Tuesday, July 8, 2025

Bara sengketa masih menyala

BACA POLITIK


SEMALAM Rafizi Ramli mengadakan sidang akhbar bersama lapan orang ahli parlimen Keadilan. Sidang akhbar itu sebagai meluncurkan projek politik baru beliau selepas tidak lagi jadi anggota kabinet dan berada dalam kerajaan. Beliau nampaknya merealisasikan apa yang beliau ucapkan, yang beliau akan buka babak baru dalam politik selepas tidak jadi timbalan presiden Keadilan. 

Ahli parlimen yang hadir mengiringinya di sidang akhbar semalam ialah, Rodziah Ismail (Ampang Jaya), Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), Nik Nazmi Nik Ahmad (Titiwangsa), Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang), Wong Chen (Subang) dan Zahir Hassan (Wangsa Maju).

Mereka ini ialah pengikut setia Rafizi dan sanggup untuk melakukan kamakazi. Mereka bergantung nyawa politik kepada Rafizi. Besar kemungkinan dengan ulah dan laku mereka itu, mereka semua tidak akan dicalonkan semula oleh Keadilan untuk mempertahankan kerusi berkenaan. Jika mereka merasa pengaruh dan dokongan kuat mereka boleh bertanding atas tikit bebas atau parti lain.

Ramai menyangka semalam Rafizi akan memgumumkan sesuatu mengejutkan disidang akhbar itu, tetapi meleset.

Rafizi masih kekal bersama Keadilan. Ilham untuk tubuh parti baru tidak berbangkit langsung, atau beliau sudah membuat kajian menyeluruh kalau buat parti baru, ia tidak akan membawanya ke mana mana pun. Buat parti itu tidak ubah seperti guruh kuat berbunyi hujan tak seberapa, tidak ada manfaatnya. Baguslah, nampaknya peminatnya di alam maya berjumlah ratusan ribu itu tidak memberi kekuatan dan keyakinan kepadanya untuk form parti baru.

Maka selamatlah semalam Keadilan ditimpa musibah kedua selepas peristiwa Langkah Sharaton. Rafizi nampaknya belum jadi seperti Azmin Ali sepenuhnya, iras iras sudah ada. Pembangkang yang berdoa dan solat hajat supaya Keadilan ditimba musibah terkantoi setakat ini.

Jadi langkah diambil semalam ialah bertindak jadi pembangkang dalam kerajaan, tepatnya menjadi gunting dalam lipatan atau lipas dalam almari. Rafizi mengguna kedudukannya sebagai ahli parlimen untuk menggodak Anwar. Jadi pengkritik kerajaan, bagi mencapai aspirasi reformasi. Bunyinya molek tetapi mesejnya lain.

Beliau memulakan dengan mengkritik Presiden, Anwar Ibrahim bersabit proses pelantikan dan kelewatan pelantikan hakim hakim yang disifatkan suatu skandal. Isu Tengku Maimun Tuan Mat tidak disambung enam bulan sebagai Ketua Hakim Negara turut jadi perhatian Rafizi.

Sejajar itu beliau mencadangkan agar kerajaan menubuhkan RCI untuk menyiasat perkara itu. Cadangan itu menunjukkan betapa seriusnya kehilang-percayaan Rafizi kepada Anwar. Logiknya bila seseorang ahli hilang kepercayaan kepada presiden dia minggak sahaja dari parti?

Selain itu beliau juga mendesak Anwar beri penjelasan berhubung soal perlantikan hakim. Rafizi tanpa segan silu mengheretkan isu secara terbuka ke tempat terbuka. Beliau cuba membayangkan ada sesuatu yang disembunyikan Anwar disebalik isu itu. Tampaknya Rafizi bekerja untuk membantu pembangkang ketimbang membantu kerajaan. Mungkin ini pola baru politik kita atau politik style Rafizi.

Seperkara lagi disebut Rafizi semalam, selepas ini beliau akan ada forum umum bergerak dari bandar ke bandar utama menjelaskan isu berkenaan dan lain lain isu kepada rakyat, biar rakyat tahu dan cerdik dengan isu. Jelajah forum ini adakah sambungan jelajah hiruk sebelum ini? Belum habis lagi ke perbalahan dan dendam, kata minta semua orang move on?

Tanpa mengira sejauh mana forum berkenaan berjaya, namun ia tidak boleh dipandang ringan. Para pemimpin parti dan mereka yang setia dengan Anwar yang mahu melihat Anwar kekal sebagai PM sekurang kurangnya sepenggal, perlu melakukan sesuatu. Rafizi kena ingat dan fikir juga Anwar juga ada penyokong hard core dan setia, malahan mereka telah teruji sejak berdekad lalu. Para penyokongnya yang tidak mengharap apa-apa imbuhan dan balas rela berkorban untuk Anwar.

Rancangan jelajah forum itu perlu dibendung. Parti tidak boleh biarkan ia berjalan semahunya tanpa kawalan atau diberi pelawanan atau penjelasan maksudnya. Tujuan forum itu dibuat terbuka oleh Rafizi kerana beliau mengharap ia akan disertai oleh pihak pembangkang sama. Ia sebagai taktiknya mencari sokongan. Dari situ beliau akan melihat sejauh mana sambutan dan sokongan kepadanya. Beliau kini sedang melebarkan pengaruh, merentasi parti politik. Sekiranya ia memberangsangkan tidak mustahil beliau akan bertindak lebih agresif lagi.

Jadi sebelum ia merebak, parti Keadilan perlu melakukan sesuatu yang signifikan. Bukan sahaja Keadilan, tetapi parti gabungan kerajaan juga, PH dan BN perlu mengambil perhatian sama, sebab serangan ke atas Anwar merupakan serangan terhadap kerajaan. Mungkin satu perhimpunan parti perlu dipanggil segera untuk memberi penjelasan kepada ahli agar tidak keliru dengan sihir dimainkan Rafizi.

Barisan pemimpin yang baru punya tanggungjawab untuk berhadapan dengan Rafizi dan mempertahankan Anwar. Mereka kena ingat pertembungan semasa kempen pemilihan lalu masih belum berakhir. Bara belum padam sepenuhnya. Pegawai utama parti, Setiausaha Agung, Ketua Penerangan, Pengarah Strategi, Bendahari, Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan lain-lain perlu memerah otak untuk menghadapi serangan terbaru Rafizi ini. Timbalan presiden baru Nurul Izzah kena proaktif, sehingga kini mulutnya masih terkunci, kenapa? Ada masalah gusi ke?

Perhimpunan itu seeloknya selepas parti selesai menyusun barisan kepimpinan baru, pelantikan eksekutif, lantikan pengerusi negeri negeri selesai dibuat. Tidak boleh biarkan Rafizi dan gengnya bergerak sesuka hati tanpa pemantauan dan bendungan. Bacaan saya, gerak kerja yang dilakukan Rafizi itu adalah sebagai persiapan untuk menanti kongres tiga tahun akan datang.

Masa terluang yang beliau miliki sekarang ini saya percaya bukan keseluruhan ditumpukan kepada untuk jaga 18 ekor kucing kucingnya, tetapi tempoh ini beliau akan istiqamah jadi pengkritik, penganggu kerja buat Anwar sebagai perdana menteri. Dan sekiranya apa digerakkan ini mendapat sambutan beliau mengharap Anwar akan surrender sebelum tiba masanya. Itu impian dan mimpi Rafizi bersama gengnya. [wm.kl. 9:58 am 08/07/2025]


2 comments:

Anonymous said...

Betul dah tindakan RR dan rakan MP yang lain membuat sidang media. DSAI kena diperingatkan ketika dipuncak kuasa supaya tidak tumbang kerana racun kekuasaan dalam membuat keputusan. Salute RR dan MP yang terlibat. Pemilihan dalam PKR sendiri penuh ONAR. Jawablah dihadapan ALLAH kepada mereka yang bersekongkol. Halalkah kemenangan itu....?

Anonymous said...

Kerana PMX dgr nasihat org keliling lah PKR jadi haru biru mcm skrg ni. Org yg sama tak mampu pertahan PM sbb mereka cuma hanya menumpang bergayut...