Thursday, June 14, 2007

Kes Pembunuhan Altantuya

Resah dan Gelisah Najib dan Abdullah Berbeza

MSO
ATAS sebab-sebab yang hanya diketahui oleh orang dalam yang ‘maha’ berkuasa dan berkepentingan saja kenapa perbicaraan ke atas dua orang anggota polis dan penganalisis politik yang rapat dengan Mohd Najib Razak yang dituduh membunuh dan bersubahat membunuh Altantuya @ (Siti Aminah) ditangguhkan daripada 4 Jun kepada
18 Jun.

Penagguhan itu tidak menjadi masalah, kapan pun perbicaraan akan diteruskan juga tetapi bentuk dan cara penangguhan itu dibuat serta latar sebalik penundaan perbicaraan itu menimbulkan berbagai pertanyaan dan luar biasa.

Sesuatu kes yang sudah dibawa ke mahamah dan disiasat oleh polis tidak boleh ditutup begitu saja melainkan ianya ditutup atau dibuang kes oleh mahkamah dengan cara dan teknik-teknik perundangan. Biasanya perbicaraan itu dibuang di dalam mahkamah setelah perbicaraan dijalankan dengan alasan-alasan tertentu.

Pindaan tarikh tidak pelik dan asing. Hal itu selalu berlaku dalam mana-mana mahkamah di dunia ini. Sesuatu perbicaraan itu tidak boleh dijalankan sekiranya hakim mengendalikan kes itu sakit gigi ataupun kurang sihat kerana ia dibimbangi mempengaruhi perbicaraan itu. Emosi seseorang hakim sewaktu hendak duduk di kerusinya kena tenang dan bersih.

Begitu juga perbicaraan tidak boleh dijalankan sekiranya pendakwa tidak sihat atau kerana isterinya bersalin atau tidak bersedia dengan bahan dan bukti pendakwaannya. Hakim tidak akan membenarkan atau bersedia memulakan perbicaraan.

Demikian juga perbicaraan tidak boleh dijalankan sekiranya peguam bela tidak bersedia atau tertuduh (kes jenayah) tidak mempunyai peguam. Kalau tertuduh tidak mampu mengadakan peguamnya sendiri, kerajaan akan menyediakan atau menunjukkan peguam yang menjadi penel kepada Kerajaan untuk membela tertuduh berkenaan.

Penyeksaan bertindih

Disebabkan hal-hal atau insiden demikian menjadikan orang kena tuduh terseksa, boring dan kena berada lebih lama di dalma penjara. Sebab itu kerap berlaku orang tertuduh tinggal lebih lama di dalam penjara daripada hukuman yang dijatuhkan ke atasnya. Keadaan inilah menjadikan kelembaban mahkamah itu menyebabkan orang kena tuduh menghadapi penyeksaan bertindih.

Menerhatikan perkara ini timbul persoalan, di manakah integriti badan Kehakiman itu? Kerana setiap kali Ketua Hakim baru dilantik kenyataan yang pertama keluar dari mulut mereka ialah; kita akan mempercepatkan proses perbicaraan di mahkamah. Kita tidak mahu banyak kes tertangguh.

Semacam sudah sinonim kenyataan itu dengan mana-mana Ketua Hakim yang baru memegang jawatan Ketua Hakim. Walhasilnya kes tetap juga berlambak, kes tertangguh makin tertangguh dan orang tahanan terus terseksa dan terseksa tidak tentu pasal disebabkan ketidakcekapan badan berkenaan.

Itu semua tidak menjadi masalah. Itu soal kelemahan makhluk Allah bernama Hakim, Pendawa dan Peguambela. Sebagai makhluk Allah kita tertakluk kepada kuasa-Nya. Oleh kerana kelemahan sejak azali itulah menyebabkan mahkamah juga turut tidak terelak daripada menanggung kelemahan itu.

Berbalik kepada kes yang melibatkan modeling Mongolia, Altantuya ini apa yang anihnya bukan soal penangguhan yang sudah menjadi suatu perkara biasa itu. Tetapi beberapa unsur ataupun insiden lain yang menimbulkan persoalan yang berlaku sejak awal kes berkenaan bermula hinggalah ke saat-saat akhir kes itu hendak dibicarakan tetapi ditunda dari berbagai aspek.

Kerana terlalu banyak keganjilan dan hal luar biasa itu, apakah perbicaraan kes Altantuya itu akan dikenali sebagai perbicaraan yang bukan saja penuh suspen tetapi penuh dengan hal-hal yang luar biasa?

Kalau diperhatikan sejak mulanya lagi sudah menimbulkan pertanyaan kepada umum. Rasa pelit mula berbelit kepala apabila Razak Baginda yang dituduh bersubahat dengan pembunuhan itu dibenarkan ikat jamian secara bon sebanyak RM1 juta. Tidak pernah berlaku dalam sejarah perundangan negara ini seorang yang dituduh di bawah kanun 302 (membunuh) dibenarkan diikat jamin.

Keistimewaan kepada Razak

Tetapi di dalam kes Razak yang disebut sebagai kes berprofil tinggi ini Hakim telah membenarkan Razak diikat jamin. Semacam ada suatu keistimewaan yang diberikan kepada Razak. Paling menakjubkan pula ikat jamin itu bukan dengan wang tunai tetapi dengan bon!

Selepas itu pula ikat jamin ke atas Razak itu telah ditarik balik. Sehubungan itu tarikh perbicaraan kes itu telah ditetapkan pada tahun hadapan. Ekoran itu orang mula menghitung yang Razak terpaksa meringkuk di dalam tahanan berbulan-bulan lamanya sementara menunggu hari perbicaraan.

Bagaimana pun keputusan itu berubah lagi sekali, apabila permohonan pihak orang kena tuduh agar perbicaraan dipercepatkan. Maka Hakim telah menetapkan perbicaraan itu akan bermula pada 4 Jun lalu. Perubahan ini menjelaskan ada tangan-tangan berkuasa yang mengubah fail dan mengubah angka di dalam fail pertuduhan itu. Siapa?

Kita ingin tanya apakah sekiranya hal itu dihadapi oleh orang kampung ia mendapat keistimewaan dan pertimbangan seadil demikian?

Hal-hal yang berlaku itu dikira jarang malah tidak pernah terjadi sebelum ini ditambah pula dengan beberapa insiden lain yang tidak kurang meragui ataupun menimbulkan persoalan. Hakim yang akan mendengar kes itu juga telah ditukar kepada Hakim Datuk Mohd Zaki Mohd Yaasin.

Sekali lagi pihak Jabatan Peguam Negara yang bertanggungjawab ke atas perjalanan mahkamah dan perundangan di negara ini berhak melakukan apa saja atas budi bicaranya. Namun dalam pada itu jabatan berkenaan seharusnya peka dan prihatin mengenai apa yang orang perhatikan kepadanya. Jangan pula sampai jabatan kehakiman dilihat seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) yang mana menteri boleh bercakap ikut sedap mulut dia saja.

Berbagai pertukaran

Tidak cukup menukar hakim perbicaraan, barisan Pendakwa pula ditukar pada saat-saat akhir. Mulanya pendakwaan kes itu akan dilakukan oleh Ketua Unit Terkelas dari Jabatan Penguam Negara, Sallehuddin Saidin dan Timbalan Pendakwaraya, Noreen Badaruddin, alih-alih ianya ditukar kepada Tun Abdul Majid dan dibantu oleh timbalan Pendakwaraya Monoj Kurup di saat-saat akhir.

Pertukaran Tun Majid dari Sallehuddin ini yang dilakukan disaat akhir dan Tun Majid diberitahu menerusi telefon ketika pulang ke rumahnya sesuatu yang boleh dikira melucukan dan menunjukkan seolah pihak Peguam Negara tidak serius didalam kes ini. Ada unsur-unsur untuk menyusahkan pihak-pihak lain cara pertukaran itu dibuat. Cara pertukaran itu dibuat tidak layak untuk mengkelaskan kes ini sebagai kes berprofil tinggi!

Ada munasabahnya komen Karpal Singh dan Anwar Ibrahim pertukaran itu sengaja untuk menyusahkan pihak pembelaan dan ia sesuatu yang tidak munsabah kerana sepatutnya pertukaran itu dibuat sejak awal-awal lagi.

Melihat kepada bentuk pertukaran ini seolah ada permainan dan ianya disengajakan dengan sesuatu tujuan yang tersirat tetapi mudah ditafsirkan! Apakah institusi yang paling bersistemmetik, berintegriti, beretika dan mulia itu boleh membuat sesuatu sesuka hati saja apa lagi menimbulkan keraguan umum?

Tidak cukup dengan keanihan itu, peguam pembela Chif Inspektor Azilah Hadri juga turut menarik diri daripada menjadi peguam bela kerana kononnya ada pihak ketiga yang mencampuri urusanya. Zulkefli Nordin, menarik diri kerana tidak mahu dirinya diperalat oleh orang ketiga yang menjaga kepentingan orang politik tertentu. Penarikan diri Zulkefli juga menimbulkan kontroversi.

Satu pertanyaan yang mungkin ingin diketahui oleh orang ramai apakah penarikan diri Zulkefli Nordin (secara paksaan itu?) dipersetujui oleh Azilah? Ataupun tindakan itu dibuat pandai-pandai saja demi kepentingan orang tertentu. Mereka bimbang dengan kehadiran Zulkefli akan menyebabkan terbongkar nama-nama lain di dalam mahkamah.

Dalam hal ini apa yang perlu diinsafi Azliah dan keluarganya mahukan pembelaaan sewajarnya ke atas Azlilah. Apa yang dihadapi oleh Azilah bukan penjara satu hari atau satu bulan, tetapi kalau sabit kesalahan beliau akan ke tali gantung.

Soal hidup atau mati

Bagi Azilah atau pun Kpt Sirul Azhar Umur atau Abdul Razak Baginda sendiri tertentu mahu pebelaan yang terbaik. Mereka mahu melepaskan diri masing-masing. Mereka tentu tidak perlu fikir soal nasib dan masa depan orang lain. Siapa pun tidak sanggup menjadi kambing hitam mengadai nyawa untuk kepentingan orang lain hatta orang tidak siuman.

Apa yang tergalang di hadapan mereka bertiga ialah soal hidup atau mati.

Isteri Razak, Mazlida Makhzan pernah meluahkan kata-kata ketika beliau dihurungi press bahawa suaminya tidak berhajat untuk menjadi Perdana Menteri. Apakah maksud dan natijah kata-kata Mazlinda itu? Ia tentu mempunyai seribu makna dan maksud yang bukan sukar untuk diterjemahkan.

Demikianlah keanihan dan kegajilan yang berlaku sekitar perbicaraan kes pembunuhan Altantuya. Ia bukan suspen, misteri tetapi dipenuhi dengan tindakan dan insiden serta keputusan-keputusan drastik yang menjadi teka teki, menarik dan tidak kurang juga mengelirukan.

Sepata kata Anwar Ibrahim pebicaraan kes Altantuya ini menyebabkan institusi kehakiman negara ini juga sedang dibicarakan oleh seluruh dunia. Dunai sedang memerhati perjalanan perbicaraan itu dan keputusannya kelak. Apakah dengan keadaan itu senario ini tidak sediki pun menimbulkan apa-apa perasaan kepada orang nombor satu dan nombor dua negara?

Tentu ada cuma bentuknya berbeza. Takdirnya kedua mereka resah dan bimbang dalam menanti perbicaraan dan menunggu keputusan kes ini, yang jelasnya gelisah dan resah Najib Razak berbeza dengan resah dan gelisah Abdullah Ahmad Badawi. Najib resah dan gelisah bimbang takut namanya terkeluar dalam perbicaaan itu, Abdullah pula resah dan bimbang perbicaana itu akan memberi efek kepada kuasa dan politiknya di mata dunia!

No comments:

Post a Comment