Sunday, September 20, 2026

Pengampunan Najib apakah disengajakan?

BACA POLITIK

SETIAUSAHA Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, mengambil tanggungjawab sesuai pendirian parti berhubung keputusan pengampunan bersyarat terhadap Najib Razak yang membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Loke menawarkan untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan sebagai respons DAP terhadap keputusan tersebut. Tindakan Loke itu dilihat tegas dan berani, dalam masa sama beliau pertahankan DAP tetap DAP.

Keputusan itu dibuat selepas CEC DAP bermesyuarat kira-kira tiga jam pada Sabtu lalu. Loke berkata beliau sendiri mencadangkan supaya hanya beliau yang berundur, manakala menteri dan timbalan menteri DAP yang lain terus kekal dalam kerajaan. Dalam kabinet DAP mempunyai lima menteri dengan tujuh timbalan menteri. 

Menurut Loke, langkah itu diambil demi memastikan kestabilan Kerajaan Madani. DAP, katanya, akan terus menyokong kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim. Sehingga saat ini kedudukan DAP dalam kerajaan kekal.

Maknanya, setakat ini DAP masih bersama Kerajaan Madani walaupun ada suara-su sumbang meminta DAP keluar daripada kerajaan. Tetapi pendirian itu tidak bermakna segala-galanya sudah selesai. Politik sentiasa berubah mengikut keadaan dan perkembangan semasa. Pendirian diambil itu boleh dikatakan keras juga.

Tindakan Anthony Loke itu dilihat sebagai usaha DAP mempertahankan prinsip parti dalam soal keadilan, kesaksamaan dan integriti institusi. Loke sendiri menyatakan bahawa DAP menghormati kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong, tetapi pada masa yang sama parti mempunyai pendirian sendiri terhadap pengampunan bersyarat Najib. Perbezaan DAP dengan parti lain selama ini ialah sikap tegas dan keras parti itu berpegang kepada prinsip. 

Najib pula setakat ini belum berpindah ke rumah untuk menjalani baki hukumannya. Pelaksanaan tahanan rumah masih tertakluk kepada proses dan syarat yang berkaitan. Pihak berkuasa juga masih perlu menyediakan tatacara dan mekanisme pelaksanaannya. Tetapi gara-garanya telah menghebohkan keadaan. Ada tanda-tanda pengampunan itu bakal menimbulkan pelbagai implikasi, ini menyebabkan timbul tanda tanya apakah ia disengajakan?

Salah satunya apa yang berlaku dalam DAP yang tidak dapat menerima keputusan pengampunan bersyarat itu sehingga Anthony Loke menawarkan diri untuk berundur daripada Kabinet. Bukan itu sahaja di bawah sana rakyat menerimanya berbagai-bagai reaksi.

Keputusan Loke itu bukan keputusan peribadinya semata-mata. Ia dibuat selepas dibincangkan dalam mesyuarat CEC DAP selama kira-kira tiga jam.  Kita tidak tahu secara terperinci apa yang berlaku dalam mesyuarat CEC itu kerana perbahasan dalaman mereka tidak didedahkan kepada umum. Apakah berlaku perbincangan hangat atau sebaliknya?

Namun, kalau keputusan Loke itu benar-benar merupakan terjemahan pendirian CEC, ia membawa makna politik yang lebih besar. Ia menunjukkan bahawa isu pengampunan bersyarat Najib bukan sekadar masalah Anthony Loke seorang, tetapi merupakan isu yang melibatkan maruah dan imej partti itu.

Sedikit persoalan dan menggarut benak saya, kalau tidak bersetuju dengan sesuatu keputusan kerajaan, mengapa masih terus menyokong kerajaan? Bukankah lebih baik kelau semua menteri dan timbalan menteri mengambil pendirian sama.

Loke akan bertemu dengan Anwar bagi membincangkan peletakan jawatannya sekembalinya dari Shanghai nanti. Anwar sendiri telah menyatakan hal itu, akan bertemu Loke berhubung perkara itu. 

Sementara menunggu hasil pertemuan itu, persoalannya yang timbul ialah apakah yang akan berlaku selepas ini.

Apakah Loke benar-benar akan meninggalkan Kabinet atau Anwar akan meminta beliau terus menjalankan tugas sebagai Menteri Pengangkutan? Perlu diterima Loke adalah antara menteri daripada DAP yang cemelang dan rajin. Hal ini perlu diselesaikan dengan baik dan munasabah kerana sudah ada mengatakan tindakan Loke itu sebagai lakonan semata-mata.

Kalau Loke kekal dengan keputusannya untuk berundur, ia sudah tentu membuka satu persoalan politik kepada Kerajaan Madani. Ia tidak mustahil boleh berjangkit kepada mereka yang lain. Apakah mereka sanggup melihat setiausaha agung mereka berkorban seorang diri sedangkan mereka terus kekal dalam kerajaan? Pendirian dan sikap begini tidak pernah berlaku dalam DAP.

Atau sebenarnya keputusan CEC itu memang sengaja dibuat begitu — seorang berundur sebagai tanda pendirian parti, dan juga suatu ugutan, sementara yang lain terus berada dalam kerajaan atas alasan bagi menjamin kestabilannya? Kalau benar bergini, disinilah kelicitan politik DAP.

Apa yang saya nampak, Loke mungkin akan kembali keputusan itu kepada CEC untuk membincangkan perkembangan seterusnya selepas pertemuannya dengan Anwar. Hasilnya nanti CEC akan buat bperubahan dan itu yang dikehendak Loke?

Cuma Loke juga perlu ingat bahawa dalam DAP beliau bukan disenangi semua golongan. Saki-baki kelompok yang dianggap lebih radikal dalam parti itu masih ada, dan mereka boleh menggunakan isu pengampunan Najib ini sebagai senjata untuk mencabar kepimpinan beliau. Loke harus berhati-hati. [wm.kl. 8:04 pm 20/09/2026].

No comments:

Post a Comment