan pilihan anak-anak muda.

Percaya dan yakinlah perjuangan bertunggak roh dan jiwa,serta "aqidah" dan mencemuhui kebendaan tidak akan kecundang dan kalah. Ia akan menggapai kemenangan sekiranya slogan keramat Keadilan, Reformasi dan Lawan Tetap Lawan, Lawan Sampai Menang bukan sahaja disebut tetapi dilaksanakan. 

Diturunkan sebuah pantun saya dipasang di bawah gambar Anwar yang termuat dalam buku Sumpah dan Air Mata Reformis Bangsa, berbunyi: Jasad tuan di dalam penjara, Jiwa tuan di hati hamba; Api Reformasi terus menyala, Tidakkan padam sebelum berjaya. Salam Reformasi. [wm.kl.9:57 am 21/09/2021]

No comments:

Post a Comment