Friday, November 4, 2022

Menanti kejutan di hari penamaan calon esok

ULASAN PETANG

Khairuddin Al Takiri
antara jadi tumpuan.
BESOK 5 November 2022 akan berlangsung penamaan calon pilihan raya umum (Piraum) ke-15. Kesemua di 222 Pusat Penamaan Calon (PPC) akan dibuka seawal jam 9:00 hingga 10:00 pagi. Proses itu akan tamat sekitar jam 10:00 pagi. Selepas sahaja selesai proses penamaan calon itu, jika pilihan raya diibaratkan seperti sepak bola, maka wisel permainan rasmi bermula dibunyikan. 

Menjelang tengah hari esok kita akan dapat mengetahui berapa ramai jumlah calon dan juga parti-parti politik yang mengambil bahagian dalam pilihan raya kali ini.

Sudah pasti jumlah calon yang akan mengambil bahagian dalam pilihan raya kali ini besar memandangkan banyak parti-parti politik terlibat. Mungkin jumlahnya kali ini mencatat sejarah tersendiri. 

Perkembangan ini satu segi sesuatu yang sihat ia menunjukkan minat orang dalam politik. Tetapi dari sini lain kerana terlalu ramai calon sedangkan kerusi menjadi rebutan hanya 222 sahaja menyebabkan sebagai satu pesta untuk suka-sukaan dan bukan serius. 

Keadaan itu menyebabkan demokrasi kita tidak lagi dilihat sebagai sistem untuk menukar kerajaan lima tahun sekali tetapi menjadi satu pesta untuk suka-suka lima tahun sekali. 

Parti-parti gabungan terbesar terdiri daripada BARISAN NASIONAL (BN), PAKATAN HARAPAN (PH) dan PERIKATAN NASIONAL (PN) sudah pasti akan meletakkan calon di semua 222 kawasan parlimen dan 114 kerusi DUN di Pahang, Perlis dan Perak.

Untuk parti tiga gabungan ini sahaja ia menyumbang 666 orang calon. Selain tiga gabungan besar itu ada beberapa gabungan lain, GTA, dan lain-lain yang tidak pernah kita dengar dan ketahui yang dijangka akan turut menambahkan lagi jumlah calon.

Penyertaan mereka walaupun sekadar memeriahkan pilihan raya, tetapi ia akan menambahkan jumlah calon. Dianggarkan besok seramai lebih 1,500 orang calon yang akan mendaftarkan diri untuk bertanding. Diduga jumlah calon itu mencatat rekod jumlah calon terbanyak sejak 14 kali pilihan raya umum akan datang. 

Mengikut catatan penjualan borang oleh Suruhanjaya Pilihan raya sebanyak 3,036 barang untuk parlimen dan 1,200 borang untuk kerusi DUN.  Dari jumlah itu mengikut negeri, Sabah 716, Perak 326, Selangor 266, Kelantan 262, Johor 253, Pulau Pinang 219, Kuala Lumpur dan Puteraja 163, Kedah 150, Pahang 144, Terengganu 118, Sarawak 100 dan Melaka 73.

Adalah dijangka separuh daripada borang yang dibeli itu akan dikembalikan ke kaunter penamaan calon besok. Ini bermakna jumlah yang akan bertanding salam pilihan raya umum ke-15 bagi kerusi parlimen sekitar lebih 1,000.  

Hari penamaan calon adalah hari kemuncak dalam proses memasuki gerbang pilihan raya. Selalu akan pada hari itu akan berlaku sesuatu yang tidak terduga. Macam-macam berlaku kejadian di luar perhitungan umum pada hari terakhir itu. Ada ada calon yang gagal mendaftarkan diri sebagai calon disebabkan berbagai kesalahan teknikal, calon yang ditolak kerana tidak melengkapi dokumen atau wang pertaruhan, dan ada juga kerana penarikan diri saat-saat akhir disebabkan strategi. 

Kegagalan akhir itu sesuatu yang amat malang, baik kepada calon atau pun penyokongnya. 

Apa yang menjadi tumpuan esok dan selepas itu ialah untuk menyaksikan  siapa lawan siapa dan parti mana akan bertembung dengan parti mana. Dalam pilihan raya ini kali bukan lagi pertempuran antara dua atau tiga yang telah berseteru lama; Umno, Pas, Keadilan atau DAP, tetapi dengan parti-parti yang baru muncul buat pertama kali. Situasi inilah yang memeriahkan pilihan raya kali ini.

Yang pastinya tiga gabungan besar, BN, PH dan PN akan menjadi parti gabungan utama yang berebut antara satu sama lain. Hanya tiga parti gabungan ini sahaja yang boleh disifatkan parti yang menyertai pilihan raya ke - 15 ini dan akan berpeluang membentuk kerajaan selepas ini. Manakala parti lain hanya menempel atau sebagai kucau daun sahaja.

Tentunya para kepala atau presiden parti atau tokoh terbilang dalam gabungan itu akan akan menjadi tumpuan dan perhatian utama apa lagi kerana mereka dikaitkan bakal menjadi perdana menteri Malaysia ke-10 kelak.

Mereka adalah ANWAR IBRAHIM yang bertanding di Tambun Perak sudah semestinya menjadi sorotan umum. Kemunculan Anwar di Tambun itu dilihat kemunculan menentukan nasib dan tuahnya dalam politik kerana sekiranya partinya gagal untuk menguasai pilihan raya ke-15 ini,beliau diramalkan akan berundur dari arena politik.

Justeru pentingnya kedudukan beliau, presiden Keadilan itu bukan sahaja ditentang oleh penyandang kerusi berkenaan yang juga Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu, sebaliknya beliau akan diganggu oleh beberapa calon lain. Kerana Anwar menjadi calon perdana menteri popular, maka ramai yang mahu mencuri tumpuan disitu ikut sama merebut kerusi direbut Anwar. Dijangka berlaku prtandingan lebih empat penjuru di Tambun. 

Selain Anwar, Mahiaddin Yassin yang bertanding di Pagoh juga menjadi sorotan ini kerana beliau adalah calon perdana menteri yang dinamakan oleh PN. Siapakah bakal memberi cabaran kepada Mahiaddin nanti. Di kerusi itu juga akan berlaku pertandingan sengit. 

Begitu juga dengan Zahid Hamidi yang akan mempertahankan kerusi Bagan Datuk, juga menjadi tumpuan dan kerusi Bagan Datuk berada dalam suasana tersendiri. Walaupun Zahid tidak dinamakan calon perdana menteri oleh partinya, Umno, tetapi posisinya sebagai presiden menyebabkan beliau salah seorang yang dilihat akan menghairahi jawatan itu. Walaupun mulanya BN menamakan Ismail Sabri sebagai calon PM tetapi kalau BN menang besar yang akan dilantik jadi PM adalah Zahid. 

Selain Zahid, Ismail Sabri Yakob yang bertanding di Bera juga akan turut dijeling sama. Ismail Sabri dijanjikan oleh BN akan dilantik menjadi perdana menteri. Begitu juga dengan Mohamad Hassan sebagai timbalan presiden Umno yang bertanding di Rembau akan menjadi tumpuan.

Selain daripada mereka yang disebut bakal menjadi PM, yang akan menjadikan kerusi mereka tandingi hangat dan panas ada kerusi-kerusi lain ikut sama menjadi hangat. Antaranya ialah kerusi ditandingi Khairy Jamaluddin di Sungai Buloh. Khairy dihalau malam dari Rembau untuk menentukan apakah nasibnya disitu untung sabut timbul untung batu tenggelam.

Kerusi yang juga menjadi perhatian dan dikira hangat ialah kerusi Gombak yang membabitkan Azmin Ali. Apakah Azmin yang dianggap sebagai pengkhianat mampu mempertahankan kerusi berkenaan. Apakah beliau akan tewas ditangan rakannya sendiri Amiruddin Shaari yang juga MB Selangor. Atau pun perlagaan beliau dengan Amiruddin itu akan menguntungkan calon daripada BN?

Tidak ketinggalan bekas PM dua kali Mahathir Mohamad yang menyatakan hasratnya untuk bertanding di Langkawi juga ikut menjadi tarikan. Apakah dalam usia 97 tahun menjadi calon pilhan raya tertua itu akan mampu mempertahankan kerusi Langkawi atau beliau tidak akan hadir ke pusat penamaan calon esok?

Itulah antara kerusi-kerusi panas dan hangat yang menjadi perhatian umum. Walaupun ada nama-nama lain Tengku Razaleigh Hamzah, Abdul Hadi Awang, walaupun mereka tokoh penting, tetapi mereka tidak menjadi perhatian, kerana penyertaan mereka dalam pilihan raya ini tidak memberi apa-apa signifikan menarik lagi. Tokoh yang sudah berlumut ini sepatunya sudah hilang dari radar pemilu. 

Selain itu kerusi-kerusi kontroversi disebabkan berlaku penghijrahan parti oleh penyandangnya seperti di Arau (Shahidan Kassim), Tumpat (Che Abdullah Nawi), Kuala Nerus (Khairuddin Aiman Razali) juga menjadi perhatian dan dinanti apakah mereka itu yang bertanding di atas lambang lawan mereka sebelum ini mempu mengekalkan kerusi berkenaan atau sebaliknya.  [wm.kl. 5:50 pm 04/11/2022].

No comments:

Post a Comment