Tuesday, October 16, 2007

Catatan Aidifitri 07 (1)

Pulang Raya Satu Industri Pelancungan!

MSO

MENINGGALKAN hiruk pikuk ibu kota kosmopolitan Kuala Lumpur pada Khamis, 11 Oktober untuk pulang berhari raya di kampung merupakan satu kemerdekaan daripada cengkaman memeritkan di Kuala Lumpur. Perjalanan pulang itu juga diharapkan akan memberi nikmat dan ketenangan fikiran. Itulah harapan.

Selalu kita bersangka pulang di kampung kelahiran apa lagi pada saat hari lebaran membahagiakan. Perjalanan sejauh lebih 600 kilo meter dari KL menerusi Gua Musang, ke Rantau Panjang, (sempadan Thailand), tentu dirasakan tidak memenatkan. Penat tidak akan terasa apabila di sepanjang perjalanan dapat pula menikmati pemandangan bukit bukau dan gunung kapur yang indah dan unik. Kegembiraan dan keriangan ditambah oleh rasa tidak sabar untuk berjumpa dengan sanak keluarga dan teman taulan sepermainan.

Apa lagi lagu raya dengan berbagai versi disampaikan oleh berbagai penyanyi menjadi teman menghambat sunyi dan melekakan perjalanan. Itulah harapan dan impian.

Bagaimana pun apa yang berlaku tidak seperti diharapkan. Perjalanan pulang raya ke Kelantan tidak semanis dan seindah yang diimpikan. Perjalanan pulang di hari raya tidak lagi menyenangkan sebaliknya seperti merangkak dalam reba dan duri saja.

Betapa tidak sepanjang jalan, bermula dari Kuala Lumpur hinggalah ke Kota Bharu, jalan penuh sesak dengan kenderaan. Keadaan kesesakan itu lebih teruk dan azab dari apa yang berlaku di Bukit Bintang atau Jalan Tunku Razak ataupun Tuanku Abdul Rahman.

Bermula pada hari Rabu, (10 Oktober) lagi sepanjang jalan menuju ke Kota Bharu dilaporkan sudah sesak apabila ribuan kenderaan merayap dan memenuhi di jalan raya. Bayangkanlah perjalanan dari Kampung Padan untuk tiba di tol Gombak memakan masa lebih tiga jam. Dan perjalanan ke Kelantan dari KL pada hari itu yang selalu mengambil masa enam atau tujuh jam telah memakan masa 12 atau 14 jam.

Misalnya perjalanan di persimpangan Sungai Ular untuk ke Padang Tengku (Pahang) yang hanya 10 minit terpaksa memakan masa tiga jam. Begitu juga perjalanan dari Padang Tengku untuk melintasi Bukit Tujuh yang hanya 20 minit memakan masa 2 jam setengah.

Kesesakan luar biasa juga berlaku ketika memasuki bandar Bentung, Raub, Gua Musang dan Kuala Krai. Bahkan kesesakan berlarutan di sepanjang jalan Kuala Krai hingga ke Kota Bharu serta di jalan-jalan utama lain ke Pasir Mas, Rantau Panjang, Tanah Merah, Pasir Puteh dan Machang.

Tengah hari Khamis, itu walaupun saya memilih masa paling tenang dan dianggap terlepas dari terperangkap dalam jam iaitu jam 12: 00 tengah hari, namun tidak berjaya mengelakkan dari terjerut dalam jam. Saya juga turut sama menjadi mangsa kesesakan jalan raya apabila sampai ke kampung menjelang tengah malam.

Keadaan ini tidak akan dapat dapat di atasi. Setiap tahun warga Kelantan yang pulang untuk beraya di kampung akan menempuh keadaan yang azab dan cukup memualkan ini. Suasana ini semacam tradisi dan pesta pula bagi rakyat Kelantan.

Dalam pengamatan saya ada tiga sebab kenapa keadaan ini berlaku;

Pertama, kerana terlalu banyak kenderaan masuk ke Kelantan. Ini ada kaitan dengan taraf kehidupan dan ekonomi orang Kelantan yang semakin meningkat menyebabkan mereka mampu memiliki kenderaan. Setiap tahun juga rakyat Kelantan bertambah ini termasuklah mereka yang menjadi orang baru (berkahwin dengan orang Kelantan).

Setengahnya yang tidak memiliki kenderaan sendiri menyewa kenderaan semata-mata untuk pulang beraya di Kelantan. Sekali lagi ini berlaku kerana sikap orang Kelantan yang suka merai dan menziartahi ibubapa dan rakan sahabat di kampung.

Kedua, sikap dan perangai sesetengah pemandu yang mementingkan diri sendiri dan tidak tahu bertimbang rasa. Masih ada pemandu berperangai seperti hantu yang memotong Q dan tidak sabar di jalanan. Sikap gedebe dan samseng orang Kelantan terbawa ke atas jalan raya dan ini turut menyumbangkan kesesakan di jalan raya.

Ketiga, kerana jalan menuju ke Kelantan masih belum elok. Tidak ada lebuh raya ke Kota Bharu dari KL seperti mana lebuh raya Utara Selatan menuju Kedah atau Johor dan sebagainya yang boleh menyelesa dan menjimatkan masa dan jarak perjalanan. Amalan politik tindas menindas yang diamalkan oleh kerajaan Barisan Nasional/Umno telah meletakkan Kelantan dalam keadaan yang sedemikian.

Itulah tiga sebab mengapa berlaku kesesakan di sepanjang jalan menuju ke Kota Bharu menjelang hari raya. Namun begitu kesukran dan keazaban untuk pulang bercuti raya ke Kelantan ia tetap memberi sumbangan dan membantu Kelantan dari sudut ekonomi.

Secara tidak langsung percutian raya telah memberi rezeki kepada rakyat Kelantan. Cuti perayaan telah menyumbangkan pendapatan tidak langsung kepada Kelantan apabila berjuta wang tunai dialirkan ke negeri ini semasa raya.

Tahun ini anggarkan lebih 12,000 kenderaan yang memasuki ke Kelantan untuk beraya di sana. Bayangkan sekiranya hanya 10,000 kenderaan yang pulang ke Kelantan membawa kira-kira lima orang, ini bermakna sebanyak 50,000 rakyat Kelantan yang pulang beraya ke Kelantan pada tahun ini.

Kalau setiap kenderaan atau keluarga membelanjangkan cuma RM1,300 ini bermakna sebanyak RM13 juta telah di belanjakan untuk pulang ke Kelantan.

Sebahagian besar wang itu akan mengalir di Kelantan, apabila ia digunakan untuk membayar fitrah, membeli belah dan diberikan kepada orang tua atau keluarga masing-masing. Sudah menjadi amalan dan sikap orang Kelantan mereka akan membayar fitrah di kampung halaman mereka sendiri, terutamanya kepada golong fakir miskin.

Kerana fenomena dan sikap inilah walaupun Kelantan dianaktirikan oleh Kerajaan Persekutuan dari segi menyediakan maklumat dan prasarana pelancungan namun Kelantan tetap mendapat pendapatan dari industeri berkenaan apabila rakyat Kelantan menjadi cuti raya sebagai pakej pelancungan ke Kelantan.

Di samping negeri dan rakyat Kelantan mendapat nikmat daripada percutian raya rakyat Kelantan itu, syarikat yang mengendalikan tol di Gombak dan Karak juga turut sama mendapat nikmatnya. Kalau 10,000 kenderaan yang pulang raya melalui kedua tol itu mereka kena membayar tol sebanyak RM160,000 untuk pergi dan balik. [wm.kl 4:40 pm 16/10/07]

No comments:

Post a Comment