Thursday, March 10, 2022

Pirane Johor : Siapa akan jadi MB?

KEMPEN selama dua minggu pilihan raya negeri (pirane) Johor ke-15, bermula 26 Februari hingga 11 Mac akan tamat kira-kira 48 jam lagi. Menjelang pukul 00:00 12 Mac kempen akan berakhir. Dalam tempoh itu dipercayai semua parti politik yang meletakkan calon bertanding telah melaksanakan syarat "sunat" berkempen dengan cara tersendiri dan menggunakan semua kesempatan yang termampu. 

Tidak kira apakah cara kempen dan peraturan serta syarat kempen dibenarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sama ada memuaskan hati atau tidak, tetapi semua pihak telah melaksanakan kempen masing-masing. 

Tidak seperti biasa, saya tidak turun ke pilihan raya kali ini. Apa yang saya lakukan semasa pilihan raya negeri Melaka dan Sarawak, untuk Johor, saya juga tidak turun untuk membuat tinjauan dari dekat seperti lazimnya. 

Bukan sahaja kerana hambatan Covid dan SPR mengenakan berbagai syarat sesuai dengan pandemik yang menjadikan kita sukar untuk bergerak, tetapi tidak ada angin dan selera untuk menyaksikan pilihan raya ekoran kebejatan dan suasana politik negara ke belakangan ini yang kian kotor dan tidak bermaruah. Parti-parti politik juga tidak lagi bermain dengan idealisme, visi dan misi perjuangan sebagai modal dan bahan kempen, tetapi lebih kerap menjadikan isu peribadi sebagai bahan kempen utama. Politik kita sudah muflis.

Apakah wajar pengundi diberikan atau didedahkan dengan peribadi pemimpin atau ketua parti untuk dijadikan ukuran atau pun penilaian mereka memilih calon. Apakah keperluan kebejatan itu semua untuk sebuah demokrasi? Kalau begitu soal perjuangan, idealisme dan komitmen parti politik kepada pilihan raya itu tidak penting lagi. Pilihan raya ita sudah jadi sarang memburukkan di antara satu sama lain. Dimana nilai demokrasi yang diagung-agungkan?   

Situasi itu menyebabkan saya tidak begitu ghairah untuk mengikut pilihan raya tersebut. Ia juga ditambah dengan kemudahan untuk akses pilihan raya yang berlangsung dalam ledakan media sosial kini menjadikan kita tidak seperti dahulu untuk meninjau sesuatu pilihan raya itu terpaksa turun sendiri ke gelanggang. Sekarang ini kita akan dihadapkan dengan pilihan raya itu sepanjang masa, asalkan kita rajin melayaninya. Berita dan dakwah politik (pilihan raya) tidak perlu dicari, tetapi ia datang sendiri mengetuk gajet kita. 

Setidak-tidaknya apa dipersaksikan dan dapatan menerusi pelbagai platform media sosial, kita sudah dapat gambaran untuk mengagak dan mengetahui ragam pilihan raya berkenaan serta membuat andaian parti atau calon mana yang menang. Boleh dikatakan hampir separuh perkembangan dan realiti pilihan raya itu dapat dilihat melalui platform atau medium media sosial.

Berkenaan dengan pilihan raya Johor kali ini, yang sudah berada di saat-saat akhir, apa yang dapat ditinjau menerusi media massa yang memaparkan bentuk kempen propaganda, perutusan daripada parti dan calon-calon, sudah dapat dibuat kesimpulan. Kita sudah dapat mengukur parti atau calon mana yang berkualiti atau sebaliknya. Parti mana atau tukang syarah mana yang bohong dan menipu. Yang mempermainkan maruah demokrasi, memperdaya rakyat dan juga menjaja agama sebagai modal murahan.  

Pihak mana yang mendapat perhatian dan sokongan ramai juga dapat dilihat kepada jumlah (viewers) yang melihat atau menonton kempen pilihan raya mereka yang dibuat secara langsung, (live) atau rakaman-rakaman yang terdapat. Walaupun ia tidak menceritakan hakikat sebenar, tetapi apa yang didedahkan atau kedapatan disitu ia sudah boleh untuk membuat spekulasi.

Paling jelas empat parti atau komponan yang mengambil bahagian dilihat terhadapan atau meriah dengan bentuk kempen mereka; BN, PN, PH (Keadilan) manakala Pejuang, Muda dan Warisan terkebelakang. Ketiga parti ini menyertai pirane itu sebagai latihan semata-mata. Jarang atau tidak begitu rancak majlis atau siaran langsung kempen mereka, tidak seperti BN, PN dan PH serta PKR.

Seperti dikatakan tadi keempat komponen itu tidak membentangkan idealisme atau wawasan mereka untuk rakyat Johor. Mereka tidak membentangkan wawasan yang jelas dan signifikan dengan Johor. BN hanya mengharapkan akan wujud kestabilan politik sekiranya mereka menang. Kestabilan itu pula dituduh sebagai satu retorik, sedang tujuan dan motif BN khasnya Umno menghendaki pilihan raya itu bagi kembali berkuasa di Johor. 

Apa diharap daripada itu jika Umno kembali berkuasa di Johor ia akan dijadikan semangat dan dorongan untuk UBN mengambil balik kerajaan Malaysia. Rahsia tersirat lain BN mahu jadikan kemenangan di Johor itu untuk mendesak diadakan piraum ke-15, yang mana piraum ke 15 boleh diperjudikan point untuk membebaskan pemimpin mereka yang korup. 

PN pula tidak jelas apakah slogan yang mereka jaja dalam pilihan raya itu. Apa yang nampak jelas, PN menjual personaliti pengerusinya Mahiaddin Yassin sebagai perdana menteri selama 17 bulan. Segala pencapaian atau dilalukan oleh Mahiaddin selama menjadi PM dijadikan modal untuk rakyat Johor memberi kepercayaan kepada PN. 

Pengkhianatan Mahiaddin bersama Azmin Ali dan Jaafar Kamaruddin terhadap kerajaan PH, mungkin menjadi penilaian rakyat Johor akan keikhlasan dan ketulusan mereka berjuang untuk rakyat. Walaupun mereka mengatakan tindakan mengkhianati itu kononnya untuk menyelamatkan Melayu dan Islam, tetapi tidak jelas apakah alasan diberikan itu. Kerana itu ia nampak seperti hanya alasan semata-mata. 

Manakala Pas yang ada bersama dengan PN tidaklah begitu dapat membantu Bersatu dan Mahiaddin kerana sebelum ini Pas sudah terlebih dahulu bermukah dengan Umno. Kehadiran Pas dalam Pirane Johor itu tidak ubah seperti gadis ditebuk tupai. Penampilan Pas dalam Pirane itu dilihat mengotorkan keadaan dan menganggu sokongan kepada PN. Kenyataan Abdul Hadi Awang yang merendah daya fikir agama orang Johor menyebabkan orang Johor tersinggung dan ia memberi kesan buruk kepada PN. 

Abdul Hadi dalam satu kenyataanya memberi alasan kegagalan Pas untuk menguasai di Johor kerana tahap pemikiran agama orang Johor sebagai rendah. Orang Johor yang sebelum ini mengharap berlaku kombinasi antara Pas dengan Umno akan marah dengan telatah Pas itu dan kesannya akan diterima Bersatu. Kenyataan kurang bijak dan bersifat ego Hadi itu tidak membantu PN. 

Sementara PH pula masih menjadi kejayaan mereka dalam pilihan raya ke-14 dahulu sebagai modal untuk menawan hati dan jiwa orang Johor. PH menyertai pilihan raya itu untuk menebus maruah dan pengkhianatan.  PH mahu orang Johor membuat keputusan seperti Piraum ke-14 dahulu sehingga melemparkan Umno dan menguburkan hegemoni Umno di negeri berkenaan. PH berkeyakinan bahawa pilihan raya 12 Mac itu nanti dijadikan ruang atau peluang untuk orang Johor menyambung semula kerajaan PH yang telah meletakkan acuan cantik untuk rakyat Johor semasa memerintah selama 22 bulan.

Cuma apa sedikit yang boleh dikira mencacatkan PH dalam pilihan raya itu apabila tiga buah komponen dalam gabung itu tidak sekata dalam menggunakan pakai simbol, Keadilan menggunakan simbolnya manakala Amanah dan DAP menggunakan simbol Pakatan Harapan. Perbezaan ini boleh menyebabkan pengundi Johor yang mahu membuat pilihan parti yang kompak keliru. Pihak lawan juga telah mengeksploitasi perbezaan ini memberi gambaran komponan PH tidak sehaluan.   

Dalam catatan ini saya tidak mahu membuat ramalan parti atau komponan mana yang akan memerintah Johor. Saya tetap percaya kepada pendapat awal bahawa tidak akan ada parti yang mendapat simple majoriti untuk membentuk kerajaan bersendirian. Majoriti mudah yang diperlukan sebanyak 29 kerusi sukar untuk diraih oleh mana-mana komponan. Paling-paling banyak kerusi dimiliki mana-mana parti adalah antara 15 hingga 20 kerusi sahaja. 

Hanya apa yang ingin saya tegaskan keyakinan saya bahawa pembentukan kerajaan Johor selepas 12 Mac nanti memerlukan penggabungan daripada sekurang-kurangnya dua buah parti. Walaupun para penganalisa politik yang pro Umno yakin Umno akan dapat 30 kerusi dan sehingga mencapai majoriti dua pertiga, tetapi saya tidak mudah bersetuju dengan pendapat itu yang lebih berupakan propaganda atau statistik perang saraf semata-mata.

PN, dikira akan menjadi pencabar terdekat kepada BN. Ini jelas bila diperhati kepada apa yang berlaku perlawanan hari ini, serangan peribadi berlaku antara pemimpin BN dan PN. Sekiranya rakyat Johor berminat dengan perbalahan dan serangan peribadi, maka PN akan menjadi parti pilihan selain Umno. Perbalahan peribadi sambil lodeh melodeh, bongkar membongkar antara pemimpin kedua parti itu sungguh gemuruh. Baik BN dan PN masih menggunakan strategi usang.

Mahiaddin membelasah Najib Razak dan Zahid Hamidi, Najib dan Zahid membalas membelasah Mahiaddin. Nampaknya Pirane Johor kali ini dijadikan medan melepas geram dan dendam antara pemimpin Umno dan bekas pemimpin Umno itu bukan untuk kepentingan rakyat dan negeri Johor. Hal itu tidak berlaku kepada PH dan Keadilan. Parti itu tidak berminat untuk menyuburkan perbalahan peribadi dan lodeh melodeh antara satu sama lain melainkan mendedahkan fakta dan dalil-dalil yang tersaul dek akal. 

Manakala PH bersama Keadilan saya kira bukan gampang untuk mendapat majoriti mudah. Dengan melihat kepada masalah dan keadaan dalam PH yang tidak semampan semasa menghadapi Piraum dahulu, Keadilan bersama PH dijangka paling banyak pun akan memperoleh kurang daripada 20 kerusi. Hakikat yang kena diterima bahawa kekuatan PH tidak seperti dalam Piraum ke-14 dahulu. Kalau dahulu Dr Mahathir,  Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Shafei Apdal bersama PH, tetapi kini mereka sudah ada syarikat dan kedai sendiri. Mereka membuka bangsal mini perniagaan sendiri. Dr Mahathir menubuhkan Pejuang, Syed Saddiq menubuhkan Muda sementara Shafei membuka bangsal Warisan dari Sabah ke Johor.

Bagi saya Pejuang, Muda dan Warisan tidak memberi singnifikan kepada pilihan raya di Johor itu.

Sebagai menyimpul ulasan ini saya hendak turun dan sebutkan nama-nama wakil yang diharap oleh parti masing-masing untuk menjadi MB Johor. Isu menteri besar tampaknya menjadi perkara penting dalam pilihan raya akhir-akhir ini. MB tidak dipilih selepas mana-mana parti menang dengan majoriti, tetapi diletakkan awal-awal lagi. Ertinya sosok yang disebut sebagai bakal MB dikira menjadi aset atau modal pilihan raya.

Keadilan dan Umno (BN) secara terang-terangan mengumumkan nama bakal MB mereka. Keadilan meletakkan harapan kepada ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik yang bertanding di Dun Layang-Layang sebagai bakal MB. Walaupun Keadilan berada dalam komponen PH, tetapi penamaan Maszlee persis tidak dipersetujui oleh Dap dan Amanah. Apakah Amanah khasnya, juga berminat untuk meletakkan wakilnya sebagai calon MB?

Kalau benar pendapat mengatakan bahawa Majlis Presiden PH tidak menamakan sesiapa bakal jadi MB kalau parti itu menang besar, ini bermakna ada formula lain digunakan untuk memilih MB.  Formula diambil mungkin bakal MB akan dipilih dari parti yang mendapat kerusi terbanyak. Keadilan, Amanah dan DAP bertanding di kerusi jumlah hampir sama banyak, manakala Dap dan Amanah pula bermurah hati mensedekahkan kerusinya kepada Muda. Pastilah Muda akan menyokong MB dari kalangan Amanah atau DAP. 

Dan sekiranya formula itu diterima pakai nanti, sosok yang layak untuk dilantik jadi MB daripada Amanah ialah Dr Dzulkifly Ahmad bekas Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan di era kerajaan PH. Dr Dzulkifly bertanding di Dun Kota Iskandar. Timbalan Pengerusi Amanah Johor ini dilihat layak dan sesuai serta seorang yang berpengetahuan untuk ke jawatan itu. Beliau juga nampak tawaduk dalam perjuangan, tidak menunjuk-nunjuk dan agah. Walaupun jadi Exco tetapi tidak mudah berubah roma.  

UBN pula awal-awal telah menyebut nama Hasni Mohamad bekas MB Johor di zaman kerajaan curitokrasi sebagai MB. Nampak Hasni dilihat ke depan berbanding dengan nama lain termasuk nama Puad Zarkasi yang bertanding di Dun Rengit, yang dilihat sebagai calon MB simpanan. Bagaimana pun Zahid Hamidi sudah menafikan yang Puad Zarkasi diletakan bertanding di kerusi Rengit sebagai bakal MB. 

Zahid boleh menafikan. Tetapi bagi pemerhati politik dan mereka yang masak dengan sepak terajang politik, apa lagi yang tidak percaya kepada cakap bicara Zahid, tahu dan faham bahawa bukan sahaja-sahaja Puad diletak bertanding di kerusi Dun kalau bukan kerana ada niat sesuatu.

Komponen PN juga berpeluang untuk menubuhkan kerajaan, kerana parti itu bertanding di kesemua 56 kerusi. Mereka juga ada tokoh atau calon untuk dilantik jadi MB. Tetapi sampai sekarang Mahiaddin tidak mengumumkannya. Apakah kerana tidak yakin akan menang besar atau pun tidak ada sosok sesuai untuk memegang jawatan itu? Kalau diumum pun ia tidak memberi laba. Sebelum ini Dr Sharuddin Jamal pernah menjadi MB, tetapi tidak diumumkan mungkin kerana rakan kongsinya Pas juga bercita-citakan jawatan itu? 

Tidak mustahil kalau Pas juga memasang angan-angan itu kerana parti itu perasaan mereka juga berhak memandangkan pengaruh mereka sudah meluas. Peluang ahli parlimennya dilantik menjadi menteri dan kejayaan menguasai Kedah, Terengganu dan Kelantan, tidak salah kalau Pas juga memasang angan-angan Mat Jenin di Johor. Berangan-angan tidak berdosa pun? 

Siapa MB Johor, mana-mana parti boleh menamakan sesiapa sahaja, dan mereka berpeluang kalau parti menang besar. Pun begitu jadi atau tidak akhirnya ia terletak atas persetujuan dan perkenan Sultan Johor juga. Kalau Sultan tidak berkenan dan merestui, seribu kali sesuai dan layak pun ia tidak akan jadi. Di Johor dan dimana-mana negeri Sultan atau Raja penentu MB. [wm.kl.7:54 pm 10/03/2022]

No comments:

Post a Comment