Wednesday, July 29, 2026

Bersatu jadi penentu kalah menang BN - PH

RENCANA

PEMIMPIN BN, Khalid Nordin menganggap penyertaan Bersatu dalam Pilihan Raya Negeri (Pirane)
Negeri Sembilan sekadar "kacau daun". Tanggapan itu bagaimanapun tidak disenangi oleh pimpinan Bersatu yang menganggapnya sebagai satu penghinaan dan keangkuhan orang berkata demikian terhadap parti berkenaan.

Bersatu segera menjawab persepsi itu dengan menegaskan bahawa penyertaan mereka bukan untuk sebagai kacau daun, sebaliknya bertujuan membentuk kerajaan dan menawarkan perkhidmatan kepada rakyat. Mereka mahu menjadi alternatif kepada pengundi Negeri Sembilan selain BN dan PH.

Keputusan Bersatu bertanding secara solo di 24 kerusi membuktikan parti itu mempunyai keberanian dan keyakinan yang tinggi. Berbanding PAS dan Parti Wawasan yang bertanding menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN), Bersatu memilih untuk menguji kekuatannya sendiri.

Justeru, tidak tepat untuk menganggap penyertaan mereka sebagai sekadar "kacau daun". Dengan meletakkan calon di 24 kerusi, Bersatu jelas menunjukkan cita-cita untuk membentuk kerajaan. Hakikatnya, hanya 19 kerusi diperlukan bagi memperoleh majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan Negeri Sembilan. Ini ialah realiti politik yang tidak boleh dinafikan.

Atas sebab itu, jangan sesekali memperkecilkan Bersatu. Pada pandangan saya, peranan parti itu dalam Pirane Negeri Sembilan cukup signifikan dan berpotensi mempengaruhi keputusan pilihan raya tersebut.

Bersatu bertanding di 24 kerusi yang kebanyakannya menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan BN, PH dan Bersatu. Sebahagian besar kerusi tersebut ialah kawasan majoriti pengundi Melayu. Di sinilah akan berlaku perebutan sengit undi Melayu, khususnya antara BN dan Bersatu. Perebutan ini akan jadi faktor kalah menang.

Perpecahan undi Melayu ini akan memberikan kelebihan kepada PH. Di kawasan yang mempunyai antara 10 hingga 15 peratus pengundi bukan Melayu, sokongan daripada kumpulan itu boleh menjadi faktor penentu kemenangan PH apabila undi Melayu berpecah.

Penglibatan Bersatu menjadi duri dalam daging kepada kedua-dua gabungan utama itu. Mungkin dalam keadaan semasa Bersatu sukar memenangi banyak kerusi kerana bertanding secara bersendirian, sedangkan BN dan PH masing-masing disokong oleh beberapa parti komponen. Dari segi pengaruh, kekuatan, jentara Bersatu tidak terlawan PH maupun BN.

Dalam pertandingan satu lawan dua gabungan besar, bukan mudah untuk sebuah parti tunggal mencipta kemenangan. Namun, itu tidak bermakna Bersatu tidak berupaya mempengaruhi keputusan. Keupayaan mereka memecahkan undi boleh menentukan siapa yang akhirnya memperoleh manfaat politik.

Saya tidak mempunyai data terperinci mengenai komposisi pengundi di kesemua 24 DUN yang ditandingi Bersatu. Namun, jika diperhatikan perkembangan kempen melalui media sosial dan ceramah-ceramah politik, Bersatu dilihat lebih banyak menyerang BN berbanding PH.

Malah, walaupun tidak menunjukkan sebarang sokongan terbuka kepada PH, hubungan mereka juga tidak kelihatan begitu tegang. Persepsi yang timbul ialah Bersatu lebih cenderung melemahkan BN daripada menyerang PH.

Jika pemerhatian ini benar, maka kesannya ialah Bersatu berpotensi menarik undi Melayu yang sebelum ini cenderung kepada BN atau pengundi atas pagar yang mempunyai kecenderungan terhadap Bersatu. Keadaan itu secara tidak langsung boleh menguntungkan PH.

Berdasarkan perkembangan semasa, saya menjangkakan sebahagian besar daripada 24 kerusi yang ditandingi Bersatu berpeluang dimenangi PH, bukan semata-mata kerana kekuatan PH, tetapi akibat perpecahan undi Melayu yang berlaku.

Sebab itulah saya berpendapat Bersatu tidak boleh dipandang remeh apa lagi dihina. Parti yang berlambangkan bunga raya itu mungkin tidak memenangi banyak kerusi, namun kehadirannya mampu mengubah keseluruhan keputusan pilihan raya.

Lebih menarik, jika keputusan akhir menyaksikan BN dan PH memperoleh jumlah kerusi yang hampir seimbang, katakan 15 : 16 kemenangan satu atau dua kerusi oleh Bersatu boleh menjadi penentu kepada pembentukan kerajaan negeri.

Sekiranya senario itu berlaku, saya yakin Bersatu lebih berkemungkinan memberikan sokongan kepada PH berbanding BN. Walaupun Bersatu tidak bersetuju dengan PH kerana didalamnya ada DAP, tetapi parti lebih rela untuk bersama BN yang didalamnya ada parti yang mengkhiantinya. [wm.kl. 11:49 am 29/07/2026]

1 comment:

  1. Jika peranan BERSATU berjaya memecah undi dan memberi kemenangan kepada PH sehingga dapat mempertahan kerajaan NS, adalah tidak mustahil Parti itu akan dipelawa menyertai PH secara formal bagi menghadapai PRU 16.

    ReplyDelete