Tuesday, December 20, 2022

Sanusi dan Takiyuddin perlu ambil tanggungjawab, letak jawatan

 ISI HATI

KESIAN dan simpati kita dengan nasib parti gemulah chek saya, Pas. Parti itu berada dalam keadaan seperti tidak tentu arah dan hilang pedoman, persis sudah tertukar dan tidak dapat mengenali di antara bintang dengan bulan purnama. Lantaran itu menyebabkan perjuangan parti itu, maksudnya kemenangan besar diperolehi dalam pilihan raya lalu macam sia-sia sahaja. 

Pas tidak reti dan bijak mengolah kemenangan untuk perkara serta faedah lebih besar lagi. Pas gagal memanfaatkan anugerah emas daripada Allah buat parti itu. Pas kini jadi laksana sang petani yang tahu menangkap Pelanduk tetapi tidak tahu untuk mengandangkannya.  

Ini berlaku kerana ilmu sains politik dalam kalangan para pemimpin Pas masih kurang, belum luas dan cetek. Dalam satu sisi mereka sudah pandai ikut mengamalkan politik Machiavelli tetapi dari sudut lain mereka jadi lembau dan bebal demokrasi. 

Kerana kelemahan dan kebebalan itu menyebabkan penyertaan Pas dalam pilihan raya seperti ingin berseronok-seronok semata-mata. Suka-suka atau pun "menyegar" angin tidak membawa kepentingan ahli dan penyokong ke tujuan lebih besar. Kuasa sepatutnya diimplimentasi dalam kehidupan bernegara. Namun itu tidak berlaku, ini menyebabkan Pas jadi malang seperti Pak Kadok, menang sabung tetapi kampung tergadai.

Kenapa tidak, Pas menjadi parti yang mendapat kerusi terbanyak dalam pilihan lalu lalu mengutip 43 kerusi. Ini jauh bezanya dengan parti lain, terutama Umno maupun Keadilan yang mengutip 30 kerusi dan 38 kerusi sahaja. Sehebat-hebat Dap hanya dapat 40 kerusi. Dari segi angka sepatutnya Pas menguasai keadaan bukan mengikut keadaan yang tidak melabakan.

Kemalangan dihadapi Pas ialah apabila ia bersendirian dan  membuat keputusan terus kekal bergabung dengan Bersatu walaupun pada saat parlimen tergantung. Keputusan ini menjadikan Pas tidak memandu kemenangan itu secara baik. Dengan kerusi berjumlah 43 Pas boleh berbuat sesuatu lebih bererti, bukannya mengikuti buntut Bersatu. Pas patut mengambil kesempatan yang terbuka itu. Kekhilafahan Pas ialah tidak reti menghormati kemenangan besar dimilikinya. 

Pas kongsi kesilapan bersama Bersatu. Kesilapan besar Bersatu pula yang dikuti Pas itu apabila menolak cadangan Yang di Pertuan Agong agar membentuk kerajaan PERPADUAN. Tindakan Bersatu itu merugikan Pas dan ia tidak sepatutnya dibiarkan berlaku begitu sahaja atas apa alasan sekali pun. Dalam hal ini Pas mengikut jejak orang yang tempang dan kecewa. 

Sekiranya Pas bersetuju kendatipun Bersatu menolak cadangan itu sekali pun, Pas sudah boleh berperanan dengan menjadikan kemenangan besar bererti buat Pas. Jika itu pilihan Pas kini sudah menjadi sebahagian kerajaan kemungkinan untuk jawatan timbalan perdana menteri menjadi milik Pas. Namun realiti dan falsafah itu tidak berlaku. 

Pas kini menyesal dengan mengatakan kekesalan itu dengan meniru Serigala yang malang tidak dapat mengambil anggur dengan mengatakan anggur masam. Sikap itu adalah sikap orang kecewa dan tidak mahu mengaku kesilapan. Inilah ego dan "agahnya" Pas. 

Ada lagikah prinsip.  

Mungkin Pas menggunakan soal prinsip dan moral untuk utuh bersama Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN). Apakah moral dan prinsip ada lagi dalam politik? Hal ini tidak sempat disemak dengan jujur sepratikal oleh Pas. Sejauh manakah parti yang berpegang kepada moral dan prinsip itu dapat membantu rakyat? Apakah keuntungan buat rakyat kalau hanya berpegang kepada prinsip dan bukan realiti politik. Puaskah rakyat setakat mendengar keenakan Musang King tanpa merasainya? Dan apakah soal moral dan prinsip masih berlaku dalam demokrasi negara ini?

Yang nyata, apa terjadi sebelum ini walaupun pendirian dan moral itu menjadi pegangan Pas, tetapi dari segi amalannya sudah tidak berlaku lagi. Tidakkah semasa berlaku peristiwa rampasan kuasa yang di atur di Sheraton, Pas telah menggadai moral dan prinsipnya? Begitu juga pada saat berlaku transisi perdana menteri daripada Mahiaddin Yassin kepada Ismail Sabri Yaakob apakah sikap diambil Pas ketika itu berprinsip? Atau pun dalam kedua-dua kasus itu Pas sudah membuat kekhilafan besar dalam siasah syariah yang tidak perlu diapoletik kerana kesombongan Pas? 

Melihat kepada kegagalan demi kegagalan, kerugian demi kerugian dan kelemahan demi kelemahan Pas dalam mengambil kesempatan dengan kuasa yang ada, atau memahami siasah syariah dalam konteks negara ini ia seperti sesuatu yang perlu diselidiki. Pas harus mengenal pasti apakah punca dan sebabnya terjadi demikian. Pas tidak perlu membiarkan perkara itu terus berlaku tanpa dimuhasabah apa lagi menyerahkan kepada takdir yang diundang. 

Dalam perkara ini tentu secara harpiahnya kesilapan itu kerana kesalahan dilakukan oleh mana-mana pihak atau individu. Tidak mungkin haiwan atau binatang yang menyumbang kesilapan itu. Dalam hal ini yang bertanggungjawab ialah mereka dilantik atau diberi kepercayaan untuk mengaturkan Pas. Menjadi master mind, perunding, strategis untuk membawa Pas ke arah hala tuju jelas dan menang. 

Kita mempercayai kesilapan ini bukan menjadi tanggungjawab presiden Abdul Hadi Awang maupun timbalannya Tuan Ibrahim Tuan Man berseorangan. Walaupun mereka mempunyai kuasa prerogetif tetapi ia tidak sampai kepada bersikap diktator dan autokrasi dalam menguruskan parti. Begitu juga dengan naib-naib presidennya, Idris Ahmad, Mohd Amar Nik Abdullah dan Samsuri Mokhtar kerana mereka lebih menuruti dan wala' apa yang akan dituturkan oleh presiden.

Kita tidak mahu menuduh sesiapa yang bertanggungjawab dan menjadi punca kecelaruan Pas hari ini sehingga menyebabkan Pas tidak berjaya mengertikan kemenangan besar mereka. Namun apabila dilihat kepada suasana hirearki atau carta organisasi dalam Pas ini kita dapat membuat kesimpulan dan andaian siapakah yang perlu bertanggungjawab.

Hari ini Pas memang nampak tenang. Ketenangan itu diterjemahkan dengan kemenangan besar di luar jangka. Kerana terlalu obses kepada kemenangan besar itu, Pas terlupa untuk menganalisa kenapa dan mengapa parti itu tidak berjaya memanfaatkan kemenangan besar itu. Dimanakah kesilapan dan kesalahannya. 

Dua kumpulan.

Sebenarnya keadaan dalam Pas kini, samalah dengan sungai yang tenang yang disangka tidak ada buaya. Sangkaan itu khilaf sebenarnya. Pas kini sedang berhadapan dengan dua kumpulan yang cuba menguasai parti agama itu. Ada pertentangan pendapat dan pandangan. Satu kumpulan ialah golongan profesional dan satu lagi kumpulan konservatif. Pemergian kumpulan profesional seramai 18 orang dahulu telah diganti dengan kumpulan profesional yang baru. Mereka ini sedang berusaha untuk mengambil alih kepimpinan Pas dan mewajahkan Pas mengikut disiplin ilmu mereka.

Golongan ini bijak mengambil kesempatan yang ada. Dengan kesempatan memegang jawatan penting di jabatan utama golongan profesional ini menguasai Pas. Urusan pentadbiran parti diuruskan oleh mereka. Golongan ini licit dan cekap mengurs pentadbiran serta membawa nartaif baru Pas untuk kepentingan politik pua mereka. Hubungan baik mereka dengan presiden digunakan sepenuhnya. Golongan inilah yang telah mengatur strategi untuk menguasai parti tersebut. Mereka telah memperalatkan dan mengambil kesempatan atas kebaikan pimpinan tertinggi, khasnya presiden dan timbalan presiden. 

Kita tidak fikir, penolakan oleh Abdul Hadi Awang terhadap titah Yang di Pertuan Agong agar ditubuhkan kerajaan Perpaduan itu sekiranya beliau tidak diberi gambaran salah oleh orang tertentu dalam Pas. Atas prinsip asal dan naluri Pas cadangan pembentukan kerajaan Perpaduan itu adalah impian Abdul Hadi Awang. Sebelum ini beliau pernah mengagaskan konsep Unity Government, tetapi kenapa beliau mudah menolaknya kalau bukan dipengaruhi?

Jika Abdul Hadi tidak dipesonai beliau misalnya tidak akan membuat pengumuman awal yang PN sudah cukup nombor, bahkan nombor sudah melebihi daripada cukup untuk tubuh kerajaan. Beliau tentu tidak saja-saja membuat kenyataan itu kalau tidak diberi maklumat. Kita tahu sejauh mana akses atau hubungan beliau dengan narasumber mengenai keputusan pilihan raya itu. Kenapa ini berlaku kerana Abdul Hadi sudah dirasuk oleh kumpulan ini. 

Dalam hal ini maklumat boleh diberikan atau diterima oleh Hadi ialah daripada pihak Jabatan Pilihan Raya Pas dan juga pejabat agung Pas. Siapakah yang menjadi pengarah pilihan raya Pas dan siapakah yang menguasai pejabat Agung Pas. 

Pengarah pilihan raya Pas ialah Sanusi Muhammad Noor manakala Setiausaha Agung ialah Takiyuddin Hassan. Menurut adabnya kedua orang inilah bertanggungjawab ke atas apa-apa maklumat yang sampai kepada Abdul Hadi mengenai pilihan raya berkenaan. Selaku presiden Abdul Hadi bertindak berpandukan kepada maklumat dibekalkan kedua inidivu ini, bukan dari wahyu yang turun seperti hujan banjir di Kelantan dan Terengganu kini.  

Sebelum ini ada beberapa peristiwa dalam Pas menunjukkan akan kehebatan Takiyuddin dalam mempengaruhi presidennya. Peranan besar dimainkan Takiyuddin ialah merapatkan hubungan (ta'wun) Pas dengan Umno. Beliaulah menjadi pakar perunding bagi Pas. Takiyuddin seperti disebut Annuar Musa orang bertanggungjawab merangka piagam Muafakat Nasional, malahan merea berdualah membacanya. Hal ini didedahkan bekas ketua Umno bahagian Ketereh itu berkali-kali. 

Apa jadi dengan MN selepas itu akhirnya? Ia ternyata gagal. Kegagalan MN itu ialah kerana wujudnya Perikatan Nasional (PN). Penubuhan PN ini difahamkan secara drastik dan tidak melalui prosedur  seperti penubuhkan MN yang melalui muktamar Pas dan dipersetujui Majlis Syura Ulama (MSU) dan juga akar umbi Pas. Penubuhan PN tidak mengambil konsensus muktamar dan juga persetujuan MSU. Siapa atau pihak mana pula yang mempengaruhi presiden agar menerima Bersatu dan menolak Umno?

Deklerasi atau perjanjian PN ini juga katanya dibuat di atas kapal terbang? Penggabungan Pas dengan Bersatu itu tergesa-gesa dan tidak diperhalusi mengikut kehendak akar umbi Pas jauh sekali mendapat restui kepimpinan tertinggi Majlis Syura Ulama (MSU). Jelas persetujuan membentuk PN ini adalah persetujuan daripada sebahagian orang dalam Pas sahaja.  

Siapakah yang menjadi perunding dalam hal ini? Tentulah mereka yang diberikan kepercayaan oleh Pas untuk menstrategikan Pas dalam pilihan raya. Orang itu tentulah Pengarah Pilihan Raya Pas dan juga Setiausaha Agung Pas. Kalau pun mereka tidak terbabit mereka harus bertanggungjawab memandangkan kedudukan mereka itu penting dan utama yang mana penglibatan mereka dapat disuluh oleh umum.  

Rengkasnya disini kedua individu ini bertanggungjawab dalam menentukan hala tuju Pas pada saat akhir khususnya dalam membentuk kerjasama. Apa yang boleh difahami di sini, mereka adalah orang bertanggungjawab langsung kepada presiden parti, memberi nasihat dan apa-apa pandangan mengenai masa depan parti atas kapasiti mereka itu. 

Berasaskan kepada peranan dan kedudukan yang penting itu, boleh diandaikan mereka jugalah mempengaruhi presiden supaya membuat ketetapan dan keputusan akhir Pas yang tidak menguntungkan rakyat itu apabila menuruti pendirian Mahiaddin Yassin menolak pembentukan kerajaan Perpaduan itu. Mungkin mereka jugalah memberi gambaran bahawa PN sudah mencukupi nombor atau jumlah kerusi untuk membentuk kerajaan sehingga mengelirukan Hadi dan memalukan presiden Pas itu. 

Mustahil Abdul Hadi dalam membuat apa-apa keputusan penting dalam saat kritikal beliau bersandarkan kepada rasa hatinya setelah diadakan istikharah ataupun berpandukan kepada mimpi siang yang hadir tatkala gerimis. Setidak-tidaknya beliau akan dengar dan menilai pendapat dan pandangan diberikan oleh kedua orang ini, Pengarah Pilihan Raya dan Setiausaha Agung adalah individu yang sepatutnya berada hampir dengannya pada sepanjang masa. 

Makanya atas kerugian dihadapi Pas, kekecewaan ahli bawahan Pas dan damage ditanggung Pas waktu ini kerana tidak mengambil kesempatan untuk membentuk kerajaan Perpaduan, kedua-dua individu ini perlu meletak jawatan sebagai tanggungjawab atas apa yang berlaku. Pas sesungguhnya perlu menilai sejauh mana profesionalisme kedua-dua mereka ini dalam membantu dan mengatur strategi untuk Pas. Sewajarnya kalau Pas mencari individu lain bagi mengganti tempat mereka. [Siapa paling layak untuk mengganti mereka sila WhatsApp saya, saya sedia memberi khidmat pandangan percuma]. [wm.kl.12:25 pm 20/12/2022]

No comments:

Post a Comment