Wednesday, October 17, 2007

Catatan Aidifitri 07 (2)

Kenduri Dan Kisah Orang Baju Merah Petak-Petak

MSO

SUDAH menjadi amalan saya, sekali setahun akan mengadakan kenduri untuk kalangan anak beranak. Kalau tidak buat bubur asyura sempena bulan syura (Muharaham), saya akan sembelih lembu pada hari Maulid Rasul ataupun sempena hari raya Aidil fitri.

Pendeknya dalam satu tahun rumah emak saya di Gual Nibong, akan penuh dengan sanak saudara dan kawan-kawan yang datang untuk meraikan majlis berkenaan. Mak dan bapak saudara, adik beradik, sepupu, anak sepupu, dua pupu, tiga pupu, empat pupu jauh dan dekat semuanya akan datang dan berhimpun.

Saya seronok mengadakan kenduri, boleh jamu keluarga, rakan dan orang kampung di samping bertemu muka dan bermesra dengan mana-mana mereka yang jarang berjumpa, dapat bertemu dan bejabat salam kalau diadakan kenduri.

Raya kedua tahun ini, saya sembelih seekor lembu. Tujuan sama, untuk menjamu orang kampung. Kenduri itu untuk anak beranak dalam kampung sendiri saja, dan tidak membawa apa-apa maksud lain di sebalik kenduri itu. Kali ini lembunya agak besar sedikit dari kebiasaanya, (lebih besar dari kambing jamnapari) dan tetamu yang datang juga agak mengejutkan!

Sungguh menyeronokkan

Selalunya seperti disebut tadi kalau diadakan kenduri orang kampung akan ramai-ramai datang membantu. Sama-sama melapah daging, potong bawang, lada, koyak kelapa dan memasak kemudian makan - secara berlerakan. Suasana ini sungguh menyeronok dan menyegarkan hubungan kekeluargaan. Ketika ini kalangan keluarga bertanya khabar mengenai perjalanan hidup masing-masing. Itulah tradisi kampung kami.

Hubungan sesama tetangga sekampung juga erat dan mesra. Lagipun itu sajalah termampu dilakukan oleh saya untuk memakmurkan kampung kelahiran sendiri. Kalau bukan saya, siapa lagi yang boleh berbuat begitu? Di kampung kami tidak ada wakil rakyat apa lagi Exco yang memegang lebih daripada tiga porfolio.
Lagipun saya juga merasakan sudah tua apabila menyedari sudah ramai penduduk yang berpangkat ayah atau ibu seorang demi seorang pergi menghadap Ilahi. Sudah tidak ramai orang tua yang ada lagi yang menjadi tongkat kampung selama ini. Jadi tangungjawab untuk mengeratkan hubungan sekampung sedikit sebanyak terletak di bahu saya dan rakan sebaya.

Perasaan dan lamunan ketuaan juga makin terasa apabila rakan sebaya malah adik-adik lebih muda daripada saya sudah pun mempunyai dua tiga orang cucu! Maknanya rakan sebaya saya sudah berpangkat datuk. Ertinya generasi saya sudah mengambil alih tempat generasi kedua dan ketiga yang menjadi tonggak kampung kami selama ini.

Mulut ke mulut

Apa yang hendak diceteriakan fasal kenduri di sini mengenai basa basi kehadiran pada majlis itu sungguh menyenang dan mengejutkan. Mereka khasnya kawan-kawan yang hadir bukan saja yang dijemput tetapi rakan yang tidak dijemput juga yang tahu dari mulut ke mulut turut sama hadir. Ini sungguh menggembira dan mengharukan.

Paling mengejutkan beberapa orang rakan yang tinggal atau bekerja di Terenggau, Perak, Pahang, Johor, Kedah yang tidak berjumpa berbelas tahun juga ikut sama menjelma.


Dalam ramai-ramai tetamu itu termasuk juga seorang anggota polis (SB) dari Marang, Terengganu yang datang khusus membawa soalan mengenai tragedi di Batu Burok. Rakan itu ingin tahu apakah persepsi rakyat terhadap kejadian itu daripada saya selaku penulis.

Saya faham beliau hadir bukan saja nak jumpa saya, tetapi ingin mengetahui maklumat dari pihak lain (penulis) mengenai kejadian itu. Rakan ini lebih bertujuan menjalankan kerjanya daripada untuk berhari raya. Seperti ada arahan saja. Nampaknya si rakan ini ingin mengetahui impak di sebalik kejadian itu.

Barangkali pihak BN Terengganu sudah bimbang dengan kejadian itu di mana ianya sudah back fire, apabila rahsia di sebalik tragedi itu sudah mula terbongkar dan BN Terengganu cukup bimbang dengan tragedi itu!

Begtu juga rakan-rakan lain datang bukan sangat teringin untuk menikmati gulai kawah atau gulai tunggang asli masakan Pak Mat Limah dan Pak Mat Paeh, yang diwarisi daripada aruah Pak Chu Deris ataupun Pak Mat Menyadat, tetapi ada yang datang khusus untuk bertanya soal politik. Ingin mendapat penjelasan dan penerangan lanjut berhubung beberapa isu yang dibangkitkan dalam blog saya, teristimewanya isu mengenai orang baju merah petak-petak.

Membaca kritikan

Masing-masing tidak percaya apa yang berlaku. Mereka tidak menduga sama sekali kalau saya telah mengkritik penuh emosi terhadap orang baju merah petak-petak. Mereka tidak yakin dan melihat sebagai satu sandiwara atau ketidakwarasan saya saja apabila membaca kritikan terhadapnya kerana mereka menyedari dan tahu akan 'keintiman' hubungan saya dengan orang bau merah petak-petak selama ini dan juga bagaimana saya menulis dan melakari akan watak dan bakatnya dalam politik.

Tetapi apabila saya menjelaskan pendirian, prinsip dan juga karektor saya sebagai seorang penulis yang tidak mudah untuk berkompromi dengan kejahabtan dan sebagai 'rakan yang suka makan rakan' baru mereka dapat menerima. Baru mereka mengerti kenapa saya bersikap dan bertindak seperti haruan makan anak itu dan lantas mengucapkan selamat kepada saya.

Mereka tidak boleh menolak apa yang saya perkatakan kerana mereka cukup tahu mengenai sifat dan sikap saya sejak dari dulu lagi. Mereka yang kenal saya sebagai MSO tahu benar mengenai diri saya! Saya adalah orang yang bodoh kerana tidak pandai dan tahu mengguna dan mengambil kesempatan atas hubungan baik saya dengan orang politik untuk membaiki kehidupan.

Mengenai isu-isu atau penulisan dalam blog saya, isu yang paling dituntut kini ialah penjelasan mengenai berhubung pendedahan saya di dalam blog ini tentang tindak tanduk wakil rakyat Kelantan yang menyembunyikan isteri mudanya di sebuah apartment di Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Masing-masing melahirkan rasa terkejut atas pendedahan itu dan menolak ianya adalah wakil rakyat Pas.

Mereka tidak percaya ianya adalah salah seorang daripada 23 wakil rakyat Pas Kelantan. Sukar untuk mereka mempercayai kalau orang itu ialah wakil rkyat Pas, sebab selama ini yang berperangai macam itu, yang main dengan bini orang, kahwin lari ke Jakarta dengan anak dara orang atau main dengan pembantu rumah Indonesia selepas solat Subuh, atau yang mempunyai afair dengan Puteri Umno ialah wakil rakyat Umno. Tidak terfikir pula oleh mereka kalau perangai itu juga berjangkit kepada wakil rakyat parti Islam.

Lantaran itu mereka sungguh teruja dengan pendedahan itu kerana tindak tanduk dan perangai itu bertentangan dengan keperibadian orang Pas. Perangai tidak gentlemen itu bukan didikan dan tarbiah Tok Guru Nik Aziz. Nik Aziz mengajar anak buahnya berkata benar dan bukannya melindungi pembohongan.

Biawak ganjil

Nik Aziz mendidik anak buahnya supaya jujur dan ikhlas. Tidak permain dan peralatkan orang lain untuk kepentingan diri sendiri. Tidak bercakap dusta dan mempunyai lidah bercabang tujuh seperti biawak ganjil! Tidak bertindak melempar batu sembunyi tangan dan berpura-pura. Tidak bertindak mengikut sesuka hati atau pun membuat keputusan sendiri kemudian minta jemaah mengesahkan keputusan yang dibuat itu. Tidak begitu.

Nik Aziz mengajar anak buahnya agar bersikap kolektif (jamai') dan meletakkan jemaah lebih penting daripada kepentingan diri sendiri. Berfikir dan bertindak mengikut syari'e dan bukannya galak mengamalkan politik Mechiavilism.

Tetapi apabila saya menegaskan ia adalah wakil rakyat Pas, kawan hidung mancung berkulit hitam itu itu jadi terdiam dan terbungkam sambil meraba punggung macam beruk sakit pongek. Terus tidak terkata dan murung secara tiba-tiba. Ternyata dia amat kesal dan kecewa dengan apa yang berlaku itu. "Aku harap dia bukan wakil rakyat Pas!" tekannya dengan nada kesal campur mengharap kerana enggan menerima penjelasan saya.

Saya faham kenapa dia sukar untuk menerima begitu, kerana dia terlalu menyayangi kepada tokoh berkenaan. Seseorang yang sudah taksub apa lagi mendapat dua tiga keping wang dinar emas Kelantan tidak mudah untuk mempercayai cerita-cerita berbentuk "khawarikul ahdah" begitu. Apa lagi mereka yang mendapat kawasan balak seluas 50 hektar sebanyak dua tiga kali kemudian dijual pukal kepada Cina dan dapatlah antara RM60,000 hingga RM80,000 katak mampus pun tidak akan menerimanya apa yang saya dedahkan itu.

Tetapi tidak mengapa, seperti saya jelaskan kalau perlu disertakan bukti dan foto isteri muda wakil rakyat berkenaan serta dimana lokasi pertama mereka bertemu, siapa yang menjadi saksi akad nikah, berapa emas kahwinya dan juga siapa yang mengIslamkan isteri mudanya itu dan segala macamnya lagi saya akan siarkan dalam blog ini kelak! Tunggu!

Kawan itu juga bimbang dan cemas dan pohon kepada saya agar tidak gila terus berbuat seperti itu. Katanya kalau saya terus membuat pendedahan ia boleh merugikan parti. Saya tidak menjawab atau membalas rayuan dan pandangan rakan itu. Cuma saya tetap beranggapan dan berpegang kepada keyakinan rosak atau jatuhnya parti bukan kerana disebabkan pendedahan mengenai perangai buruknya wakil rakyat atau pemimpinnya. Sebaliknya parti akan rosak di mata umum kalau terus memelihara wakil rakyat yang berperangai sedemikian.

Politik wang

Saya cukup sedar dan pecaya ahli dan penyokong Pas tidak suka kepada pemimpin yang hipokrit, munafik, bersikap tidak gantlemen dan menakluki orang dengan wang. Kenapa orang Umno tidak suka kepada Annuar Musa ialah kerana Annuar Musa memiliki sifat-sifat dan perangai demikian. Apakah apabila sifat dan perangai demikian juga ada kepada wakil rakyat Pas, maka mereka boleh dimaafkan kerana mereka orang Pas? Tidak... kupiah dan serban serta janggut tidak boleh melindungi kebatilan! (Kalau kupiah dan serban tidak boleh melindungi kebatilan apalah lagi saya).

Justeru kalau Pas ingin kuat dan terus mendapat sokongan rakyat, Pas harus mengenepikan mana-mana wakil rakyat yang ada masalah dan ganti dengan yang bersih dan ikhlas untuk memperjuangkan rakyat. Mana-mana pemimpin hipokrit, perangai macam kucing timbus najis, mengamalkan politik musang, hendaklah di ketepikan ataupun di letak di belakang tabir. Mereka tidak boleh di bawa ke hadapan apa lagi untuk diharap dan didoakan untuk menjadi pemimpin di masa depan. Kalau mereka ditakdirkan suatu hari nanti naik ke atas dan menjadi pemimpin, parti dan Kerajaan akan menghadapi masalah.

Dan untuk rakan dan kawan yang sayang kepada orang-orang berperangai macam orang baju merah petak-petak itu, perbetul dan perbaikilah kesilapan yang dilakukannya. Kalau dia boleh diperbaiki, insyaAllah dia mungkin boleh digunakan lagi. Seperti basikal buruk, kalau dibaiki rantai, handle, tayar, locing dan brek dan sebagainya ia boleh digunakan lagi, walaupun suspensionnya sudah tidak betul lagi.

Basikal yang seperti itu kalau pun tidak boleh digunakan untuk ke pekan dan bandar bolehlah digunakan untuk beli garam dan kelapa parut di kedai runcit Mek Jah yang terletak di hujung kampung! [wm.kl. 9:45 am 17/10/07]

No comments:

Post a Comment