Sunday, July 7, 2024

Kegagalan yang bukan untuk ditangisi

ULAS PIRAKE SG BAKAP 

PIRAKE (pilihan raya kecil) Sungai Bakap sudah pun berakhir dan keputusan telah pun diketahui.
Segalanya muktamad sekiranya tiada sebarang petisyen oleh pihak yang kalah, maka kekal abadilah keputusan itu.

Hakikat yang kena diterima, ialah PH gagal untuk merampas kerusi Dun 20 Sungai Bakap yang dimenangi PN (Pas) pada pilihan raya lalu. Kegagalan PH kali ini dengan kehilangan peratus undi diperolehi pada pilihan raya lalu dan pertambahan majoriti dipihak PN. Calon PH Dr Joohari dapat 10,222 manakala Abidin dapat 14,489. Majoriti bertambah lebih sekali ganda sebanyak 4,269 berbanding 1,400 lebih sebelum ini. 

Keputusan pirake itu memberi beberapa petunjuk atau gambaran dan juga implikasi kurang baik. Pirake itu mengesahkan bahawa pengaruh dan sokongan rakyat disitu masih minat dan sayang kepada PN, khasnya Pas. Sebahagian besar mereka masih meragui atau belum tertarik dengan PH. 

Peluang terbuka untuk masyarakat pengundi disitu mempunyai wakil yang selari dengan kerajaan negeri dan persekutuan yang menjanjikan peruntukan atau memudahkan pembangunan setempat, tidak dipedulikan dan memancing mereka. Mereka lebih berminat untuk memiliki Adun pembangkang sekaligus menunjukkan perlawanan berterusan terhadap PH.

Apakah natijah dan ertinya? Ertinya janji untuk perubahan pembangunan serta suasana kehidupan lebih baik daripada sebelum ini melalui calon PH tidak pun dipandang. Ia tidak menghairankan. Kehebatan calon PH seorang bertaraf Prof tidak mengusik dan menggamit hati pengundi untuk memilihnya sebagai wakil mereka. Pengundi tetap juga memilih Abidin seorang pembantu wakil rakyat bekas Adun sebelum ini Nor Azam Latiff. 

Disini menunjukkan rakyat Sungai Bakap tidak kisah mengenai calon. Calon bagi mereka adalah simbol kepada parti yang hendak dipilih. Apabila mereka membiarkan itu, bermakna mereka lebih memilih peribadi daripada parti. Peribadi lebih utama dari idealisme perjuangan yang diyakinkan.

Calon PN ada sedikit nilai tambah apabila dia sudah lama meranyai dalam kawasan itu semasa jadi pembantu wakil rakyat sebelum ini, ketimbang dengan Joohari yang dikenali sebagai pegawai dan intelektual bukan pekerja. Joohari juga dikenali, tetapi dia tidak berada di level bawah seperti Abidin. Beliau tidak masak dalam pergaulan dengan masyarakatan bawahan di Sungai Bakap.  Disinilah nilai tambah ada kepada pihak PN.

Melalui catatan ulasan ini, saya tidak mahu mengulas panjang lebar dan juga menurunkan pelbagai analisa dan statistik, sebab sudah ramai pengulas amatur dan  dan professional berbuat demikian, beri anlisa dan pandangan masing-masing sejak keputusan diketahui hingga ke saat ini.   Cuma apa hendak saya singgungkan di sini tentang cara dan perbezaan atau naratif kempen yang dibawa oleh PH dengan PN sangat berbeza. Perbezaan ini bagi saya penting untuk dikaji.

PN terus bermain dengan method kempen menyerang kerajaan, memfitnah kerajaan dan memburuk peribadi pemimpin. Segala usaha dan tindak tanduk kerajaan dikritik dengan fitnah yang hina. Begitu juga peribadi pemimpin terus dimainkan dalam usaha untuk menimbulkan kebencian oleh rakyat.

Misalnya mereka telah menuba minda rakyat dengan memberi tahu kerajaan jual saham MAHB kepada Israel (Blackrock), menceritakan penyasaran subsidi diesel untuk menyelamatkan wang negara sebagai isu menyebabkan harga diesel naik mendadak. Begitu juga dengan sol kenaikan harga makanan dan kos sara hidup dimanipulasi sebagai bahan yang cukup merangsangkan.

Benar atau tidak apa diperkatakan itu, ia tidak penting, yang penting ia dihidangkan kepada pengundi dan ditelan bulat-bulat. Walaupun sesetengahnya ia tidak benar, mengelirukan dan rekayasa, tetapi disini, kepandaian dan kebijaksanaan yang ada kepada PN mengeskploistasi itu berkenaan. Mereka goreng, rebus dan celur cukup-cukup untuk dihidangkan kepada rakyat. Kemudahan kebebasan media massa dilowongkan kerajaan digunakan seluas-luasnya untuk meracuni rakyat.

Rakyat yang telah dihidang dengan begitu rupa sehingga tidak tahu bezakan di antara benar dengan tidak, fitnah atau rekaaan, kayalan atau realiti. Bagi mereka apabila melihat sesuatu itu lazat, ia terus ditelan atau dibelikan sebagai modal jualan, tanpal usul periksa atau tabayun. Rakyat ibarat peniaga kecil, akan menjual barang yang mudah dijual.

Kebolehan ini, mengeksploitasi, memanipulasi tidak ada kepada parti kerajaan. Mereka juga mempunyai aset atau modal yang sama nilainya dengan pihak PN seperti isu Rahmah, bantuan STR yang ditambah, kenaikan harga getah dan padi dan segala macamnya. PH tidak kurang (kasik) atau miskin dengan isu-isu yang boleh dijual kepada rakyat. Apa yang bezanya, PH tidak ada kepakaran untuk merebus dan menggoreng segala isu-isu berkenaan seperti pihak PN yang mengadunkan segala isu dengan bahan pengawit yang mengiurkan bagi dihidangkan kepada rakyat.

Apa disebut oleh ketua menteri Pulang Pianng, Chow Kon Yeow PH kalah naratif adalah benar. PH gagal memberi penerangan akan kejayaan serta pencapaian mereka dalam membawa perubahan negara. Kalau ada pun disampaikan oleh Rafizi Ramli secara statisik, tetapi ia diragui kebenarannya kerana awal-awal lagi Rafizi sudah dicop sebagai taukeh formula. Disini kesilapan orang menerangkan perkara itu tidak tepat, dan bijaknya PH damejkan Rafizi.

Memberi statstik di atas panggung di hadapan masyarakat yang tidak tahu menilai, atau menganalisa statisik sesuatu yang membazir. Seperti menabur jagung kepada ayam buta dan nyah bau. Ia sedap didengar tetapi tidak diterima, laksana umpan plastik cantik tetapi tidak ada gizi, manakala didalamnya ada mata kail, joran.

Dalam kempen, pengundi mahukan sesuatu yang tersaul dek akal mereka, bukan memaksa terima sesuatu yang tidak mudah diterima. Rata-rata saya dengar perkara ini tidak ada kepada penceramah PH. Kalau kepandaian ini ada kepada penceramah PH, ia boleh mengatasi apa dilakukan PN. Bahan ramuan PN juga kosong, tetapi lantaran bijak mengkosmatikkan ia menggodakan rakyat.

Pengundi muda tidak akan mengira realiti semasa, apa lagi soal masa depan. Mereka mahu apa yang ada dihari ini sahaja. Sifat anak muda suka memberontak dan menentang adalah lumrah dan fitrah manusia diusia itu. Politik "hora hore" terus menjadi amalan mereka. Mereka tidak akan nampak soal ekonomi, pergolakan suhu dunia dan alam global serta sebagainya. Mereka tidak tahu apa itu neo-kolonial, neo-kapitalism, ancaman kuasa besar, keselamatan negara dan sebagainya. Semua perkara itu tiada dalam kamus hidup mereka.

Tetapi kalau mereka diberi tahu negara ini akan dijual kepada Israel mereka akan percaya, bersalawat dan bertakbir. Anak-anak muda tertarik dengan soal-soal menyentuh hak dan kepentingan mereka walaupun ia sebuah ilusi dan fitnah. Itu yang berlaku di Sungai Bakap di kalangan anak muda. 

Walaupun DAP sudah jadi sebahagian kerajaan dan banyak bantu menegakkan tatakelola, tetapi persepsi bahawa DAP itu kafir tetap melekat dalam hati dan minda mereka. Isu DAP kafir sudah digam dalam hati mereka oleh para pemimpin PN sejak bertahun lalu. DAP dijadikan isu kedua penting selepas agama. Jadi tidak salah mereka kalau mereka skeptikal dengan DAP kerana sebagai orang Melayu dan Islam mereka takut dan perlu pertahankan negara. Perlu juga disedari masih ramai orang Melayu yang suka kepada perkara-perkara bida'ah, khayal dan tahyul. 

Apa yang perlu dibuat, difikir dan diperbaikan ialah menjelaskan perkara itu. Menafikan tuduhan dan anggapan itu semua. Bagaimana mereka (pembangkang) bijak menjual dan menjaja isu-isu ini dengan kepasluan, maka PH juga perlu bijak mencari kaedah menjual isu ini menceritakan kebenarannya tanpa koma dan titik. Teknik atau strategi yang mampan hendaklah dicari. Dalam hal ini saya nampak pelawanan dalam soal ini tidak seinmbang.

Dalam konteks ini kalau kerajaan rasa perlu perkemaskan institusi penerangan dan memperkuatkan unit propagda mereka, nah lalukan jangan tunggu terlalu lama atau setelah hari rapat ke senja. Perdana Menteri khasnya tidak perlu bertolak ansur sangat atau berfikir banyak kali untuk bertindak memperbaiki keadaan ini. 

Untuk mengatasi segala fenomena nagatif ini kerajaan juga masih tidak menggunakan segala kemudahan atau peremis yang ada. Atas nama mementingkan tatakelola atau takut dituduh melanggar etika, mereka biarkan begitu sahaja. Kerajaan sangat berhati-hati ke tahap sewel yang merugikan. Aneh juga kerajaan kerana mereka sanggup melihat diri mereka disodomoi demikian rupa.

Banyak lagi hendak diperkatakan dalam menjustifikasikan kenapa PH gagal untuk rampas kerusi Sungai Bakap ini. Biarlah orang lain pula ulas. 

Kesimpaualan, kegagalan PH merampas kerusi Sungai Bakap bukan pengakhiran segala cerita. Ia bukan sesuatu yang perlu ditangisi sampai buta mata apa lagi saling menyalahkan di antara satu sama lain. Calon PH di Sungai Bakap bukan disuruh pikul masalah yang dicipta oleh kerajaan PH seperti ditulis oleh seorang wakil rakyat PH. Takdir itu memberi peluang untuk PH memikirkan kesilapan mereka. Juga memberi peluang kepada PN untuk terus mempertahankan dan memperluaskan pengaruh mereka.

PH jangan kesal, PN pula jangan gembira sangat kerana Sungai Bakap hanya sebuah kerusi Dewan Undangan Negeri yang tidak memberi apa-apa signifikan kepada puak masing-masing.

Cuma sedikit terkedu, apabila sungai Bakap sebelum ini dijaja sebagai tempat kelahiran perdana menteri Anwar Ibrahim yang perlu dirampas untuk dijadikan hadiah, tiba-tiba gagal diambil, ia mengilankan. Tidak sepatutnya berlaku begitu. Namun sejarah dan sunnatullah sudah ada yang boleh dijadikan iktibar. Nabi Muhammad S.A.W. juga lahir di Makkah, tetapi terpaksa berhijrah ke Madinah untuk membina kekuatan.

Setelah berjaya di Madinah, lebih sedekad kemudian Muhammad kembali semula ke Makkah dan menguasainya. Kita harap demikian juga dengan Anwar setelah beliau berjaya membina sebuah kerajaan Madani yang hebat, yang masyhor diseantero dunia, insyaAllah Sungai Bakap akan dapat dirampas dalam pilihan raya akan datang.

Kegagalan bukan dikesali, kemenangan bukan untuk dimegahi. Semuanya adalah momentun untuk sebuah pengajaran. [wm.kl. 1:39 pm 07/07/2024]

2 comments:

  1. Tepat dan padat. Machinery kerajaan gagal berfungsi dengan baik dan diambil kesempatan atas nama kebebasan bersuara. Undi orang bawahaan dan orang muda adalah berlegar dengan persepsi bukan fakta. Common sense. Post Mortem perlu disegerakan.

    ReplyDelete
  2. Malaysia masih mempunyai kumpulan seperti DATUK YIP KUM FOOK kerana telah menipu dan mempunyai Peguam palsu dan lebih banyak rasuah, dan mengapa kerajaan Malaysia masih tidak dipedulikan, sekarang rakyat Malaysia berada dalam bahaya, jika kerajaan mementingkan diri sendiri untuk melindungi rakyat.

    Kerajaan perlu memeriksa pejabat peguam DATUK YIP KUM FOOK, rumahnya, dan tempat lain kerana sebelum ini dia menggunakan polis dan samseng untuk mengganggu ramai orang di Kepong

    Kami berharap kerajaan akan membuka mata untuk melihat DATUK YIP KUM FOOK (Yip Kum Fook & Associates No. 2A & 2B, Tingkat 2, Jalan 53, Desa Jaya Kepong, 52100 Kuala Lumpur Wilayah Persekutuan) rumahnya berhampiran Samnak Sambodhi, 19 , Jalan 38, Taman Desa Jaya, 52100 Kuala Lumpur, Selangor....

    Dari En Boon, Taman Desa Jaya, Kepong

    ReplyDelete