Tuesday, June 9, 2026

Membaca kesan perpisahan Pas dengan Bersatu

RENCANA

SATU lagi penantian politik sudah bertitik noktah semalam apabila PAS secara rasmi memutuskan hubungan politik dengan Bersatu. Keputusan itu dibuat oleh PAS dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerjanya. Keputusan tersebut diambil setelah Dewan Ulama membentangkan pandangan dan juga nasihat dari segi hukum serta fiqh siasah Islam.

PAS menyandarkan keputusan memutuskan kerjasama politik itu dengan mengambil nasihat Dewan Ulama, iaitu dewan tertinggi dalam PAS, begitulah yang disebut dalam kenyataan ringkas yang dikeluarkan selepas mesyuarat berkenaan.

Bagi kita, itu adalah alasan semata-mata untuk memperlihatkan sikap terbuka dan memberikan justifikasi terhadap tindakan PAS, sedangkan hakikatnya keputusan itu adalah hak eksekutif, khususnya presidennya, Abdul Hadi Awang, kerana PAS mengamalkan kepimpinan ala mullah, di mana presiden mempunyai kuasa yang sangat besar. Siapa yang berani melawan cakap Tok Dor?

Tidak mengapa, itu adalah keputusan politik parti yang perlu dihormati dan tidak boleh dipertikaikan. PAS bertanggungjawab melakukan apa sahaja demi kebaikan dan kejayaan partinya. Sebagai sebuah parti politik, PAS memahami strategi dan permainan politik. Sebagai parti yang berusia lebih 70 tahun, PAS sudah masak dan matang. Segenap lembah dan lurah politik telah dilaluinya.

Perlu diingat bahawa PAS diwujudkan untuk memenuhi tuntutan Islam, menjadi pengimbang kuasa kerajaan dan melakukan islah berdasarkan prinsip Islam. Namun kini ia sudah mula berangan-angan untuk menjadi pemerintah. PAS sudah menikmati keenakan menjadi kerajaan. Pengalaman menjadi sebahagian daripada kerajaan selama 17 bulan menyebabkan PAS mula ketagih dengan kuasa.

Lantaran itu, PAS telah berusaha mengiklankan kepada khalayak tokoh mereka untuk menjadi Perdana Menteri. Salah satu sebab mengapa PAS begitu beria-ia untuk diberikan peluang memimpin Perikatan Nasional (PN) dan menjadi pengerusinya adalah bagi mengangkat tokoh mereka sebagai bakal Perdana Menteri.

Wajar bagi PAS menyusun dan mengatur strategi terbaik demi kemenangan. Di sini terdapat kecerdikan dan kemahuan politik PAS. Cuma apa yang boleh dipersoalkan ialah sama ada tindakan PAS itu betul dan tepat pada masanya.

Usah ditanya perasaan Bersatu, Muhyiddin Yassin dan lain-lain, sama ada mereka sakit hati atau sedih dengan keputusan PAS itu. Muhyiddin boleh membayangkan perasaan tersebut berdasarkan apa yang pernah dilakukannya sebelum ini.

Muhyiddin sebelum ini telah mengkhianati persepakatan dalam Pakatan Harapan (PH), sekali gus meruntuhkan kerajaan PH. Ertinya, Muhyiddin telah mungkir janji dan meninggalkan rakan-rakannya. Maka apabila PAS memulangkan semula rasa itu kepadanya, ia bukanlah sesuatu yang aneh.

Setelah meninggalkan Bersatu, dengan siapa pula PAS akan berkawan? PAS tahu realiti politik negara ini tidak membolehkannya bergerak bersendirian kerana ia mudah dibaham serigala politik. Hendak atau tidak, PAS terpaksa mencari rakan baharu.

Sebelum ini sudah ada ura-ura bahawa PAS cuba menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) untuk bersama UMNO. PAS dijangka menjalin semula ta'awun dengan UMNO seperti yang pernah dirintis sebelum ini. MN berkecai apabila PN muncul secara tiba-tiba dan menyilanginya di tengah jalan menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah dahulu.

Situasi kini memberi peluang untuk MN diwujudkan semula. Sebenarnya usaha menghidupkan MN tidak pernah terhenti. Ia terus berjalan dalam pelbagai bentuk penyamaran dan strategi. Perlu diingat bahawa antara individu utama yang mahu menghidupkan MN ialah Annuar Musa, yang kini berada dalam PAS, malah berada dalam saf kepimpinan utama.

Kita melihat kesanggupan Annuar menjadi "mualaf politik" dengan menyertai PAS membawa agenda penting untuk memastikan kelangsungan politik dirinya setelah beliau dipecat daripada UMNO apabila kerja-kerja sumbang politiknya dalam parti itu disedari oleh presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Apakah penyertaan Annuar ke dalam PAS itu benar-benar ikhlas dan jujur? Tempua tidak akan bersarang rendah kalau tidak ada sebabnya. Dan anjing, walaupun sudah tidak makan tahi, apabila bertemu dengannya tetap akan menghidu juga.

Jadi, tidak menghairankan jika PAS kini kembali mengingati UMNO kerana ada pihak yang sentiasa membisikkan tentang keramatnya UMNO dan indahnya menjadi kerajaan. Sebagai pemimpin dalaman, tentu PAS diberi nasihat panjang lebar oleh individu berkenaan bahawa bekerjasama dengan UMNO lebih relevan berbanding dengan Bersatu. Dalam masa yang sama, tentu juga racun untuk memburukkan hubungan PAS dengan Bersatu ditaburkan.

Dalam PAS juga ada pihak yang berasa waswas terhadap Bersatu kerana di dalam parti itu terdapat bayang-bayang yang ditakuti. Bayang-bayang itu ialah Azmin Ali. Mereka berasa sangsi sejauh mana Bersatu benar-benar ikhlas terhadap PAS kerana melihat Azmin Ali masih mempunyai hubungan yang akrab dengan bekas bosnya, Anwar Ibrahim.

Ada yang membuat kesimpulan bahawa tujuan Azmin begitu beria-ia menguasai Bersatu dengan menyingkirkan Hamzah Zainudin adalah untuk merapatkan semula hubungan dengan Anwar dan kerajaan. Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi?

Jadi, sebelum Bersatu berjaya ditawan oleh Azmin dan kemudian dibawanya mendekati Anwar, maka lebih baik jalan atau ikhtiar lain dicari sebagai langkah penyelamatan. Salah satu jalannya ialah dengan menghidupkan semula MN.

Apa yang dapat disimpulkan di sini ialah keputusan PAS memutuskan hubungan dengan Bersatu antara lain berpunca daripada tanggapan bahawa Bersatu sedang dipersiapkan untuk bersama Anwar atau PH. Persepsi itu diarkitekkan oleh mereka yang sudah lama cemburu dan marah terhadap Anwar.

Apakah usaha menghidupkan semula MN serta mewujudkan kerjasama antara PAS dan UMNO akan berjaya?

Saya boleh mengatakan begini. Apa juga usaha, pendekatan atau kerjasama politik antara UMNO dan PAS yang bertujuan untuk mengenepikan Anwar tidak akan berjaya selagi UMNO dipimpin oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Kecualilah jika MN itu nanti turut menghulurkan tangan kepada Anwar.

Sebaliknya, cita-cita golongan tertentu yang kini menjadi dalang dalam PAS hanya akan berjaya apabila UMNO tidak lagi dipimpin oleh Zahid Hamidi. Apabila Zahid sudah meninggalkan kerusi presiden, mudahlah bagi mereka mengatur langkah seterusnya.

Kesimpulannya, pemutusan hubungan politik antara PAS dan Bersatu merupakan satu tindakan yang kurang bijaksana serta dibuat tanpa kajian mendalam mengenai implikasinya terhadap masa depan politik PAS dan juga ummah. [wm.kl. 12:20 pm, 9/6/2026]

No comments:

Post a Comment