Tuesday, November 22, 2022

Selesai kemelut dengan formula Hang Nadim dan Muhammad

SESUDAH SUBUH

KEPUTUSAN pilihan raya ke-15 mempunyai hikmah tersendiri. Ia menjadi medan ujian kebijaksanaan para ahli politik kita sejauh mana mereka dapat menyelesaikan kemelut yang terhasil daripada pilihan raya berkenaan. Pilihan raya kali ini menjadi kelam kabut dan membimbangkan apabila keputusan tidak ada mana-mana parti mencapai majoriti mudah (simple majority) untuk membentuk kerajaan. 

Akibat daripada itu menyebabkan kerajaan baru Malaysia masih tidak dapat ditubuh hingga ke saat ini. Parlimen ke-15 tergantung. Berbeza dengan 14 pemilu sebelum ini dimana kerajaan akan ditubuh dalam tempoh 48 jam sahaja. Apa yang berlaku hari ini pengalaman baru buat para ahli politik kita dan juga rakyat negara ini. Walaupun ia memejelmakan sesuatu yang rumit, tetapi dari sisi lain memberi peluang menguji bagaimana kita berpolitik. Mencabar sejauh mana kebersamaan kita menanggung masalah negara. 

Rakyat dan dunia akan menilai kemampuan ahli politik kita khasnya ketua-ketua parti dalam menyelesaikan masalah ini. Dunia akan memerhati cara dan budibicara kita. Justeru harus difahami masalah yang ada hadapan kita ini perlu dituntaskan segera kerana ia menjadi perhatian seluruh dunia. Kita jangan mengundang keaiban kepada negara kita. 

Gara-gara keadaan itu menyebabkan negara jadi tidak ketentuan. Rakyat khasnya mereka yang prihatin kepada politik dan negara sedang diasuk kemabukan. Semua orang jadi resah gelisah dan hilang tumpuan untuk hidup. Semua orang jadi tidur tidak lena, mandi tidak basah dan makan tidak kenyang. 

Sudah dua hari pilihan raya selesai namun belum ada tanda-tanda ia ditamatkan. Beberapa formula dibuat tampaknya tidak mudah untuk menyelesaikan kekemelutan yang berlaku. Cadangan kerjasama di antara PH dengan BN, tidak banyak yang menyokong, tetapi banyak yang mempersoalkan begitu dan begini. Cadangan itu bukan mengatasi masalah tetapi seperti ada yang mahu mengambil kesempatan keuntungan diri sendiri dan kelompok. 

Agak-agaknya sampai kapan keadaan ini berterusan? Apakah ia akan berakhir dengan suatu tindakan di luar dugaan lebih mengejutkan? Semisalnya pembentukan kerajaan Malaysia dilakukan dengan cara luar biasa, DARUTAT, dimana kerajaan dibentuk nanti bukan berasaskan kepada keputusan pilihan raya dan semangat demokrasi, tetapi dibuat menggunakan kuasa-kuasa yang ada kepada Yang diPertuan Agong seperti mana diperuntukan oleh perlembagaan? 

Jika difikir secara logik dan munasabah, sepatunya pilihan raya itu tidak menimbulkan masalah pun sekiranya peluang diberikan kepada parti yang menang besar. Tetapi kerana format pilihan raya kita meletakkan garis mana-mana parti harus mencapai 112 kerusi daripada 222 kerusi baru boleh membentuk kerajaan, jadilah keadaan seperti hari ini. Semua parti tidak mencapai garis itu. Dan untuk mengenapkan angka perlu ada gabungan atau kerjasama.

Kalau ikut peraturan biasa, PH paling banyak menang dengan 82 kerusi. Sepatutnya PHlah diberi peluang untuk membentuk kerajaan berasaskan perkiraan matematik itu. Manakala untuk mencapai 112 kerusi serahkan sepenuhnya atas budi bicaranya untuk mengambil mana-mana kumpulan dipilihnya. Parti-parti kecil lain harus insaf dan menerima hakikat kegagalan mereka untuk membentuk kerajaan. Mereka seharusnya berjiwa besar memberi laluan kepada PH atas semangat kenegaraan dan demokratik.  

Untuk masa hadapan, mungkin bagi mengelak kejadian ini berulang format atau kaedah penentuan pihak membentuk kerajaan sesudah pilihan raya diadakan perlu diubah. Ketentuan sedia ada, yakitu perlu mendapat majoriti mudah ini tidak boleh dipakai lagi, sebaliknya perkiraan dibuat atau peluang membentuk kerajaan diberikan kepada parti yang mendapat jumlah kerusi banyak tanpa mencapai sasaran lebih separuh daripada jumlah kerusi. 

Kemalangan.

Dalam melihat dan memerhati krisis yang berlaku ini, saya merasakan sesuatu yang malang buat negara kita. Malang dan dukacita kerana dalam saat genting begini kita tidak memiliki orang atau peribadi yang suci dan mempunyai akal fikiran menarik. Kita tidak ada peribadi atau watak-watak seperti Hang Nadim atau Muhamamd Abdullah S.a.w. untuk menjadi penyelesainya. Sebaliknya yang banyak ada watak-watak pendengki, pendendam dan pengungkit kisah-kisah lama membabitkan soal peribadi yang tidak menguntungkan. 

Dalam saat-saat seperti ini seharusnya semua orang menjadi laksana Hang Nadim. Macam mana insan kerdil ini mempunyai idea dan akal berlian untuk menghadapi serangan todak. Ketika raja dan kerajaan cemas dan bingung dengan serangan Todak, Hang Nadim muncul dengan akal kerdilnya yang anehnya mengemukakan cadangan agar dipasang, didirikan batang pisang di sepanjang pinggir pantai.

Idea itu ringkas dan kecil sahaja dan tidak masuk akal, tetapi ia memberi kesan sangat ampuh. Temasik berjaya mengatasi serangan Todak dengan batang pisang sahaja. Itulah kelebihan akal dapat menyelamatkan wang dan nyawa. Wang banyak tetapi tidak ada akal belum tentu selamat. Ironinya di sebalik kebijaksanaan itu menjelma pula sikap tidak berterima kasih dan irihati sehingga sang cerdik dan pintar itu dibunuh.

Demikian juga dengan watak seperti Muhammad Ibni Abdullah. Tidak mungkin watak itu menjelma dengan keseluruhan keperibadian dan keluhuran dirinya sebagai al Amin untuk membantu kita. Tetapi cukup kalau sekadar mengambil sebahagian daripada sifat dan keperibadiannya untuk diteladani dalam mengungkaikan pemasalah hari ini. 

Di Malaysia ramai yang bersalawat ke atasnya dan mengakui sebagai mahu menjadi umatnya, atwa meniru caranya berpakaian, berumah tangga, makan dan sebagainya namun keseluruhan peribadian dan pengajarannya tidak dipraktikan sejujurnya. 

Macam mana insan yang kerdil ini berbanding dengan kegahan ketua-ketua kaum mengemukakan formula simple demi menyelesaikan kemelut dan perbalahan antara kaum di Makkah yang masing-masing mahu menjadi raja untuk meletakkan batu hitam di Kaabah. Masing-masing tidak mahu mengalah dan mendabik dada kononnya tangan akulah berhak meletakkan Hajarul Aswad. Kemelutan perebutan itu berlarutan selama empat hari sehingga menimbulkan suasana tidak baik.

Saat inilah Muhammad turun dan memberi akal fikirannya. Beliau mengambil sehelai serban meletakkan di tanah lalu meletakkan Hajarul Aswad itu ke atasnya. Selepas itu beliau meminta semua ketua-ketua kaum yang masing-masing mengakui hebat tadi memegang tepi serban itu dan mengangkat ke arah Kaabah. Kemudian tangan sucinya mengambil batu hitam itu lalu meletakkan ditapaknya.

Mudah dan ringkas sekali formula dikemukakannya dapat menyelesaikan masalah yang berpanjangan selama empat hari. Kekemelutan berakhir dan semua kaum merasakan mereka ada peranan dan dihargai. 

Nah, sepatutnya teladan daripada kisah kecerdikan Hang Nadim dan kebijaksanaan Muhammad menyelesikan maslaah itulah diambil sebagai contoh dan formula oleh ahli politik kita hari ini khususnya ketua-ketua parti dalam gabungan PH, BN, PN dan sebagainya. 

Kerana tidak mungkin ada seorang insan akan dijelmakan dan diberi penghormatan seperti Hang Nadim dan Muhamad itu maka semua parrti hendaklah menjadi seperti Hang Nadim dan Muhammad itu. Contohilah apa yang telah disejarahkan mereka.  

Saya yakin dan percaya kalau semua parti-parti politik khasnya PH, PN dan BN, mengambil ibrah daripada kisah Hang Nadim dan Muhammad tadi kekemelutan yang sedang berlaku sekarang ini tidak akan berpanjang, tidak pun sampai empat hari empat malam. Ia dapat diselesaikan dengan sempurna dan jaya. Modal dan sejarah sudah ada, tiru dan kutiplah daripada yang telah berlaku itu. Walahu'alam. [wm.kl.7:46 am 22/22/2022]


No comments:

Post a Comment