Friday, August 5, 2022

GTA: Gerakan Gila Talak Mahathir dan Ibrahim

ULASAN

Dr Mahathir ketika umum penubuhan
gerakan Gila Talak. 
SEMALAM Dr Mahathir Mohamad telah mengumumkan pembentukan gabungan politik yang dinamakan Gerakan Tanah Air (GTA). Gabungan itu dikepalai oleh partinya, Pejuang dengan ditemani oleh tiga buah parti kerdil lain, Putera, Iman dan Berjasa

GTA ditubuhkan kononnya untuk membela bangsa Melayu dan juga Islam setelah parti-parti lain yang sedia ada khasnya Umno yang gagal. 

Menurut Dr Mahathir orang Melayu perlu bersama GTA, kerana keadaan bangsa Melayu kini sangat terancam sehingga kemungkinan Melayu tidak akan berpijak di bumi sendiri lagi. Dalam masa sama juga katanya orang Melayu tidak lagi boleh mengharapkan kepada Umno untuk memperjuangkan nasib bangsa Melayu. Dalam hal ini Mahathir seperti menjilat telapak kakinya sendiri kerana 22 tahun beliau jadi PM menerusi Umno namun beliau tidak berusaha mengukuhkan keadaan Melayu. 

Berbagai pihak telah memberi ulasan terhadap agenda Mahathir itu. Ketua Pembangkang Anwar Ibahim menyifatkan langkah Mahathir itu sebagai terdesak sehingga sanggup merayu orang Melayu setelah kehilangan kuasa dan sokongan.

Anwar tempelak cadangan Mahathiur itu katanya kalau benar Mahathir jujur ingin perjuangkan nasib orang Melayu dan Islam, beliau boleh lakukan selama 22 bulan jadi perdana menteri menerusi PH. Tetapi apa yang beliau lakukan ketika itu soal Anwar. Bahkan lama sebelum itu, 22 tahun jadi perdana menteri, apakah Mahathir terlupa untuk membela nasib Melayu dan memertabtkan Islam.

Kerana itu kata dan ucapan Mahathir itu sebagai lebong semata-mata. 

Justeru itu bagi saya, GTA itu bukan gerakan tanah air tetapi lebih sesuai dan tepat kalau dikatakan Gerakan Gila Talak. Gerakan yang digerakkan oleh orang-orang yang kecewa, desparate serta terngia-ngia keindahan masa lampau yang pernah dinikmatinya. Gerakan kumpulan yang tidak pernah bersyukur dan merasakan diri hebat.  

Dalam usia 97 tahun Mahathir masih terliur untuk terus menjadi perdana menteri. Beliau terdodoi dengan pemujaan orang disekelilingnya yang tidak ada kapten lain, melihat Mahathir masih mampu dan ada sokongan. Orang-orang itu meletak dan merasakan Mahathir hebat untuk seribu tahun lagi. 

Beliau mahu jadi PM setelah melihat semua orang lain tidak layak. Semua penggantinya, diperlekehkan kemudian diserang habis-habisannya.  Nasib diterima Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Razak adalah buktinya. 

Manakala Ibrahim Ali, tidak lebih untuk menumpang "tui" Mahathir sahaja selepas tidak ada upaya untuk berdiri sendiri dan ditolak oleh beberapa pihak yang ingin didekatinya. Tengku Razaleigh Hamzah yang selama ini mendidik dan memeliharanya juga sudah "cemuih" dengan Ibrahim ini.  

Bermacam-macam ragam dan fiil ditunjukkan Ibrahim setelah dipecat daripada Umno. Mula ia beliau tubuh Ngo Perkasa, kemudian ditukar menjadi parti politik. Tindakan itu tidak disenangi oleh orang dalam Perkasa, ramai yang tidak bersamanya, lalu beliau membawa haluan sendiri. 

Semua maksudnya kononnya untuk pertahankan Melayu. Berbueh macam sabun breeze mulut Ibrahim pertahankan Melayu, tetapi diam-diam berniaga dengan Cina. Selama dalam Umno apakah yang Ibrahim pertahan dan perjuangankan Melayu? 

Hari ini bersama Mahathir dimasukkan satu lagi agenda penuh retorik untuk pertahankan Islam pula. Ibrahim dan Mahathir juga sudah mempercayai kepada modal dipakai Pas dalam berpolitik, iaitu Islam. Kenapa Ibrahim dan Mahathir tidak sahaja berjanji untuk laksanakan Hudud di negara ini?  

Kerencaman hidup dan politik Ibrahim ini tidak perlu dicerita lagi, semua orang tahu. Beliau lebih kurang Mahathir sahaja. suatu masa berjinak dengan Anwar, berkawan dengan Pas sampai dapat bertanding atas tikit Pas, akhirnya apa yang beliau lakukan baik kepada Anwar maupun Pas? Ibrahim jenis haiwan yang diberi makan tetapi sanggup mengigit jari. Demikian orang yang boleh diharap untuk perjuangkan Melayu?  

Fokus atau akal siasah Dr Mahathir tidak berapa betul lagi selepas berlaku beberapa peritiwa yang diciptanya sendiri kemudian memakan diri sendiri. Beliau diserang bipola politik yang semakin teruk. Inilah nasib dan keadaan Dr Mahathir. Tetapi sayangnya situasi ini tidak dapat dibaca oleh mereka yang mengerumuninya, kerana tidak berani atau terlalu terlalu teruja kepada pencapainya sebelum ini.  

Pertama ialah apabila beliau melepaskan jawatan perdana menteri, menjadi PM sementara dengan harapan beliau akan kekal menjadi PM yang disokong oleh semua pihak. Ideanya ketika itu untuk membentuk kerajaan perpaduan (Unity Government). Pelan yang diatur tidak menjadi, jerat yang dipasang tidak menjerut leher musuh, tetapi menjerut lehernya sendiri. 

Yang jadi perdana menteri ialah Mahiaddin Yassin. Tragedi inilah mengecewakan Mahathir dan menjawab sejauh mana pintar atau bongoknya politik beliau. Beliau tidak terfikir beliau terjerut dalam jerat dicipta sendiri, jatuh ke dalam lubang yang digalinya sendiri. Tujuannya untuk menyingkirkan Anwar, alih-alih dia yang diketepikan. Anwar masih utuh sampai ke hari ini, menjadi presiden parti Keadilan dengan dokongan lebih mantap daripada sebelum ini.   

Selepas melepaskan jawatan PM, beliau disingkir daripada menjadi pengerusi parti Bersatu yang diasasnya bersama Mahiaddin. Gara-gara itu beliau terpaksa menubuhkan parti baru, Pejuang bagi kesenimbungan cita-cita politiknya. Seperti yang saya sebut sebelum ini, politik bagi Mahathir bukan untuk membela bangsa dan negara. Politik baginya adalah satu trapi untuk menjaga kesihatannya. Beliau tidak boleh diam dari berpolitik dan berperang dengan sesiapa, kerana itulah penawar bagi dirinya. 

Mahathir akan jadi sihat dan bersemangat apabila boleh menyerang dan bergaduh dengan sesiapa sahaja. 

Orang ramai pula tidak memahami ini, melihat sebagai beliau ikhlas dan gigih berjuang. Walhal apa yang dilakukan adalah untuk survive dirinya. Dr Mahathir tidak mahu jadi seperti orang pencen yang sakit sebaiknya pencen. Jadi untuk memastikan sarafnya masih berfungsi, otaknya terus berjalan beliau perlu melakukan kerja politik, dan bergaduh, bersyarah, mengata dan memakin hamun serta menyerang dan menghina orang lain adalah kaedah rawatan saratnya terbaik. 

Setelah Pejuang tubuhkan beliau sudah tahu sejauh mana kekuatan parti itu. Ia hanya didokong oleh anak beranak dan saki bagi mereka yang terus taksub kepadanya. Kerana menyedari kelemahan itu maka timbul idea kepadanya untuk mengajak sesiapa yang senasib dengannya berkawan kemudian tubuh gerakan Gila Talak itu. Kalau pun tidak dapat Abdul Hadi Awang atau Mahiaddin tetapi cukup dapat Ibrahim Ali boleh dijadikan kawan untuk bergelak ketawa dan minum kopi.

Namun begitu tidak mustahil kalau Abdul Hadi dan Mahiaddin terpancing dengan retorik lapok Mahathir itu mereka juga akan menjadi regu kepada gerakan Gila Talak itu. [wm.kl. 9:48 am 05/08/2022]


No comments:

Post a Comment