Saturday, November 7, 2026

Implikasi kebenaran Najib jalani penjara di rumah

PANDANGAN

APAKAH  kebenaran kepada Najib Razak untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah, berasaskan perkenan pengampunan Yang di-Pertuan Agong, akan memberi kesan negatif kepada pelaksanaan undang-undang dan keadilan di negara ini? 

Perkenan berkenaan, walaupun bersandarkan Perlembagaan Persekutuan dan kuasa yang ada pada Yang di-Pertuan Agong, bukan sesuatu yang mudah ditelan dari konteks kesejatian dan keadilan sejagat. 

Sebahagian rakyat yang melihat kesalahan dilakukan Najib sebagai jenayah berat merasakan tidak adil dan tidak wajar beliau diberikan keistimewaan sedemikian.

Ini kerana bekas Perdana Menteri itu sudah diberikan keistimewaan apabila hukuman asalnya dikurangkan separuh. Hukuman penjara 12 tahun dikurangkan kepada enam tahun, manakala denda asal RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta. Sebenarnya pemberian itu merupakan keistimewaan yang berlebihan bila dibanding dengan nilai jenayah dilakukan Najib.

Belum cukup dengan pengurangan hukuman itu, beliau sekali lagi diberikan pengampunan bersyarat yang membolehkan baki hukuman penjaranya dijalani dikediamannya.

Tahanan rumah bagi seorang bekas pemimpin yang disabitkan dengan kesalahan jenayah berprofil tinggi seperti Najib merupakan sesuatu yang luar biasa dalam sejarah pelaksanaan hukuman di negara ini. Sebab itulah keputusan berkenaan dipertikaikan oleh pelbagai pihak, termasuk bekas Perdana Menteri, Mahiaddin Yassin.

Apakah keistimewaan itu diberikan kerana Najib merupakan bekas pemimpin nombor satu negara? Jika kedudukan dan status seseorang menjadi ukuran untuk memperoleh layanan istimewa, ia menggambarkan satu kepincangan dalam proses keadilan kita?

Soal Najib mampu menyediakan wang denda RM50 juta bagi memenuhi sebahagian syarat pengampunan itu adalah hak dan budi bicara pihak yang mahu membantunya. Umno sebagai parti yang masih mempertahankan bekas presidennya, kerana yakin pengaruhnya masih ada, tentu mempunyai alasan dan tanggungjawab politik tersendiri untuk berbuat demikian.

Namun, persoalan yang lebih besar ialah apabila wang derma dan sumbangan ahli parti digunakan bagi melunaskan denda seorang bekas pemimpin yang telah disabitkan dengan kesalahan jenayah. Disini ia dilihat penjenayah dibela, bukannya dikutuk seperti lazimnya. 

Situasi inilah menyebabkan PM Anwar Ibrahim bertanya apakah mesej yang hendak disampaikan kepada rakyat nanti dengan tindakan ini. Beliau bukan pertikaian perkenan itu tetapi dari segi prinsipnya ia songsang.

Anwar Ibrahim, yang selama ini tegas dengan prinsip ketelusan, keadilan dan penegakan undang-undang, turut mempersoalkan keadaan itu apabila ada pihak sanggup mengumpulkan wang untuk membantu seorang pesalah yang telah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah.

Anwar menghormati kuasa pengampunan yang diperuntukkan oleh Perlembagaan. Beliau sendiri pernah menerima pengampunan penuh. Namun, penghormatan kepada kuasa pengampunan tidak bermakna semua persoalan berkaitan pelaksanaannya tidak boleh dibangkitkan.

Derma dan pengorbanan ahli Umno untuk melunaskan denda Najib juga tidak boleh disamakan dengan nilai pengorbanan rakyat yang menghulurkan sumbangan kepada Tunku Abdul Rahman bagi membiayai misi kemerdekaan ke London, 71 tahun lampau. Kedua-duanya mempunyai tujuan, semangat dan nilai perjuangan yang berbeza.

Begitu juga keputusan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, untuk meletakkan jawatan sebagai anggota Kabinet apabila Najib benar-benar dibenarkan pulang ke rumah bagi menjalani baki hukumannya merupakan satu bentuk protes terhadap pelaksanaan keputusan berkenaan.

Apa yang dilakukan Anthony Loke itu adalah simbol ketidaksetujuan sebahagian rakyat yang merasakan layanan keadilan terhadap Najib sudah melampaui batas kewajaran. Keputusan Loke itu bukan diambil secara personal tetapi dibenarkan oleh badan tertinggi partinya. Ini bermakna DAP menolak kebenaran itu.

Paling mendukacitakan, apa yang berlaku kepada Najib ini boleh menjadi satu preseden pada masa akan datang.

Sekiranya pada masa hadapan ada individu berkedudukan seperti Najib, seorang bekas pemimpin negara, didakwa melakukan jenayah dan kemudiannya dijatuhi hukuman penjara, apakah kita bersedia memberikan keistimewaan yang sama kepadanya?

Jika tidak, ini menunjukkan kita mengamalkan keadilan yang berbeza-beza mengikut kedudukan dan pengaruh seseorang. Bahasa mudahnya, kita memilih bulu dalam melaksanakan hak yang terkandung dalam Perlembagaan.

Undang-undang tidak sepatutnya mempunyai dua wajah. Seorang rakyat biasa dan seorang bekas Perdana Menteri sepatutnya dinilai berdasarkan prinsip keadilan yang sama. 

Apa yang lebih membimbangkan ialah kesan keputusan seperti ini terhadap keyakinan rakyat kepada institusi kehakiman, sistem perundangan dan prinsip kedaulatan undang-undang. Diingatkan jangan kita mengelakkan kepada diri setelah melihat wajah sendiri dalam rumah sendiri. [wm.kl. 10:40am 07/11/2026]

No comments:

Post a Comment