ISTIMEWA AHAD
MARI kita berbicara dengan tenang, tertib penuh peradaban mengenai sdr Mohd Rafizi bin Ramli dan masa depan politiknya. Untuk sedekad dua lalu beliau dilihat sebagai figure pembela kebenaran dan nasib marhaen. Beliau dilihat sebagai Hang Nadim untuk bangsa dan negara. Nilai baik yang ada kepadanya ialah, mahu membawa pemerintah berintegriti, yang baik, bersih, jujur, telus sesuai dengan agenda reformasi parti disertainya, Parti Keadilan Rakyat (Keadilan).
Beliau sudah pun berada takah istimewa sebagai orang nombor dua dalam Keadilan, selaku timbalan presiden. Kedudukan itu sekira berlaku apa-apa kepada Anwar Ibrahim beliaulah akan menakhtai Keadilan. Dalam banyak sosok dalam Keadilan, selepas ketiadaan Mohamad Azmin Ali dan Ezam Muhammad Noor, beliaulah di lihat ke depan dan digantung harapan oleh ahli.
Rafizi seperti diakui ramai sebagai tokoh yang genius, kreatif, tajam pengamatan politik dan bijak membentuk momentum. Beliau juga pakar dalam menyerang dan membelasah balik musuh-musuh partinya. Dalam konteks dengan Anwar beliau menyifatkan dirinya sebagai pagar. Dengan menggunakan perkataan (sadis), “penghasut rakyat” khususnya anak-anak muda (gen Z) terpanggil dengan ajakan dan provokasinya. Gelombang yang dibentuk olehnya sungguh dahsyat.
Kelebihan lain yang ada kepadanya, beliau seorang berani dalam memperkata dan mempertahankan sesuatu kebenaran. Beliau tidak peduli kepada sesiapa, jika dilihat menyeleweng beliau akan tentang habis-habisan. Kesungguhan dalam memperjuangkan apa diyakininya sangat tinggi sehingga beliau dilihat sebagai degil. Dalam hal ini beliau benar-benar praktis pesan Tuhan dalam al- Quran, “katakan sesuatu yang benar (haq) itu meskipun ia pahit.” Lantaran keberanian dan kedegilan itu beliau menerima beberapa natijah sampai dipenjara, didakwa di mahkamah dan sebagainya.
Berkat kelantangan, kreativiti, bijak mencipta gelombang, membangkitkan massa, partinya menang dalam pilihan raya dan menjadi kerajaan. Kemenangan Keadilan itu sering dibabitkan dengannya. Beliau jadi menteri setelah Anwar jadi PM. Semasa partinya menang bersama Dr Mahathir Mohamad beliau tidak sertai kabinet kerana prinsipnya enggan bekerjasama dengan Dr Mahathir.
Lantaran kemenangan itu beliau diberi imbuhan yang tidak diminta sebagai Menteri Ekonomi, menteri kanan dalam kabinet Madani pimpinan Anwar Ibrahim. Menerusi kementerian itu beliau berjaya menetaskan beberapa idea dan mengemukakan formula menarik yang tidak terfikir oleh orang lain. Beberapa polisi atau dasar ekonomi negara yang progresif dilaksanakan. Antaranya memperkenalkan penyusunan semula subsidi, pendigital ekonomi,“vending machine makanan” dan aplikasi PADU.
Tidak lama dalam kabinet.
Bagaimana pun beliau tidak lama berada dalam kabinet kerana berpegang kepada kata-kata dan janjinya, (yang sebenarnya tidak pun perlu dilaksanakan). Janjinya semasa berkempen untuk pemilihan dalam parti, sekiranya kalah beliau akan melepaskan jawatan menteri. Sebagai seorang mementingkan integriti beliau lakukan kandati pun tidak dipaksa oleh sesiapa. Keputusan diambil ini disanjung oleh kalangan anak muda menjadi pengikutnya, ia sebagai wira. Memang orang sebegini yang kita perlu dan menghormatinya.
Namun Rafizi sedikit terlupa beliau berada dalam politik demokrasi ala Barat. Bahawa kebaikan, ketulusan dan keteguhan prinsip jarang dipedulikan. Beliau tidak melihat kepada sejarah bila mana orang berprinsip dalam politik banyak yang gagal. Saya menyatakan ini sejak awal-awal kepada beliau bagi mengelakkan beliau terbabas dengan keadaan yang boleh membahayakan diri dan mengsia-siakan perjuangannya selama ini.
Tetapi beliau kekal dengan prinsipnya dan seronok dengan pendiriannya. Rafizi pembenci hipokrasi dan tidak berhajat untuk berkolaborasi dengan hipokrit, jauh sekali bodek dan bersikap “yes bos” asalkan beliau dapat menegakkan prinsip dirinya. Sebenarnya sikap inilah yang meletakkan Rafizi dalam laut gelombang politik hari ini.
Dengan apa yang berlaku sekarang ini, dan terus akan berlaku kerana Rafizi tampaknya tidak akan menoktahkan aksinya, cuba kita selidik dan merenung ke mana destinasi politiknya. Perjalanan panjang politiknya akan sampai ke mana? Melihat caranya mengkritik Anwar beliau seperti sudah berkerat rotan berpatah arang dengan mentornya Anwar Ibrahim?
Beliau terus mengkritik tindak tanduk kerajaan dan juga keputusan Anwar termasuk yang sebelum ini beliau sepikan. Namun, saya tetap yakin Anwar masih baik-baik dengannya, kedewasaan dan pengalaman dilalui Anwar menghadapi kritikan menjadikan beliau sangat memahami apa yang berladum dalam jiwa Rafizi kini. Justeru saya rasakan Anwar atau Rafizi tidak akan berjarak jauh. Kenapa saya berkata demikian kerana walaupun sudah dua kali beliau diberi tunjuk sebab oleh parti dan ada desakan agar beliau dipecat, Anwar masih menyepi.
Saya teringat kepada kata-kata falsafah gemulah ayah saya (Omar Othman) berbunyi; sebengkeng mana, semarah mana bapak kerbau kepada anaknya, ia tidak akan menanduk anaknya sendiri. Cantik sungguh kata-kata ini. Keadaan itulah yang berlaku kepada Anwar terhadap Rafizi. Saya yakin kalau Anwar terkilan dengan Rafizi ia tidak akan sampai ke sukma. Segala jasa, pengorbanan dan apa yang Rafizi lakukan selama ini tentu dikenang Anwar.
Saya percaya ramai orang mendoakan kecuali musuh yang mengambil kesempatan akan terus mengapi-apikan mereka berdua. Dan sekiranya Anwar sudah mahu membuang Rafizi jauh, sudah pasti parti sudah mengambil tindakan disiplin ke atasnya. Oh, ada orang bermadah Anwar tidak berani memecatnya, kerana takutkan kepada pengaruh Rafizi. Itu salah yang sebenarnya Anwar masih sayang dan berharap kepada Rafizi. Dalam hal ini semua orang yang sayangkan baik Anwar dan Rafizi perlu menyedari dan memahami siapa yang lebih memerlukan masa depan politik Rafizi atau Anwar?
Anwar tidak ada pilihan sebagai penerus legasi dan agenda perjuangannya selain Rafizi. Saya yakin Anwar faham ini, rumah yang dibina takkan beliau akan dibiar runtuh begitu sahaja. Anwar cukup faham bukan senang untuk melahirkan seorang pemimpin berkarisma. Ada pun kenapa Anwar mahukan Rafizi berehat, tanpa jawatan, adalah untuk memberi ruang bernafas kepada Rafizi mempelajari seluk belok politik sambil merenung kembali apakah langkah diambil itu tepat atau tidak.
Saya fikir Anwar tahu yang anaknya Nurul Izzah tidak mampu dan kompeten untuk menggantinya memikul “kesenimbungan” reformasi. Adapun kenapa beliau mengizinkan Nurul Izzah melawan Rafizi tempoh hari kerana hendak tenangkan keadaan (pause) Rafizi dalam kerajaan dan parti. Muslihat ini tidak ramai memahaminya.
Berbalik kepada perbalahan antara Rafizi dengan Anwar ia berkisar beberapa perkara yang tidak disenangi Rafizi tetapi dibuat oleh Anwar. Anwar menggunakan haknya untuk melakukan itu. Paling nyata ialah apabila Anwar menyambung kontrak Azam Baki beberapa kali sebagai Pengerusi SPRM, beliau marah dan pertikai layanan baik Anwar kepada bekas pemimpin MIC R Ramanan. Seterusnya beliau mempersoalkan cara Anwar melayan bekas setiausaha politiknya Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang baginya menjadi liabiliti kepada parti dengan kerja buat dan aktiviti Farhan mengumpulkan kekayaan.
Isu-isu dibangkit itu pula bukan senang untuk dilayani dan didengar Anwar. Anwar sendiri ada motif tujuan dan sepak terajang beliau di sebalik apa yang dilakukan itu yang tidak disenangi Rafizi. Sayang, maksud dan maslahat Anwar itu gagal difahami oleh Rafizi dan umum. Disinilah saya katakan Rafizi gagal membaca sepak terajang atau game dalam politik dan berpolitik secara lurus. Saya sudah ingatkan kepadanya dari jauh, bahawa perjalanan politik itu harus seperti sungai, kena bengkang bengkok jika ingin selamat dan berjangka hayat panjang.
Kebenaran, kebersihan dan ketelusan yang diperjuangkan Rafizi memang didambakan semua orang. Itu fitrah insan. Bahkan itulah matlamat kita dan jika bercanggah dari itu kita kena tentang. Namun beliau lupa bahawa segala kebaikan itu tidak boleh dilaksanakan keseluruhan dalam kita belum berkuasa penuh. Tiada kesempurnaan dalam hidup ini melainkan ia hanya sebuah impian dan harapan semata-mata. Kita lupa bahawa pendirian dan jiwa kita tidak sama dengan orang lain.
Dalam sebuah organisasi, hendak tidak hendak perlu ikut peraturan dan ketentuan yang diputuskan oleh ketua atau suara majoriti. Menghormati ketua adalah satu perbuatan menyeksakan, apa lagi kalau sikap, pendirian dan pendekatan ketua bercanggah dengan jiwa dan naluri kita. Disinilah kita memerlukan kesabaran tinggi, jua disamping keberanian bagi memastikan kesenimbungan jangka hayat kita dalam perjuangan. Hasrat kita untuk membawa apa yang kita fikir, perlu disimpan sementara kita mendapat kuasa penuh. Selepas kita mendapat kuasa penuh, laksanalah apa yang kita cita dan impikan itu. Harimau atau singa yang bijak itu tidak akan mengeluarkan taringnya sebelum mangsa benar-benar mengancamnya.
Dari sini kesilapan yang dilakukan Rafizi, manakala baginya bukan kesilapan tetapi kebenaran yang perlu ditegakkan tanpa kira siapa. Sikap inilah menyebabkan timbul kata-kata dan tanggapan dia kurang beradab, tidak tahu diplomasi dalam berparti politik orang Melayu yang penuh dengan seni serba mungkin dan munafik.
Ke mana Rafizi selepas ini?
Dengan apa yang berlaku kini, kita tertanya-tanya ke manakah Rafizi selepas ini. Dapatkah dia memenuhi kehendak sebahagian orang yang terpesona dengannya melaksanakan apa yang dikandung dalam dirinya, atau bagaimana.
Kita tahu dalam berpolitik, kita memerlukan kuasa, tanpa kuasa - menjerit melaung tidak ada guna. Lantaran itu saya berpandangan Rafizi perlu menghimpun kekuatan bagi berkuasa. Beliau perlu muhasabah diri sekejap memperbetulkan arah politiknya kini, yang sudah dilihat agak rumit. Rafizi perlu menghuraikan kekusutan ini untuk kembali ke atas landasan yang akan membawanya kejayaan demi memenuhi harapan orang ramai. Belum terlewat untuk beliau bermuhasabah, berfikir balik atau buat reset tindakan politiknya. Beliau perlu mengutamanya impian orang ramai kepadanya daripada memikirkan kepuasan buat diri. Ia, anda mungkin puas kalau dapat jatuhkan Anwar, tetapi perbuatan itu tidak bererti kalau Anwar jatuh ia diganti oleh orang lain. Para penyokong Keadilan akan kecewa.
Beliau perlu menenangkan jiwanya sekejap sahaja, kerana masa dan peluang untuknya sedang berjalan ke arahnya. Jadi beliau perlu mengelakkan dirinya terlalu menyimpang jauh dari itu. Kita tidak mahu negara dan bangsa kehilangan sekali lagi sosok menjadi taruhan dan harapan seperti saudara Rafizi. [wm.kl. 4:25 pm 26/04/2026]
No comments:
Post a Comment